Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin Ali rasmi dua sayap utama KEADILAN

SHAH ALAM, 4 DIS: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dijadual merasmikan dua sayap utama KEADILAN esok sempena Kongres Nasional parti itu di Melaka.

Keputusan mengejut itu dicapai selepas perbincangan beliau, sebagai timbalan presiden parti, dengan presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen petang tadi.

Azmin berkata, beliau bersama Majlis Pimpinan Pusat yang dipilih melalui kongres pada tahun lalu bertemu dengan Anwar bagi membincangkan persiapan kongres.

“Saya hendak nyatakan bahawa saya dan kepimpinan akan hadir kongres minggu ini,” katanya.

Kongres Nasional KEADILAN akan berlangsung selama dua hari di MITC Melaka bermula Sabtu ini.

Kongres Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) yang berakhir pada Jumaat ditutup oleh Pengerusi Majlis Penasihat parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan itu Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham menggesa seluruh perwakilan dan pemerhati sayap itu hadir ke kongres tersebut.

“Seluruh kepimpinan serta anggota AMK menyambut baik resolusi yang dicapai, sekali gus mengembalikan tradisi juga konvensyen parti dengan Perasmian Kongres Nasional AMK dan Wanita 2019 oleh timbalan presiden, pada 5 Disember (esok),” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar: Tangguhkan ICERD, tumpu bangunkan ekonomi rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Presiden KEADILAN yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan untuk menangguhkan terlebih dahulu dalam isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Katanya, hal itu kerana isu berkenaan tidak mendesak sebaliknya, memberi tumpuan utama kepada ekonomi negara bagi pembangunan rakyat Malaysia.

“Isu ini tidak mendesak. Boleh ditangguhkan. Menteri bagi ruang untuk orang Melayu, suarakan pendapat, jika ia menyebabkan ketegangan kaum, tangguhkan dahulu.

“Adalah lebih baik berikan tumpuan kepada hal ekonomi, penurunan harga barang dan penurunan harga getah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penangguhan Presiden di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Anwar berkata, KEADILAN merupakan parti yang menentang diskriminasi dan kezaliman tanpa mengira kaum, namun menerima hak keistimewaan orang Melayu serta dinyatakan dalam perlembangaan

“Kita menerima prinsip perlembagaan itu namun bahasa Inggeris juga penting. Begitu juga dengan bahasa ibunda semua kaum, oleh itu kita mesti lantang pertahankan prinsip keadilan.

“Saya setuju. KEADILAN sudah ke hadapan, tetapi kebimbangan orang Melayu itu ‘real’,” katanya.

Sementara itu, mengulas tindakan UMNO yang mahu mempertahankan hak orang Melayu dalam isu berkenaan, Anwar mempersoalkan ‘kesenyapan’ parti itu dalam kes rasuah terutamanya 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kenapa biar orang sudah bagi bukti? Kelu? Sekarang hendak berjuang? Pulangkan dulu RM30 bilion itu, sekarang baru mahu pertahankan orang Melayu,” katanya.

Sebelum itu, Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negara tidak akan tunduk kepada kuasa besar yang mahu supaya Malaysia meratifikasi konvensyen berkenaan.

“Dasar ekonomi diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi berasaskan kaum tetapi berasaskan keperluan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Anwar pasak penegasan, KEADILAN bergerak dengan semangat perpaduan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Ucapan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dipasak dengan penuh penegasan dan beliau memberikan peringatan kepada semua ahli parti supaya bergerak sebagai satu keluarga dengan semangat perpaduan.

Penegasan itu dibuat selepas beliau melihat perjalanan pemilihan parti yang penuh kritikan dan menyifatkan imej KEADILAN tercalar sepanjang tempoh tiga bulan ini.

“Saya akan pimpin sebaiknya setegasnya untuk menaikkan martabat.

“Hentikan menunding jari kepada puak-puak, memang kita akui sistem ini lemah, banyak kecelaruan. Tiga bulan imej KEADILAN parah. Saya akan campur dan selesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ucapan Penangguhan Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC, Shah Alam.

Katanya, beliau tidak lagi mahu melihat budaya perbalahan sama ada dari dalam kepimpinan sendiri serta akar umbi.

Anwar berkata, beliau mahu memperbaiki sistem pemilihan parti dan selain menyerahkan kepada pihak berkuasa seperti polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua laporan sepanjang proses pemilihan.

Menurutnya, pengorbanan selama 20 tahun dalam mengukuhkan kedudukan KEADILAN yang penuh berliku tidak mungkin terpadam walaupun ada antara pimpinan kini sudah mempunyai jawatan tinggi di peringkat persekutuan.

Categories
NASIONAL

Gandingan Anwar-Azmin terajui KEADILAN 2018-2021

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali akan meneruskan kepimpinan KEADILAN bagi penggal 2018-2021.

