Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Buang sampah haram, pemilik lori dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Seorang pemilik lori didenda RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana membuang sampah haram berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Serendah bulan lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan diambil serta-merta berdasarkan gambar dan nombor pendaftaran kenderaan pelaku yang diadukan orang awam.

“Berdasarkan maklumat, lori itu didaftarkan bawah sebuah syarikat dan pemilik didapati membuang sisa makanan di luar tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemilik lori dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 5, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalur maklumat kepada MPHS supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung,” kata Mohd Hasry.

Sebarang aduan atau laporan boleh dibuat melalui laman web SISPAA di pautan https://selangor.spab.gov.my/ atau hubungi talian 03-6064 1331.

Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran, kompaun MBSA di Aeon Shah Alam pada Sabtu

SHAH ALAM, 9 MAC: Orang ramai boleh menyemak dan membayar cukai taksiran serta kompaun di pejabat bergerak Shah Alam On Wheels di parkir terbuka Aeon Shah Alam pada 12 Mac ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kemudahan lain termasuk kaunter aduan, semakan status lesen komposit dan penjaja serta jualan buku pelan setara mulai 11 pagi hingga 5 petang.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad, platform itu memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak Majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 013-3380551.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

36 premis industri di Klang dikompaun RM414,000 cemar alam sekitar

SHAH ALAM, 20 FEB: Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Selangor mengeluarkan 207 kompaun berjumlah RM414,000 ke atas 36 premis perindustrian yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

JAS Selangor berkata ia merupakan hasil Op Gempur selama tiga hari bermula Selasa lepas yang dilaksanakan oleh 34 pegawai penguat kuasa yang membuat pemeriksaan ke atas 54 premis di kawasan perindustrian Klang Utara.

Selain itu, katanya JAS juga telah mengenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) ke atas dua kilang yang melakukan kesalahan serius mencemarkan alam sekitar.

“Tindakan memberhentikan sementara operasi kilang ini diambil bagi memastikan langkah kawalan dan pembaikan segera dapat dijalankan oleh pihak terbabit dalam usaha menangani kejadian pencemaran yang berlaku,” katanya.

JAS Selangor sentiasa komited dan memandang serius mengenai kesalahan membabitkan pencemaran alam sekitar dan orang ramai boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau e-mel ke [email protected] atau ke portal https://[email protected] untuk melaporkan sebarang aduan berkaitan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, Khairy arah KKM kompaun Hishammuddin, pemimpin BN

JOHOR BAHRU, 13 FEB: Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC di Stadium Educity, Iskandar Puteri hari ini, kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19.

Turut berdepan tindakan kompaun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC Tan Sri S.A Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

“@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” menurut ciapan beliau.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 hadir pada majlis berkenaan.

Ini adalah kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah langgar SOP ketika berhibur, 154 individu dikompaun RM155,000

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Seramai 154 individu dikompaun berjumlah RM155,000 kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika berhibur di sebuah premis hiburan di Jalan Telawi 2, Bangsar Baru semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan pada 10.52 malam, polis telah menahan pengurus premis berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan lapan pekerja lelaki warga asing kerana menjalankan perniagaan pusat hiburan tanpa lesen.

“Polis turut membuat rampasan antaranya resit perniagaan, minuman keras, mikrofon dan pelbagai aksesori atau peralatan muzik,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1952, Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Amihizam menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pusat hiburan yang melanggar SOP PPN untuk memastikan rantaian Covid-19 dapat diputuskan.

Beliau juga meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai yang berdekatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur program hari Keluarga Malaysia dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Penganjur program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19.

Kompaun itu dikeluarkan kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU), Jabatan Perdana Menteri iaitu penganjur program itu yang berlangsung bermula Khamis hingga Ahad ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan hari ini berkata kompaun tersebut dikeluarkan kepada pihak penganjur bagi kesalahan gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).

Susulan itu, katanya kaunter diskaun pembayaran saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang disediakan di KLCC ditutup serta-merta bermula petang ini.

“Maklumat lanjut mengenai kaedah pembayaran saman dan tawaran diskaun akan dimaklumkan oleh pihak PDRM. KKM akan terus memantau perjalanan program ini dan tidak akan teragak-agak mengeluarkan lagi kompaun kepada pihak penganjur sekiranya gagal memastikan pematuhan SOP,” katanya.

