Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kohijrah bantu hampir 300 penjaja terjejas bah, sedia alatan niaga

SHAH ALAM, 25 JAN: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) membantu hampir 300 penjaja kecil yang terjejas banjir sejak bulan lepas dengan anggaran perbelanjaan mencecah RM100,000.

Pengurus besarnya berkata bantuan berupa peralatan niaga itu disalurkan hasil sumbangan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan kelangsungan usahawan.

Jelas Mohd Syukri Ismail bantuan seperti kanopi, penunu dapur masak, tungku dapur, balang air, tong nasi dan lampu bulat kepada peniaga terjejas diagih secara berfasa.

“Sebagai agensi bertindak menguruskan penyerahan bantuan, kita bangga kerana banyak pihak tampil menghulurkan sumbangan kepada peniaga yang hilang banyak harta benda termasuk peralatan niaga akibat bencana,” katanya.

Beliau ditemui selepas program penyerahan bantuan kepada 43 peniaga pasar malam sekitar Shah Alam dan Klang di Wisma Kohijrah Berjaya Park, Seksyen 32 dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Syukri berkata pihaknya menjangkakan antara 300 hingga 400 lagi penjaja kecil akan dibantu mendapatkan bantuan sama sehingga akhir tahun ini.

“Kita memiliki Kohijrah Shop yang menyediakan keperluan niaga kepada usahawan. Malah, setakat hari ini kita terima banyak permintaan daripada NGO dan agensi yang mahu membantu.

“Kerjasama daripada pihak berkaitan penting kerana kita mahu pastikan sumbangan ini disalurkan secara telus dan integriti serta sampai kepada penerima tanpa melalui orang tengah,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

20 wanita terima bantuan peti sejuk beku, jana pendapatan dari rumah

SHAH ALAM, 13 JAN: Seramai 20 peserta program Halal Suri Darul Ehsan (Halal Suri) menerima peti sejuk beku bersama produk untuk dijual mulai minggu hadapan.

Pengurus Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) Mohammad Syukri Ismail berkata pemberian itu adalah bagi fasa pertama daripada 56 peserta yang terpilih.

“Peti sejuk beku bernilai RM2,000 ditaja oleh Kerajaan Negeri manakala produk untuk dijual pula adalah modal peserta sendiri.

“Bagi peserta yang belum dapat peti sejuk beku dan produk, kita akan berikan dalam fasa seterusnya. Insya-Allah semua peserta dapat memulakan perniagaan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 9 Disember lalu, Kerajaan Negeri melancarkan inisiatif Halal Suri bagi membantu suri rumah menjana pendapatan dalam bidang makanan sejuk beku.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata seramai 56 peserta berusia antara 18 hingga 60 tahun dipilih menyertai projek rintis dengan kerjasama Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Katanya setiap peserta menerima bantuan peti sejuk beku daripada Kerajaan Negeri dalam bentuk geran padanan bernilai RM2,000, manakala untuk permulaan modal perniagaan, mereka perlu melabur RM2,000 bagi membeli barangan sejuk beku halal.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lagi 30 unit kendera saji ditawar bantu peniaga jana pendapatan

SHAH ALAM, 6 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor (KoHijrah) menawarkan tambahan 30 unit kendera saji secara pinjaman kepada usahawan kecil menjelang akhir tahun ini.

Tidak hanya terhad kepada jualan makanan, peniaga bebas mengubah jenis perniagaan pada bila-bila masa menggunakan trak model Inokom dan Daihatsu, kata pengurus besarnya.

“Jangan pandang kendera saji ini hanya boleh berniaga makanan, tetapi mereka juga boleh masuk ke bidang peruncitan dan jualan pakaian terpakai,” kata Mohd Syukri Ismail.

“Kalau tengok di kilang antara tujuh hingga lapan unit dalam proses pengeluaran. Insya-Allah, keluar bulan depan sekali gus mencapai 30 unit hujung tahun ini.”

Beliau berkata demikian pada program bual bicara “Jatuh Bangun Perniagaan Food Truck Selangor” yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor malam tadi.

Mohd Syukri berkata lebih 100 unit trak ditawar kepada peniaga kecil di Selangor setakat ini dengan Daihatsu model paling digemari wanita manakala Inokom bagi lelaki.

“Trak ini nyawa kepada perniagaan mereka. Jika tidak dikendalikan dengan baik, mungkin sukar untuk sampai ke destinasi dan memulakan perniagaan,” katanya.

Warga Selangor boleh membuat pinjaman KoHijrah untuk membeli kendera saji berharga RM26,500 atau RM50,000 dengan mengemukakan penyata bank tiga bulan dan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Usahawan yakin Seldec mampu bantu tingkat pendapatan

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) diyakini mampu meningkatkan pendapatan usahawan dan meluaskan capaian pengguna ke seluruh negeri dengan bantuan pemasaran Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah).

