Categories
NASIONAL

‘Janji Ditepati’.. Akhirnya Memakan Diri

KOMENTAR : Kelunturan semangat mengibarkan Jalur Gemilang semakin ketara terutama tahun ini berbanding tahun sebelumnya yang mungkin disedari ramai pihak namun menganggap ianya ‘perkara biasa’.

Walaupun mengibarkan Jalur Gemilang bukan pra-syarat utama mengekspresikan semangat kemerdekaan, namun ianya kekal sebagai satu elemen penting meraikan ulang tahun bersejarah bagi negara.

Fenomena ini sepatutnya difikirkan semua pihak terutama parti pemerintah yang saban tahun memikirkan konsep baru sambutan kemerdekaan agar terus tersemat di sanubari rakyat Malaysia.

Gambaran ini melambangkan rakyat sudah muak dengan apa yang berlaku dalam iklim politik negara terutama pendedahan pelbagai skandal yang melibatkan pimpinan negara dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 dihujani kontroversi bermula dengan pengenalan tema ‘Janji Ditepati’ yang dilhamkan kerajaan sebagai lambang ‘kejayaan’ mereka mentadbir negara selama ini.

Tema bermotifkan ‘kelangsungan politik’ ini nyata mendapat kritikan banyak pihak yang jelas tidak melambangkan semangat patriotik seperti tahun sebelumnya.

Ruang kritikan turut diserikan dengan ungkapan sinis ‘Janji Dicapati’ sebagai tanda protes rakyat dengan tema yang disifatkan sebagai ‘syok sendiri’.

Kesinambungan kontroversi diteruskan dengan pengenalan lagu tema ‘Janji Ditepati’ dengan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ?Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi? menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap rangkap berkenaan sebagai ?menuntut? rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.

Pakatan Rakyat (PR) turut menempelak tema berkenaan dengan berpendirian tema kemerdekaan perlu tampil tanpa berbaur politik kepartian.Justeru ianya tidak langsung melambangkan inspirasi sebenar rakyat pelbagai kaum di negara ini

Jawatankuasa Tema Hari Kemerdekaan yang dibentuk PR tampil dengan tema lebih dinamik dan segar, Sebangsa, Senegara Sejiwa yang lebih mencerminkan Malaysia yang merdeka.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran lebih 10,000 rakyat pada malam ambang merdeka ‘Janji Demokrasi’ mengukuhkan lagi kepedulian rakyat yang sebenarnya bosan dengan Umno-BN.

Apakah transformasi politik yang cuba dibawa Najib Razak menemui jalan buntu sehingga isu kecil sebegini gagal diselesaikan?

Nyata retorik politik ini sebenarnya gagal menambat hati rakyat meskipun pemberian beberapa insentif terutama durian runtuh bagi peneroka Felda dan pemandu teksi.

Situasi ini sebenarnya menggambarkan hanya pihak tertentu yang ‘terbela’ walhal masih ramai yang menderita dengan kenaikan harga barang, kegagalan anak muda memiliki rumah pertama dengan kos yang tinggi dan beban hutang pembiayaan pendidikan.

Bukan ingin menimbulkan unsur hasad dengki mahupun cemburu terhadap golongan Felda mahupun bekas tentera yang banyak berbakti kepada negara tetapi harus diingat, banyak golongon marhaen yang belum menikmati hasil negara secara saksama dan adil.

Harus diingat, pemberian ini sebagai modal kepada rakyat supaya terus memilih mereka bila ‘tiba masa balas budi’.

Tidak hairanlah apabila kempen mengibar jalur gemilang yang diberi kempen meluas tidak mendapat sambutan rakyat. Ini disebabkan persepsi rakyat merasakan mengibar jalur gemilang seolah-olah bersengkol dengan kerajaan mengibarkan bendera Umno-BN untuk berkempen.

Kepimpinan BN sebenarnya telah memperoleh ‘klu’ berhubung sokongan rakyat terhadap kepimpinan Najib apabila menyaksikan satu dari 300 kenderaan dijalan raya yang mengibarkan jalur gemilang.

Hakikatnya rakyat sebenarnya menunggu ‘masa balas budi’ untuk membawa perubahan kepada Malaysia untuk mencapai erti kemerdekaan sebenar dengan lebih mendalam.

Categories
NASIONAL

Video Lagu Tema Hari Merdeka Undang Kritikan Diruang Siber

ULASAN : Ruang laman sosial Facebook dan Twitter dihangatkan dengan isu video lagu tema sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-55 yang dilihat sebagai modal politik Umno-BN untuk memancing undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

Jika sebelum ini lagu ‘Bahtera Merdeka’ berkumandang setiap kali sambutan kemerdekaan, tahun ini menyaksikan lagu bertajuk ‘Janji Ditepati’, lirik ciptaan sepenuhnya oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Seri Rais Yatim dipilih menjadi lagu tema sambutan kemerdekaan negara.

Paling mencuri tumpuan, rangkap ‘Janji Sudah Ditepati, Kini Masa Balas Budi’ menyaksikan kritikan hebat pelayar internet yang mengaggap rangkap berkenaan sebagai ‘menuntut’ rakyat mengenang kembali jasa pemerintahan Umno-BN.

Video berkenaan yang telah dimuatnaik ke laman Youtube pada 23 Julai 2012 dengan menggunakan nama akaun NazS10.

Berdasarkan pemerhatian TV Selangor sehingga jam 6.30 pagi tadi video berkenaan ditonton oleh 11,374 orang dan berjaya mengumpul 3,292 ‘Dislike’ sementara 50 ‘Like’.

Ruangan komen video berkenaan turut mendapat kritikan lebih hebat dari pelayar internet yang rata-rata tidak bersetuju dengan tema berkenaan.

Dijangkakan lebih ramai pelayar internet akan memberikan kritikan hebat sekaligus pola ‘Dislike’ akan mengungguli rating video berkenaan.

Video tersebut boleh ditonton pada pautan http://www.youtube.com/watch?v=MzWHRz-owZ8

Selain video, logo tema kemerdekaan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi sindiran pelayar internet yang mengubah slogan berkenaan kepada ‘Janji Dicapati’ sebagai tanda protes.

Sebelum ini, pelbagai pihak mempertikaikan pemilihan tema Hari Kemerdekaan tahun ini yang dilihat cuba dipolitikkan oleh BN yang semakin kehilangan kepercayan rakyat ekoran pelbagai pendedahan penyelewengan termasuk beberapa projek yang memperlihatkan campurtangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Pakatan Rakyat turut menggesa tema berkenaan ditukar dan memberikan tempoh selama seminggu untuk kerajaan berbuat demikian. Jika kerajaan masih berkeras untuk menggunakan tema berkenaan, negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat mungkin menggunakan tema lain yang lebih sesuai dengan unsur kemerdekaan.

Slogan ‘Janji Ditepati’ turut menjadi tema siri jelajah 1Malaysia Barisan Nasional ke seluruh negara sebagai modal ‘kempen awal’ kepada rakyat.

Minggu ini turut dibangkitkan satu lagi kontroversi iklan ‘Saya Pilih Malaysia’ yang telah diterbitkan di semua stesen televisyen dan akhbar media arus perdana dengan memaparkan Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan beberapa selebriti terkenal.

Categories
SELANGOR

Akhirnya… Polis Cemarkan Himpunan BERSIH 3.0

KOMENTAR  Dianggarkan lebih 300,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri ibu negara ketika Himpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Angka tersebut merupakan satu sejarah melibatkan kebangkitan rakyat terbesar di negara ini melampaui era reformasi pada penghujung tahun 1990 an lalu..

Walaupun pihak polis memaklumkan 58 pintu masuk ke ibu negara telah ditutup kepada semua jenis kenderaan sejak awal pagi. Begitu juga dengan pelbagai ugutan dan amaran oleh pihak polis, pemimpin Umno-BN serta media perdana namun tidak menghalang penyertaan rakyat untuk berhimpun secara aman.

Ramai yang datang membawa keluarga dan anak-anak kerana menyedari himpunan tersebut dijanjikan keamanan tanpa sebarang rusuhan dan provokasi.

Himpunan tersebut ibarat sebuah pesta untuk menyatakan hasrat dihati dan memprotes ketidakadilan dan penipuan yang menimpa rakyat negara ini.

Kedatangan lebih suku juta rakyat untuk menyertai himpunan BERSIH 3.0 tersebut amat luar jangkaan.

Detik 28 April yang di simbolkan sebagai 428 tersebut telah memberi masej yang amat jelas bahawa rakyat negara ini menyedari pelbagai penipuan yang cuba dilakukan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan Umno-BN perlu ditamatkan.

Masej tersebut juga merupakan suatu amaran tegas dari rakyat bahawa telah cukup lebih 54 tahun rakyat merasa diri mereka di tipu oleh kerajaan pimpinan Umno-BN.

Kesan dari penipuan tersebut telah tiba pada kemuncaknya. Rakyat menyedari bahawa kuasa politik dan kuasa kerajaan yang dibentuk selama ini merupakan hasil dari pelbagai penipuan licik SPR dan pemimpin Umno-BN dan bukan berasaskan dari sokongan rakyat sebenar.

Matlamat himpunan BERSIH 3.0 bukan untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN melalui proses rampasan kuasa sebagaimana dilakukan dibeberapa negara di Timur Tengah.

Apa yang dimahukan rakyat adalah supaya SPR bertindak secara profesional dan menjadikan pilihanraya bersih, adil dan telus sebagaimana lapan tuntutan BERSIH sebelum ini.

Isu daftar pemilih dan kewujudan ‘task force’ yang didakwa melibatkan jabatan Perdana Menteri dan SPR dalam memberi kerakyatan kepada warga asing paling menyengat dihati rakyat.

Sukarkah SPR dan pemimpin Umno-BN untuk memenuhi lapan tuntutan tersebut?.Sesiapa sahaja bagi mereka yang  berfikiran waras akan bersetuju bahawa tuntutan tersebut amat adil kepada semua pihak.

Persoalannya mengapa SPR dan pemimpin-pemimpin Umno-BN sanggup menjadi pengklhianat negara serta bertegas untuk tidak memenuhi tuntutan rakyat tersebut.

Jawapannya adalah tanpa penipuan, pengkhianatan, sogokan, penguasaan media, rasuah politik dan ugutan, Umno-BN sudah lama menjadi pembangkang.

 

Menguji Retorik Tranformasi Najib

BERSIH 3.0 yang berjaya menghimpunkan lebih 300,000 rakyat akan menjadi natijah kepada era kebangkitan rakyat yang lebih besar selepas ini.

Selama ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak cuba mengelak untuk melihat isu yang membabitkan kredibiliti SPR dengan melarikan isu-isu berhubung pelbagai laungan retorik tranformasi.

Begitu juga dengan pelbagai rasuah politik seperti peruntukan RM2.71 bilion kepada Umno Selangor, Bantuan Rakyat IMalysia (BRIM) selain beberapa siri kenaikan gaji kakitangan awam dan swasta.

Malangnya rakyat bukan lagi bodoh sebagaimana dijangkakan oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Kenyataan Najib semalam bahawa Kerajaan tidak benarkan Dataran Merdeka digunakan atas beberapa sebab. Katanya kerana Dataran Merdeka merupakan satu tapak yang ikonik dan bersejarah dalam konteks perjuangan kemerdekaan.

Kenyataan ini sekali lagi memperjelaskan ‘wayang’ dan ‘flip-flop’ Najib dan DBKL berhubung jadual asal lokasi utama himpunan BERSIH 3.0.

Kenyataan menteri-menteri Umno bahawa Dataran Merdeka bukan bidang kuasa pihak polis dan kerajaan untuk memberi kebenaran kepada penganjuran BERSIH 3.0 merupakan pembohongan berterusan pemimpin-pemimpin Umno pada rakyat.

Begitu juga dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang sanggup menggunakan pelbagai saluran termasuk kuasa mahkamah untuk menghalang Dataran Merdeka digunakan.

Jawapan Najib tersebut jelas bahawa kerajaanlah yang mengarahkan DBKL tidak memberi kebenaran kepada penganjuran Himpunan BERSIH 3.0 di adakan di Dataran Merdeka.

Inilah antara ratusan siri-siri penipuan kerajaan Umno-BN terhadap rakyat.

 

Suasana aman sebelum 3.30 petang

 

Walaupun berdasarkan jadual perhimpunan BERSIH 3.0 akan bermula pada jam 2.00 petang dan berakhir 4.00 petang namun menjelang tengah malam 27 April orang ramai telah mula membanjiri Kuala Lumpur.

