SHAH ALAM, 8 JUN : Menyambut baik keputusan kabinet membenarkan semua parti politik membentangkan manifesto menerusi badan penyiaran tempan tetapi dalam masa sama khuatir terhadap syarat-syarat yang bakal dikenakan oleh kerajaan.
Kekhuatiran ini diluahkan oleh Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Jenice Lee ketika dihubungi tetapi menyifatkan keputusan itu sebagai langkah pertama ke arah kebebasan media yang adil dan saksama dan menerimanya dengan hati terbuka.
Bagaimanapun, beliau tetap melahirkan kebimbangan terhadap kriteria yang akan ditetapkan selain mempersoalkan had tempoh masa yang dibenarkan untuk berbuat demikian.
“Keputusan itu memang bagus, tetapi soalnya adakah syarat-syaratnya nanti adil untuk semua pihak atau tetap ada sikap berat sebelah seperti sekarang?
“Ini memang adalah harapan Pakatan Rakyat (Pakatan) selama ini, tetapi kita kena nilai dulu semua kriteria sebelum mengatakan ia adalah polisi terbaik untuk semua parti,” ujarnya.
Mengambil ikhtibar daripada perhimpunan BERSIH 3.0 sebelum ini, Jenice berkata, Kerajaan Pusat bersetuju untuk melaksanakan Akta Perhimpunan Aman, tetapi tetap menyekat kebebasan rakyat untuk berhimpun di tempat awam.
Justeru, sebuah panel atau badan bebas perlu dilantik bagi memastikan semua pihak dapat menjelaskan manifesto mereka di kaca televisyen dan radio dengan adil.
“Kita selalu mengalami keadaan di mana media Umno-BN memberi kita peluang untuk bercakap, tetapi apa yang terjadi selepas itu adalah ia diputar belitkan.
“Kerajaan Pusat perlu wujudkan sebuah badan bebas yang akan memantau perkara ini supaya kita boleh buat aduan kalau berlaku ketidak adilan terhadap sesebuah parti politik itu,” jelasnya.
Kabinet semalam memutuskan untuk membenarkan semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim bagaimanapun berkata, pihak berkuasa berkaitan akan menentukan syarat serta tempoh masa sesuai kepada parti politik berbuat demikian.