Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Dr Mohd Farid Ravi dilantik rektor baharu, mahu Kuis jadi universiti penuh

SHAH ALAM, 7 JAN: Membantu Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mendapat pengiktirafan sebagai universiti penuh, antara visi Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah yang dilantik sebagai rektor kolej tersebut berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Mohd Farid berkata pihaknya menyasarkan untuk menerima status berkenaan pada tahun ini yang bakal memanfaatkan institut pengajian tinggi Islam milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu terutama dalam menarik lebih ramai pelajar antarabangsa.

Jelasnya, status itu juga akan membolehkan aktiviti akademik meliputi pengajian, penyelidikan, penulisan, penerbitan jurnal dan artikel berimpak tinggi dapat dilaksanakan termasuk dengan kerjasama penyelidik dari luar negara.

“Kakitangan akademik Kuis juga berpeluang untuk meningkatkan diri dan naik pangkat kepada Prof Madya.

“Pengiktirafan Kuis sebagai universiti penuh ini akan mengangkat martabat bidang pengajian tinggi Islam di Selangor dan dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Penerima Anugerah Khas Imam Al-Ghazali peringkat Selangor 2015 itu memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Kuis pada 2000 dan memegang pelbagai jawatan antaranya eksekutif pusat Islam, pengarah pusat pengurusan penyelidikan, timbalan rektor hal ehwal pelajar dan alumni dan pemangku rektor.

Mohd Farid turut menyatakan penghargaan terhadap perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan sokongan Mais terhadap pelantikannya sebagai rektor Kuis menggantikan Prof Dato’ Ab Halim Tamuri.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis tunggu keputusan bantuan, potong yuran pengajian

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) sedang menunggu keputusan permohonan bantuan bagi mengurangkan kadar yuran pengajian mahasiswa semester ini, kata rektornya.

Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata buat masa ini, yuran pengajian dan asrama yang perlu ditanggung penuntut kekal seperti semester sebelumnya.

“Kita ada mohon bantuan untuk tujuan itu daripada Kerajaan Negeri tetapi masih menunggu keputusan. Jika dana suntikan diterima, kita akan cuba (kurangkan yuran pengajian),” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berharap usaha bakal dilaksanakan mampu mengurangkan beban ibu bapa khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) yang terjejas atau kehilangan pekerjaan ekoran Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua 1 Majlis Perwakilan Pelajar Kuis Muhamad Iqbal Hakim Nadhri, 20, berkata pihaknya mencadangkan pengurangan lima peratus yuran pengajian kepada pihak pengurusan kolej.

“Pelajar amat menantikan pengumumannya namun Kuis sendiri tersekat dengan kekurangan dana dan perlu menanggung kos pengurusan kolej. Yuran kami di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) agak tinggi dan perlukan perhatian semua pihak, ditambah pula dengan Covid-19 yang sedikit sebanyak menjejaskan kewangan keluarga pelajar,” katanya.

Terdahulu, Kuis menetapkan yuran pendaftaran pelajar baharu sebanyak RM650 iaitu pengurangan RM350 daripada jumlah asal bagi sesi Julai 2020/2021.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih 1,000 daftar pelajar baharu Kuis dalam dua hari

SHAH ALAM, 5 JULAI: Lebih 1,000 orang mendaftar sebagai pelajar baharu di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dua hari berturut sejak 3 Julai lalu, kata rektornya.

Prof Dato Dr Ab Halim Tamuri berkata pendaftaran menerusi dalam talian juga mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita mengalu-alukan lebih ramai pelajar baharu mendaftar dan menjadi sebahagian daripada warga Kuis. Menariknya, potongan yuran pendaftaran RM350 masih dibuka,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai sesi pendaftaran dilaksanakan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Dr Ab Halim berkata semua berjalan lancar dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan menerusi pautan http://eadmission.kuis.edu.my/ atau Google Form https://forms.gle/Brzu8csixHUsMs3v5 untuk pra-pendaftaran sehingga 24 Julai ini.