Pengalaman dari bebarapa himpunan sebelum ini dan tindakan polis akan menutup laluan masuk ke ibu negara menyebabkan ramai mengambil peluang memasuki Kuala Lumpur lebih awal.

Kebetulan lokasi penginapan dan bilik operasi TV Selangor berhampiran dengan Pasar Seni, penulis sempat berada di beberapa lokasi berhampiran.

Sekitar jam 9.30 pagi lebih 3,000 peserta berada di sekitar Jalan Petaling.Begitu juga di beberapa lokasi seperti di sekitar Sogo, Pasar Seni, Brieckfield dan KLCC.

Menjelang jam 11.00 pagi pula di Jalan Petaling telah dibanjiri hampir 35,000 peserta yang menyanyikan lagu bersih dan Negara Ku.

Suasana amat harmoni dan menyaksikan pelbagai kaum saling bersatu hati sambil bernyanyi.

Berdasarkan dari laporan telefon dari tujuh wartawan yang ditugaskan dipelbagai lokasi memaklumkan pada sekitar jam 12.00 tengah hari ratusan ribu peserta telah memenohi hampir semua lokasi.

Tidak terdapat sebarang kejadian keganasan dilaporkan. Puluhan pihak polis yang ditugaskan untuk memerhati dan berkawal juga berada dalam keadaan tenang. Malah para peserta turut bergambar dengan pihak polis.

Manakala Restoran Yusuf dihadapan Pasar Seni sentiasa penuh dikunjungi yang hampir kesemuanya terdiri dari peserta BERSIH. Malah penulis sempat bertanya kepada penjaga kaunter wang di restoran tersebut.

Menurut beliau, perniagaan pada hari tersebut amat laris dan ketika jam 10.00 pagi pekerjanya terpaksa menyediakan masakan lain kerana telah kehabisan.

 Begitu juga dengan sebuah restoran KFC di dalam Pasar Seni yang kehabisan stok sejak awal pagi.Restoran tersebut sentiasa sesak dengan pelanggan yang terdiri dari peserta BERSIH.

Jalanraya di sekitar Kuala Lumpur lengang tanpa kenderaan disebabkan kesemua laluan masuk telah di tutup pihak polis sejak awal pagi. Hanya beberapa teksi dan bas pesiaran yang kelihatan.

Semantara itu perkhidmatan komputer, star-LRT dan Monorel hampir kesemuanya sesak dengan peserta BERSIH.Hanya laluan tersebut yang dibenarkan dan peserta BERSIH menggunakannya untuk menyertai perhimpunan.

Sepanjang tempoh tersebut tidak terdapat sebarang insiden berlaku di hentian-hentian tersebut. Malah tidak ada satu pun perkhidmatan-perkhidmatan tersebut diganggu atau mendatangkan sebarang kekecohan.

 

Provokasi Polis Selepas 3.30 petang

Himpunan BERSIH 3.0 dijangka akan berakhir jam 4.00 petang sebagaimana dirancang. Ketika berucap dihadapan peserta himpunan pada jam 3.20 petang dihadapan Pejabat Majlis Peguam, Pengerusi BERSIH,Datuk Ambiga Sreenivasan berkata himpunan akan bersurai mengikut jadual.

Manakala lebih kurang jam 3.30 petang, Pihak polis mula menyembur air kimia dan di ikuti dengan tembakan gas pemedih mata ke arah peserta.

Keadaan menjadi huru hara dan tidak terkawal.Mangsa air kimia dan gas pemedih mata tersebut tidak mengenal sesiapa. Orang tua, anak-anak maupun anak muda semuanya lari berserakan.

Sungguh amat kasihan melihat orang-orang tua yang yang terbatuk-batuk dan ada yang termuntah akibat terkena asap dari gas pemedih mata.

Penulis sendiri tidak terkecuali. Namun pengalam dari keganasan polis sejak zaman reformasi sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan keperitan kesan dari gas pemedih mata tersebut.

Dengan air miniral yang dibawa serta sebuah tuala kecil selain sebungkus garam halus yang dibawa penulis berjaya mengatasi keperitan dari kesan gas tersebut. Garam dan air miniral yang ada sempat juga penulis membantu mereka yang lain.

 

Mengapa Polis perlu membuat provokasi

 

Pengalaman dari berpuluh himpunan di zaman reformasi dahulu serta pelbagai kekecohan yang timbul dari ketika itu adalah berpunca dari provokasi polis.

Himpunan yang mulanya berlangsung secara aman akhirnya akan timbul kekecohan.Kekecohan tersebut sengaja ‘dicipta’ bagi menghalalkan tangkapan. Ini disebabkan sekiranya berlaku secara aman pihak polis tidak boleh membuat sebarang tangkapan.

Justeru kekecohan tersebut terpaksa di cipta. Inilah peranan yang dimainkan oleh pihak SB.Beberapa pendedahan yang didedahkan media alternatif adalah antara contoh yang pernah berlaku sejak era reformasi dahulu.

Hal ini jugalah yang berlaku ketika BERSIH 3.0 baru-baru ini. Kekecohan perlu ‘di cipta’ bagi menghalalkan tangkapan atau bagi menunjukkan yang bersalah itu adalah rakyat dan yang ‘maksum’ itu adalah polis dan taukeh mereka dari pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Apabila provokasi seperti semburan air kimia dari water canon dan tembakan gas pemedih mata akan mengakibatkan rakyat marah. Apabila rakyat marah maka kemarahan tersebut akan dihala kepada pihak polis.

Sedangkan tanpa provokasi tersebut sejak jam 9.00 pagi hingga jam 3.30 petang tidak ada satu pun insiden yang tidak diingini berlaku.Sebuah kenderaan pun tidak dilaporkan terbalik atau terbakar malah bercalar pun tidak.

Tidak ada sebuah kedai atau permis perniagaan pun mengalami kecurian atau dirompak.

Provokasi ini amat penting kepada pihak Umno-BN dalam usaha menyebarkan propoganda berhubung sokongan rakyat terhadap BERSIH 3.0.

Kedatangan hampir 300,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Kuala Lumpur merupakan suatu yang amat menggerunkan kepada kerajaan Umno-BN.

Apatah lagi di saat menjelang PRU 13 semakin hampir. Maka tidak hairanlah keesokan harinya media perdana milik Umno-BN menyiarkan berita berhubung keganasan BERSIH.

Satu pun dari media-media tersebut tidak menyiarkan angka berhubung peserta himpunan dan mengapa himpunan tersebut diadakan.

Sebaliknya pembangkang dijadikan kambing hitam dan seperti biasa nama Anwar Ibrahim akan di seret sebagai petualang keganasan.

Apa pun media milik kerajaan Umno-BN boleh ‘menipu’ rakyat dikampong-kampong pedalaman. Namun bagi penghuni bandar khususnya mereka yang menyertai himpunan BERSIH 3.0 menyedari ‘spin’ media-media tersebut.

Dari sudut politiknya, tindakan ganas pihak polis memberi kesan yang besar kepada momentum rakyat terhadap Umno-BN dalam PRU 13 nanti.

Sekiranya himpunan BERSIH 3.0 tersebut berlaku secara aman tanpa provokasi polis, imej tranformasi Najib akan menjadi lebih baik dan lebih diyakini rakyat.

Maka benarlah tranformasi Najib adalah retorik semata-mata.

Categories
NASIONAL

BERSIH 3.0: Keganasan Polis Melampaui Batas

KOMENTAR: Meskipun hanya mahu menyampaikan hasrat rakyat negara ini bagi menuntut hak agar pilihan raya bersih dan adil diadakan, rakyat negara ini terpaksa berhadapan dengan tindakan ganas amukan PDRM (Polis DiRaja Malaysia) yang lengkap bersenjata.

Tindakan ganas pihak PDRM terhadap peserta perhimpunan aman Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) Sabtu lalu jelas menggambarkan sikap tidak profesional badan penguatkuasa terlibat.

Tindakan-tindakan ganas PDRM yang lengkap bersenjata terhadap perserta perhimpunan semalam juga cukup bagi menggambarkan usaha keras agensi keselamatan tersebut untuk menggagalkan perhimpunan itu demi melindungi kepentingan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Perhimpunan Duduk dan Bantah BERSIH 3.0 itu diadakan bagi memprotes tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang enggan memenuhi tuntutan rakyat negara ini untuk mengadakan pilihan raya yang bersih dari sebarang manipulasi.

Tinjauan TVS sepanjang perhimpunan semalam jelas menunjukkan perhimpunan yang pada awalnya berjalan dalam suasana aman mulai bertukar ganas apabila polis mula bertindak melepaskan tembakan gas pemedih mata, tembakan air kimia, mengejar dan memukul peserta perhimpunan dan pihak lain yang tidak terlibat dalam perhimpunan.

Keganasan polis menjadi semakin buruk apabila terdapat segelintir anggota polis yang menyebarkan berita palsu sesama mereka bahawa seorang anggota polis telah terbunuh ketika bertugas mengawal perhimpunan tersebut.

Ini jelas apabila terdapat anggota polis yang menjadikan alasan ‘kematian’ rakan mereka untuk bertindak ganas terhadap orang awam.

Dalam satu kejadian di Jalan Masjid India semalam, seorang anggota polis dilihat mengherdik salah seorang peguam pemerhati dari Jabatan Undang-undang Hak Asasi Manusia (JUHAM), Afian yang kebetulan berada di situ dan cuba menghalang tindakan ganas polis.

“Kau tahu tak, ada anggota yang mati tadi! Gunakanlah otaklah.. Siapa tak geram, diaorang memang nak kena ajar!,” herdik anggota polis tersebut bagi menghalalkan tindakan ganas beliau dan sekumpulan polis terhadap seorang orang awam yang sedang menikmati makanan di kedai makan berhampiran pasaraya Mydin.

Bagaimanapun menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh PDRM hari ini menyatakan kematian anggota polis, Sarjan Zaini Nawawi, 53, tiada kena mengena dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan.

Perkara ini turut disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh  dalam sidang media yang sama.

“Anggota tersebut meninggal dunia kerana mengalami sesak nafas ketika menjalankan tugas rondaan biasa di kawasan Bukit Bintang,” kata Mohmad Salleh.

Afian boleh dianggap bernasib baik berbanding rakan sejawat beliau dari Lawyers for Liberty yang juga bertindak sebagai peguam pemerhati, Mohd Haijan Omar yang mengalami luka di bahagian bawah mata kirinya, bengkak di rahang dan juga lebam di bagian lain badannya setelah dibelasah polis di Jalan Tun HS Lee.

Menurut Haijan beliau terus dikasari walaupun telah berada di dalam tahanan polis.

Tidak terkecuali, petugas media yang membuat liputan Perhimpunan BERSIH 3.0, yang bukan sahaja kamera dirampas kerana merakamkan kejadian sebenar malah turut menjadi mangsa keganasan PDRM semalam.

Antara wartawan terbabit adalah wartawan dari The Sun, Radzi Razak yang terpaksa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur setelah mengalami kecederaan tulang rusuk dan bahagian dalaman lain akibat keganasan polis.

Selain itu, tindakan kumpulan anggota polis tersebut tampak jelas bukanlah bertujuan untuk menyuraikan perhimpunan kerana perhimpunan telah pun berakhir kira-kira sejam yang lalu.

Kebanyakan yang ditahan pada masa itu merupakan peserta perhimpunan yang telah pun bersurai dan sedang berehat atau makan di kedai-kedai makan sekitar Jalan Masjid India yang bukan merupakan tapak perhimpunan.

Drama kejar mengejar terhadap mana-mana pihak yang disyaki terlibat dalam perhimpunan sebelumnya turut berlaku di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur meskipun kebanyakkan antara mereka yang dikejar itu sedang dalam perjalanan menuju ke stesen komuter atau LRt untuk pulang.

Malah ada diantara peserta yang sedang berehat berhampiran masjid Jamek untuk menunggu masuk waktu magrib sebelum berangkat pulang

Tindakan itu menjelaskan lagi bahawa tindakan polis ketika itu bukanlah bertujuan menyuraikan perhimpunan atau mempertahankan Dataran Merdeka dari dimasuki sebaliknya mereka ‘keluar kubu’ untuk menyerang mana-mana orang awam yang disyaki peserta perhimpunan.

Dalam satu kejadian di Jalan Tunku Abd Rahman pula, Azan Ridzuan, 25, turut menjadi mangsa keganasan polis apabila beliau telah ditarik keluar dari Hotel Swiss dan dibelasah beramai-ramai oleh sekumpulan anggota polis.

