Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

13 naskhah komik kontroversi dirampas

GEORGE TOWN, 24 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menyerbu dan membuat pemeriksaan di Muzium Kebudayaan Komik di Komtar, di sini serta merampas 13 naskhah komik kontroversi ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ versi bahasa Cina.

Difahamkan serbuan itu dilakukan oleh sepasukan lima anggota penguat kuasa KDN pada jam 11 pagi dan pemeriksaan dijalankan selama sejam sebelum menemui 13 naskah komik itu yang dipamerkan di muzium berkenaan.

Sumber berkata, rampasan komik itu berikutan keputusan KDN semalam untuk mewartakan perintah larangan terhadap komik terbabit termasuk dalam versi bahasa Inggeris dan Cina kerana cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme selain menyebarkan fakta salah serta mengelirukan.

Sementara itu, seorang pekerja wanita di muzium tersebut, yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka tidak dimaklumkan oleh pihak pengurusan muzium berhubung larangan terhadap komik berkenaan.

“Pihak pengurusan juga tidak memberikan sebarang arahan untuk tidak mempamerkan komik itu atau menutup operasi muzium, setakat ini kami beroperasi seperti biasa iaitu bermula jam 11 pagi hingga jam 7 malam,” katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika bercakap dengan pemberita di lobi Parlimen hari ini berkata, KDN mempunyai asas kukuh mengharamkan komik itu kerana boleh memudaratkan ketenteraman serta keselamatan awam.

Beliau menegaskan keputusan mewartakan larangan terhadap komik berkenaan bukan berdasarkan kepada sentimen atau politik.

Menurutnya, KDN akan melakukan tindakan susulan dan merampas komik berkenaan jika masih dalam edaran di pasaran.

Sesiapa yang melanggar perintah larangan itu dengan mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, menawarkan untuk menjual atau memiliki komik terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

– BERNAMA