Untuk sebarang pertanyaan, pemohon boleh menghubungi pegawai pemasaran Kuis melalui WhatsApp di talian 019-226 0746 atau 019-3896937.

Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

92 pelajar asnaf cemerlang KUIS dirai

SHAH ALAM, 9 FEB: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) meraikan 92 pelajar asnaf cemerlang dalam Anugerah Inspirasi Kecemerlangan Mahasiswa pada Khamis lalu, kata timbalan rektor pengurusannya.

Dr Zulkifli Abd Hamid berkata ia bertujuan meraikan mereka yang mencapai purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas dengan 30 peratus peningkatan berbanding semester lalu .

“Kejayaan pelajar asnaf ini diraikan bersama pembayar zakat bagi membuktikan agihan zakat KUIS dibuat adalah telus dan jelas.

“Mereka mampu cemerlang jika kita menyantuni dengan baik malah pahala ganjaran yang tinggi di sisi Allah,” katanya dalam kenyataan.

Majlis memasuki siri kelima anjuran Bahagian Zakat, Wakaf dan Infaq KUIS dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor dan Kelab Asnaf Zakat D’KUIS di Hotel Bangi Resort turut dihadiri wakil Syarikat Kembara Cekal, Zam O Lima, Poliklinik Mahkota serta penyumbang individu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kem ICT pupuk minat pelajari sains & teknologi

BANGI, 13 JAN: Program Kem ICT Selangor anjuran Kerajaan Negeri di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan teknologi, kata rektornya.

Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata program dijalankan sejak 2016 wajar dipuji berikutan peningkatan penyertaan saban tahun dan kali ini 300 pelajar sekolah rendah serta menengah menyertainya yang dijalankan setiap Sabtu juga Ahad itu.

“Bukan mudah menarik pelajar meminati sains dan teknologi tetapi wujudnya program ini memberi semangat kepada mereka menceburkan diri dalam bidang terbabit pada masa akan datang.

“Kita harap kerjasama bersama Kerajaan Negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya ketika kepada SelangorKini selepas Program Perasmian Kem ICT Selangor 2019 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Fasilitatornya Amirul Husni Samsu Hazlam berkata memilih pelajar sekolah sebagai peserta dalam program berkenaan adalah satu landasan terbaik.

“Pelajar perlu didedahkan sejak dari bangku sekolah berkaitan kreativiti dan inovasi supaya apabila tamat pengajian mereka dapat membuat pilihan tepat untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Manakala, Penolong Ketua Fasilitator Ihsan Kamil Kamarudzaman berkata melalui kursus dipelajari pelajar boleh menjana pendapatan mereka.

“Jika kita lihat mereka yang membuat aplikasi dapat menjana pendapatan lumayan berbanding pekerjaan lain, justeru saya amat menggalakkan akan ada lebih ramai pelajar menceburi bidang ini,” kata pelajar Ijazah Sarjana Teknologi Rangkaian KUIS itu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Sumbangan graduan, alumni KUIS realisasi impian universiti wakaf

BANGI, 7 SEPT: Graduan dan alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) disaran terus menjadi penyumbang tetap kepada dana wakaf, dana zakat dan infaq.

Rektornya, Prof Dr Ab Halim Tamuri berkata, usaha itu diwujudkan supaya dapat melunaskan hasrat KUIS mencapai impian sebagai sebuah universiti wakaf di Selangor.

“Graduan dan Alumni KUIS adalah duta penting dalam masyarakat, yang boleh membantu membangunkan KUIS di masa hadapan.

“Melalui sumbangan ini akan dapat membantu pelajar-pelajar KUIS yang memerlukan bantuan.

“Harapan saya, usaha ini akan mempercepatkan lagi hasrat KUIS untuk mencapai impian sebagai sebuah Universiti Wakaf yang terulung di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 22, di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Dr Ab Halim berkata, sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pihak swasta memberikan biasiswa kepada pelajar terpilih menunjukkan keprihatinan pihak swasta dalam melihat kejayaan anak bangsa.