Menurut Azan, ketika pihak polis menyerbu masuk ke Hotel Swiss, beliau sedang berada di lobi hotel bersama dua saudaranya.

“Masa tu saya ada bersama adik saya,isterinya dan beberapa orang yang tidak saya kenali.

“Tiba-tiba sahaja polis masuk serbu dan kami cuma terkejut dan tidak bertindak apa-apa melainkan mendiamkan diri sahaja.

“Bila mereka tengok tak ada sesiapa yang pakai baju BERSIH di situ, diorang cekup dan tarik saya secara rambang sahaja.

“Tanpa saya melawan, saya ditarik keluar dari hotel dan dipukul kira-kira sekumpulan 10 anggota polis dengan menggunakan cota dan tangan di kepala, badan dan tangan yang saya guna untuk lindungi muka saya.

“Bila saya tumbang, polis-polis itu masih memukul saya termasuk menendang di bahagian perut,” kata Azan kepada TVS.

Azan juga memberitahu selepas kejadian dipukul itu beliau telah diarahkan agar meninggalkan tempat itu dengan serta merta.

“Selepas tu mereka tengking saya, suruh tinggalkan tempat itu. Kalau itu sahaja sebabnya kenapa tak beritahu sahaja tanpa gunakan kekerasan kerana pada masa itu kami memang bercadang untuk pulang, tetapi memandangkan keadaan di luar tak selamat kami terpaksa berlindung dahulu di hotel itu sementara tunggu keadaan lebih selamat.

“Selepas berlari tak jauh dari situ saya rebah, pengsan dan bila sedar sahaja saya dapati saya sedang dibantu oleh beberapa orang awam yang berada di situ,” katanya lagi.

Sebelum itu di lokasi yang sama, Nani, 40 tahun telah kehilangan telefon bimbit berjenama Galaxy Note Samsung yang bernilai hampir RM2000 ringgit dipercayai diambil oleh seorang anggota polis.

Menurut Nani yang datang dari Kedah itu, telefon tersebut telah dihadiahkan oleh suaminya sempena harijadinya kira-kira seminggu lalu.

“Masa tu akak berada di tepi hotel sedang menghantar SMS, tiba-tiba polis datang menyerbu dan akak terkejut sampai telefon tu terlepas dari tangan.

“Akak terus tarik tangan anak akak lari ke dalam hotel. Cuma kurang tiga minit lepas itu bila akak sedar telefon tak ada, akak keluar cari, tetapi dah tak ada.

“Akak terus cuba hubungi telefon akak tu, mula-mula tadi ada nada dering tetapi tak dijawab, sekarang langsung dah ditutup” katanya.

Menurut seorang saksi kejadian, Remy, 31 tahun, beliau melihat sendiri salah seorang anggota polis yang datang menyerbu nampak telefon itu terjatuh dan mengambilnya.

“Saya tak jauh dari situ, memang nampak seorang polis yang sama-sama datang  menyerbu, perasan telefon akak ni jatuh dan lepas itu dia ambil.

“Kalau saya nampak mukanya sekarang mungkin juga saya boleh cam lagi agaknya,” kata Remy.

Dalam perhimpunan BERSIH 3.0 semalam turut menyaksikan beberapa pemimpin politik dan NGO samada dipukul atau ditahan polis.

Antara yang turut menjadi mangsa keganasan polis ialah Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dan lima aktivis SAMM lain yang turut dibelasah selepas ditahan pihak polis.

Dalam kejadian tersebut Chegu Bard telah mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan badan dengan kesan-kesan lebam dipercayai dipukul dengan menggunakan cota.

Selain Chegu Bard yang diberitakan telah dibebaskan hari ini, bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aziz Bari turut ditahan.

Categories
NASIONAL

Mentaliti Perang Dingin BN Berada Di Mana-Mana

KOMENTAR: Semalam, tumpuan ramai diberikan terhadap pembentangan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960. Bagaimanapun, hanya segelintir yang sedar bahawa pindaaan serentak kepada Kanun Keseksaan, Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah akan hanya memacu kuasa mutlak kepada sesebuah kerajaan seterusnya mengaktifkan bom jangka kepada rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan.

Lebih merimaskan, pindaan kepada Kanun Keseksaan menunjukkan sesebuah kerajaan yang mengamalkan mentaliti perang dingin yang memberikan pihak mereka kuasa mempertahankan diri seperti huraian berikut;

1) Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang baru menyatakan kesalahan yang ditafsirkan sebagai “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” akan dikenakan hukuman penjara 20 tahun.

Secara tidak konkrit, Seksyen 130A pula ditafsirkan sebagai “sesuatu aktiviti yang dilakukan oleh seorang individu atau sekumpulan individu membuang atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan menggunakan cara ganas atau tidak berperlembagaan”, yang mana ini akan memberi pintu belakang kepada sebarang kesalahan yang disabitkan, yang boleh melanggar hak-hak kemanusiaan jika digunakan oleh kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

Lebih-lebih lagi, di bawah Seksyen 124C, cubaan untuk melakukan sesuatu “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” boleh dihukum penjara selama 15 tahun. Kebimbangan timbul terhadap penyalahgunaan proses apabila semata-mata cubaan melakukan jenayah sahaja dikenakan hukuman berat.

2) Kebebasan media dan kebebasan maklumat juga terancam dengan pengenalan Seksyen 124D, 124E dan 124F, di mana menjadi satu jenayah untuk mencetak, menjual, memiliki, atau import “dokumen dan penerbitan yang memudaratkan demokrasi berparlimen”.

Sekali lagi, dengan definisi yang mengelirukan dan hukuman yang berat (sehingga 15 tahun untuk mencetak), seksyen tersebut turut memberi peluang untuk disalahgunakan dalam usaha kawalan ketat kerajaan ke atas penulisan yang dianggap tidak sebulu dengan parti pemerintah.

3) Kita juga terganggu apabila menyedari definasi “maklumat sensitif” di bawah Seksyen 130A (i) yang baru adalah terlalu meluas untuk merangkumi sebarang dokumen, maklumat atau bahan, “samada ia diklasifikasikan sebagai ‘Rahsia Besar’, ‘Rahsia’, ‘Sulit’ atau ‘Terlarang’.

Ini perlu difahami bersama Bahagian IV Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang memperkenalkan prosedur khas berkaitan maklumat sensitif. Ia menyediakan pendengaran kamera dalam perbicaraan yang melibatkan maklumat sensitif.

Di bawah Seksyen 8 (8) Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, segala keputusan yang dibuat di bawah prosedur ini adalah tidak boleh dibuat rayuan. Ini memberi peluang kepada kerajaan untuk menyimpan maklumat sensitif daripada orang awam dan sama sekali tidak boleh diakses oleh media.

Saya juga perasan terdapat bahagian atau elemen daripada ISA yang diseludup masuk ke Kanun Keseksaan dengan pindaan baru contohnnya:

1) Perkataan “mengesyorkan keingkaran kepada undang-undang atau sebarang perintah sah” juga sangat sama dengan definisi ‘dokumen subvesif’ yang terkandung dalam Seksyen 29 (3)(b) dalam ISA.

2) Penggunaan terma “pengesyoran keingkaran kepada undang-undang atau mana-mana perintah yang sah di sisi undang-undang di dalamnya” juga mengingatkan kepada definisi ‘pengganas’ dalam Seksyen 2 ISA.

Keyakinan orang ramai terhadap kerajaan semakin goyah apabila undang-undang yang menindas dimansuhkan dan digantikan dengan perundangan yang jika tidak sama,adalah lebih hina serta bercanggah dengan semangat penggubalan semula undang-undang.

Bom jangka yang diaktifkan Najib menyedarkan rakyat Malaysia bahawa Kerajaan Malaysia tiada niat untuk berubah.

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen, Bukit Bendera

Categories
NASIONAL

Najib Gadai Amanah Ayahanda Guna Felda

KOMENTAR: Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia akan tetap dilaksanakan pada Jun ini.

Walaupun sebelum ini, banyak bantahan penyenaraian FGVH itu dibuat termasuk lebih 1,000 warga Felda berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi membantah tindakan itu.

Lebih 10,000 tandatangan peneroka dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah juga dikumpulkan sebagai tanda bantahan mereka.

Bagaimanapun, bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, usaha penyenaraian itu akan tetap dilaksanakan. Najib mendakwa ia adalah satu langkah supaya Felda terus kukuh dan kuat mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.

Tindakan Najib menggunakan kuasa veto berhubung isu felda tanpa mendengar keluh kesah para peneroka membuktikan kerajaan pimpinan beliau sekadar retorik disebalik wawasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pula memberi alasan penyenaraian yang seharusnya dijadualkan pada Mei ini terpaksa ditunda berikutan wujud masalah dan ‘gangguan’ termasuk perintah injuksi mahkamah.

Ahmad menyifatkan gangguan terhadap proses penyenaraian FGVH itu adalah bermotifkan politik yang sengaja dicetus pembangkang.

“Ia telah dipolitikkan kerana parti pembangkang khuatir jika kerajaan berjaya membawa berita gembira kepada peneroka, maka ia berita buruk buat mereka,” katanya.
Gadai hak Peneroka

Sebelum ini, Najib berkata, rancangan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali.

Malah katanya penyenaraian itu hanya melibatkan tanah kerajaan negeri.

“Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberi hak memajukan kepada kerajaan persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GSA 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations,” katanya Najib.

Tetapi adakah benar kenyataan itu? Bagaimana pula dengan nasib generasi kedua dan ketiga peneroka seterusnya jika ianya tetap dilaksanakan?

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata penyenaraian itu akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta.

?Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,? katanya.

Naquib menjelaskan hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu.

Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.

Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.

?Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan, kita mahu perkara ini dengan telus,? katanya.

 

Rancangan Jahat Umno-BN

Banyak pihak melihat usaha kerajaan pusat cuba menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat kepada Umno-BN.

Penyenaraian itu juga dilihat sebagai usaha ‘membuncitkan perut’ para kroni dan akhirnya akan menguntungkan “golongan kapitalis elit”.

Budaya kronisme, rasuah, salah guna kuasa dan menipu rakyat sekali lagi akan di ulangi oleh pemimpin-pemimpin Umno. Kali ini mereka memperjudikan masa depan dan nasib para peneroka Felda.

Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, sebalum inimenegaskan FGVH tetap akan dilaksanakan di Bursa Malaysia walaupun tanpa penglibatan langsung Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan FGVH yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.

Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.

“Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata Presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK, Mazlan Aliman.

Menurut Mazlan, FGVH yang pernah diberi peranaan membuat pelaburan luar negara bagi pihak felda telah mengalami kerugian hampir RM500 juta.

Persoalannya mengapakan syarikat yang pernah mengalami kerugian yang sebegitu besar diberi tanggungjawab untuk menggadai hak lebih 110,000 warga peneroka seluruh negara?
FGVH membelakangkan KPF

Pegangan saham 51 peratus oleh KPF berbanding FGVH hanya 49 peratus meletakkan bidang penguasaan untuk membuat sebarang keputusan berpihak kepada KPF. Namun berlaku sebaliknya

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata proses penyenaraian FGVH yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

“Keputusan Umno-BN itu mengenepikan terus pandangan dan penyertaan KPF,” katanya.

Katanya, Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari Felda Holdings Berhad, bukannya FGVB.

Berdasarkan perolehan pada penghujung 2009, FHB memperoleh RM14.9 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM760 juta. Manakala FGVB memperoleh RM3.2 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM360 juta.

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai FHB melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

“Rancangan jahat Umno-BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).

“Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB,” jelasnya.

Tambahnya, anggaran menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam Felda Holdings Berhad kepada FGVB membuatkan Tan Sri Isa Samad dalam kenyataannya mengatakan kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian.

 

Persoalan yang timbul jika kerajaan tubuhkan SPV

Banyak persoalan yang timbul antaranya penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap Umno-BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda.

Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF.

Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset Felda Holdings Berhad (FHB) adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

Selain itu, jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan.

Keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang.
Peneroka dipaksa serah dokumen

Keraguan peneroka timbul, apabila “orang kuat” Najib, Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi Felda melalui “pintu belakang” sangat bersungguh-sungguh memastikan penyenaraian itu berlaku.

Sebagaimana kita tahu perpecahan dalam Felda sangat merbahaya selepas perlantikan itu.

Setiap kali perhimpunan bulanan Felda juga, Isa akan memberi amaran kepada kakitangan agar tidak memberikan sebarang maklumat kepada pihak luar berkaitan usaha penyenaraian FGVH.

Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, keraguan itu juga timbul apabila peneroka diberi ‘surat pekeliling durian runtuh’ yang diedarkan Felda kepada peneroka bermula Mac lalu.

Surat pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang dan rumah, status senarai hitam bank dan pewaris bagi mendapat ‘durian runtuh’ berupa wang tunai setelah penyenaraian FGVH.

Ekoran itu, beliau menerima banyak aduan dariapda peneroka yang bimbang semua dokumen itu dimanipulasi untuk tujuan tertentu.

Lebih menimbulkan keraguan ujar Mazlan, perkara itu tidak diketahui Lembaga Pengarah Felda.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ada peneroka dijanjikan ‘durian runtuh’ sejumlah RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.

Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.

“Seperti yang saya tegaskan, janji durian runtuh satu pembohongan sebab mesyuarat agung dibatalkan, jadi KPF tiada kaitan dengan penyenaraian,” katanya.
Nasib Peneroka

Presiden Warga Felda Prihatin, Muhamad Kamel Yassin menolak penyenaraian tersebut kerana tidak mahu melihat kesukaran hidup warga Felda seperti apa yang berlaku selepas penjualan tanah Felda Sendayan dan Felda LBJ.

?Saya mengambil iktibar apa yang berlaku di Sendayan, lihat peneroka yang diambil tanahnya, keadaan mereka lebih teruk apabila ada yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk meneruskan kehidupan,? katanya.

Jadi apakah kewajaran tindakan Isa Samad yang berkeras mahu mengadaikan felda bagi tujuan keuntungan berlipat ganda? Apakah pemimpin umno yang pernah terpalit isu rasuah dalam pemilihan parti umno itu memikirkan kepentingan peneroka atau berfikir tentang poket sendiri?.

Mengapa begitu kuat tekanan supaya tindakan ini dihentikan sehingga 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia secara rasmi mengumumkan penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).

Jelasnya, tanpa analisis yang mendalam sudah tentu peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah rancangan Felda oleh pihak tertentu yang diketui oleh Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.

Sedangkan penyenaraian itu yang akan melibatkan pajakan 360,067 hektar kepada FGVH sebagai penggadaian kedaulatan negara.

Menurut Setiausaha Agung Paksi, Hasni Abas berkata aset yang digadai itu bukan aset biasa.

“Kalau bagi tanah pada orang luar, hilanglah kedaulatan sesebuah negara,” tegasnya.

Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebagai ‘Tanggang yang menderhaka kepada bapanya’.

Ini kerana katanya, tindakan Najib seringkali bercanggah dengan tindakan bapanya, Tun Abdul Razak.

“Tun Abdul Razak nak bagi tanah kepada orang Melayu tapi Najib nak masukkan pelabur asing. Dulu kes PPSMI, Najib yang benarkan kolej swasta mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bapanya tak benarkan begitu,” katanya yang pernah menjadi setiausaha Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Tujuan penyamun-penyamun kerajaan itu mengintai saham KPF untuk disenaraikan ke BSKL
sebenarnya ialah ‘mengidamkan’ saham KPF yang merupakan koperasi yang mempunyai perolehan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM13 bilion.

Sehingga Najib sanggup mengkhianati perjuangan bapanya dulu.

“Saya memegang amanah Allahyarham ayahanda (Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussain)….

Manakala Kumpulan CIMB bank yang di pengerusikan adik beliau Nazir Razak di beri hak untuk mengurus segala bentuk dokumentasi perbankkan sepanjang transaksi penyenaraian tersebut. Dijangkakan ratusan juta ringgit akan diperoleh oleh CIMB hasil dari urusan tersebut.

Mungkin itulah juga amanah yang Najib sedang laksanakan dari amanah ayahandanya tersebut untuk saudara kandungnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Guna Mahkamah Tutup Penyelewengan

KOMENTAR 31 MAC: Pada 22 Mac lalu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar telah memfailkan saman terhadap akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangorkini sebanyak RM10 juta.

Turut disaman Adun Skinchan, Ng Suee Lim yang didakwa menfitnah beliau berhubung isu penyelewengan RM110 juta oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani sebagaimana di dedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negera.

Menurut Ng ketika ditemui semasa berlangsung sidang Dun Selangor minggu lalu berkata, beliau gembira dengan saman RM10 juta terhadapnya kerana beliau berpeluang mendedahkan penyelewengan sebenar yang dilakukan Noh.

Noh mengambil tindakan mahkamah tersebut berikutan laporan Selangorkini berhubung Akhbar tersebut menyiarkan demontrasi petani di Sekinchan dan Tanjong Karang.

Petani mendakwa Noh telah melenyapkan RM110 juta wang peruntukan kerajaan untuk subsidi peningkatan hasil padi.

Banner yang digunakan oleh petani tersebut juga mengecam Noh sebagai seorang menteri yang dianggap mengkhianati amanah petani berikutan penyelewengan tersebut yang sepatutnya di terima sejak dua tahun lalu.

Lima hari susulan demontrasi tersebut Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan serta merta sebanyak RM117 juta bagi melunaskan bayaran kepada pesawah diseluruh negara.

 

Namun lesapnya RM110 juta dari kementerian Noh  masih tidak terjawab hingga ke hari ini.

Noh Tiada Fakta

Berdasarkan penilaian fakta, Noh tidak mempunyai isu untuk mengambil sebarang tindakan berhubung laporan yang di siarkan oleh Selangorkini.

Ini disebabkan foto atau gambar yang di siarkan jelas menunjukkan petani tersebut sememangnya mengadakan demontrasi bersama banner yang jelas pada muka belakang Selangorkini keluaran 25 November – 2 Disember 2011.

Begitu juga dengan muka 15 keluran yang sama turut memaparkan  temubual penduduk serta banner yang tertera tulisan “Noh Omar Khianati Petani, Lesap RM110 juta Bantuan Untuk Petani? ……..

Begitu juga dengan isu lesapnya peruntukan kerajaan kepada kementerian dibawah Noh sebanyak RM110 juta. Fakta ini bukan dari kenyataan pihak pembangkang atau musuh politik Noh tetapi didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara di Parlimen.

Berdasarkan kenyataan media Noh, beliau menyatakan tindakan saman beliau terhadap Selangorkini dan Ng kerana  menyiarkan tajuk  di muka belakangnya bertajuk ‘Pesawah tuntut Noh Omar Letak Jawatan’.

Andai berdasarkan cubaan Noh menyaman Selangorkini dan Ng disebabkan tidak ada bukti yang menunjukkan para petani yang berdemo pada 22 November 2011 dan menggesa beliau meletak jawatan mungkin ada sedikit asas.

Namun begitu, memang betul tidak terdapat banner yang tertera gambaran menggesa beliau meletak jawatan. Namun pada para keempat, muka 16, Selangorkini menjelaskan hal tersebut.

Pada para ke empat tersebut tercatat…. Bertempat di Site B Sekinchan, petani yang berkumpul memegang kain rentang sambil melaung slogan ‘Hidup Petani’,naik subsidi RM50 seratus kilo’ dan ‘Noh Omar letak jawatan’.

Tindakan Noh membawa isu ini kemahkamah bertujuan untuk menutup isu tersebut dari pengetahuan rakyat.

Menurut Ng Suee Lim, Noh terdesak dan terpaksa menggunakan mahkamah bertujuan supaya segala penyelewengan yang lakukan tidak boleh disiarkan dalam mana-mana penerbitan kerana dianggap kes yang sedang dalam pembicaraan.

Kata Ng, Noh amat bimbang kerana PRU 13 semakin hampir serta takut Pakatan Rakyat akan menggunakan isu penyelewengan beliau dalam kempen-kempen pilihanraya nanti.

Menurut Ng lagi, kes NFC yang melibatkan pemberian projek kepada kroni bernilai RM250 juta yang juga melibatkan kes di bawah kementerian juga digunakan taktik yang sama.

Selain itu kata Ng, Noh juga tidak mahu tembelang penyelewengan beliau diketahui oleh pemimpin-pemimpin Umno termasuk perdana Menteri kerana takut tidak terpilih menjadi calon dalam PRU 13 nanti.

Noh tertekan

Noh amat tertekan setelah dilantik sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor. Ini berikutan kesungguhan usaha Umno-BN untuk merampas kembali Selangor.

Bukan setakat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor. Najib juga pernah membuat kenyataan media bahawa Umno akan merampas Selangor walau dengan apa cara sekali pun.

Kenyataan Najib tersebut merupakan suatu bebanan berat dan besar yang terpaksa ditanggung Noh. Hidup dan mati kerjaya Noh dalam politik bergantung kepada PRU 13 ini.

Andai Selangor gagal ditawan, Noh dan Najib akan dihukum oleh Umno-BN Selangor. Dikalangan Umno Selangor pula, Noh bukan seorang yang disukai.

Kenyataan Noh hari ini yang mendakwa BN yakin memenangi 36 Dun dari 56 Dun Selangor tidak ubah sebagai mana laporan yang di terima Najib dari ketua-ketua Bahagian Umno seluruh negara.

Noh yang mendakwa Umno akan memenangi 30 kerusi Dun dari 35 kerusi yang dipertandingkan boleh dianggap sebagai usaha untuk memujuk diri sendiri.

Sebelum ini bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memberikan gambaran bahawa Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal ditangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada sebarang asas yang dijadikan rujukan oleh Noh untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Bancian PKR pada November 2011 lalu mendapati Pakatan Rakyat mendapat sokongan 816,000 undi dari sasaran 809,000 undi untuk memperoleh kemenangan mudah.

Noh di pilih menerajui Umno Selangor setelah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo gagal mempertahankan Selangor dalam PRU 12 lalu. Khir akhirnya dikaitkan dengan skandal pembelian harta yang akhirnya di denda penjara setahun oleh mahkamah.

Noh juga dikatakan tidak sebulu dengan Ketua Pembangkang Adun Selangor, Datuk Satim Diman. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid dalam sidang dun tahun lalu mendedahkan Satim didakwa terlibat dengan penjualan tanah milik kerajaan negeri kepada syarikat bukan bumiputra di Cyberjaya.

Menurut Abdul Khalid isu tersebut akan dibongkar setelah segala maklumat lengkap diperoleh dalam masa terdekat.

Lantaran itu Najib terpaksa bertindak mengetuai Umno Selangor kerana menyedari tidak terdapat anak negeri itu yang mampu memimpin Umno di negeri Jugra itu.

Manakala perpecahan Umno yang serius memaksa anak Pahang tersebut menerajui kepimpinan Umno Selangor.

Umno berpecah di Selangor

Noh tidak disenangi beliau dikelilingi oleh musuh-musuh politik dikalangan pemimpin Umno negeri sendiri.

Noh didakwa terlalu menjaga kroni-kroni politik beliau berbanding rakyat dan Umno bahagian lain.

Peruntukan dana rakyat sebanyak RM2,710,000,000 (RM2.71 bilion) kepada Umno Selangor sebagaimana diumumkan Najib pada 19 Disember tahun lalu juga menjadikan Umno Selangor semakin berpecah.

Noh didakwa lebih memihak memberikan projek-projek kepada kroni-kroni beliau berbanding Umno bahagian lain.

Ketika berlangsung Sidang Dun Selangor yang berakhir 27 Mac lalu, Adun Taman Templer, Datuk Subahah Kamal (BN) bertanya kepada Exco Pelaburan, Perindastrian dan Perdagangan, Teresa Kok berhubung peruntukan RM2.71 bilion yang diberikan kepada Selangor.

Soalan Subahah tersebut ternyata membuktikan adun BN tersebut tidak mengetahui bahawa RM2.71 telah diberikan untuk Umno Selangor dan bukan kepada kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Persoalannya, kemanakah wang rakyat yang di kutip dari titik peluh rakyat jelata yang diberikan kepada Umno Selangor tersebut disalurkan Noh serta kroni-kroni beliau?.

Berapa ramaikah lagi Adun-Adun Umno-BN, ketua-ketua Bahahgian, ketua-ketua Cawangan atau ahli-ahli Umno seluruh Selangor yang tidak mengetahui aliran wang tersebut mengalir?.

Sebagai Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh adalah antara orang yang mengetahui ke poket siapa wang tersebut dipenuhkan.

Mungkin atas alasan tersebut  Noh mengeluarkan kenyataan Umno akan memenangi 30 kerusi Dun. Atau kenyataan tersebut untuk menjadikan Najib gembira dan mampu tersenyum.

Noh juga mungkin telah berpuas hati dengan laba dari wang rakyat tersebut mampu digunakan untuk memastikan kroni-kroni beliau berpuas hati.

