Categories
AGENDA NASIONAL

Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh dipenjara lima bulan, denda RM12,000

ALOR SETAR, 13 OGOS: Pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Kubang Pasu dihukum penjara lima bulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada 14 Julai lepas sehingga mencetuskan kluster Sivagangga.

Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, pada sesi pertuduhan khas yang diadakan di Hospital Lama Alor Setar di sini, tempat tertuduh dikuarantin selepas didapati positif Covid-19.

Nezar Mohamed dituduh meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan terhadapnya di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis Bank Rakyat Cawangan Jitra pada 4.40 petang; di premis Agro Bank Cawangan Jitra pada 3.58 petang; di premis Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 3.35 petang dan di premis Public Bank Cawangan Jitra pada 3 petang, 14 Julai lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 22(b) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nezar Mohamed dijatuhi hukuman penjara lima bulan, menjadikan jumlahnya 20 bulan, bermula hari ini dan denda RM,3000 bagi setiap pertuduhan dan hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Zabidah memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan rakyat agar tidak melanggar perintah yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Katanya tertuduh telah menyebabkan kesihatan awam terjejas dengan tercetusnya kluster Sivagangga pada 28 Julai lepas, melibatkan tiga daerah di Kedah (Kubang Pasu, Kulim, Padang Terap), satu daerah di Perlis (Kangar) dan dua daerah di Pulau Pinang (Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah).

“Ekonomi negara juga terjejas kerana Kluster Sivagangga telah menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM1 juta di kawasan TEMCO (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar) daerah Kubang Pasu sahaja dan menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada masyarakat umum,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sama ada virus jangkitan kluster Sivagangga mutasi D614G diketahui minggu depan

PUTRAJAYA, 10 OGOS: Sama ada virus Covid-19 daripada kluster Sivagangga merupakan virus mutasi D614G yang berisiko meningkatkan kebolehjangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka yang tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) akan diketahui dalam masa seminggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Institut Kajian Perubatan sedang mengkaji dan sudah mengasingkan virus Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

“Seminggu lagi boleh dilihat genomic sequence (urutan gen) sama ada ia merupakan mutasi atau tidak. Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya bimbang berlaku mutasi,” katanya lagi pada sidang media perkembangan Covid-19 di KKM di sini hari ini.

Selain penjagaan kesihatan awam, kawalan sempadan juga perlu ditingkatkan kerana virus Covid-19 mutasi D164G turut dilaporkan di Eropah dan negara lain, katanya.

Virus itu dikatakan boleh meningkatkan kebolehjangkitan lebih 10 kali ganda dalam kalangan mereka yang tidak mengikuti SOP.

Dr Noor Hisham berkata melalui tindakan kesihatan awam setakat ini jangkitan kluster Sivagangga di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang berjaya dikawal melalui pengesanan kes aktif dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran.

Setakat ini kluster Sivagangga belum dikesan di negeri lain dan ia dijangka dapat dikawal sepenuhnya dalam masa seminggu, katanya lagi.

Mengenai satu kes yang dilaporkan positif pada Sabtu lepas di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata KKM belum boleh mengesahkan kes berkenaan sebagai kes jangkitan kali kedua melibatkan pesakit yang sama.

Ditanya mengenai penggunaan pelindung muka dalam kalangan pelajar sekolah sebagai alternatif kepada penggunaan pelitup muka, beliau berkata, tidak ada kajian klinikal yang membuktikan pelindung muka dapat mencegah jangkitan Covid-19.

Sebaliknya, pelitup muka dapat memutuskan penularan Covid-19, katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tak patuh SOP punca pertambahan kluster Sivagangga, Kurau

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pertambahan jangkitan Covid-19 daripada kluster Sivagangga dan Kurau dikenal pasti berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidiladha tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebanyakan kes bagi kedua-dua kluster tersebut terdiri daripada ahli keluarga termasuk dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak berusia lingkungan dua hingga 70 tahun.

“Kluster Sivagangga dan Kurau merupakan dua kluster yang didapati mencatat pertambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini terutama selepas musim perayaan.

“Melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan ke atas kontak rapat kes mendapati penularan jangkitan Covid-19 dalam kedua- dua kluster ini sebahagian besarnya disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata walaupun aktiviti kunjung-mengunjung kini dibenarkan namun masih tertakluk kepada SOP dan penjarakan fizikal selamat sesama individu termasuk antara ahli keluarga.

“Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan,” katanya lagi.

Sehingga kini, kluster PUI Sivagangga menjangkiti 45 individu manakala kluster Kurau (lima).

Categories
AGENSI SELANGOR

MB: Segera jejak kontak rapat jika ada kes positif

SHAH ALAM, 9 OGOS: Pencarian kontak rapat berkait kluster Sivagangga di Surau Al-Jannah di sini dibuat segera jika ada jemaah positif Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan saringan masih belum diterima, namun Jawatankuasa Unit Bencana Negeri memantau rapat isu tersebut.

“Sekiranya hasil saringan jemaah negatif, maka kita selamat. Sekiranya positif, kita akan jalankan kerja pencarian kontak rapat secepat mungkin.

“Masyarakat kena faham Covid-19 masih ada dan kita perlu sentiasa berhati-hati serta amalkan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan wabak,” katanya selepas melancarkan Kempen Larangan Aktiviti Meminum Arak dan Menghisap Rokok (termasuk rokok elektronik) di Tasik Shah Alam.

Pada 7 Ogos lalu, Jabatan Agama Islam Selangor mengarahkan Surau Al-Jannah di Seksyen 23 di sini ditutup serta-merta susulan seorang jemaah dipercayai mempunyai kontak rapat dengan kluster Sivagangga.

Turut ditutup ialah Sekolah Kafa Integrasi Al-Jannah di lokasi sama.

Setakat semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 43 kes Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster tersebut. Keseluruhannya seramai 4,198 individu disaring dengan 3,235 negatif dan 920 masih menunggu keputusan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Hanya tiga negeri ada individu dari kluster Sivagangga

MELAKA, 8 OGOS: Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan hanya tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, merekodkan individu positif Covid-19 dari Kluster Sivagangga, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata satu kes positif Covid-19 yang dilaporkan dari kluster sama di Selangor semalam, masih dalam siasatan, manakala dua kes di Perak merupakan kes Influenza-Like Illness (ILI).

“Sehingga semalam, kita dapati kluster Sivagangga yang bermula di Kedah telah menular ke Kubang Pasu, Padang Terap dan Kulim. Oleh kerana Kubang Pasu berjiran dengan Kuala Sanglang di Perlis, maka Perlis ada kes dan yang terkini ialah Sungai Bakap di Pulau Pinang.

“Kita masih meneruskan usaha dan kita minta mana-mana individu yang merasakan diri mereka ada kontak dengan kluster Sivagangga, bermula 13 Julai hingga sekarang untuk tampil ke hadapan, kerana kluster ini melibatkan bukan sahaja pengunjung kedai tersebut, tetapi ada antara mereka merupakan pemandu lori dan mereka balik ke kawasan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Klinik Kesihatan Jenis Dua (Delima) di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Kementerian Kesihatan sedang berusaha mengawal sepenuhnya penularan wabak Covid-19 melibatkan kluster berkenaan, menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar di kawasan terlibat.

Katanya, pengesanan kontak dan saringan melibatkan seramai mungkin yang mempunyai simpton atau bergejala berkaitan kluster Sivagangga perlu dilakukan, bagi memastikan rantaian jangkitan dapat diputuskan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, sehingga kini Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga, mencatat 43 kes positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan akan menyemak semula sistem pendawaian, termasuk perangkap kilat di 46 hospital yang berusia lebih 50 tahun di seluruh negara secara berperingkat, bagi mengekang sebarang insiden buruk seperti kebakaran dan gangguan ketika pembedahan sedang berlangsung.