“KUIS merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menaja pelajar dari aspek sumber kewangan.

“Terima kasih kepada Bank Rakyat, Etiqa Takaful, Etiqa General, Bank Islam dan lain-lain atas sumbangan yang diberikan kepada pelajar-pelajar,” katanya.

Kemeriahan suasana ketika Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 2,338 graduan dianugerahkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing.

Majlis penuh gemilang itu diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad nanti.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Jaringan hubungan dalam dan luar negara kukuhkan KUIS

BANGI, 7 SEPT: Jaringan perhubungan pelbagai agensi dalam dan luar negara mampu memperkukuhkan kedudukan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam disegani serta terkemuka dunia.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, KUIS kini terus berkembang dan bersaing dengan universiti tempatan serta antarabangsa dalam seminar, penyelidikan juga penerbitan.

Katanya, peningkatan mutu akademik dalam pelbagai bidang serta penyelidikan itu mampu memberikan ‘contribution of knowledge’ kepada pembangunan semasa KUIS dan masyarakat yang dahagakan ilmu Islam.

“Dalam tempoh hampir 25 tahun penubuhannya, KUIS berjaya membuktikan kepada awam kemampun bersaing dengan institusi pengajian tinggi lain serta sentiasa bergerak seiring dengan arus pembangunan negeri yang pesat membangun.

“Kejayaan sebegini memperkukuhkan keyakinan umat Islam di Selangor bahawa KUIS berupaya memenuhi keperluan pelajarnya bagi mempersiapkan diri mereka untuk berada di pasaran pekerjaan dan juga mampu mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyampaikan skrol kepada graduan dalam Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. – Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian di Majlis Konvokesyen KUIS kali ke 22, di Pusat Konvensyen KUIS, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha KUIS dalam memartabatkan Islam sebagai sebuah institusi ilmu yang menyumbang kepada perkembangan tamadun Islam masa kini.

“Bermula dengan hanya 45 pelajar, kini KUIS mempunyai seramai 9,000 pelajar dalam pelbagai bidang bermula dari peringkat Asasi sehingga ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

“Saya doakan semoga KUIS terus cemerlang dan mencapai taraf Universiti Penuh dan menjadi Universiti Wakaf pertama di Selangor sebagai pelopor ketamadunan Islam dan menjadi sumber rujukan utama di dunia.

“Teruskan usaha KUIS dalam melahirkan para da’i, ulama dan umara yang bakal memimpin umat manusia berteraskan al-Quran dan as-Sunnah demi kedaulatan Islam dan kemaslahatan ummah sejagat,” katanya.

Kemeriahan suasana di Pusat Konvensyen ketika Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) kali ke-22 di Bangi, pada 7 September 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pada Majlis Konvokesyen kali ini, seramai 2,338 graduan dianugerahkan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah masing-masing.

Majlis penuh gemilang itu diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga Ahad nanti.

Categories
AGENSI SELANGOR

KUIS tempa kejayaan di semua peringkat

BANGI, 6 SEPT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) menempa banyak kejayaan dalam dan luar negeri sekali gus mengharumkan nama negara.

Rektor KUIS, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, antara kejayaan antarabangsa diraih adalah dalam bidang akademi dan penyelidikan pada Seminar Pameran Inovasi, Teknologi dan Penyelidikan (ITREX 2019), Pusat Sains dan Budaya Rusia (RCSC) menerusi aplikasi bergerak Kit Asas Bahasa Rusia.

Jelasnya, aplikasi itu dihasilkan oleh pelajar Fakulti Sains & Teknologi Maklumat KUIS dan diletakkan di laman web rasmi RCSC dan Kerajaan Rusia.

“Selain itu, dalam pertandingan KPMG Cyber Security Challenge 2019, pelajar KUIS telah mendapat tempat ketiga daripada 20 finalis dan akan berentap pada peringkat akhir pada 25 September ini.