Ataupun, apakah dengan wang titik peluh rakyat tersebut dimanfaatkan bagi beliau mengambil tindakan mahkamah terhadap musuh-musuh beliau termasuk Ng Suee Lim dan Selangorkini?.

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Projek Wahyu”, Jual Tanah Rizab Melayu Gegar Dewan Negeri Selangor

ULASAN Sidang DUN kali ini melihatkan bukan sahaja lagi dedahan tentang salahlaku Umno-BN tetapi usaha pentadbiran Pakatan Rakyat yang baru untuk memperbaiki kelemahan dan ketirisan era sebelumnya.

Dua amalan yang menimbul banyak persoalan adalah amalan kerajaan Umno-BN yang menganugerahkan projek kerajaan secara rundingan terus dan penjualan tanah rizab Melayu.

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pentadbiran Umno-BN telah membelanjakan RM759 juta dalam tempoh tiga tahun (2005-2007) dalam kontrak-kontrak yang dianugerahkan terus kepada syarikat tertentu.

Manakala kerajaan di bawah Pakatan Rakyat (PR) hari ini, hanya membelanjakan RM116.2 juta sahaja dalam empat tahun (2008-2011), suatu perbezaan yang amat ketara.

Tetapi ramai yang menyoal tentang kepentingan fakta tersebut dan apa makna dan kaitannya dengan kehidupan seharian orang ramai?

Ramai juga yang kurang faham dengan takrifan kontrak yang diberi secara rundingan terus berbanding yang diberi mengikut tender terbuka.

Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, rundingan terus mengundang pelbagai risiko yang mampu menyebabkan pihak pemberi projek mengalami kerugian.

“Rundingan terus akan menimbulkan risiko antaranya, ketirisan, pembaziran, terlebih pembayaran dan terbagi kontrak kepada syarikat yang tak layak atau tak berkemampuan.

“Semua risiko yang saya sebutkan tadi boleh berlaku berbanding tender terbuka.?

Di dalam proses tender terbuka, kerajaan akan menjemput syarikat untuk mengemukan cadangan bagi melaksana projek.

Setiap syarikat yang layak akan mengemukan permohonan yang lengkap tentang bagaimana ia akan menyiapkan projek termasuk kos yang akan ditanggung.

“Dalam cadangan itu juga kita dapat tahu jenis bahan dan berapa banyak bahan mentah yang terlibat, kita tahu berapa banyak yang kita kena belanja,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor pagi tadi.

Kata Azrul lagi, tender terbuka mengelakkan pembaziran dan amalan kroninisme.

“Kaedah terbaik yang boleh jamin ketelusan, akauntabiliti dan integriti hanyalah melalui tender terbuka.

“Kalau rundingan terus biasanya tentulah kroni atau pihak yang rapat dengan orang yang membuat keputusan biasanya akan dapat projek.

Pokoknya, tender terbuka dapat memastikan yang duit rakyat dimanfaatkan dengan berkesan dalam perlaksanaan projek.

Isu hak milik tanah rizab Melayu muncul di dalam perbahasan apabila ADUN Bukit Antarabangsa Azmin Ali memberitahu sebanyak 76 ekar tanah dikawasan Parlimen Gombak dirampas oleh Umno-BN.

Tanah tersebut diserahkan serta dipindah milik ke salah satu syarikat, Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian di kawasan lain.

Selain Azmin, ADUN Sri Muda Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan ADUN Sri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad turut mendedahkan salah laku berkaitan rizab Melayu yang dilakukan pentadbiran Umno-BN.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang lama bergelumang dengan  isu tanah rizab Melayu berkata Umno tidak pernah menjaga tanah milik komuniti itu.

“Semenjak bila Umno dah tak gadai tanah Melayu? Dari sebelum merdeka lagi sampai sekarang tanah milik orang Melayu semakin terhakis tetapi apa yang Umno buat. Jawabnya, tiada, sebabnya merekalah yang menggadainya.

“Umno gunakan isu Melayu untuk perangkap pihak lain tetapi mereka tak pernah pertahankan hak Melayu seperti tanah Melayu, tanah rizab Melayu dan saham-saham Melayu,” beliau berkata ketika dihubungi.

Belia mendakwa selama 54 tahun parti nasionalis Melayu itu memerintah Malaysia keluasan tanah rizab Melayu hanya tinggal 1.7 juta hektar berbanding 300 juta hektar pada awal kemerdekaan.

Bagaimanapun setelah Pakatan mengambil alih pentadbiran Negeri Abdul Khalid mengambil keputusan merampas kembali kesemua tanah rizab di parlimen Gombak yang diberi ke syarikat Triumph City Development Sdn Bhd.

Abdul Khalid juga menolak permohonan yang dibuat oleh Ketua Umno Puchong Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada Lagi Gemilang Sdn. Bhd yang 75 peratus ahlinya  terdiri dari bukan bumiputera.

Categories
NASIONAL

BN Tiada Pilihan Selain Serang Anwar

KOMENTAR: ‘Anwar Tidak Layak Jadi Pemimpin Negara’. Itulah kenyataan terbaru Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak ketika mengadakan lawatan ke Negeri Sembilan baru-baru ini.

Sebelum ini juga sering terbaca di dada media kenyataan-kenyataan dari pemimpin Umno dipelbagai peringkat bahawa Anwar tidak layak jadi PM.

Secara psikologinya dengan menghubungkaitkan perkataan Anwar dan PM telah memberi isyarat bahawa kebimbangan paling kronik BN terhadap potensi Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) menguasai Putrajaya.

Setelah 12 kali diadakan Pilihanraya Umum (PRU), isu Anwar menjadi PM atau pembangkang menguasai pentadbiran negara tidak pernah wujud.

Bagi para penganalisa politik maupun orang politik, agenda dan strategi politik Umno-BN amat mudah dibaca. Maklumlah setelah lebih 54 tahun menguasai negara. Skrip dan sejarah Umno tidak pernah berubah walaupun perlaksanaannya agak berbeza.

Secara rawaknya, apa yang ditakuti pemimpin-pemimpin Umno-BN akan diterjemah dalam bentuk menyerang atau menyalahkan pembangkang.

Lebih hebat dan kuat diserang menunjukkan itulah yang ditakuti atau cuba dihindari.

Mengapa Anwar di serang

Menurut Ketua DAPSY Pusat, Anthony Loke yang pernah di temubual penulis suatu ketika dahulu menganggap tindakan menyerang Anwar disebabkan Anwar di lihat sebagai pencetus kesedaran rakyat terhadap kezaliman Umno-BN.

Selain itu menurut MP Rasah itu lagi, Anwar juga dilihat sebagai lambang kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Kata beliau, Karisma Anwar yang berjaya menyatukan PAS-DAP-PKR dalam PR telah memberi ancaman besar kepada dominasi BN yang telah menguasai negara sejak 54 tahun.

Kenyataan Loke tersebut memberikan pelbagai gambaran bahawa rakyat telah berjaya melihat suatu pilihan baru menerusi kuasa politik untuk menyingkirkan Umno-BN.

Cubaan menjatuhkan Anwar bermula sejak zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM. Anwar cuba di singkir Dr Mahathir disebabkan tindakan Anwar yang lantang mengkritik beliau yang membantu anak-anak serta para kroni.

Dr Mahathir cuba mencari kesalahan Anwar berhubung apa-apa amalan kronisme atau rasuah setelah hampir lapan tahun Anwar berada dalam kerajaan. Namun tidak ditemui sebarang kes.

Sebagai langkah terakhir, Dr Mahathir terpaksa menyingkirkan Anwar menggunakan jalan tidak halal. Anwar di fitnah berhubung isu moral yang sengaja dicipta sehingga bekas timbalannya itu di penjara selama enam tahun.

Anwar dibebaskan ketika Tun Abdullah menjadi PM disebabkan beliau menyedari tindakan memenjarakan Anwar merupakan tindakan fitnah Dr Mahathir untuk menamatkan kerjaya MP Permatang Pauh tersebut.

Tindakan tersebut telah mengundang kemarahan Dr Mahathir yang amat sangat kepada Abdullah. Hinggakan setiap kenyataan Dr Mahathir hingga ke saat ini pun sering menyerang Abdullah dalam apa jua keadaan.

Selepas tamat PRU 12 lalu dan setelah Najib dipilih menjadi PM, Dr Mahathir turut mengambil peranan aktif membantu Najib.

Setelah menyaksikan kemampuan PR menguasai lima negeri termasuk Wilayah Persekutuan, Najib dan Dr Mahathir mula merasakan gelombang kebangkitan reformasi  rakyat semakin aktif.

Andai ketika Di zaman Dr Mahathir rakyat bangun dan memprotes dijalanan kini di parlimen dan di media seperti blog, facebook, twitter dan media-media alternatif semakin galak mendedah pelbagai penyelewengan kerajaan.

Akhirnya mungkin di atas nasihat Dr Mahathir dan Penasihat Yahudi APCO, Najib cuba mengulangi skrip lama menyerang Anwar.

Pembebasan Anwar dari fitnah Liwat 2 ketika gerakan 901 lalu tidak terhenti disitu sahaja. Malah menjadi bertambah hebat.

Hinggakan tidak ada satu hari pun media-media milik kerajaan berhenti menyerang Anwar.

Begitu juga dengan media-media yang dahululunya menyiarkan bahan-bahan ‘fair story’ seperti Sinar harian juga tidak lagi bersifat sebagaimana sebelumnya.

Hal ini bukan suatu yang menghairankan kerana hampir setiap kali dekat PRU, pemimpin-pemimpin Umno-BN akan bertindak menaja beberapa muka surat di akhbar.

Apatah lagi keluaran Sinar Harian edisi Selangor. Setelah peruntukan RM2.71 bilion dari duit titik peluh rakyat diberikan kepada Umno Selangor, dana tersebut boleh diperguna untuk tujuan tersebut.

Kalau anda kurang yakin, cuba lihat Sinar Harian edisi Selangor sejak kebelakangan ini dari muka surat hadapan hingga muka surat tiga atau empat. Hampir kesemuanya menjurus ke arah menyerang atau memperlekeh kerajaan Pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Perlu jua di ingat Anwar Ibrahim merupakan penasihat ekonomi Selangor. Memperkecil, memperlekeh atau menyerang kerajaan Selangor juga bertujuan menyerang Anwar secara halus.

Takut Dihakimi rakyat

Rakyat juga telah bosan dengan amalan rasuah, kronisme, salahguna kuasa, ugutan dan sogokan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno-BN selama ini.

Selain itu kemampuan PR membongkar pelbagai penyelewengan berserta fakta-fakta sahih menjadikan Umno-BN semakin terdesak dan sukar melepaskan diri.

Penyelewengan yang berjaya dibongkar PR berhubung penyelewengan dana rakyat NFC berjumlah RM250 juta melibatkan seorang menteri yang juga Ketua Wanita Umno berjaya meyakinkan rakyat berhubung keupayaan PR.

Begitu juga dengan amalan kenyataan yang menjadikan bukti dan fakta membuktikan integriti serta karisma PR dilihat amat sihat dimata rakyat.

Sebagai jalan keluar Umno-BN cuba mencari jalan mencari kelemahan dalam kerajaan-kerajaan negeri PR namun kesemuanya bersifat tuduhan dan fitnah dan tanpa bukti.

Akhirnya hanya retorik dan fitnah dijaja didada media milik kerajaan.

Katak-Katak mula beraksi

Tindakan Anwar menyaman Utusan Malaysia awal Mac lalu sebanyak RM100 juta menjadikan akhbar tersebut semakin gelabah.

Tindakan saman tersebut mmberi kesan yang besar kepada integriti media tersebut. Sebelum ini beberapa kes fitnah oleh media arus perdana dimenangi oleh pemimpin PR Seperti kes Mahfuz Omar.

Sebagai jalan keluar, media tersebut cuba mendapatkan ‘katak-katak’ untuk menyerang kembali Anwar. Sebagaimana kebiasaannya katak-katak ini melemparkan retorik politik tanpa fakta.

Bagi katak-katak tersebut inilah masanya yang amat di nanti-nantikan kerana berpeluang untuk menarik perhatian Najib dan pemimpin-pemimpin Umno.

Ini juga peluang untuk membolehkan mereka dipilih oleh Najib untuk menjadi calon dalam PRU 13 nanti. Bagi Najib pula barang siapa yang ‘kuat’ menyerang Anwar, orang itu akan menjadi perhatiannya.

Hal ini di buktikan apabila bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor dan bekas rakan Anwar, Datuk S. Nallakaruppan dilantik menjadi Senator setelah berpaling tadah dan bertindak menyerang Ketua Umum PKR tersebut.