Beliau berkata, salah satu hospital iaitu Hospital Sultanah Aminah di Johor yang kini berusia lebih 100 tahun, akan dilaksanakan pendawaian semula melibatkan kos projek berjumlah RM114 juta, yang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Kita akan masukkan senarai 46 hospital berkenaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan di peringkat kerajaan khususnya Unit Perancang Ekonomi, telah memberi persetujuan untuk kita memulakan permohonan bagi kerja membaik pulih sistem pendawaian.

“Apabila lebih 50 tahun, bermakna kita kena semak balik sistem pendawaian termasuk perangkap kilat, kerana bekalan elektrik tidak boleh terputus ketika pembedahan sedang dijalankan, atau sekiranya pesakit Covid-19 sedang menggunakan ventilator atau pesakit sedang menjalani rawatan hemodialisis,” katanya.

Sementara itu, Dr Adham berkata Klinik Kesihatan Batu Berendam, yang kos pembinaannya berjumlah RM22.2 juta di tapak seluas 2.02 hektar itu, dijangka beroperasi awal September ini.

Beliau berkata, Klinik Kesihatan Jenis Dua itu, yang mula dibina Oktober 2017 dan siap sepenuhnya pada 29 Mac lepas, bakal menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 38,000 penduduk di kawasan Batu Berendam.

Antara perkhidmatan yang akan disediakan ialah jabatan pesakit luar, klinik pergigian, klinik ibu dan anak, ruang farmasi dan makmal, unit kecemasan, unit pengimejan, selain mempunyai kuarters kakitangan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada kes baharu kluster Sivagangga hari ini, kekal 43

SHAH ALAM, 8 OGOS: Tiada kes baharu Covid-19 membabitkan kluster PUI Sivagangga dilaporkan hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata justeru bilangan kes positif kluster berkenaan kekal 43 kes.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 4,198 individu disaring membabitkan penduduk di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“Keputusan negatif melibatkan 3,235 individu manakala 920 masih menunggu keputusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) akan diteruskan.

“Proses nyah kuman dan nyah cemar dijalankan di kawasan yang dikenalpasti berkait rapat dengan kluster ini,” katanya.

Kluster PUI Sivagangga adalah kluster penularan dalam negara yang berpunca daripada kes import. Kes induk kluster tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) seperti ditetapkan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bank disanitasi selepas staf ada kontak rapat kluster Sivagangga

BAGAN SERAI, 8 OGOS: Penutupan sebuah bank di sini yang tular semalam adalah bertujuan untuk menjalankan proses sanitasi dan sebagai langkah pencegahan awal, susulan terdapat kontak rapat pesakit Covid-19 dalam kalangan kakitangannya.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil maklumat yang diperolehi, pihaknya mendapati kakitangan bank berkenaan adalah kontak rapat dengan pesakit Covid-19, ketika dia pulang ke Kedah pada Aidiladha lalu.

“Bagaimanapun kakitangan bank berkenaan yang bukan penduduk di Bagan Serai, tidak hadir ke sini setelah mengesyaki dirinya mengalami tanda-tanda awal Covid-19.

“Keputusan pihak bank itu membuat penutupan semalam, hanyalah sebagai langkah-langkah awal pencegahan dan tiada kakitangan bank itu dijangkiti Covid-19,” katanya pada sidang media malam tadi.

Semalam, tular di laman media sosial menunjukkan gambar notis penutupan bank itu sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai, yang bimbang akan penularan wabak pandemik berkenaan di Bagan Serai.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata, polis mengambil keterangan pemilik akaun laman sosial facebook yang mencetuskan kebimbangan, dengan memuat naik satu mesej mendakwa terdapat kluster baharu wabak Covid-19 di Kuala Kurau baru-baru ini.

Katanya pemilik akaun facebook menggunakan nama “Siti Aminah Binti Ismail”, yang dicari pihak polis telah tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, kira-kira pukul 4.30 petang semalam.

Menurutnya, hasil siasatan ke atas wanita berusia 41 tahun berkenaan mendapati, beliau sebenarnya prihatin dan mahu penduduk di Kuala Kurau peka dengan wabak yang melanda negara, namun tersilap memberi maklumat.