“KUIS menyahut cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 dengan mempraktikkan ilmu yang dipelajari selain menghasilkan aplikasi-aplikasi yang dapat membantu bidang industri dan syarikat-syarikat besar terkemuka di Malaysia dan juga di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen KUIS Kali Ke-22 di Pusat Konvosyen KUIS di sini, hari ini.

Ab Halim berkata, pelajar KUIS juga menjuarai pertandingan bola sepak Sunsuria Cup 2019 anjuran Xiamen University Malaysia yang disertai 16 universiti sekali gus membuktikan bahawa program ditawarkan KUIS menitikberatkan pencapaian dari segi rohani dan jasmani.

Katanya, kajian dan penyelidikan yang dijalankan pensyarah KUIS melalui geran Kerajaan Negeri seperti aplikasi e-Gadis pula banyak membantu menaikkan nama KUIS di persada nusa dan bangsa dalam membantu menangani isu sosial serta alam sejagat demi kesejahteraan umat.

KUIS juga memeterai perjanjian persefahaman dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antarabangsa seperti EKUITAS Bandung, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Universiti Islam Sultan Syarif Ali Brunei.

Katanya, langkah ini membuka era baru kepada KUIS dalam dunia akademi di mana program mobiliti seperti pertukaran pelajar dan pensyarah, penerbitan, persidangan, penyelidikan, perkongsian kepakaran serta perundingan telah dilaksanakan dengan jayanya.

Ab Halim berkata, jaringan kerjasama ini dipergiatkan lagi dengan IPT luar negara yang lain seperti Vietnam, Singapura, Turki dan Jepun khususnya dalam bidang industri halal dan teknologi terkini.

Categories
AGENSI SELANGOR

KUIS anjur Super Asnaf bantu pelajar

HULU LANGAT, 13 OGOS: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melaksanakan program Super Asnaf bertujuan memberi motivasi kepada pelajar asnaf untuk lebih cemerlang.

Timbalan Rektor Pengurusan Korporatnya, Dr Zulkifli Abd Hamid berkata, program Bahagian Zakat, Wakaf dan Infaq KUIS dengan kerjasama konsultan Tip Top Synergy itu juga bertujuan memberi pendedahan kepada peserta yang memperolehi keputusan dibawah 2.5 purata nilai gred kumulatif (CGPA) untuk mengenali potensi diri.

“Jika sentiasa leka dan mudah terjebak dengan dunia semasa maka kita akan merosakkan masa depan kita sebagai anak-anak asnaf yang gagal memanfaatkan ilmu yang dipelajari.

“Semua peserta juga perlu berhati-hati dalam memilih sahabat atau teman dan menggunakan strategi belajar yang efektif bagi merubah pencapaian akademik pada semester akan datang,” katanya di majlis perasmian program itu, baru-baru ini.

Pada masa sama, Dr Zulkifli berkata, program pertama kali yang diadakan selama tiga hari itu juga berjaya mencapai objektif apabila 83.3 peratus dari hasil soal selidik mencadangkan supaya ia terus dilaksanakan pada masa akan datang.

Antara pengisian program itu adalah Zoom Out Kuasa Fokus, Zoom In Potensi Diri, Zoom Heart dan Zoom Action dan juga aktiviti-aktiviti luar dewan seperti Explorace, Sukan Air dan Latihan Dalam Kumpulan.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Institusi perbankan disaran tumpu aspek pembangunan masyarakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 12 JUL: Sektor perbankan dan kewangan di Malaysia disaran menekankan aspek pembangunan masyarakat (Ijtima’iyah) selari dengan pematuhan prinsip muamalah dalam institusi berkenaan.

Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata, institusi perbankan juga harus memastikan setiap perkhidmatan disalurkan memberi manfaat kepada masyarakat dengan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

“Dunia perbankan Islam kini hanya memfokuskan kepada dua perkara iaitu kerajaan dan perniagaan (keuntungan), tetapi kurang beri tumpuan soal kemasyarakatan.

