Categories
AGENDA NASIONAL

43 pengunjung, pemilik pusat hiburan dikompaun langgar SOP

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Seramai 43 pengunjung di sebuah pusat hiburan di sini dikenakan kompaun sebanyak RM235,000, tengah malam tadi.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 27 lelaki dan 16 wanita didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 4 2021 (melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi Kuala Lumpur.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata dalam serbuan itu, kesemua pengunjung telah disaring dan ujian saringan air kencing mereka didapati negatif.

Selain itu katanya, polis turut mengenakan kompaun bernilai RM25,000 kepada pemilik premis berkenaan.

“Polis turut merampas 431 botol pelbagai jenis minuman keras bernilai RM220,500 ekoran kesalahan di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1967 serta rampasan boleh dilucuthak di bawah Akta Kastam 1967.

“Operasi ini akan dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan wabak Covid-19 di negara ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

112 pengunjung pusat hiburan dikompaun RM580,000

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan kompaun sebanyak RM580,000 kepada 112 orang pengunjung sebuah pusat hiburan di sini tengah malam tadi kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kuala Lumpur Datuk Azman Ayob berkata pihaknya juga mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,000 kepada pemilik premis hiburan berkenaan.

“Kompaun ini dikeluarkan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPN 3 2021 (Melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam) semasa tempoh Pelan Pemulihan Negara Fasa 3 bagi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata enam didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak polis juga telah merampas 43 botol minuman keras yang telah dibuka dan 37 botol masih belum dibuka mengikut Seksyen 76 Akta Eksais 1967.

“PDRM akan terus mempertingkatkan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam merealisasikan usaha kerajaan menghentikan penularan Wabak Covid-19 di negara kita,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MBSA tawar diskaun saman parkir sebulan, mulai 1 Oktober

SHAH ALAM, 29 SEPT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menawarkan pengurangan kadar kompaun tempat letak kereta sebanyak RM10 selama sebulan mulai 1 Oktober.

Datuk Bandarnya Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata tawaran itu dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun bandar raya Shah Alam yang ke-21.

“Kempen ini adalah inisiatif MBSA untuk membantu dan menggalakkan orang awam menyelesaikan tunggakan kompaun sebelum tindakan tegas dikenakan terhadap mereka.

“Kita harap masyarakat mengambil peluang ini untuk menjelaskan tunggakan itu dalam tempoh yang diberikan,” katanya pada sidang media sempena inisiatif ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-21 di Wisma MBSA di sini hari ini.

Orang ramai boleh membuat bayaran menerusi saluran JomPAY dengan hanya memasukkan kod bil 6727, nombor kompaun, nombor telefon dan jumlah bayaran atau melalui Maybank2U dan kaunter Bank Muamalat.

Pertanyaan lanjut boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882 atau 03-5510 5133 sambungan 1757, 1658, 1540 dan 1521 atau layari portal MBSA di eps.mbsa.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBPJ periksa tahap pematuhan SOP 34,191 premis sejak Mei

SHAH ALAM, 30 SEPT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan pemeriksaan tatacara operasi piawai (SOP) terhadap 34,191 premis termasuk penjaja sejak 7 Mei sehingga 26 September lalu.

MBPJ menerusi kenyataan memaklumkan daripada jumlah itu 14,356 penjaja diperiksa diikuti premis perniagaan (10,389), premis makanan (3,625), kawasan pasar (2,553), premis lesen berisiko (2,147), kawasan riadah (959) dan sektor industri (162).

Timbalan Datuk Bandar Sharipah Marhaini Syed Ali berkata susulan itu sebanyak 4,071 tindakan penguatkuasaan dilaksanakan iaitu 3,626 kompaun pelbagai dikeluarkan, 230 notis penutupan, 90 sitaan dan 86 amaran lisan.

“Selain itu, 31 premis lagi diberi arahan penutupan manakala lapan kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya MBPJ turut merancang tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh akan dilaksana termasuk rondaan, pemeriksaan, pemantauan bagi memastikan orang awam dan peniaga mematuhi SOP sebaiknya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT wajar kenakan kompaun pengunjung ingkar SOP

KLANG, 27 SEPT: Tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan kompaun kepada pelancong ingkar tatacara operasi piawai (SOP) disokong bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata langkah itu perlu memandangkan jangkitan ketika ini tidak terkawal dan merisikokan ramai individu.

“Kita (PBT) terpaksa buat begitu. Mereka mempunyai kuasa bawah peruntukan MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk saman individu tak ikut SOP.