Susulan pengungkaian Ordinan-Ordinan Darurat di Dewan Negara pada 8 Dis lepas, nilai kompaun maksimum yang boleh dikenakan kepada individu dan pertubuhan ataupun organisasi adalah RM1,000.

Menurut Khairy penganjuran majlis yang sepatutnya mempamerkan pencapaian 100 hari kerajaan serta semua kementerian dan agensi terlibat, telah dicemari dengan kegagalan penganjur memastikan kepatuhan kepada SOP dan kegagalan pengunjung untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

Katanya penganjuran majlis rasmi kerajaan seumpama itu sepatutnya memberikan contoh terbaik dan menjadi teladan serta penanda aras kepada agensi-agensi lain termasuk agensi bukan kerajaan dalam aspek pelaksanaan program, pematuhan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

“Kejadian yang berlaku amat dikesali dan mengecewakan apabila pihak penganjur sebelum ini telah menyatakan komitmen untuk memastikan program tersebut akan dianjurkan dengan pematuhan SOP yang ketat di samping aktiviti pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan yang berterusan.

“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, katanya sebagai sebuah kerajaan, mereka seharusnya menunjukkan teladan serta amalan terbaik kepada seluruh masyarakat di samping berpegang kepada standard sama yang dikenakan ke atas rakyat.

— BERNAMA

 

Categories
PBT SELANGOR

MBSA gesa orang ramai manfaat diskaun kompaun hingga 70 peratus

SHAH ALAM, 5 DIS: Individu mempunyai kompaun kesalahan tempat letak kereta diminta memanfaatkan pengurangan bayaran kepada RM10 ditawarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mulai 1 Disember hingga penghujung bulan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan pengurangan kompaun sehingga 70 peratus turut diberi untuk kesalahan Undang-Undang Kecil Kedai Gunting Rambut 1983, Undang-Undang Kecil Taman (MBSA) 2005 dan Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005.

Selain itu, Undang-Undang Kecil MBSA 2007 meliputi establisymen makanan, pengendali makanan, iklan, penjaja, pasar dan perintah pengangkutan jalan.

“Rebut peluang ini untuk menyelesaikan kompaun tertunggak anda. “Hubungi Seksyen Pengurusan Hasil Jabatan Kewangan MBSA di talian 03 5510 5133 sambungan 1658/ 1540/ 1757 dan 1521,” katanya di Facebook hari ini.

Bayaran boleh dibuat di kaunter utama dan pandu lalu Wisma MBSA di Seksyen 14 atau pejabat cawangan Sungai Buloh, Kota Kemuning dan Setia Alam.

Untuk kompaun tempat letak kereta, bayaran boleh dibuat menerusi JomPAY, SnapNPay, Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahmad Zahid, Ab Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP PRN Melaka

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Umno Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 akibat gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua pemimpin itu didapati menjalankan aktiviti kempen ziarah rumah ke rumah serta tidak memakai pelitup muka.

“Kompaun itu dikeluarkan terhadap Ahmad Zahid dan Ab Rauf susulan siasatan ke atas sebuah rakaman video yang tular di media sosial memaparkan dua individu berkenaan gagal mematuhi SOP di sekitar mukim Masjid Tanah, daerah Alor Gajah, dua hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Menurut KKM, kompaun dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: 16 kompaun dikeluar kepada parti politik langgar SOP

MELAKA, 15 NOV: Sebanyak 16 kompaun bernilai RM198,000 dikeluarkan kepada parti politik dan individu yang dikesan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pilihan raya negeri (PRN) Melaka sejak 25 Okt hingga hari ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah berkata daripada jumlah itu, 11 kompaun dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (dua) manakala Pasukan Bersepadu (tiga).

Beliau berkata kompaun dikeluarkan antaranya kerana berkempen dari rumah ke rumah bertujuan mengedarkan risalah kempen secara bersemuka, berkempen di kedai makan secara berkumpulan dan membuat siaran media secara terbuka di lokasi melibatkan kehadiran ramai.

“Selain itu, kesalahan yang turut dikesan ialah mengadakan aktiviti parti di bilik mesyuarat yang kecil dan melanggar SOP yang ditetapkan iaitu satu Dewan Undangan Negeri (DUN) satu tempat mesyuarat serta membuat aktiviti melibatkan kehadiran penyokong yang ramai seperti tinjauan mesra.

“Secara keseluruhan, tahap kepatuhan parti politik yang bertanding pada PRN Melaka adalah 95 peratus dan pemantauan akan terus dipertingkatkan agar pematuhan SOP dipatuhi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka hari ini.

