Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM baiki komputer lama, sumbang kepada sekolah terpilih

SHAH ALAM, 14 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan membaiki komputer terpakai milik syarikat itu untuk disumbangkan ke sekolah terpilih di seluruh negeri.

Pengarah urusannya berkata usaha itu membantu lebih ramai pelajar khususnya yang tidak memiliki peranti di rumah mendapat akses pembelajaran tambahan secara maya.

“Kita dalam proses mencari komputer lama yang masih boleh dipakai cuma perlu ditambah baik untuk ditempatkan di makmal sekolah terpilih. Jika direalisasi, akan membawa makna lebih besar kepada pelajar,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 unit komputer riba dan tablet diagih kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah membabitkan dana RM100,000.

Ramli berkata permohonan bagi mendapatkan alatan itu dibuat melalui pusat khidmat masyarakat, sekolah dan badan bukan kerajaan.

“Kelulusan berdasarkan tujuan permohonan dan latar belakang pelajar memandangkan ramai yang memohon untuk mendapatkan kemudahan sama,” katanya lagi.