Categories
AGENDA SUKANKINI

Skuad hoki wanita buat penampilan sulung di Piala Dunia Remaja April ini

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Malaysia, menerusi Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, bakal membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia Remaja Wanita yang akan berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 1 hingga 12 April depan.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia ditawarkan untuk menyertai edisi 2022 itu oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) petang semalam, ekoran terdapat satu slot kosong bagi benua Asia selepas Jepun membuat keputusan menarik diri.

“Malaysia dipilih untuk mengisi slot tersebut berdasarkan kiraan merit yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kelima Asia dan KHM berbesar hati dengan peluang yang ditawarkan kepada Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan.

“Sejak Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Wanita diperkenalkan pada 1989 di Ottawa, Kanada, ini adalah kali pertama pasukan remaja wanita Malaysia akan membuat penampilan di kejohanan berprestij itu,” menurut kenyataan KHM semalam.

Sementara itu, Presiden KHM Datuk Seri Subahan Kamal dalam kenyataan sama yang amat teruja dengan perkhabaran itu dan menyifatkan undangan daripada FIH sebagai satu penghormatan buat sukan hoki negara.

Katanya KHM cukup berbesar hati untuk menghantar skuad Malaysia, yang kini di ranking 20 terbaik dunia, untuk beraksi di kejohanan tertinggi antarabangsa itu dan ia selaras dengan misi badan induk sukan hoki negara iaitu membawa hoki wanita ke kedudukan yang tertinggi dan terbaik di peringkat Asia, mahupun dunia dalam lima tahun akan datang.

“Selepas berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi KHM serta Majlis Sukan Negara (MSN), kami sebulat suara bersetuju untuk menerima peluang yang ditawarkan bagi mengambil bahagian beraksi di Piala Dunia Remaja Wanita 2022.

“Ini juga merupakan satu sejarah bagi hoki wanita Malaysia yang harus dibanggakan. Segala perancangan dan persediaan termasuk pengumuman senarai penuh pemain yang akan menyertai kejohanan ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” kata Subahan.

Selain Malaysia dan Afrika Selatan selaku tuan rumah, pertandingan itu akan turut disertai juara bertahan, Argentina diikuti Belanda, England, Jerman, India, Korea Selatan, Ireland, Kanada, Amerika Syarikat, Rusia, Wales, Uruguay, Ukraine dan Zimbabwe.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Liga Hoki Remaja Malaysia tunda

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Satu demi satu acara sukan terpaksa ditangguh atau dibatalkan ekoran penularan wabak Covid-19, dan terbaharu Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penangguhan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) 2020.

Saingan liga remaja itu dijadual bermula 25 Mac dan berakhir pada 19 April ini, membabitkan kategori lelaki bagi Divisyen Satu dan Dua itu ditunda sehingga ke satu tarikh ditentukan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata langkah itu diambil selepas perbincangan antara KHM dan Majlis Sukan Negara (MSN), demi keselamatan pemain.

“Ia selaras ketetapan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) segala acara berkaitan sukan ditunda sehingga 30 April. Buat masa sekarang tiada tarikh tetap bila ia diadakan semula namun ia bukan dibatalkan.

“Secara keseluruhannya hampir 90 peratus persediaan dilakukan untuk LHRM 2020 tetapi kami mendapat notis daripada Kementerian Pendidikan segala aktiviti luar tidak digalakkan untuk pelajar,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Anil Jeet berkata, menerusi perbincangan dengan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, tiada jangka masa maksimum tempoh penundaan itu ditetapkan sebaliknya tarikh baharu hanya akan dimuktamad selepas mendapat ‘lampu hijau’ dari KBS dan Kementerian Pendidikan.

-BERNAMA