Razali berkata dalam tempoh sama pihaknya membuat 130 laporan polis kerana parti politik melanggar SOP secara bukan kompaun dengan 41 kertas siasatan telah dibuka.

Beliau berkata selain itu, pihaknya meluluskan 62 permit untuk parti politik mengadakan ceramah menggunakan kenderaan bermula 8 Nov hingga hari ini dan kesemua permit berkenaan diluluskan.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya menjalankan beberapa latihan amali untuk mengelakkan pusat pengundian awal diganggu gugat atau berlaku perkara yang tidak diingini.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Padah ingkar SOP, 48 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM240,000

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Sebanyak 48 pengunjung di dua premis hiburan di ibu kota dikenakan kompaun sebanyak RM240,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa Empat pada tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata dalam serbuan itu kedua-dua pemilik premis hiburan berkenaan turut dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 setiap seorang.

Beliau berkata 30 pengunjung dikompaun di pusat hiburan pertama dan 18 pengunjung dikompaun di pusat hiburan kedua.

“Kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam).

“Saringan air kencing turut dilakukan terhadap 23 pengunjung premis hiburan pertama bagaimanapun keputusan semuanya negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Melaka: Penganjur program dihadiri Muhyiddin, Najib dikompaun

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Tiada aktiviti berbentuk perhimpunan berkaitan pilihan raya negeri (PRN) Melaka melibatkan dua bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak, menurut Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Menurut KKM dalam kenyataan, hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka mendapati lawatan Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Najib selaku pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) ke negeri itu baru-baru ini lebih berbentuk “walkabout” atau jelajah mesra.

Bagaimanapun, menurut KKM berdasarkan pemantauan dan siasatan yang dijalankan oleh pegawai diberi kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342], kompaun dikeluarkan kepada penganjur program yang melibatkan kehadiran kedua-dua pemimpin itu berikutan kegagalan pihak penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.

“Satu kompaun RM20,000 telah ditawarkan kepada Perikatan Nasional (PN) Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala kompaun RM4,000 telah dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tawaran kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021,” menurut kenyataan itu.

Mengikut Akta 342 kegagalan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka dan menyediakan pendaftaran MySejahtera boleh dikenakan kompaun.

Kenyataan itu sebagai respons kepada isu tular di media sosial berkenaan kesalahan pelanggaran SOP berkaitan aktiviti PRN Melaka melibatkan Muhyiddin dan Najib.

Menurut KKM, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar mana-mana SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara.

“Pihak KKM dan JKN Melaka dengan kerjasama PDRM akan terus memantau pematuhan SOP khususnya menjelang PRN Melaka sebagai langkah pencegahan daripada berlakunya penularan jangkitan Covid-19.

“KKM menasihati agar semua lapisan masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Pada 24 Okt lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk penganjuran majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BN dikompaun RM10,000 langgar SOP fasa 4 pelan pemulihan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pejabat Kesihatan Kepong telah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada Barisan Nasional (BN) kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi perkongsian dalam platform media sosialnya memaklumkan, kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu dikeluarkan kepada BN susulan penganjuran majlis sosial di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC), malam tadi.

Notis kepada Setiausaha Eksekutif BN Mohamad Sahfri Ab Aziz yang dikongsikan oleh KKM menyebut parti itu melakukan kesalahan mengikut Peraturan 16 (1) PPPAPB (langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan) kerana gagal memastikan penjarakan fizikal yang merupakan arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Notis itu juga memaklumkan kompaun RM10,000 akan habis tempoh pada 9 Nov ini.

Pelancaran Jentera BN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Tun Hussein Onn, WTC itu turut dihadiri Pengerusi parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Pengerusi Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baru-baru ini, KKM menguatkuasakan larangan tidak membenarkan sebarang aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk pelancaran jentera bermula 25 Okt hingga 27 Nov ini.

Menurut SOP Fasa Empat PPN yang dikemas kini Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 22 Okt, penganjuran majlis di dalam dewan atau tempat terbuka dibenarkan dengan kapasiti tetamu 50 peratus ruang penganjuran majlis selain perlu memastikan penjarakan fizikal.

Majlis tidak dibenarkan sekiranya sukar untuk mengawal keadaan apabila terdapat ramai orang pada satu-satu masa dan sukar untuk mengawal keperilakuan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov ini.

– BERNAMA