“Pihak perbankan kena mencari jalan memberi perkhidmatan dan menjalankan tugas dalam pembangunan masyarakat kerana konsep muamalah bukan sekadar mendapat untung semata-mata,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pengurusan Muamalah Siri Keenam anjuran Fakulti Pengurusan dan Muamalah KUIS, di Hotel Resort Bangi, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ab Halim berkata, mana-mana institusi perbankan perlu mempergiat pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam skala lebih besar demi membangunkan komuniti.

“Program CSR bukan sahaja boleh menjadi instrumen dalam perniagaan oleh pihak perbankan itu sendiri, tetapi juga instrumen kepada soal komuniti.

“Misalnya, Bank Islam menubuhkan sebuah pusat pengumpulan sedekah, wakaf dan hibah dikenali sebagai Baitul Sadaqah yang juga instrumen baharu dibuat untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Baitul Sadaqah adalah hasil produk sebuah badan pemikir KUIS. Ia berfungsi menjalankan kajian dan mengumpulkan dana untuk diagihkan kepada golongan miskin serta memerlukan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Mahkamah Rayuan benar Notis Usul MAIS, KUIS

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 APR: Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan Notis Usul Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) untuk penggantungan penghakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata, keputuan pelaksanaan itu dibuat mahkamah terbabit berkuat kuasa semalam.

Katanya, melalui notis penggantungan pelaksanaan penghakiman bertarikh 12 November tahun lalu, memerintahkan MAIS dan KUIS membayar RM326 juta kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) berhubung kemudahan pembiayaan pembinaan bangunan kediaman asrama dan pusat pelajar KUIS dibuat Redha Resources Sdn Bhd serta penjamin pembiayaan.

“Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan iaitu bersetuju dengan hujah peguam panel MAIS dan KUIS bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penggantungan pelaksanaan penghakiman.

“Mahkamah Rayuan juga mendengar hujahan MAIS dan KUIS bahawa mereka tidak pernah menjamin keberhutangan Redha Resources Sdn Bhd dengan BMMB,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, Khusrin berkata, dalam membenarkan notis usul MAIS dan KUIS, mahkamah turut mengambil kira kepentingan orang awam yang akan terkesan serta risiko akan berlaku terhadap opersi kutipan juga agihan zakat termasuk lain-lain pelaksanaan amanah oleh MAIS dan KUIS.

“MAIS mengucapkan terma kasih kepada semua peguam panel MAIS dan KUIS yang bertungkus lumus menyediakan hujahan yang diterima Mahkamah Rayuan,” katanya.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

KUIS bantu tingkat kemahiran Inggeris kanak-kanak Thailand

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 JAN: Seramai 45 pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) berjaya melaksanakan program membantu pelajar Thailand menguasai Bahasa Inggeris.

Program yang dinamakan ‘Teaching English Language’ itu diadakan selama empat hari sehingga 4 Januari lalu di Sekolah Anuban Wanthong, Koh Lanta, Krabi.

Pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Faiz Abdul Rahim berkata, objektif program itu dilaksana untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam aspek bertutur, menulis dan membaca dalam Bahasa Inggeris.

“Ia juga untuk menjalinkan hubungan persaudaraan dua hala antara mahasiswa KUIS dan pelajar Sekolah Anuban Wangthong serta penduduk Kampung Koh Lanta.

“Selain itu, menerusi program ini kita dapat meningkatkan semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar Sekolah Anuban Wangthong, penduduk kampung dan mahasiswa KUIS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain itu, beliau berkata, program itu selaras dengan matlamat bagi memperkenalkan KUIS sehingga dikenali di persada antarabangsa.

Difahamkan, seramai 45 pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Dakwah Dengan Pengurusan Sumber Insan KUIS dan tiga pensyarah terlibat dalam program itu.

Manakala, aktiviti pembelajaran disertai 30 pelajar tahun tiga hingga enam Sekolah Anuban Wangthong.

Antara pengisian program, pelajar diajar mengenali abjad dan cara berkomunisi dalam Bahasa Inggeris di depan khalayak ramai.

Selain itu, pelajar KUIS turut melaksanakan tanggungjawab sosial korporat dengan mengecat dinding sekolah terbabit.