Categories
AGENDA NASIONAL

Pelakon veteran Zulkifli Zain meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Pelakon veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia di kediamannya di Ukay Perdana pada kira-kira 7.30 malam tadi akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Perkara itu disahkan anaknya, Norzaza ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi isteri, Normala Omar dan anak-anaknya.

Sebelum ini, Zulkifli yang juga bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis, jantung serta buah pinggang dan telah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

Allahyarham memulakan karier sebagai pelakon melalui filem Jiwa Remaja pada tahun 1975 dan telah muncul dalam lebih sepuluh buah filem serta beratus-ratus drama sepanjang menceburi dunia hiburan.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana selepas Zohor esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Lebih 80 peratus pesakit tidak bergejala, bergejala ringan

PUTRAJAYA, 24 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan, lebih 80 peratus daripada pesakit Covid-19 di negara ini adalah pada kategori 1 dan 2, iaitu yang tidak mempunyai gejala dan mempunyai gejala ringan.

Katanya, jika seseorang itu dapat di kesan pada peringkat awal dan kemudiannya disaring positif, beliau akan terus dimasukkan ke dalam wad dan akan dipantau, walaupun mereka tidak menunjukkan gejala.

“Lebih 80 peratus daripada pesakit kita adalah dalam kategori 1 dan 2, bererti kita dapat pantau (mereka) di hospital dan mungkin ada negara lain tidak dapat masuk hospital pun, hanya dipantau di rumah,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada komplikasi seperti pembekuan darah dan strok dikesan dalam kalangan pesakit seperti yang dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat.

Dr Noor Hisham menjelaskan, daripada segi perkembangan rawatan Covid-19, di Malaysia apa yang penting ialah mengenal pasti pesakit pada peringkat awal.

Katanya, terdapat lima kategori iaitu; tidak bergejala, bergejala ringan, radang paru-paru yang tidak memerlukan oksigen, radang paru-paru yang memerlukan oksigen, dan memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, ubat yang digunakan kepada pesakit yang mempunyai gejala ringan sebagai contoh, hydroxychloroquine, yang digunakan sejak hari pertama lagi.

“Tetapi kita kena pantau kesan sampingan ubat itu. Mungkin daripada segi rawatan, ubat di peringkat yang awal, kita dapat elakkan gejala yang lebih teruk lagi.

“Jadi kita nasihatkan mereka yang ada gejala ataupun ada kesan positif, kita akan masukkan mereka ke wad dan memantau mereka. Tetapi kalau mereka datang pada peringkat yang lewat, mungkin (ada) komplikasi daripada segi paru-paru, organ dalaman serta pendarahan,” katanya.

Dr Noor Hisham mengambil contoh kes seorang warga Myanmar berumur 36 tahun yang dilaporkan di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur, telah meninggal dunia kerana datang pada peringkat yang lewat.

“Tidak sempat kita nak buat apa-apa pun, walaupun kita cuba beri bantuan pernafasan, pesakit itu meninggal dunia. Jadi kalau datang pada peringkat yang lewat, memang amat sukar untuk kita lihat.

“Jadi kita kena lihat post-mortem pula. Kita lihat post-mortem berbagai komplikasi berlaku. Komplikasi daripada jangkitan dan juga radang atau inflamasi,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata, dalam post-mortem itu juga mengenal pasti virus Covid-19 itu ada di permukaan kulit, cecair badan, air kencing dan juga organ-organ dalaman.

“Kalau kita tidak teliti dalam pengurusan mayat, boleh juga menjangkiti orang yang memandikan jenazah mangsa,” katanya.

-BERNAMA