“Semakan polis dengan Pejabat Kesihatan Daerah Kerian mendapati, tiada kluster dari Singapura yang wujud di Kuala Kurau dan Kampung Parit Mat Ali, tetapi sebaliknya terdapat penduduk dari luar Kuala Kurau yang pulang dari negara itu, namun telah menjalani kuarantin di rumah.

“Penduduk tersebut bukanlah di Kuala Kurau atau di Parit Mat Ali, sebaliknya di kawasan lain dan tempoh kuarantinnya telah tamat pada 3 Ogos lalu, manakala hasil ujian mendapati dia negatif Covid-19,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sebuah surau di Shah Alam tutup, ada kontak rapat kluster Sivagangga

SHAH ALAM, 7 OGOS: Surau Al Jannah di Seksyen 23 di sini diarahkan tutup serta-merta susulan seorang jemaahnya dipercayai mempunyai kontak rapat dengan individu positif Covid-19 dari kluster Sivagangga.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata Sekolah KAFA Integrasi Al-Jannah di lokasi yang sama turut ditutup.

Katanya, penutupan surau itu menyebabkan semua aktiviti termasuk solat Jumaat, fardu berjemaah dan program pengimarahan tidak dibenarkan.

“Namun, solat fardu di surau berkenaan hanya dibenarkan dilakukan tiga orang ahli jawatankuasa (AJK) surau sahaja. Proses nyahkuman juga perlu dilakukan serta-merta di seluruh kawasan surau dan sekolah KAFA berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan turut mengingatkan AJK surau memantau rapat isu tersebut serta meningkatkan langkah keselamatan.

“Surau terbabit hanya boleh beroperasi semula selepas dibenarkan oleh Jais,” katanya.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan mengesan 30 kes positif Covid-19 termasuk kanak-kanak bagi kluster Sivagangga.

Sehingga kini 2,351 individu yang disaring dengan 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Covid-19: Kluster Sivagangga dominasi penularan tempatan

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kes penularan tempatan sepanjang rangkuman minggu ini didominasi Kluster PUI (Pesakit Bawah Siasatan) Sivagangga yang pertama kali dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 Julai lepas.

Sehingga pukul 12 tengah hari Khamis 6 Ogos 2020, seramai 2,351 orang dilaporkan disaring dalam kluster ini.

Daripada jumlah tersebut, 30 kes dikesan positif Covid-19, 1,617 negatif dan 704 masih menunggu keputusan (persampelan pada 5 Ogos 2020). Lima kes pertama daripada kluster ini diumumkan pada 28 Julai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 pada Khamis turut menyuarakan kebimbangan Kluster Sivagangga yang bermula di Kedah itu ada kaitan dengan genom Covid-19, yang dikenal pasti sebagai “super spreader” atau perebak utama di Mesir dan Pakistan.

Ini memandangkan kluster berkenaan merebak lebih pantas berbanding kluster lain di negara ini termasuk yang berlaku di Sarawak.

KKM, kata beliau akan menjalankan kajian sama ada negara berhadapan dengan satu kluster super spreader.

Kes indeks kluster ini adalah pemastautin tetap yang kembali dari India pada 13 Julai dan beliau (pemilik kedai makan) di Kedah, pernah tular dalam media sosial kerana melanggar peraturan kuarantin.

Sepanjang rangkuman mingguan ini, laporan kes baharu yang melibatkan Kluster Sivagangga adalah satu kes pada Sabtu 1 Ogos, 11 kes pada Ahad 2 Ogos, satu kes pada Isnin 3 Ogos, tiga kes pada Rabu 5 Ogos dan enam kes pada Khamis 6 Ogos.

Kes aktif kembali tiga angka

Sementara itu, setakat pukul 12 tengah hari Khamis 6 Ogos, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia meningkat kepada 9,038 kes apabila 15 kes baharu dilaporkan.

Dengan demikian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 meningkat kepada tiga angka, iaitu sebanyak 200 kes.

