Categories
ADN SELANGOR

Paya Jaras bakal miliki kompleks niaga moden tahun depan

SHAH ALAM, 28 DIS: Kompleks pasar moden bertingkat bakal dibina di Paya Jaras untuk keselesaan peniaga dan pengunjung dari kawasan sekitar.

Wakil rakyatnya Mohd Khairuddin Othman berkata binaan bagi menggantikan tapak pasar malam di situ akan dilaksana pada pertengahan tahun depan.

“Kompleks ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan baharu dan memberi keselesaan kepada peniaga sedia ada serta pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pelan pembangunan pusat niaga itu masih dalam perbincangan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam dan kosnya akan ditentukan kemudian.

Mohd Khairuddin menambah kompleks itu juga bakal memiliki susunan lebih teratur mengikut seksyen barangan basah dan kering.