Tindakan Najib ini telah mengundang kemarahan ramai pemimpin-pemimpin Umno yang telah lama berjuang dalam Umno namun tidak diberi perhatian.

Hal yang sama berlaku kepada ramai lagi katak-katak yang kebelakangan ini diberi ruang di media milik Umno.

Mengulas hal ini, Anwar dalam ucapan ketika di Malam Terakhir Konvensyen PR di Alor Setar lalu berkata “Barang siapa yang mengata atau mengaibkan saya ketika ini akan mendapat saham yang tinggi dari Najib.

Justeru tindakan bijak Anwar enggan melayan katak-katak ini telah menjadikan mereka semakin resah. Niat untuk menarik perhatian Najib serta pemimpin-pemimpin tertinggi Umno menjadi punah.

Alih Perhatian

Berdasarkan fakta kewartawanan, tindakan media milik Umno yang menyerang Anwar bertali arus bertujuan mengalih perhatian dan tumpuan rakyat berhubung pelbagai kelemahan dan kepincangan dalam kerajaan.

Rakyat cuba di cuaikan dengan budaya fitnah, prono dan mengaibkan orang lain sebagai suatu pelarian yang tidak bermoral.

Tidak ada jalan lain yang dilihat oleh Najib dan pemimpin-pemimpin Umno termasuk penasihat Yahudi APCO selain mengaibkan Anwar di mata rakyat.

Negeri-negeri PR telah terbukti berjaya dalam pentadbiran baik di Selangor, Pulau Pinang , Kelantan dan Kedah.

Keempat-empat negeri ini merupakan empat negeri teratas penyumbang kepada kemasukan pelaburan asing (FDI) kepada Malaysia. Manakala Selangor pula menyumbang sebanyak 22 peratus dari pendapatan ekonomi negara.

Retorik kononnya berlaku pelbagai penyelewengan dalam kerajaan PR hanya merupakan momokan tak berasas yang dihidang oleh media milik Umno.

Sedangkan apabila dipinta bukti dan fakta pelbagai alasan kosong dikemukakan.

Timbalan Perhubungan Umno Selangor, Noh Omar pernah pada awal Mac lalu menyatakan beliau memperoleh bukti berlaku penyelewengan pasir di Selangor. Justeru beberapa pemimpin PR mencabar beliau membuktikannya di sesi SELCAT. Namun beliau gagal untuk hadir memberi keterangan.

Media ikat tangannya kebelakang

Dalam konteks politik, PR sememangnya mengharapkan media arus perdana ini terus bersikap sedemikian. Ini disebabkan bukan sekadar amalan kebebasan media namun jauh dari itu.

Tindakan membiarkan media arus perdana tenggelam dalam arus dan mitosnya tersendiri menguntungkan PR. Bayangkan dengan adanya sembian saluran media eletronik, 27 saluran radio dan hampir 12 saluran media cetak harian Umno-BN sedang berada dalam keadaan tidak selamat dalam PRU 13 ini.

Sedangkan pembangkang dan PR hanya memiliki tiga saluran media cetak, Harakah, Suara Keadilan, Selangor Kini yang terbitannya seminggu sekali. Pun begitu penjualannya juga amat terhad hanya dibeberapa lokasi yang dibenarkan sahaja.

Manakala media eletronik pula sekadar dibeberapa sesawang alam maya yang diasaskan oleh individu yang simpati dengan perjuangan PR.

Selain itu kekangan media yang keterlaluan di kenakan kepada media milik PR. Setiap berita dan laporan perlu menyertakan bukti dan fakta yang benar dan tepat kerana sentiasa dipantau oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Tersilap perkataan atau fakta, para editor akan dipanggil dan dipersoal. Penulis sendiri pernah dikenakan tindakan dipanggil oleh KDN walaupun tidak terdapat apa-apa kesalahan dalam penulisan tetapi sengaja cuba ditakutkan oleh KDN.

Sedangkan media milik Umno diberi sebegitu besar imunit.

Gejala inilah yang menjadikan pengamal media pembangkang lebih matang dan mampu mengenalpasti kehendak dan permintaan rakyat dari pelbagai lapisan.

Pemimpin perlu jiwa yang besar

Momentum rakyat yang mahukan keadilan dalam pelbagai isu termasuk menghalang budaya fitnah dan prono semakin menular. Malah rakyat juga faham tindakan menyerang Anwar bertujauan mengalih perhatian rakyat berhubung pelbagai kelemahan dan penyelewengan dalam kerajaan.

Najib sendiri dalam kenyataannya berhubung isu kebocoran maklumat mesyuarat felda baru-baru ini membuktikan lagi keyakinan rakyat terhadap Umno-BN semakin susut.

Hinggakan segala maklumat sulit kerajaan dibocorkan oleh rakyat yang tidak sanggup lagi bersengkol dengan kerajaan yang melakukan pelbagai penipuan terhadap dana rakyat.

Rakyat juga tidak rela lagi diperbodoh dan menjadi kuda tunggangan pemimpin-pemimpin gila rasuah dan kronisme.

Rakyat sudah bosan dengan segala penipuan dan salah guna kuasa pemimpin-pemimpin Umno-BN yang telah lebih 50 tahun menipu rakyat.

Hakikatnya rakyat sudah ada pilihan untuk menggantikan Umno-BN dari terus bermaharajalele meratah khazanah negara.

Anwar Ibrahim atau sesiapa sahaja boleh menjadi PM walau pun isterinya tidak punya koleksi beg tangan puluhan pasang atau cincin berlian bernilai RM24 juta.

Categories
NASIONAL

Najib Gagalkan Agenda Muhyiddin?

KOMENTAR: Akhirnya Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil mengambil keputusan meletak jawatan selepas hampir lima bulan bergelumang dengan skandal penyelewengan NFC yang dikaitkan dengan suami beliau.

Namun Shahrizat masih mempertahankan kedudukan beliau sebagai Ketua Wanita Umno. Beliau sedar kedudukan beliau sukar ditandingi atau dicabar oleh timbalan maupun para exco wanita. Walhal skandal yang membabitkan suami Shahrizat tersebut boleh digunakan untuk menyingkirkan beliau sekiranya ada calon wibawa yang mampu mencabar Shahrizat.

Shahrizat pula menyedari kekuatan beliau dalam sayap wanita itu. Malah bukan sekadar tuan empunya diri yang sedar akan kekuatan yang dimiliki beliau malah seluruh anggota Umno pun tahu.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak pun tahu dan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun sedia maklum. Maka tidak hairanlah Shahrizat dan sayap wanita itu menjadi pertaruhan untuk memastikan kemenangan dalam setiap pemilihan yang di adakan.

Najib bertindak memberikan jawatan menteri kepada Shahrizat melalui laluan Senator setelah tewas kepada anak Anwar Ibrahim, Nurul Izzah di Lembah Pantai.

Muhyiddin adalah antara orang yang lebih kehadapan melihat potensi Shahrizat berbanding Najib. Atau dalam lain perkataan, bacaan politik Muhyiddin lebih tajam berbanding Najib.

Ini disebabkan dunia politik Najib banyak bergantung kepada populariti bapa beliau, Tun Abdul Razak. Beliau datang dari keluarga bangsawan yang tidak memahami pahit jerit rakyat bawahan.

Najib juga banyak menumpang dari kekuatan orang lain termasuk dari Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk naik ke pentas politik. Begitu juga sikap ‘palaysafe’ beliau yang hanya mencuri peluang serta cuba mengelak dari sebarang risiko menjadikan beliau di lihat bersih.

Lantaran itulah setelah dilantik menjadi pemimpin tertinggi negara, beliau terpaksa menggunakan penasihat Yahudi, APCO bagi membantu pentadbiran beliau walaupun terpaksa membayar RM77 juta setahun.Ini disebabkan beliau tidak mempunyai idea serta takut berhadapan risiko.

Berbeza dengan Muhyiddin yang lahir dalam keluarga yang ada siasah agama dan ulama. Ahli Parlimen Pagoh tersebut telah di uji dengan pelbagai pengalaman dan gelumang tendang terajang politik dari bawah.

 

Usaha singkirkan Najib

Ketika Tun Abdullah dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2003, beliau mengambil masa selama empat bulan untuk melantik timbalan beliau.

Dari dua calon, Najib dan Muhyiddin, akhirnya Najib di pilih walaupun Abdullah mahukan Muhyiddin. Pemilihan Najib disebabkan pelbagai faktor. Selain tekanan termasuk dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan alasan ‘status quo’ dalam Umno, Abdullah juga banyak menerima tekanan dari orang-orang Najib yang banyak menguasai kontrak-kontrak kerajaan sejak zaman Dr Mahathir lagi.

Sebagai pemimpin tertinggi negara, Abdullah cuba meredakan keadaan dan melantik Najib sebagai Timbalannya disebabkan Pilihanraya Umum ke-11 (PRU 11 )akan di adakan.

Selepas mencapai kemenangan besar dalam PRU11, Abdullah meletak Muhyiddin sebagai Menteri Pertanian. Posisi Menteri Pertanian dilihat sebagai kementerian yang bukan dianggap ‘glamor’ dan berprestaj. Namun Abdullah melihat dari sudut yang berbeza.

Kementerian Pertanian yang di ketuai Muhyiddin telah di naiktaraf oleh Abdullah menjadi Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani. Abdullah juga menjadikan motto pertanian sebagai sebuah Industri yang komersil dan bukannya hanya keperluan untuk cukup makan.

Justeru Abdullah telah memberikan peruntukan yang besar kepada kementerian dibawah Muhyiddin sesuai dengan kementerian yang diberi tugas untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sebuah industri komersil.

Dengan peruntukan yang sebegitu besar bukan sahaja membolehkan beberapa projek mega baru dilaksanakan malah membolehkan lebih banyak peruntukkan diberikan kepada kumpulan sasaran di kementerian tersebut

Dalam masa yang sama ini akan membolehkan Muhyiddin mendekati ketua-ketua Umno Bahagian, cawangan serta para ahli Umno di semua peringkat yang terdiri dari para petani, pekebun, penternak, nelayan dan peladang di seluruh negara.

Harapan Abdullah dengan memberikan ruang dan peluang yang luas kepada Muhyiddin mendampingi akar umbi Umno akan membolehkan Ahli Parlimen Pagoh tersebut kekuatan sokongan untuk menandingi Najib dalam pemilihan nanti.

 

Keluarga Shahrizat di beri Projek RM250 juta

Di atas perkiraan lain, Abdullah dan Muhyiddin masih menaruh kesangsian terhadap sokongan wanita memandangkan kebanyakan ketua-ketua Bahagian, Ketua-Ketua Cawangan serta ahli akar umbi yang terlibat dalam kementerian dibawah Muhyiddin terdiri dari para pemuda dan veteran Umno lelaki.

Malah Abdullah dan Muhyiddin tidak bimbang dengan sokongan dari Pemuda Umno kerana menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin menguasai sayap pemuda.

Bagi mendapatkan sokongan wanita secara pukal, suatu usaha perlu dilaksanakan. Malah Abdullah dan Muhyiddin sedia maklum akan kekuatan yang dimiliki oleh Ketua Wanita Umno, Shahrizat Jalil.

Dalam pergerakan wanita pula amat mudah untuk di kuasai asalkan ketuanya dapat ditawan.Bak lembu yang dicucuk hidung, kemana tali di arah kesitulah si lembu akan terarah.

Sebagaimana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini bahawa adalah mustahil Shahrizat tidak megetahui projek lembah daging Gemas bernilai RM250 juta yang diberikan kepada suami beliau, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Sedangkan sebagai seorang menteri kabinet serta orang lama yang telah berada dalam kabinet dan politik adalah juga mustahil bagi Shahrizat tidak menyedari konflik kepentingan apabila projek tersebut diberikan kepada keluarga beliau.

Melainkan ada pihak yang memberi jaminan kepada beliau bahawa ‘agenda sulit’ tersebut tidak akan terbongkar selagi kuasa berada didalam tangan pihak yang menawarkan projek tersebut.

Atau Shahrizat dijanjikan ‘imbuhan’ yang lebih besar sekiranya matlamat menjatuhkan Najib tercapai.

Atau pun Shahrizat begitu yakin dengan ‘strategi’yang dirancang sehingga lupa akan nasib yang akan menimpa beliau sekiranya agenda tersebut gagal atau dibongkar.
Dilema Najib

Sebagai orang lama dalam politik, mustahil juga Najib tidak dapat membaca agenda yang sedang di atur terhadap beliau. Beliau juga mungkin telah lama sedar sebagai pemimpin numbor satu, Abdullah akan melakukan ‘check and ballence’ terhadap timbalannya.

