Categories
SELANGOR

Adun Permatang Akui Dapat Projek Bina KUIS

SHAH ALAM 11 JULAI : Adun Sulaiman Abdul Razak (Permatang -BN) hari ini mengaku mempunyai 90 peratus saham syarikat konsesi bagi pembinaan asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebanyak RM 135 juta.

Dalam Sidang Dewan Negeri (DNS) itu, Sulaiman juga dilihat mempertahankan kontrak yang dianugerahkan kepada beliau untuk pembinaan asrama itu semasa zaman pemerintahan Umno-BN.

Sulaiman sebelum itu berkata kos pembinaan KUIS sebanyak RM135 juta bukannya RM96 juta seperti yang didedahkan oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

“Saya tidak menafikan saya sebagai pemegang saham tetapi saya mendapat kontrak itu kerana kemampuan saya.

“Saya juga menerima kontrak itu sewaktu saya bukan sebagai wakil rakyat dan perjanjian itu diteliti oleh Unit Perancangan Negeri (UPEN) dan pegawai Undang-Undang negeri,” katanya yang mencelah ucapan penggulungan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata Sulaiman dilihat cuba menjelaskan bahawa proses penganugerahan kontrak itu dibuat secara terbuka dan telus.

Bagaimanapun, katanya, persoalan yang menjadi perbahasan hari ini ialah perjanjian yang dimeterai itu adalah perjanjian berat sebelah dan tidak memberi manfaat.

“Inilah yang rakyat ingin tahu,  terma perjanjian yang dibuat antara KUIS dengan syarikat milik Adun Permatang ini adalah satu perjanjian yang berat sebelah dan tidak memberi manfaat.

“Contohnya, di dalam perjanjian itu, sekiranya bilik-bilik itu tidak dihuni pelajar, KUIS masih perlu bayar ke syarikat ini, kenapa perkara ini dimasukkan dalam perjanjian, begitu juga dengan yuran penyelenggaraan perlu ditanggung oleh KUIS. Ini tidak adil,” katanya ketika mengulas isu terbabit.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga perlu mendedahkan proses penganugerahan kontrak ini yang sebenarnya dibuat secara tender terhad.

“Kontrak Build Operate Transfer (BOT) ini sebenarnya tidak memberi faedah atau kebaikan kepada KUIS tetapi lebih kepada syarikat itu,” katanya.

Sebelum ini, kontrak itu diberikan kepada syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar KUIS dengan nilai RM125.8 juta.

RRSB disokong sepenuhnya oleh kerajaan Selangor di bawah Umno dan Datuk Seri Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS itu.

Walaubagaimanapun, RRSB hanya menjadi orang tengah dengan memberi kontrak ini kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan nilai RM96.1 juta sahaja.

RRSB itu dikuasai oleh Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memiliki 51% pegangan saham manakala isterinya memiliki 6% dan selebihnya dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd.

Selain itu, Khir Toyo juga menetapkan RRSB diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh ini, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah ?atas angin? dan mendapat keuntungan sebanyak 524%.

Categories
SELANGOR

SELCAT Mahu Siasat Konsensi Berat Sebelah di KUIS

SHAH ALAM 09 JULAI : Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) akan mempertimbangkan untuk mengadakan sesi pendengaran awam tetang penyelewengan di dalam dalam pembinaan asrama Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Azmin Ali (Bukit Antarabangsa-PKR) berkata ia perlu diambil perhatian supaya memberikan maklum balas agar tidak diputar belitkan oleh mana-mana pihak lain.

“Ahli Jawatankuasa akan mempertimbangkannya dan tindakan perlu diambil kepada mereka yang bertanggungjawab dalam isu penyelewengan itu,” katanya semasa membahas rang undang undang pertambahan belanjawan 2012 di dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendedahkan, bekas Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo memberi kontrak kepada syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar KUIS dengan nilai RM125.8 juta.

Walaubagaimanapun, RRSB hanya menjadi orang tengah dan memberi kontrak itu kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan nilai RM96.1 juta.

Rafizi mendakwa RRSB dikuasai oleh Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memiliki 51% pegangan saham manakala isterinya memiliki 6% dan selebihnya dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd.

Selain itu, Mohamed Khir juga menetapkan RRSB diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh ini, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah ?atas angin? dan mendapat keuntungan sebanyak 524%.

Sehubungan itu, konsesi sewa asrama ini membebankan pengurusan KUIS dan anggaran sewa yang sepatutnya hanya separuh dari jumlah asal iaitu RM6 juta setahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Yuran KUIS Tinggi Kerana Penyelewengan UMNO-BN Dahulu

SHAH ALAM, 2 MEI : Yuran pengajian di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) tinggi adalah disebabkan penyelewengan dilakukan oleh kerajaan Umno-BN dahulu dibawah pimpinan Dr Mohamed Khir Toyo.

Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan, Khir Toyo memberi kontrak kepada syarikat Redha Resources Sdn Bhd (RRSB) untuk membina asrama dan pusat pelajar bagi keperluan 6,000 pelajar KUIS dengan nilai RM125.8 juta.

“RRSB disokong sepenuhnya oleh kerajaan Selangor di bawah Umno dan Datuk Seri Khir Toyo menjadi saksi pemeteraian perjanjian pinjaman pada 3 Ogos 2007 untuk membiayai pembinaan asrama pelajar KUIS ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini

Walaubagaimanapun, RRSB hanya menjadi orang tengah dengan memberi kontrak ini kepada Bina Puri Holdings Bhd dengan nilai RM96.1 juta sahaja.

Katanya, RRSB ini dikuasai oleh Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak yang memiliki 51% pegangan saham manakala isterinya memiliki 6% dan selebihnya dimiliki oleh Bina Puri Holdings Bhd.

Selain itu, Khir Toyo juga menetapkan RRSB diberi konsesi untuk membina dan menyewakan kembali kemudahan itu selama 33 tahun kepada KUIS dengan kadar sewa RM15.4 juta setahun.

Malah, sepanjang tempoh ini, RRSB akan mendapat durian runtuh sebanyak RM508 juta walaupun kesemua urusan hanyalah ‘atas angin’ dan mendapat keuntungan sebanyak 524%.

Sehubungan itu, konsesi sewa asrama ini membebankan pengurusan KUIS dan anggaran sewa yang sepatutnya hanya separuh dari jumlah asal iaitu RM6 juta setahun.

“Oleh kerana terikat dengan konsesi sewa asrama yang berat sebelah dan dimeterai semata-mata untuk menguntungkan pimpinan Umno, maka sehingga kini KUIS tidak dapat menurunkan yuran apatah lagi menanggung yuran secara percuma,” katanya lagi.

Sebelum ini, Umno-BN mendesak kerajaan Selangor supaya memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyatnya.

Pada prinsipnya juga, kerajaan negeri tidak wajar menanggung yuran selagi penyelewengan dan rasuah ini tidak ditamatkan serta merta kerana hanya akan mengkayakan pemimpin Umno-BN.

Rafizi turut mencabar pimpinan Umno-BN mengarahkan Sulaiman Abdul Razak menarik diri dari konsesi itu secara sukarela agar kadar sewa asrama lebih adil dan tidak menindas pelajar KUIS.