Categories
ADN SELANGOR

DUN Sungai Ramal belanja RM15,000 sumbang komputer riba kepada pelajar

SHAH ALAM, 2 OKT: Sebanyak RM15,000 dibelanjakan untuk sumbangan komputer riba kepada pelajar kurang berkemampunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Ramal pada 28 September lalu.

Wakil rakyatnya berkata bantuan peranti jenis HP berharga RM1,500 seunit memberi manfaat untuk 10 penerima iaitu pelajar sekolah termasuk individu yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti tidak lama lagi.

“Komputer riba sangat penting untuk mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian selain melakukan tugas diberikan guru dan tenaga pengajar.

“Diharap sumbangan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban ibu bapa mereka yang terjejas pendapatan akibat Covid-19,” kata Mazwan Johar kepada Selangorkini.

Beliau juga menasihati mereka supaya menggunakan kemudahan tersebut sebaiknya dan mengelak melakukan perkara tidak berfaedah.

“Jangan sesekali guna komputer riba ini untuk bermain permainan dalam talian sebaliknya fokus kepada pelajaran. Saya berdoa agar anak-anak ini berjaya dengan cemerlang suatu hari nanti,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO tawar 100 gajet percuma kepada pelajar susulan banyak permohonan

SHAH ALAM, 22 JULAI: Susulan permohonan memberangsangkan, EXCO pertanian dan asas tani meningkatkan jumlah pemberian komputer riba dan tablet percuma kepada 100 unit berbanding 50 sebelum ini.

Ir Izham Hashim menerusi Twitter memaklumkan sebanyak 60 komputer riba dan 40 tablet akan diberikan kepada pelajar berusia 15 hingga 25 tahun di Selangor untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya jumlah peranti yang akan diberikan sebelum ini hanya 50 unit masing-masing 25 komputer riba dan tablet, ketika tawaran diumum pada 11 Julai lalu.

“Namun permohonan yang diterima memberangsangkan bukan sahaja dari negeri ini malah seluruh negara. Saya berharap pemberian gajet ini nanti dapat memberi manfaat sepanjang PdPR,” katanya.

Izham yang juga wakil rakyat Pandan Indah berkata pemenang akan diumumkan pada 1 Ogos nanti.

“Saya harap pelajar gunakan sebaik mungkin untuk tingkat pembelajaran dan dapat membantu ibu bapa daripada segi tabungan ekonomi,” katanya.

Permohonan boleh dikemukakan melalui mesej terus (DM) di Twitter @IrIzhamHashim dan tarikh tutup pada 31 Julai.

Pemohon perlu menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat terkini serta tujuan memerlukan kemudahan tersebut.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN gesa segera agih komputer riba, pastikan PdPR lancar

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyegerakan bantuan komputer riba kepada pelajar memerlukan.

Jawatankuasa Pendidikannya berkata janji Belanjawan 2021 perlu dibuat bagi memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan lancar.

Gabungan itu turut menggesa kerajaan memberi insentif khas kepada guru untuk pembelian data dan alat bantuan mengajar demi memudahkan urusan PdPR.

“Jawatankuasa Pendidikan PAKATAN berpandangan berapa lama tempoh PdPR dilaksanakan sekalipun, yang penting ialah bantuan komputer riba harus disegerakan kepada murid yang memerlukan.

“Arahan melaksanakan PdPR merupakan satu langkah wajar untuk dilaksanakan memandangkan situasi pandemik Covid-19 terus meningkat, tetapi ia harus diiringi bantuan kemudahan PdPR buat murid mahupun guru yang tidak mempunyai kelengkapan,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan.

Kenyataan tersebut dibuat oleh Pengerusinya Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (Parti Keadilan Rakyat, Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah).

Semalam, KPM memutuskan untuk menutup operasi sekolah rendah dan menengah di seluruh negara selepas cuti Hari Raya Aidilfitri mulai 16 Mei.

Dalam tempoh itu, pelajar akan mengikuti PdPR selama 10 hari mulai 16 Mei bagi sekolah dalam Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 hingga 28 Mei (Kumpulan B).

Pelajar seterusnya akan terus bercuti penggal dari 28 Mei hingga 12 Jun (Kumpulan A) dan 29 Mei hingga 13 Jun (Kumpulan B).