Malah mungkin juga agenda dan pakatan Abdullah-Muhyiddin juga telah lama disedari namun beliau berdiam diri dan mengunggu masa yang sesuai.

Najib juga bertindak menangguhkan pemilihan barisan baru dalam Umno yang seharusnya berlangsung tahun lalu ketika perhimpunan Agong Umno. Tindakan Najib tersebut mungkin disebabkan beliau telah menghidu pakatan muhyiddin.

Tindakan Ketua Audit Negara yang membongkar kelemahan projek Lembu Daging Gemas (NFC) ketika era Najib menjadi pemimpin tertinggi negara juga mengundang persepsi yang pelbagai.

Sebagaimana Abdullah dahulu yang terpaksa menerima Najib di saat menjelang PRU 11 lalu mungkin digunakan Najib sekarang bagi meredakan keadaan.

Demam PRU 13 yang sedang hangat bertiup memaksa Najib untuk tidak membuat ‘perang terbuka’ terhadap timbalannya maupun pada Shahrizat. Sebaliknya Najib cuba memperkuda kudrat dan pengaruh Muhyiddin untuk memastikan BN berkuasa selepas pilihanraya umum nanti.

Dalam keadaan serba terdesak Najib terpaksa mencari pelbagai helah dan ‘flip-flop’ untuk memperkatakan status Shahrizat dalam kabinet dan parti.

Najib juga terpaksa menanggung pelbagai tanggapan ahli-ahli Umno berhubung tindakan berdiam diri beliau. Malah Dr Mahathir turut menggesa Shahrizat meletak jawatan namun Najib tetap membisu.

Najib takut Shahrizat ‘membalas dendam’ sekiranya memaksa Shahrizat meletak jawatan disebabkan kekuatan Shahrizat dalam pergerakan wanita.

Apa yang pasti Shahrizat telah meletak jawatan sebagai anggota jamaah menteri Najib tetapi masih mahu mempertahankan jawatan sebagai ketua Wanita.

Shahrizat juga tahu sekiranya beliau masih menerajui pergerakan wanita selagi itulah Najib tidak berani ‘menyentuh’ beliau.

Najib pula tidak berapa pasti pendirian dan pegangan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu Abdullah.

Walaupun baru ‘disogok’ dengan jawatan sebagai peneraju Permodalan Nasional Berhad (PNB) namun ‘petroitisme’ Khairy terhadap beliau masih tidak diuji.

Categories
NASIONAL

PRU 13 Awal Tahun Depan?

KOMENTAR,8 MAC: Ramai menyangka Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) semakin hampir. Maksud ‘semakin hampir’ tersebut disebabkan ramai bertanggapan kegelojohan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menjelajah ke seluruh negera sejak kebelakangan ini.

Inilah yang dilakukan oleh para Perdana Menteri sebelum ini di saat menjelang PRU. Mungkin betul juga tanggapan tersebut, namun ramai yang tersilap kerana tidak melihat kronologi dan nasib Umno dahulu dan sekarang.

Tindakan para Perdana Menteri sebelum Najib ketika Umno-BN sedang berada dalam posisi gah, sehinggakan calon yang bertanding atas tiket Umno itu terdiri dari tunggul kayu atau kura-kura pun boleh menang.

Ketika itu rakyat melihat parti sebagai pilihan bukannya calon sebagimana dilihat rakyat sekarang. Sekarang parti yang didakwa membela nasib orang melayu tersebut sudah hilang auranya dimata orang melayu.

Selepas era Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, orang melayu telah berpecah kepada tiga puak iaitu Umno, PAS dan PKR.

Penolakan orang melayu terhadap Umno amat dirasai ketika PRU ke 10 pada 1999 ekoran pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PRU-10 yang jatuh pada 29 November 1999 itu menyaksikan 42 kerusi parlimen dimenangi pembangkang dengan kemenangan PAS (27), DAP (5) dan Keadilan (10)                                                                                                                                                       

Manakala PRU-12 pada 2008 pula meletakkan Umno-BN gagal menguasai dua pertiga kerusi parlimen disamping hilang lima negeri ditangan Pakatan Rakyat (PR).

Dalam kata lainnya, Umno sedang meniti zaman usang dan orang-orang melayu pula sudah hilang keyakinan terhadap hala tuju parti tersebut.

Dikalangan jentera dalaman Umno juga turut berpecah. Pemuda Umno membentuk dua kem. Satunya berpihak kepada Khairy Jamaluddin dan satu lagi di pihak Mukhriz Mahathir.

Wanita Umno pula terperangkap dengan krisis kredibiliti kepimpinan setelah ketuanya Shahrizat Jalil terpalit dengan projek NFC yang dikaitkan dengan suami beliau.

Desas desus dari kakitangan ‘Tingkat Lima’ pula turut memperkatakan tentang hubungan Najib-Muhyiddin yang hanya mesra kepada media atau berhadapan dengan ahli Umno tetapi dingin ketika bersemuka.

Manakala dikalangan media pula telah wujud kem Najib dan Muhyiddin. Begitu juga dikalangan bahagian-bahagian Umno seluruh negara.

 

Jelajah Najib untuk tenangkan keadaan

Tindakan Najib menjelajah ke seluruh negara dengan membawa pelbagai ole-ole dan suapan politik kepada rakyat bukan memberi petunjuk jelas bahawa pilihanraya semakin hampir.                                                                                                                                            

Namun ia sekadar untuk melihat sambutan Umno terhadap beliau serta kepimpinannya. Umno sendiri tidak mengadakan pemilihan sejak tiga tahun berturut-turut dalam perhimpunan Agong Umno bermula 2009 lalu.

Kepimpinan di cawangan dan bahagian yang ada sekarang dianggap sudah tidak relevan dengan inspirasi Najib menerusi retorik tranformasinya.

Begitu juga  di lima negeri yang jatuh ke tangan PR, Umno dinegeri tersebut tidak dapat mengadakan mesyuarat secara formal kerana ketiadaan pemimpin berkalibar.

Umno negeri pula hanya mengharapkan kedatangan pemimpin-pemimpin tertinggi pusat untuk bermesyuarat atau bertemu secara dua hala di negeri-negeri terbabit.

Kesimpulannya hubungan Najib dengan pemimpin-pemimpin Umno bahagian, cawangan dan negeri agak renggang.

Justeru sebelum diadakan sebarang usaha untuk melaksanakan pilihanraya Najib perlu memastikan sokongan terhadap beliau dan kepimpinannya berjaya menambat hati ahli-ahli Umno.

Sebelum melawat negeri-negeri tersebut, Najib telah menyalurkan sejumlah besar wang dari dana rakyat untuk negeri-negeri PR kepada Umno.

Umno Selangor memperoleh dana paling besar iaitu RM2.71 bilion. Dana dari wang rakyat ini diberikan sebegitu besar berikutan Najib juga merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor.

Perak pula telah menerima RM55.7 juta manakala Umno Pulau Pinang juga memperoleh RM64 uta.

Pemberian-pemberian ini dianggap tindakan paling terdesak Najib kerana wang dari pembayar-pembayar cukai dari titik peluh rakyat negara ini diberikan untuk kepentingan pemimpin-pemimpin Umno.

Najib sudah hilang pertimbangan rasionalnya sehingga tidak dapat membezakan antara wang rakyat dengan wang milik Umno.

Apa pun inilah budaya Umno selama ini yang menganggap harta dan khazanah negara adalah hak milik Umno.

 

Pemilihan Cawangan/Bahagian Umno

Berdasarkan maklumat dalaman, Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor dijangka mengedarkan pekeliling kepada semua cawangan, bahagian dan negeri diseluruh negara menjelang hujung bulan ini.

Sumber dari Putrajaya tersebut berkata pekeliling tersebut diedarkan bagi membolehkan semua cawangan Umno di seluruh negara mengadakan pemilihan pada April dan Mei ini.

Manakala pemilihan di peringkat bahagian akan dilaksanakan Jun dan berakhir Julai sebelum tiba ramadan.

Menurut sumber tersebut Persidangan Agong Umno 2012 belum lagi diputuskan samaada akan dilaksanakan atau tidak pada November dan Disember ini sebagaimana biasa.

Berdasarkan penghujung Ogos jatuh pada Hari Raya Puasa, berkemungkinan besar Perhimpunan Agung Umno akan berlangsung pada November ini.

Memandangkan tempoh PRU-13 akan tamat pada 7 Mac 2013, Najib mempunyai banyak masa. Tidak mustahil PRU-13 tidak akan dilakukan pada tahun ini.

Memang kebiasaan setiap kali diadakan pemilihan, Umno akan bergolak disemua peringkat terutamanya sayap pemuda dan pusat.

Kali ini sayap wanita akan bergolak lebih hebat berikutan Ketuanya, Shahrizat Jalil di kaitkan dengan salahguna wang rakyat oleh suami beliau berjumlah RM250 juta.

Pergolakan kali ini juga menjadi lebih hebat berbanding pemilihan sebelumnya kerana akan dikaitkan sebagai calon yang akan dipilih bertanding dalam PRU-13.

Sekiranya Perhimpunan Agung Umno diadakan penghujung tahun ini dan pemilihan kepimpinan baru di pilih, Najib memerlukan sekurang-kurang tiga bulan untuk menjernihkan keadaan.

 

Calon ‘winable’

Ketika Najib mengadakan lawatan ke seluruh negara baru-baru ini, isu ‘winable candidate’ (calon boleh menang) dijadikan bahan utama dalam setiap ucapannya.

Bagi memastikan calon boleh menang tersebut, Najib perlu mengadakan satu mekanisma dan kaedah saringan yang ketat.

Najib juga tidak mahu mengulangi kesilapan Tun Abdullah yang memilih calon berdasarkan nasihat dari tingkat empat atau cadangan dari peringkat negeri dan bahagian-bahagian Umno.

Saringan pemilihan peringkat cawangan dan bahagian Umno boleh dijadikan asas bagi Najib memastikan senarai baru calon boleh menang yang diinginkan beliau.

Kaedah ini dianggap lebih selamat jika dibandingkan dengan calon yang dikemukakan oleh bahagian-bahagian Umno yang di amalkan sebelum ini.

Cuma persoalan yang mungkin menimbulkan kebimbangan Najib adalah berhubung penguasaan team Muhyiddin yang akan memenangi dan menguasai kerusi-kerusi bahagian.

 

PRU-13 Tahun Depan?

Sekiranya tindakan Najib mengheret PRU-13 ke tahun hadapan dan mengharapkan usaha tersebut akan meletihkan PR kerana menunggu terlalu lama, beliau melakukan kesilapan yang amat besar.

Strategi PR meletakkan Jun depan sebagai tarikh PRU-13 menunjukkan gabungan PKR,PAS dan DAP tersebut berada dalam keadaan siap siaga merangka pelbagai strategi.

Ini disebabkan ruang yang luas tersebut membuka peluang yang lebih lama kepada PR menyampaikan sumber maklumat kepada rakyat.

Apatah lagi pelbagai skandal penyelewengan dan kelemahan Umno dan kerajaan sejak 54 tahun menguasai negara dibongkar satu demi satu.

Begitu juga dengan keadaan ekonomi negara dan dunia semakin menguncup memberikan ‘back fire’ kepada Umno dan kepimpinan Najib.

Kesan akan lebih terasa apabila kerajaan tidak lagi dapat membendung kenaikan harga barang, kenaikan kadar tol dan kenaikan tarif letrik tidak memihak kelebihan kepada Umno-BN.

Walaupun Najib boleh menjaja pemberian sogokan wang yang diberikan kepada rakyat dan Umno sekarang sebagai ‘budi’ yang menunjukkan keperihatinan pimpinannya.

Namun setakat ini budi yang diharap Najib bertukar kepada sokongan rakyat terhadap kepimpinan beliau masih diperingkat retorik dan propoganda media milik Umno/BN.

Realitinya masih belum pasti. Kepastiannya hanya boleh diyakini selepas pihak polis Bukit Aman memberikan maklumat terperinci berhubung sokongan rakyat hasil dari sogokan tersebut.

Kalau pun Najib tetap tega untuk melaksanakan PRU-13 tahun depan kaedah sogokan politik sebagaimana dilakukan sekarang masih mampu dilakukan.

Ini disebabkan Bajet 2013 yang biasanya diumumkan pada penghujung tahun boleh sekali lagi digunakan Najib membeli sogokkan rakyat.