“Sekarang ada kawasan yang tidak dapat dikawal (ramai pengunjung). Kita tiada pilihan dan terpaksa keluarkan saman,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program PRO500 Trees Sentosa di Pusat Khidmat DUN Sentosa semalam.

Sementara itu Loy Sian turut mengingatkan ibu bapa supaya tidak ghairah membawa anak-anak bercuti kerana penularan wabak masih tinggi.

“Buat masa ini tidak sesuai melancong. Kita pun belum masuk fasa tiga (Pelan Pemulihan Negara). Kalau mahu rentas daerah pastikan lengkap vaksin serta ikut SOP,” katanya.

Bermula minggu depan, Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan mengenakan kompaun kepada pengunjung Pantai Bagan Lalang yang gagal mematuhi SOP.

Yang Dipertua Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam individu dikompaun rentas negeri melancong ke Pulau Redang

KUALA TERENGGANU, 26 SEPT: Seramai enam individu termasuk seorang wanita dikenakan kompaun RM5,000 seorang kerana merentas negeri untuk tujuan melancong ke Pulau Redang di Kuala Nerus.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata kompaun terhadap individu berumur 32 hingga 47 tahun itu dikeluarkan melalui pemantauan Operasi Bersepadu Pematuhan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Bagi Fasa Tiga Dalam Sektor Pelancongan, selama dua hari bermula Jumaat lepas.

Rohaimi berkata daripada enam individu itu, dua didapati merentas negeri dari Kuala Lumpur, dua dari Selangor dan masing-masing seorang dari Pulau Pinang dan Melaka.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran SOP (tatacara operasi piawai) berlaku bagi mengelakkan sebarang peningkatan kes jangkitan dan penularan Covid-19 di Terengganu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaimi berkata tindakan keras juga akan diambil terhadap mana-mana pengusaha resort yang mengabaikan SOP, termasuk membenarkan pelancong dari luar Terengganu menginap dengan tujuan melancong atau lalai dalam memastikan penginap premis mereka lengkap menerima vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengunjung Pantai Bagan Lalang ingkar SOP dikompaun mulai minggu depan

SEPANG, 25 SEPT: Pengunjung Pantai Bagan Lalang, di sini, yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan akan dikenakan tindakan kompaun mulai minggu depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abd Hamid Hussain berkata individu yang ingkar akan dikompaun sehingga RM2,000 manakala RM10,000 bagi syarikat atau perbadanan.

“Penguat kuasa sudah membuat pemantauan sejak dua minggu lalu dan setakat ini mengambil pendekatan bertolak ansur dengan memberi teguran menjaga kesihatan selain meminta pengunjung patuh SOP.

“Sekiranya masih gagal patuh arahan, tindakan lebih tegas akan dikenakan bermula minggu depan,” katanya pada sidang media SOP Bagan Lalang di sini hari ini.

Pada masa sama, Abd Hamid berkata seramai 2,968 pengunjung ke pantai peranginan itu diperiksa sejak 16 sehingga 24 September.

Selain itu katanya 243 premis turut diperiksa bagi tempoh sama dan daripada jumlah itu, 34 daripadanya dikenalpasti gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Jumlah keseluruhan pengunjung dan peniaga yang dikenalpasti tidak lengkap divaksin menerusi pemantauan berkenaan adalah seramai 98 orang dan mereka diarahkan untuk pulang serta-merta,” katanya.

Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan MPSepang dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Pejabat Kesihatan Sepang, Ibu Pejabat Polis Sepang serta Pejabat Tanah dan Galian Sepang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang kimia di Klang dikompaun RM10,000 gagal urus sisa buangan

SHAH ALAM, 21 SEPT: Sebuah kilang kimia di Kawasan Perindustrian Sungai Puloh, Klang dekat sini dikompaun RM10,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor semalam ekoran kegagalan mematuhi beberapa peraturan berkaitan pengurusan buangan terjadual.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi JAS, memaklumkan kilang tersebut turut disiasat berhubung pelepasan air berwarna merah ke longkang awam yang ditemui semasa pemeriksaan JAS pada cuti hujung minggu.

“Sampel air buangan daripada proses kilang telah diambil untuk analisis kimia dan membolehkan tindakan penguatkuasaan lanjut diambil,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis kompaun 12 individu cuba rentas negeri ke Genting Highland

KUANTAN, 16 SEPT: Hasrat 12 individu termasuk dua wanita untuk ke Genting Highlands bukan sahaja tidak kesampaian namun mereka juga terpaksa membayar kompaun RM5,000 setiap seorang kerana merentas negeri tanpa kebenaran polis.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mereka yang berusia 20 hingga 58 tahun itu ditahan di sekatan jalan raya di Kilometer 17 Genting Highlands semalam dan difahamkan bergerak dari Kuala Lumpur.