Daripada 15 kes itu, lima kes adalah kes import, melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara. Lima kes import tersebut adalah dari Filipina (4 kes di Sabah) dan Afrika Selatan (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur)

Daripada 10 kes penularan di dalam negara, lapan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia termasuk enam kes Kluster Sivagangga.

Sebanyak 11 kes Covid-19 pulih dan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 8,713 kes (96.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes memerlukan bantuan pernafasan.

Tiada kes kematian baharu Covid-19 dilaporkan dan angka kekal 125 kes (1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes)

Di samping Kluster Sivagangga yang merebak kerana melanggar perintah kuarantin, Dr Noor Hisham pada sidang media Isnin 3 Ogos turut menyenaraikan kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sejak ianya mula dilaksanakan pada 10 Jun 2020.

Kluster tersebut adalah Kluster PUI Novgorod, Kluster Elsa, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster PUI Shirala.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam sidang media pada Khamis 6 Ogos berkata dari 24 Julai hingga 5 Ogos 2020, seramai 6,473 individu pulang melalui pintu masuk sempadan antarabangsa. Mereka ditempatkan di 26 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak dan Perlis.

Daripada jumlah itu, seramai 18 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19.

Beliau turut menyatakan kerajaan memandang serius insiden ketidakpatuhan perintah kuarantin di rumah yang menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan kumulatif terhadap 80 individu kerana gagal mematuhi SOP kuarantin di rumah ketika pemeriksaan dan pemantauan dijalankan PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin 3 Ogos.

WHO dan situasi global

Jawatankuasa Darurat Covid-19 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermesyuarat pada Jumaat 31 Julai untuk mengkaji semula keadaan pandemik tersebut.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam taklimat media dari Geneva, Switzerland pada Isnin 3 Ogos menyatakan sewaktu Jawatankuasa itu berjumpa tiga bulan lalu, tiga juta kes Covid-19 dilaporkan kepada badan dunia itu dengan lebih 200,000 kematian.

Keadaan itu jauh berbeza ketika WHO mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam pada 30 Januari lepas di mana cuma ada kurang daripada 100 kes dan tiada kematian di luar China.

Jumlah kes pada hari ini sudah meningkat lebih lima kali ganda kepada sekitar 17.5 juta (sehingga Isnin 3 Ogos) dengan kematian sekitar 680,000.

Dr Tedros mengingatkan pada masa ini masih belum ada penyelesaian mudah kepada pandemik Covid-19 dan kemungkinan tidak akan ada.

“Untuk menyekat penularan penyakit ini, buat masa ini, perlu balik kepada perkara asas kesihatan awam dan kawalan penyakit. Buat ujian, asingkan dan rawat pesakit serta mengesan dan kuarantin kontak mereka. Buatlah semua itu.

“Maklumkan kepada komuniti, beri mereka tanggungjawab dan dengar apa mereka kata. Untuk individu, jaga penjarakan fisikal, pakai pelitup muka, cuci tangan sekerap muingkin dan jika batuk, batuhlah jauh daripada orang lain.

“Pesanan kepada orang ramai dan kerajaan adalah jelas: Lakukan semuanya itu. Sekiranya keadaan terkawal, teruskan! Perkukuhkan sistem kesihatan,” kata beliau.

Menurut Dr Tedros, di samping impak kesihatan, Covid-19 turut merentap kestabilan sosial, ekonomi dan politik.

WHO turut memantau beberapa negara yang kelihatan berjaya mengawal pandemik Covid-19 tetapi kini bergelut dengan peningkatan kes baharu.

“Ada juga negara yang berjaya mengawal pandemik ini. Memang bukan mudah. Kawalan ketat juga mencetuskan masalah ke atas perkhidmatan kesihatan, ekonomi dan masyarakat,” katanya.