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan menutup sekolah selepas raya selepas mengambil kira trend jangkitan Covid-19 dalam masyarakat ketika ini.

 

Categories
ADN SELANGOR

Rapat jurang digital, 100 penduduk B40 DUN Kinrara terima komputer riba

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyumbang 100 komputer riba kepada penduduk sebagai langkah merapatkan jurang pendigitalan.

Wakil rakyat Ng Sze Han berkata bantuan diutamakan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi memudahkan urusan pembelajaran anak-anak penerima.

“Sebanyak 500 permohonan diterima namun setakat ini hanya 100 keluarga layak mendapat bantuan itu.

“Kita akan melawat rumah pemohon dan lakukan penelitian lanjut. Ini antara kaedah memastikan golongan sasar yang terima manfaat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan program Dapur Kinrara diperkenalkan tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut Sze Han, pihaknya mengutamakan program terbabit memandangkan manfaat lebih besar diterima penduduk.

“Setiap Ahad dari jam 12 hingga 2 petang kita agihkan makanan tengah hari percuma kepada golongan memerlukan dan terbaharu pada minggu lalu kita sediakan lebih 200 bungkus,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sumbang komputer riba kepada 19 anak yatim cemerlang

SHAH ALAM, 11 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyumbangkan komputer riba kepada 19 anak yatim yang cemerlang dalam pelajaran.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan membabitkan kos M38,000 bertujuan menyuntik motivasi penerima supaya lebih gigih dalam pelajaran.

“Sumbangan ini menggunakan peruntukan Baitulmal Mais yang diserahkan melalui Yayasan Islam Darul Ehsan iaitu agensi bertanggungjawab mengawal selia rumah anak yatim negeri ini.

“Dalam masa sama, langkah ini memudahkan pelajar anak yatim mengadaptasi norma baharu sesi pengajian dalam talian dan pengajaran di luar kampus,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, Pengetua Rumah Kasih Harmoni Jamaluddin Wahab menghargai bantuan terhadap penerima yang berada bawah seliaannya.

“Semoga pemberian ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar untuk berjaya di masa akan datang,” katanya.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Taman Templer bantu pelajar miskin dapatkan komputer riba

SHAH ALAM, 30 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer menyemak permohonan murid kurang berkemampuan untuk mendapatkan komputer riba bagi mengikuti pembelajaran di rumah.

Ahli Dewan Negerinya Mohd Sany Hamzan berkata proses semakan melibatkan ketua kampung dan persatuan penduduk bagi memastikan hanya yang layak mendapat kemudahan tersebut.

“Tidak dinafikan ramai ibu bapa atau penjaga terbeban untuk menyediakan kemudahan itu berikutan sistem pembelajaran norma baharu memerlukan peranti elektronik.

“Paling terkesan keluarga yang memiliki ramai anak bersekolah hingga ada yang merayu supaya mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sany berkata setakat ini sebanyak 10 unit komputer riba terpakai diagihkan kepada murid sekolah rendah dan menengah serta berharap ia dimanfaat sebaik mungkin.

“Walaupun produk terpakai tetapi ia masih berfungsi dengan baik kerana kos tinggi diperlukan untuk mendapatkan komputer riba baharu,” katanya lagi.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Melawati teliti permohonan komputer riba pelajar B40

SHAH ALAM, 25 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati sedang meneliti permohonan pelajar kurang berkemampuan mendapatkan komputer riba bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Wakil rakyat Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini pihaknya menerima kira-kira 20 permohonan membabitkan pelajar sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kita sedang mengusahakan komputer riba baharu bagi kegunaan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) yang benar-benar memerlukan berdasarkan semakan kelayakan.

“Sumbangan ini nanti diharap dapat membantu proses pembelajaran yang lebih berkesan sekali gus memudahkan urusan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata kekurangan alat peranti seperti gajet dan komputer menyukarkan pelajar khususnya di luar bandar belajar secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara norma baharu pendidikan adalah pembelajaran di rumah menggunakan aplikasi media, maka terdapat beberapa cabaran terutama bagi pelajar di kawasan luar bandar dan golongan B40.