Usahawan makanan, Mohammad Munir Lukman Hakim, 53, berkata ia landasan yang baik untuk mengetengahkan produk dan peniaga perlu mempelajari aliran pemasaran berbeza bermula dari kedai runcit, pasar raya dan kini di laman sosial.

“Walaupun permintaan pengguna berubah mengikut keadaan semasa tetapi usahawan perlu bijak meneroka peluang baharu. Malah ia bagus apabila Kohijrah sendiri banyak membantu dari segi promosi,” katanya pengarah eksekutif Reza yang menceburi perniagaan sejak 12 tahun lalu kepada SelangorKIni.

Pandangan sama dilontarkan Pegawai Pengurus Cik Tipah, Emiliyana Kasbolah, 37, dengan menjelaskan suasana perniagaannya kian memberangsangkan terutama dari segi pendapatan namun perlu terus bekerja keras bagi memenuhi permintaan pasaran.

“Saya menyertai Seldec selepas ditawar Hijrah Selangor untuk meletak produk di Kedai Serbaneka Kohijrah awal tahun ini dan ia satu insiatif bagus kerana jualan secara dalam talian selain ada khidmat penghantaran ke rumah.

“Potensi perniagaan berkembang juga mudah dengan bantuan pemasaran secara percuma daripada Kohijrah,” katanya yang mengusahakan produk kerepek dan makanan sejuk beku sejak 15 tahun lalu.

Seldec diterajui Selangor Industrial Corporation (SIC) merupakan medium terbaharu pemasaran produk secara dalam talian diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak Ogos tahun lalu.

Dengan sasaran pembukaan 7,800 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, inisiatif ini turut menyediakan perkhidmatan melalui Seldec Rider ke seluruh negeri.

Categories
AGENSI SELANGOR

KoHijrah jual hamper barangan asas, hantar terus ke rumah

SHAH ALAM,18 APRIL: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) menawarkan jualan pakej hamper bagi memudahkan orang ramai mendapat bekalan makanan asas di seluruh negeri dan Kuala Lumpur.

Melalui kenyataan, KoHijrah berkata kandungan pakej bergantung kepada pembeli dengan harga serendah RM46.50 untuk lapan jenis barang makanan asas.

“Penghantaran akan dibuat dalam tempoh sehari dan dihantar terus ke rumah. Pakej hamper ini juga boleh dibeli untuk dihantar kepada penerima lain,” katanya.

Berdasarkan poster yang dikongsi, pakej A berharga RM66 merangkumi sembilan jenis barangan iaitu beras, minyak masak, krimer, tepung gandum, sardin, gula, mi segera, bihun dan biskut.

Pakej B pula menawarkan lapan jenis barangan iaitu minyak masak, tepung gandum, gula, sardin, krimer, bihun, mi segera dan biskut dengan harga RM46.50.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 0112 365 0795 (Syukri) atau e-mel [email protected]

KoHijrah yang ditubuhkan sejak April 2016 dan berpusat di Shah Alam bertujuan meningkatkan kedudukan sosioekonomi peserta skim mikrokredit Hijrah.

Categories
AGENSI SELANGOR

KOHIJRAH sumbang ATV bantu usahawan kelapa sawit

OLEH ALIFF HAIKAL

KOTA KEMUNING, 25 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH) menyumbangkan kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) 130CC kepada usahawan kelapa sawit.

Pengurusnya, Syukri Ismail berkata produk bernilai RM6,990 bagi kegunaan pertanian itu dibiayai sepenuhnya Yayasan HIJRAH.

“KOHIJRAH melancarkan ATV yang mempunyai tiga pakej dengan harga berpatutan iaitu ATV 125 berharga RM5,500, ATV 130 (RM6,990) dan ATV 200 (RM8,500).

“Kesemua pakej ini memiliki perlindungan kemalangan semasa mengendalikan produk, kehilangan unit dan perlindungan kerosakan enjin selama setahun,” katanya pada majlis penyerahan berkenaan di Wisma KOHIJRAH di sini, hari ini.

Hadir sama Pengurus Cawangan HIJRAH Kota Raja, Sukri Abdullah dan Pegawai HIJRAH Cawangan Kota Raja, Haimiridzuan Hamal.

Pada masa sama, Syukri turut menjemput orang ramai terutama usahawan untuk menyewa rak bagi mempromosikan produk mereka di KOHIJRAH Mart.

Katanya harga yang ditawarkan untuk sewaan secara bulanan adalah RM230 bagi produk kerepek, produk kering (RM250), dan produk sejuk beku (RM290).

“KOHIJRAH komited membantu usahawan terutama di Selangor yang menceburi bidang pertanian dan keusahawanan selain memelihara kebajikan dengan memberi pulangan serta manfaat,” katanya.