Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Naik taraf parit, kolam takungan atasi banjir kilat di bandar

SHAH ALAM, 6 OKT: Kejadian banjir kilat yang semakin kerap berlaku di bandar berpunca perubahan iklim semasa, kata timbalan menteri alam sekitar dan air.

Datuk Mansor Othman berkata keputusan itu diperoleh hasil pemantauan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Banjir kilat berlaku selepas hujan berkeamatan tinggi dan surut selepas enam jam. Sekiranya hujan melebihi reka bentuk saliran, banjir tetap berlaku walaupun tak ada halangan dalam saluran air

“Namun faktor sistem saliran serta halangan dalam saluran air dan hujan lebat turut menyumbang kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli parlimen Nibong Tebal itu berkata bagi mengatasi masalah banjir kilat di bandar, JPS melaksanakan beberapa langkah termasuk menyedarkan masyarakat supaya tidak membuang sampah ke dalam sistem perparitan.

“Kita sediakan pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu, tebatan banjir dan kajian saluran induk mesra alam di bandar utama untuk dijadikan panduan pihak berkuasa tempatan (PBT)

“JPS akan sediakan garis panduan manual mesra alam selain menjalin kerjasama dengan PBT untuk mantapkan pematuhan kebenaran merancang,” katanya.

Beliau berkata JPS turut memperbaiki sistem saliran menerusi kerja pembinaan dan menaik taraf infrastruktur seperti kolam takungan dan perparitan.

Pada 26 September beberapa kawasan sekitar bandar raya Shah Alam antaranya Batu Tiga, Seksyen 4, Seksyen 10, Seksyen 13 dan Seksyen 25 dilanda banjir kilat susulan hujan lebat yang berlarutan selama beberapa jam.

Categories
ADN SELANGOR

Pendalaman kolam takungan atasi isu banjir di Taman Sri Muda

SHAH ALAM, 27 SEPT: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu menyegerakan kerja mendalamkan kolam takungan air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini bagi mengelak banjir terus berlaku.

Wakil rakyat Kota Kemuning V Ganabatirau berkata projek tersebut tertangguh selama dua bulan sehingga menimbulkan keresahan penduduk terutama apabila hujan lebat.

“Projek ini sudah diluluskan tetapi pelaksanaannya tidak mengikut jadual. Sekiranya tidak dibuat, kita bimbang kolam tersebut tidak mampu menampung kapasiti air.

“Saya telah berbincang dengan JPS Klang dan berharap kerja pendalaman kolam takungan dapat dimulakan dalam minggu ini,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut menggesa jabatan terbabit melaksanakan projek pembangunan kincir air di lokasi sama melalui peruntukan RM10 juta yang disalurkan tahun lalu.

“Mereka (JPS) sudah memasang papan tanda pembangunan projek berkenaan yang dijadual pada Julai tahun ini tetapi masih tertangguh. Selama ini mereka tunggu kelulusan pelan pembangunan dan lantikan kontraktor.

“Alasan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sehingga mengekang pelaksanaannya tidak masuk akal kerana ini melibatkan projek berkaitan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ganabatirau berkata hampir 70 peratus kawasan perumahan sekitar Kota Kemuning dinaiki air dalam kejadian banjir kilat semalam, namun tiada keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kita juga memberikan 150 pek makanan yang dimasak kepada penduduk di Taman Sri Muda dan Batu 8, Bukit Kemuning (100 pek) melalui ahli majlis, ketua kampung dan ketua komuniti India.

“Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan individu turut bekerjasama dengan pejabat pusat khidmat masyarakat Kota Kemuning membantu ratusan penduduk yang terjejas,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Kolam takungan RM1.6 juta atasi banjir kilat Taman Murni

SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak RM1.6 juta dibelanja bagi membina kolam takungan di Jalan 5, Taman Murni, Batu 9, Cheras yang berfungsi menampung air banjir.

Wakil rakyat Balakong berkata projek melalui peruntukan Majlis Perbandaran Kajang dijangka bermula April dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Wong Siew Ki memaklumkan kolam tersebut mampu menampung 900 meter padu air hujan sekali gus menangani banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan terbabit.

“Kertas kerja sudah siap untuk dibawa ke mesyuarat kewangan bulan ini dan selepas itu tender akan dibuka. Kita berharap semua perancangan berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata sistem perparitan di kawasan berhampiran juga dinaik taraf untuk memperlahankan air hujan memasuki kawasan taman dan kolam takungan terbabit.

“Saya percaya projek ini mampu mengurangkan banjir kilat dan meleraikan keresahan penduduk lebih 20 tahun,” katanya lagi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Bina kolam takungan lembapkan tanah, elak hutan terbakar

SHAH ALAM, 11 NOV: Telaga tiub dan kolam takungan air dibina di kawasan hutan simpan negeri ini untuk melembapkan tanah supaya tidak mudah terbakar.

EXCO alam sekitar berkata pembinaan infrastruktur itu melibatkan Hutan Simpan Kuala Langat Selatan dan Utara, Hutan Simpan Raja Musa Hulu Selangor serta Hutan Simpan Sungai Karang Kuala Selangor.

