Categories
AGENDA NASIONAL

Struktur Kondominium Sri Duta 1 tidak selamat, penghuni diarah pindah

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) serta perunding yang dilantik pemaju mengesahkan struktur bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, di sini, bermasalah dan berisiko terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata ia berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL berkata terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

“Pihak Badan Pengurusan Bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan di dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan IKRAM,” katanya.

Menurutnya pada masa sama IKRAM juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Pada 18 Dis lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

300 penduduk hantar petisyen bantah pemaju SUKE tutup laluan ke kondo

CHERAS, 2 APRIL: Ahli parlimen Bangi mewakili penduduk menghantar petisyen kepada pihak berkaitan susulan penutupan laluan utama ke kondominium di Persiaran Alam Damai, di sini.

Dr Ong Kian Ming berkata petisyen penghuni Kondominium Puncak Banyan dihantar kepada pemaju Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE), Kementerian Kerja Raya dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dan ADN Balakong, Wong Siew Ki mencuba laluan sementara yang digunakan penduduk Kondominium Puncak Banyan pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya mewakili lebih 300 penduduk mendesak pihak berkaitan meningkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan serta segera membuka laluan keluar masuk kenderaan.

“Keadaan ini menjejaskan kehidupan penduduk yang terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan kondominium, kita khuatir akan membahayakan keselamatan,” katanya.

Beliau ditemui selepas turun padang bersama Ahli Dewan Negeri Balakong Wong Siew Ki.

Pada 22 Mac, tiga pekerja warga asing maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera parah dalam insiden struktur kren terjatuh di tapak pembinaan Suke, Persiaran Alam Damai.

Susulan kejadian, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan projek Suke dihentikan sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.

Pembinaan SUKE sepanjang 24.4 kilometer setakat ini mencapai 88.8 peratus siap dan dijadualkan siap pada akhir tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

MKN tidak arah penyewa kondominium diwajib jalani saringan

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak pernah mengeluarkan polisi atau arahan yang mewajibkan penyewa termasuk penyewa warga asing atau pelawat melakukan ujian saringan Covid-19 untuk memasuki apartment, kondominium atau kawasan perumahan tertutup.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata agensi tersebut tidak menghalang pihak pengurusan kondominium atau kawasan perumahan berbuat demikian bagi menjaga keselamatan penduduk.

“Kawasan perumahan, kondominium atau apartment tertutup adalah kawasan persendirian yang mana pengurusan boleh membuat peraturan di dalam kawasan mereka.

“Malah mereka boleh membuat peraturan menyekat pelawat, contohnya di Sarawak, orang luar tidak dibenarkan melawat rumah-rumah panjang,” katanya menerusi hantaran di Twitter hari ini.

Ismail Sabri berkata demikian mengenai dakwaan daripada beberapa ahli parlimen yang menyatakan keperluan ujian saringan Covid-19 kononnya melibatkan semua penyewa di kondominium.

Semalam, dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ismail Sabri berkata tindakan pihak pengurusan kondominium yang mengarahkan penyewa membuat ujian calitan Covid-19 sebelum memasuki unit kediaman adalah dibenarkan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

APA KES? The Louvre undang bahaya pelajar SMKA Maahad Hamidiah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KAJANG, 24 APR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah membantah pembinaan kondominium 36 tingkat dan unit kedai, The Louvre di Jalan Sungai Ramal Luar, di sini.

Yang DiPertua PIBG, Jazlan Ahmad berkata, banyak kenderaan berat keluar masuk ke tapak pembinaan yang terletak di hadapan sekolah itu selain mencemarkan alam sekitar dan mengancam keselamatan pelajar serta ibu bapa ketika menghantar anak ke sekolah.

“Pada 23 Mac lalu, treler yang membawa bahan binaan melanggar dan merosakkan pintu pagar utama sekolah. Kecuaian ini mungkin boleh berlaku lagi sepanjang tempoh pembinaan yang boleh mengancam nyawa dan merosakkan harta sekolah.

the lourve“Proses pembinaan projek juga mengeluarkan bunyi terlalu bising sehingga mengganggu proses pembelajaran di sekolah.

“Projek kondominium 36 tingkat serta unit kedaiboleh menyebabkan masalah sosial kerana terdapat tempat berpeleseran, kesesakan laluan keluar masuk sekolah, kepadatan tempat letak kereta dan merosakkan kelestarian pemandangan,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.

Jazlan berkata, SMKA Maahad Hamidiah juga tersepit antara dua projek mewah iaitu Country Height dan The Louvre apabila projek itu siap, sekali gus menyebabkan nilai hartanah tapak sekolah melambung tinggi.

“Suatu hari nanti, akan ada pemaju yang bernafsu untuk mengambil tapak sekolah ini untuk dibangunkan dan menyebabkannya berisiko dipindahkan ke ceruk kampung yang jauh,” katanya.

Katanya, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan tapak balai bomba, pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) dan tapak lama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sebelum ini diserahkan kepada pemaju untuk memberi laluan projek mewah.

-NFN-