“Mereka tidak dapat mengemukakan permit merentas negeri kepada polis yang bertugas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaiham juga mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk merentas negeri yang masih belum dibenarkan tanpa kelulusan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Langgar SOP di lokasi tumpuan awam, pengunjung degil dikompuan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bekerjasama dengan polis melakukan pemantauan secara kerap di lokasi tumpuan awam, kata yang dipertuanya.

Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata pihaknya memberi nasihat dan teguran terlebih dahulu berhubung pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), namun kompauan akan dikeluarkan jika pengunjung terus mengingkari arahan.

“Setakat ini kita cuba menasihati dan menegur pengunjung dengan kaedah menggunakan pembesar suara termasuk hebahan SOP agar mereka lebih berwaspada.

“Tiada kompaun dikeluarkan lagi tetapi jika ada yang berdegil kita tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun kepada individu tersebut,” katanya.

Beberapa kawasan rekreasi dan pelancongan sekitar Kuala Langat menjadi tumpuan orang ramai susulan peralihan ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Pada 10 September Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa dua PPN dengan beberapa kelonggaran, termasuk rentas daerah kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin.

Antara kelonggaran adalah pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan rentas negeri, ibu bapa dibenarkan rentas negeri untuk berjumpa anak bawah 18 tahun dan dibenarkan makan di gerai dan restoran.

Turut dibenarkan aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Categories
PBT SELANGOR

Gagal patuh SOP, tujuh premis makanan di Banting kena kompaun

SHAH ALAM, 13 SEPT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengeluarkan 11 notis kompaun terhadap pengusaha tujuh premis makanan di sekitar Bandar Rimbayu, Banting kerana gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

Yang Dipertua Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata notis pelbagai kesalahan dikeluarkan pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada operasi pemantauan SOP dan halangan kaki lima kelmarin.

Menurutnya, kesalahan dilakukan peniaga antaranya beroperasi tanpa lesen yang melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) 3, UUK Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007.

“Lima notis dikeluarkan atas kesalahan meletak meja dan kerusi di kaki lima kedai tanpa permit mengikut Seksyen 46 (1)(d), Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

“Satu notis dikeluarkan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan melebihi masa ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya memaklumkan kesalahan itu mengikut Seksyen 109, Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau berkata tiga notis turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai apron mengikut UUK 8(5), Undang-Undang Kecil Pengendalian Makanan.

“Satu notis kesalahan dikeluarkan kepada peniaga yang mempamerkan iklan tanpa lesen mengikut UUK 7, Undang-Undang Kecil Iklan MDKL 2007,” katanya lagi.

Dalam kenyataan sama, Amirul Azizan berkata pemantauan akan sentiasa dijalankan supaya peniaga dan pelanggan tidak melanggar peraturan PBT termasuk SOP MKN bagi membendung penularan Covid-19

Categories
AGENDA NASIONAL

114,474 permohonan rentas negeri ditolak sejak 1 Jun – polis

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Sebanyak 114,474 permohonan merentas negeri ditolak sejak 1 Jun lepas kerana tidak memenuhi syarat permohonan yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata antara sebab permohonan ditolak adalah kerana gagal menunjukkan dokumen perubatan berkaitan dan bukan pasangan jarak jauh.

Beliau berkata ada juga yang dikesan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan.

“Selain itu, sebanyak 4,670 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 1 Jun lepas,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan kelonggaran bagi penerima vaksinasi lengkap antaranya kebenaran merentas negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh dan ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 10 Ogos.

Kerajaan kemudian turut membenarkan 11 jenis aktiviti ekonomi dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa 16 Ogos.

Kerajaan kemudian memberikan kemudahan tambahan bagi sektor sosial dan ekonomi di negeri Fasa Satu PPN dan seterusnya, termasuk aktiviti boleh makan di premis atau ‘dine-in’ bagi individu yang sudah mendapat dos lengkap mulai 20 Ogos.

Zainal Abidin berkata masyarakat perlu sentiasa mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindari diri daripada terkena jangkitan wabak Covid-19.

“(Kawalan) kendiri (itu) penting. Begitu juga (mereka yang terlibat) dengan sektor ekonomi, mesti mematuhi SOP (setelah diberi kebenaran untuk membuka semula operasi). Pasukan pematuhan SOP (Polis Diraja Malaysia) akan melakukan pemantauan,” katanya.

– BERNAMA