Statistik global

Sementara itu, menurut perangkaan CoronaTracker (mengambil sumber pelbagai agensi termasuk WHO), jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, setakat ini sudah mencecah 19,257,649 kes (rangkuman minggu lalu 17,499,767 kes) dan 717,687 kematian (minggu lalu 677,185 kematian). Jumlah pesakit sembuh ialah 12,357,654 orang (minggu lalu 10,956,538 orang)

Amerika Syarikat terus mengekalkan tempat teratas dalam senarai negara yang dilanda wabak Covid-19 dengan 5,032,179 kes (minggu lalu 4,634,985 kes) dan 162,804 kematian (minggu lalu 155,285 kematian). Kes positif Covid-19 mula dikesan di negara itu pada 20 Jan.

Jumlah kes Covid-19 turut meningkat di Brazil yang kekal di tangga kedua iaitu 2,917,562 kes (minggu lalu 2,613,789 kes) dengan 98,644 kematian (minggu lalu 91,377 kematian).

Tempat ketiga, India 2,025,409 kes (minggu lalu 1,643,543 kes) dengan 41,638 kematian (minggu lalu 35,817), sementara Rusia merekod 871,894 kes (minggu lalu 839,981 kes) dengan 14,606 kematian (minggu lallu 13,963 kematian).

Di samping empat negara di atas, terdapat 21 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19, seperti berikut:

Afrika Selatan 538,184 kes (9,604 kematian), Mexico 462,690 kes (50,517 kematian), Peru 455,409 kes (20,424 kematian), Chile 366,671 kes (9,889 kematian), Colombia 357,710 kes (11,939 kematian), Sepanyol 354,530 kes (28,500 kematian), Iran 320,117 kes (17,976 kematian), United Kingdom 308,134 kes (46,413 kematian), Arab Saudi 284,226 kes (3,055 kematian), Pakistan 281,863 kes (6,035 kematian), Itali 249,204 kes (35,187 kematian), Bangladesh 249,651 kes (3,306 kematian), Turki 237,265 kes (5,798 kematian), Argentina 228,195 kes (4,251 kematian), Jerman 215,210 kes (9,252 kematian), Perancis 195,633 kes (30,312 kematian), Iraq 140,603 kes (5,161 kematian), Filipina 119,460 kes (2,150 kematian), Indonesia 118,753 kes (5,521 kematian), Kanada 118,561 kes (8,966 kematian) dan Qatar 112,092 kes (178 kematian).

Sementara China di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat ke-30 dengan 84,5565 kes (minggu lalu 84,292 kes) dan angka kematian kekal 4,634 (tidak berubah daripada minggu sebelumnya).

Dalam kalangan negara jiran Malaysia di Asia Tenggara, Indonesia sudah menyertai senarai 24 negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19, dengan 118,753 kes (minggu lalu 108,376 kes) dengan 5,521 kematian (minggu lalu 5,131 kematian).

Filipina turut menyertai senarai tersebut dengan 119,460 kes (minggu lalu 93,354 kes) dengan 2,150 kematian (minggu lalu 2,023 kematian).

Singapura pula merekodkan 54,555 kes (minggu lalu 52,205 kes). Angka kematian kekal 27.

Ini diikuti oleh Thailand dengan 3,330 kes (minggu lalu 3,304 kes) dan angka kematian kekal 58.

Sementara itu, kes Covid-19 di Vietnam meningkat kepada 747 kes (minggu lalu 509 kes) dengan angka kematian 10 berbanding sifar sebelumnya.

Myanmar turut merekod kenaikan kepada 357 kes (minggu lalu 353 kes) dengan angka kematian kekal enam.

Sementara itu, tiada perubahan kes Covid-19 di Brunei 141 kes (2 kematian) dan Laos kekal 20 kes dan sifar kematian.

Latar belakang Covid-19

  • Penularan wabak COVID-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
  • Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
  • Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
  • WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu COVID-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
  • Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
  • Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit COVID-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit COVID-19 sebagai pandemik.
  • WHO menyifatkan wabak penyakit COVID-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
  • Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
  • Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik COVID-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
  • Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
  • Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai COVID-19.
  • Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Sivagangga: Enam lagi kes baharu wabak dikesan

SHAH ALAM, 6 OGOS: Enam daripada 15 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan dalam negara hari ini, dikesan daripada kluster Sivagangga, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kesemuanya merupakan kes generasi kedua kluster itu dengan lima daripadanya merupakan satu keluarga, yang mempunyai sejarah mengunjungi salah satu kawasan yang kini di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, di negeri Kedah.