Bayangkan sekiranya Najib mengumumkan peruntukan Bajet 2013 berjumlah RM232.83 bilion sebagaimana Bajet 2012 lalu dan PRU-13 akan diadakan pada March tahun depan?.

Maka kesemua RM232.83 bilion tersebut boleh digunakan untuk tujuan kemenangan dan kepentingan Umno-BN. Umno-BN Selangor pernah melakukan kerja terkutuk ini pada bajet Selangor 2008 lalu.

Selepas tamat PRU-12 pada March 2008, kerajaan PR pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat mengesan ke mana kesemua wang bajet tersebut dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai tiga bulan.

Apa pun Najib perlu pastikan BN wajib menang walaupun timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan PRU-13 kali ini merupakan detik paling getir buat Umno-BN.

Najib juga perlu pastikan kuasa Umno sebagai tunggak BN dikekalkan. Andai ini tidak dapat dibuktikan, Najib dan seluruh pimpinan Umno-BN sebahagian besarnya akan berhadapan dengan kerajaan baru PR.

Sedang barisan pimpinan PR telah menyenaraikan pelbagai penyelewengan, pengkhianatan, rasuah, salahguna kuasa dan pelbagai amalan tidak bermoral sejak 54 tahun Umno-BN memerintah negara.

Detik itu akan tiba jua akhirnya. Justeru Najib punya masa yang secukupnya untuk menilai dan membuat keputusan yang bakal menentukan hidup mati Umno/BN dari pesada politik negara.

Categories
NASIONAL

Penyangak, Penyamun, Perompak Sedang Agih RM2.71B

KOMENTAR: Pada 19 Disember tahun lalu, Perdana Menteri merangkap Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan RM2.71 bilion diperuntukkan untuk Selangor.

Sehari selepas itu Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor pula, Datuk Seri Noh Omar mengeluarkan kenyataan bahawa peruntukan kerajaan pusat untuk membangunkan Selangor lebih besar dari kerajaan negeri yang hanya berjumlah RM1.9 bilion.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengecam tindakan Najib kerana menyalurkan peruntukan yang sebegitu besar wang dari titik peluh rakyat kepada Umno Selangor dan tidak kepada kerajaan Negeri.

Menurut Khalid, wang tersebut seharusnya diserahkan kepada kerajaan negeri supaya semua perbelanjaan dapat dipantau dan di audit serta menepati usaha membantu pembangunan negeri tersebut secara berhemah.

Kini, kesemua RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut tidak dapat dipastikan kemana ia dibelanjakan. Tidak ada pihak yang mengaudit atau memantaunya.

Apakah perancangan yang dilakukan untuk pembangunan rakyat selangor dari wang rakyat tersebut juga tidak ada siapa yang tahu. Yang tahu hanya pemimpin-pemimpin Umno Selangor.

Sebagai Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar adalah antara pemimpin Umno yang tahu kemana wang rakyat itu berlegar.

Noh juga mungkin tahu kantung siapakah yang paling banyak di isi dengan dana dari titik peluh rakyat itu.

Noh pun tidak dapat memberikan jawapan berhubung penyelewengan RM110 juta yang di peruntukan kepada Kementerian di bawah jagaannya. Wang tersebut bertujuan diberikan kepada pesawah-pesawah sebagai insentif hilang entah kemana.
Rakyat pun tak tahu penyelewengan tersebut sehingga didedahkan oleh laporan Ketua Audit Negara. Akhirnya pesawah berdemontrasi   meminta Noh memberikan hak mereka.

Noh kemudiannya diberi peruntukan tambahan oleh Najib sebanyak RM117 juta untuk dibayar kepada para pesawah.
Persoalan kemana wang RM110 juta yang dilesapkan masih tidak terjawab oleh Noh.

Sekarang Noh dipertanggungjawabkan terhadap dana hasil titik peluh petani, pesawah, pembayar cukai yang besar dan kecil bernilai RM2,710,000,000.

Lebih malang wang rakyat tersebut diperuntukan untuk Umno/BN di Selangor dan bukannya untuk seluruh rakyat Selangor.

Demikianlah kesimpulannya bagaimana dana dari titik peluh rakyat tersebut dijadikan hak milik mutlak pemimpin-pemimpin Umno.

Umno telah menjadi tulang belakang komponen BN sejak 54 tahun. Bayangkan berapakah jumlah wang negara dan wang rakyat telah disalah guna untuk kepentingan perompak dan para penyamun ini.

Cuba pula lihat kediaman ketua-ketua Umno di Selangor atau dimana-mana sahaja diseluruh negara. Ada dikalangan kediaman mereka tidak boleh lagi dikategori sebagai rumah atau kondo tetapi bagaikan istana.

Hitung pula jenis kenderaan dan bilangannya yang terpakir dilaman rumah ketua-ketua Umno tersebut.

Dari mana mereka beroleh kekayaan yang sebegitu lumayan?.

Apa yang telah dilakukan oleh Najib dan Noh Omar terhadap wang rakyat bernilai RM2,710,000,000 adalah salah satu dari ribuan deretan salah guna kuasa yang dilakukan oleh Umno sejak memerintah lebih 54 tahun.

Laporan Ketua Audit Negara tahun lalu juga memaparkan berlaku ketirisan wang negara sebanyak RM28,000,000,000 (RM28 bilion) setahun. Ketirisan ini berpunca dari amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan ketidak cekapan pengurusan dan pentadbiran negara.

Mengapa Selangor di Beri RM2,710,000,000

Matlamat Najib menyerahkan wang tersebut kepada penyamun dan perompak-perompak wang rakyat tersebut sememangnya telah di duga.

Namun tidak terduga pula jumlahnya sebegitu besar sehingga merupakan angka tertinggi dalam sejarah yang ‘difraidkan’ kepada Umno negeri.

Pertengahan Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perak mendapat peruntukan RM55.7 juta (RM0.056 bilion) sahaja. Tetapi wang tersebut disalurkan melalui kerajaan negeri.

Dasar tender terbuka Kerajaan Pakatan Rakyat yang menguasai Selangor sejak 2008 telah mengakibatkan ramai ketua-ketua bahagian serta pemimpin-pemimpin Umno negeri pokai dan tak kurang yang hampir muflis.

Selama ini, amalan rundingan terus, komisyen serta rasuah yang dinikmati oleh ketua-ketua Umno bahagian termasuk para Adun telah menjadikan mereka serta kaum kerabat dan kroni-kroni mereka senang lenang.

Amalan tender terbuka dalam Kerajaan PR Selangor sekarang menyebabkan pemimpin-pemimpin Umno hilang sumber pendapatan yang selama ini diperoleh secara mudah.

Dalam budaya Umno pula ‘tiada wang akan hilang kuasa dan pengaruh’. Semua aktiviti melibatkan parti akan dilakukan disebabkan ada peruntukan disediakan. Diringkaskan cerita, tak ada cerita, kerja secara sukarela dalam Umno. Inilah juga perbezaan besar antara Umno dan PR.

Akibat pembudayaan amalan rasuah wang ringgit inilah juga Najib serta pemimpin-pemimpin Umno tidak segan silu menggunakan segala dana dari wang rakyat sebagai hak mutlak milik Umno.

Bak kata bidalan apabila mengamanahkan harta kepada penyangak, maka ia akan membedak-bedakkannya kepada perompak dan para penyamun.

Kini setelah lebih tiga bulan RM2,710,000,000 wang rakyat tersebut sedang diagih-agih secara ‘tiga Abdul’ atau cara perompak dalam filem Nujun Pak belalang.

Tak ada siapa yang tahu.

Habuan masing-masing dah dapat dan setiap habuan mesti disertai kerja dan tugasan.

Maka tak hairanlah dengan pelbagai kenyataan media dibuat oleh pemimpin kecil dan besar Umno sejak kebelakangan ini menyerang pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim.

Serangan-serangan tersebut pula seolah-olah pentadbiran BN di Selangor sebelum ini terlalu maksum. Inilah budaya Umno. Apa yang dilakukan sekiranya tidak mengikut acuan sebagaimana Umno lakukan sebelumnya akan dianggap sebagai salah dan tidak patut.

Pemberian Air percuma yang diperkenalkan TS Khalid sejak mula mentadbir Selangor dahulu dianggap pemimpin Umno sebagai usaha memufliskan negeri tersebut.

Ini disebabkan sebelum ini Umno tidak melakukannya. Bagi Umno khazanah negara adalah untuk diperniagakan kerana kroni dan pemimpin mereka akan mendapat keuntungan dan komesyin.

Selamatkan Maruah Najib

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor yang juga perdana Menteri lahir dari keluarga bangsawan di Pekan. Begitu juga dengan laluan politiknya yang bermula sebagai pengganti bapa beliau, Tun Razak.

Pemimpin Umno sendiri menganggap Najib sebagai pemimpin yang suka ‘Play Save’ dan naik dalam politik di atas sikap tersebut. Beliau tidak pernah dicabar dalam jawatannya sebelum ini kerana bergantung kepada kekuatan orang lain termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam team wawasan.

Beliau yang lahir dalam ‘Golden Bowl’ juga tidak pernah merasai kesusahan. Apa yang dikehendaki semuanya pasti akan dapat.

Apabila diberi peranan mengetuai Umno Selangor untuk menawan kembali selangor dari PR, bukan hal yang mudah bagi beliau.

Walaupun berjaya merampas Perak dengan habuan wang, sogokan dan ugutan kepada beberapa pemimpin ‘bidan terjun’ PR yang menang dalam PRU12 lalu namun situasi di Selangor amat berbeza.

Sebagai pemimpin yang lahir dari keluarga bangsawan maka setentunya egoisnya tinggi dan akan cuba mendapatkan apa yang di peroleh dengan apa kaedah sekali pun.

Maka taklah salah Najib pernah berkata bahawa beliau dan Umno Selangor akan lakukan apa sahaja untuk menawan kembali Selangor dari PR. Dalam lawatan Najib ke Selangor semalam beliau berkata “Apa lagi yang hendak semua dah dapat, pendayong sudah ada di tangan, perahu sudah boleh berlayar dan jala sudah ada di tangan, ayuh kita terus pastikan kemenangan.”

Sejumlah RM2,710,000,000 wang dari harta milik rakyat Malaysia digunakan untuk memenohi tuntutan serakah anak Bangsawan Pekan tersebut menjadi bukti dari kata-kata tersebut… dan wang tersebut sudah habis dibedak hanya dalam masa tiga bulan. Demikianlah rakusnya wang rakyat diperkuda oleh pemimpin-pemimpin Umno.

Justeru dengan wang dari titik peluh rakyat itulah akan diperguna untuk dianugerahkan kepada pemimpin-pemimpin Umno supaya membuat pelbagai onak kepada pentadbiran Khalid.

Bukan setakat itu, wang tersebut juga akan digunakan untuk menyogok, merasuah dan mengugut pengundi.

Kepada rakyat Selangor diharapkan setiap pemberian dari mana-mana pemimpin Umno perlu diambil malah perlu diminta kerana wang tersebut bukan hak milik Umno tetapi wang rakyat.

Pemberian tersebut bukan dari Umno tetapi dari dana rakyat yang telah disamun oleh para penyangak dan perompak.

Amalan mencuri dan menyamun wang rakyat ini tidak akan berakhir selagi Umno diberi mandat untuk terus berkuasa di Selangor atau mana-mana negeri di Malaysia ini.

Begitu juga dengan amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa yang membabitkan wang rakyat akan terus diseleweng dan diperguna untuk kepentingan peribadi, sanak famili dan para kroni.

Keangkuhan dan egois Najib dan Noh perlu ditamatkan. Selangor adalah negeri yang kaya dengan hasil negerinya. Inilah yang menjadi rebutan Najib disebabkan wang negara semakin susut disebabkan sikap boros dan terlalu ‘berimej’ tanpa memikirkan kemampuan kewangan negara.

Apa pun, bagi penyangak, penyamun dan perompak, ini bukanlah masa untuk menghitung satu persatu harta negara yang diperguna kerana kuasa mereka semakin terhakis.

Apabila tanpa kuasa atau Selangor gagal di tawan dan Putrajaya gagal di kekalkan nasib mereka akan ditentukan oleh kerajaan baru PR.

DAN…. semestinya semua ini akan di perhitung. Apa yang pasti penyangak, penyamun dan perompak akan di adili di mahkamah rakyat.

Ketika itu, Najib, Noh dan pemimpin-pemimpin Umno akan lebih memahami maksud sebenar berhubung HAK RAKYAT dan HAK UMNO.