“Ia termasuk ketiadaan atau tidak cukup kelengkapan gajet untuk belajar apatah lagi jika anak yang bersekolah lebih dua orang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PdPR: Sekolah kini dalam peranti elektronik

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Jika suatu ketika dahulu pelajar dilarang membawa telefon bimbit ke sekolah, namun apabila berdepan pandemik Covid-19 yang entah bila akan berkesudahan, menyaksikan peranti itu menjadi medium penting Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak ramai bersekolah, mahu atau tidak, telefon bimbit mahupun komputer, perlu disediakan untuk memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Ramai dalam kalangan ibu bapa mencari telefon pintar atau komputer terpakai yang dijual pada harga lebih murah bagi membolehkan anak-anak mereka dapat mengikuti proses PdPR dan menurut laporan media, pendakwah terkenal Ustaz Ebit Liew menerima 43,000 mesej daripada individu yang memerlukan kelengkapan gajet untuk PdPR.

Mesej itu diterima selepas pendakwah itu mengumumkan 100 tablet percuma buat pelajar yang terkesan dalam meneruskan PdPR, terutama mereka dari keluarga kurang berkemampuan.

Bagi Mariah Ismail, 45, beliau mempunyai lima anak yang bersekolah dan pendapatan yang diperoleh hasil menjual kuih di Kota Baharu, Kelantan menyebabkan beliau tidak mampu untuk menyediakan gajet seorang satu bagi setiap anaknya.

Oleh itu, pilihan yang ada baginya ialah mencari telefon pintar terpakai untuk diguna secara bergilir oleh anak-anaknya.

Mariah membeli telefon pintar terpakai berharga RM250 bagi memastikan kelima-lima anaknya tidak ketinggalan dalam sesi PdPR semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

“Tiga anak di sekolah rendah iaitu darjah lima, dua dan pra-sekolah menggunakan telefon pintar saya, manakala dua lagi yang berada di sekolah menengah berkongsi telefon pintar terpakai yang saya beli untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan guru mereka.

“Ini cara terbaik untuk membolehkan anak-anak saya tidak ketinggalan dalam pelajaran mereka,” katanya yang tinggal di Kampung Melor, kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu.

Bagi seorang bapa di Alor Setar, Kedah pula, beliau terpaksa membeli dua set telefon pintar berharga kira-kira RM1,000 buat dua anaknya yang berada di Tahun Tiga dan Tahun Empat mengikuti PdPR pada waktu yang ditetapkan guru kelas masing-masing.

Azhar Abu Bakar, 58, memilih untuk membeli telefon pintar yang murah kepada anak-anaknya, berbanding komputer riba yang harganya jauh lebih mahal untuk tujuan PdPR.

“Di rumah ada satu komputer riba tetapi saya guna untuk siapkan kerja-kerja pejabat. Jadi, bagi memudahkan proses PdPR, memang perlu belikan juga telefon pintar itu kerana dah menjadi keperluan wajib pelajar sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Tinjauan di sekitar Lembah Klang pula mendapati sejak sesi persekolahan 2021 bermula pada 20 Jan, rata-rata ibu bapa dan pelajar mencari peranti yang sesuai digunakan untuk proses PdPR.

“Kalau sebelum tempoh PKP pelanggan tidak ramai sangat dan untung pun tidak begitu banyak tetapi sejak PdPR dilaksanakan, ramai ibu bapa singgah untuk beli barang-barang aksesori peranti untuk anak-anak mereka,” kata Mohd Shamin Shamsuddin, 24, penolong pengurus sebuah kedai menjual peranti elektronik di sini.

Pekerja di premis menjual peralatan komputer dan komputer riba Md Zainuddin Md Rofi, 28, pula berkata jualan komputer riba sangat menggalakkan dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Dalam satu hari itu, dianggarkan lebih enam biji jugalah komputer riba yang terjual, kalau sebelum ini satu atau dua biji sahaja orang beli,” katanya.

Tinjauan di sekitar ibu kota juga mendapati ibu bapa memanfaatkan cuti hujung minggu mengunjungi kedai-kedai yang menjual komputer, komputer riba, telefon pintar atau tablet untuk mencari peralatan bagi kegunaan anak-anak mereka untuk PdPR.

Jurujual sebuah kedai komputer di pusat membeli-belah di Johor Bahru, Johor, Mohamad Tashriq Mohd Fadzil, 29, pula berkata kedai itu mula menjadi tumpuan sebaik kerajaan mengumum untuk melaksanakan PdPR pada 16 Jan.

– BERNAMA