“Mereka telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah untuk rawatan. Punca jangkitan dalam keluarga tersebut, adalah masih di dalam siasatan,” katanya dalam sidang media harian mengenai perkembangan pandemik itu, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kes daripada kluster berkenaan pula mempunyai kontak rapat kepada ahli keluarganya, yang pernah mengunjungi kedai makan yang terbabit dalam kluster ini.

“Individu berkenaan mula mengalami gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos. Kes kemudiannya dikesan positif Covid-19 pada 5 Ogos 2020, dan telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Ahli keluarganya turut disaring untuk Covid-19 dan masih menunggu keputusan,” katanya menambah bahawa pihaknya akan meneruskan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini dan aktiviti pengesanan kes secara aktif.

Beliau berkata sehingga hari ini, seramai 2,351 orang telah disaring dalam kluster berkenaan, dengan 30 kes dikesan positif, 1,617 negatif, manakala 704 lagi yang mana pensampelan diambil semalam, masih menunggu keputusan.

“Ingin dimaklumkan daripada siasatan yang dijalankan ke atas kes ke-9,023 dari Kulim (kes yang dilaporkan pada 5 Ogos), seramai 15 kontak rapat pesakit telah dikenal pasti dan disaring. Punca jangkitan kes ini adalah masih di dalam siasatan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kedai makan tiada rekod pelanggan, KKM sukar kesan kontak Covid-19

SHAH ALAM, 3 OGOS: Premis makanan di Jitra, Kedah yang menjadi lokasi bermula penularan Kluster Sivagangga tidak menggunakan aplikasi MySejahtera, merekodkan kehadiran dan suhu badan pelanggan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) tersebut menyukarkan petugas kesihatan melakukan pengesanan kontak rapat bagi Covid-19.

“Sehingga jam 12 tengah hari, sebanyak 425 orang disaring dan daripada jumlah ini, 21 kes adalah positif, 362 negatif dan 42 masih
menunggu keputusan. Kita menyeru orang ramai yang berkunjung ke lokasi tersebut supaya pergi menjalankan saringan kesihatan.

“Kluster ini merupakan penularan dalam negara yang berpunca daripada kes import iaitu kegagalan pesakit bawah siasatan (PUI) patuh arahan kuarantin, kluster menular kerana kesilapan kita sendiri,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster yang wujud berpunca kegagalan individu pulang dari luar negara mematuhi tempoh kuarantin wajib di
rumah ialah Kluster Elsa, Kluster PUI Novgorod, Kluster PUI Pitakwa, Kluster PUI Melbourne, Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan
Kluster PUI Shirala.

“Kita mengingatkan masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti sebarang kontak dengan
kes positif Covid-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Sivagangga: Empat mukim dikenakan PKPD pentadbiran

SHAH ALAM, 3 OGOS: Kira-kira 7,000 penduduk di empat mukim di Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran (Temco) bermula hari ini sehingga 30 Ogos.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan pertambahan 11 kes baharu kluster Sivagangga.

“Pelaksanaan PKPD Temco akan mengguna pakai tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada dengan tambahan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk dan penutupan beberapa jalan utama sekitar,” katanya hari ini.

Menurutnya, mukim terbabit adalah radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah,Kubang Pasu); Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu) dan Kampung Ulu, Padang Sanai (Padang Terap).

Ismail menjelaskan petugas Kementerian Kesihatan akan membuat saringan Covid-19 terhadap semua penduduk di kawasan terbabit.

“Kawasan masjid dan rumah ibadat turut ditutup bagi aktiviti keagamaan termasuk solat Jumaat. Jemaah dibenarkan seramai tiga orang untuk melaksanakan solat jemaah di masjid tersebut,” katanya.