“Usaha mencegah kebakaran hutan hasil sumbangan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Mineral dan Geosains.

“Agensi berkaitan juga membantu mencuci dan menaik taraf kolam takungan dari semasa ke semasa selain membina menara tinjau, rumah pam, saliran paip, parit serta terusan penghadang,” kata Hee Loy Sian.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung kebakaran hutan simpan pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu, Loy Sian berkata seluas 269 hektar hutan simpan terbakar sejak 2018 berikutan pelbagai faktor antaranya cuaca panas, pengurusan hidrologi tidak cekap dan aktiviti pembersihan tanah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kolam takungan Sungai Gong akan jadi lokasi rawat air tercemar

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kolam takungan banjir di Sungai Gong, Rawang akan dijadikan lokasi pembendungan pencemaran air, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata air tercemar akan ditahan dan dirawat di lokasi itu sebelum dialirkan semula ke laluan Sungai Sembah.

“Cadangan ini akan diluluskan segera kerana kita tidak mahu timbul lagi isu pencemaran hingga beri masalah besar.

“Kolam berkenaan seluas 15 ekar dan kita bercadang untuk tambah 10 ekar lagi bagi tujuan itu,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, kaedah merawat air tercemar sedang dikaji sepenuhnya supaya kebersihan sumber bekalan terjamin sebelum disalur kepada pengguna.

Minggu lalu, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menerima laporan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gombak berhubung kejadian air Sungai Gong berwarna hitam.

Agensi memaklumkan insiden berkenaan dikesan jam 12.11 tengah hari di kawasan Inlet Kolam Tebatan Banjir JPS.

Categories
AGENSI SELANGOR

RM9.5 juta selenggara kolam takungan di Selangor

KLANG, 19 NOV: Sejumlah RM9.5 juta dibelanjakan tahun ini bagi penyelenggaraan kolam takungan di Selangor.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) II Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS), Ir Saari Abdullah berkata pihaknya melaksanakan pelbagai skop kerja berdasarkan keutamaan mengikut keperluan dan kerosakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata antaranya membuang kelodak dan enapan, membaiki tebing kolam, membaiki struktur inlet dan outlet, menyelenggara parit, membaiki struktur perangkap sampah, pembersihan sampah di dalam kolam, menyelenggara serta membaiki struktur landskap.

“Program penyelenggaraan itu semakin giat dilaksanakan setiap tahun ke atas kolam takungan yang dirasa kritikal dan memerlukan tindakan pembaikan walaupun ia bukan kolam banjir milik JPS.

“Ia dilaksanakan sejak 2016 secara berkala dan selain peruntukan Kerajaan Persekutuan, JPS turut menggunakan peruntukan mengurus yang diterima daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Penyelenggaraan Kolam Takungan Banjir Selangor di Kolam Takungan Bandar Puteri di sini.

Hadir sama EXCO Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian Dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim dan Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah.

Ir Saari berkata setakat ini JPS berjaya mengambil alih penyelenggaraan 110 kolam takungan berbanding 553 keseluruhannya.

“JPS sentiasa berusaha memastikan fungsi kolam takungan ini terpelihara dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan berkala di kawasan terbabit,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata JPS sedang membuat permohonan bagi pewartaan kolam takungan itu, namun memerlukan masa lama khusunya bagi mewartakan kolam yang lama terbina dan tidak mempunyai maklumat ukur lengkap.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sungai Selangor Sumber Alternatif Ganti Langat 2

Khalid Ibrahim

MORIB 27 APRIL : Sebahagian Sungai Selangor di Bestari Jaya bakal dimajukan dengan kaedah takungan bagi menghasilkan satu sumber air mentah untuk Lembah Klang, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Projek tersebut mampu menyalurkan 2,000 juta liter sehari (JLH) iaitu penambahan 20 peratus dari jumlah air yang diperlukan sehari di Lembah Klang.

Projek itu merupakan alternatif kepada projek mega Langat 2  yang akan menyalurkan air dari Pahang ke Selangor dan yang bakal menelan belanja RM4 bilion.

“Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berusaha untuk mencari punca-punca air baru untuk ditakung supaya dapat dibekalkan kepada penduduk,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Hari Air Sedunia peringkat Selangor, di sini.

Hadir sama, Pengarah Luas, Md Khairi Selamat.

LUAS sedang mengkaji kaedah untuk mengepung air hujan di sungai itu dan salah satu cara yang sedang dipertimbangkan adalah dengan membina kolam takungan.

“Kajian itu mendapati, air hujan akan masuk ke sungai seterusnya ke laut. Kita terus ke laut sebab jika terlalu banyak ia akan berlaku banjir.

“Kita juga akan kenal pasti punca-punca sumber air yang lain. Kajian kita menunjukkan ini cara yang terbaik.

“Bagi operasi loji rawatan dan takungan air akan disatukan bagi memudahkan perlaksanaan dan menjimat kos,” kata Abdul Khalid.

Beliau menambah pihaknya sedang menilai kos bagi projek tersebut.

Beliau berkata projek tersebut akan diumumkan dalam dua atau tiga bulan akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan sehingga minggu lepas, paras air di empangan Selangor berada di tahap 85 peratus.