Anwar yang dipilih selaku Presiden KEADILAN selepas menang tanpa bertanding sementara Mohamed Azmin mengekalkan kedudukan selaku Timbalan Presiden selepas menewaskan pencabarnya, Rafizi Ramli.

Posisi Naib Presiden pula dianggotai Nurul Izzah Anwar, mantan Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamarudin, Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar.

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) akan dipimpin Akmal Nasrullah Mohd Nasir manakala Muhammad Hilman Idham bertindak selaku Timbalan Ketua AMK.

Haniza Talha akan mengemudi Wanita KEADILAN manakala Dr Daroyah Alwi bertindak selaku Timbalan.

Manakala 20 pemimpin KEADILAN termasuk Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengisi kedudukan selaku Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Pengumuman kepimpinan baharu itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din.

Rashid kelihatan sebak dalam ucapannya turut berterima kasih kepada semua pengundi dan ahli JPP yang menjayakan pemilihan parti walaupun berhadapan teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak.

Dalam perkembangan sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Ahmad Kasim dilantik sebagai Pengerusi Tetap KEADILAN baharu bagi menggantikan Ismail Yusof yang telah berkhidmat selama tiga penggal.

Manakala Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri Wliayah Persekutuan, Osman Karim dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Tetap KEADILAN bagi menggantikan Abdul Wahab Ibrahim.

Datuk Seri Saifuddin Nasution pula kekal sebagai Setiausaha Agung KEADILAN sehingga lantikan baharu dibuat.

 

Categories
NASIONAL

Saran tunggu dua tahun untuk jadi pemimpin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyaran parti itu menetapkan syarat supaya individu yang baru menyertai parti itu menunggu sekurang-kurangnya dua tahun untuk menjadi pemimpin.

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dinyatakan dalam perlembagaan parti.

“Kita mesti menetapkannya dalam perlembagaan. Mereka yang mempunyai cita-cita dan bermimpi untuk memegang jawatan dalam parti, perlu tunggu.

“Tempoh dua tahun itu tidak panjang, Sekiranya kita menunggu 20 tahun untuk memegang jawatan, ahli baharu, dua tahun tidak lama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, Tian Chua turut mencadangkan setiap dibenarkan mengundi selepas setahun menjadi ahli parti.

Beliau turut mahu satu peperiksaan kepada ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti berkenaan, dilakukan.

“Kita juga mungkin boleh mengadakan peperiksaan bagi mereka yang mempunyai cita-cita menjadi ahli MPP dan bertanding. Mungkin melalui peperiksaan kami boleh menganugerahkan sijil,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Jangan jadi ‘si kitul’ moden & pengadu domba

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Semua pihak perlu berhenti melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri berjalan lancar tanpa gangguan.

Mantan Naib Presiden KEADILAN, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab mengadu domba dan ‘mencucuk’ kedua-dua pemimpin perlu berakhir kerana persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya rayu kepada semua, cukup-cukuplah, jangan kita mengadu-domba, cucuk-mencucuk dan melaga-laga Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

“Kita sudah bersetuju Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan. Oleh itu jangan jadi ‘si kitul’ yang jadi pengkhianat.

“Melaka tewas kepada Portugis dulu kerana ada ‘si kitul’ yang jadi pengkhianat dalam kerajaan Melaka. Jangan ada si kitul moden dalam KEADILAN yang melaga-lagakan dua pemimpin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Pada masa sama, beliau juga mahu ahli parti memberi sokongan penuh kepada gandingan antara Anwar sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden bagi memacu agenda reformasi parti dan kerajaan.

“Jangan pertikai gandingan Anwar dan Mohamed Azmin, hubungan baik mereka sudah 30 tahun. Jangan ada perbuatan cucuk dan adu domba,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin: Saya ‘Cool’…

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengajak ahli parti bersalaman dan berdakap bagi mengeratkan saf perpaduan dalam kalangan anggotanya.

Beliau berkata, KEADILAN mampu menunjukkan contoh dan membuktikan kepada dunia bahawa parti itu mampu mengurus demokrasi dengan baik dan bertanggungjawab.

“Proses ini (pemilihan) walaupun ramai mengadu..tidak mengapa..sebab demokrasi ini memang proses riuh..di Sungai Petani riuh, Gombak pun riuh, di Pandan riuh, di Pensiangan pun riuh.

“Politik ini bukan pemilihan kuasa sahaja, tetapi nilai, adab, etika dan budaya baik. Ini uniknya KEADILAN lalui banyak cabaran, tetapi muncul sebagai parti kuat dan tekad membawa obor reformasi.

“Lihat sekeliling kita, kiri dan kanan apakah musuh kita? Tengok sebelah kanan dan kiri. Mereka bukan musuh kita, musuh kita ada di luar sana..dalam dewan adalah keluarga besar keadilan..dan kalau keluarga besar boleh bersalam berdakap erat tidak boleh gugat KEADILAN sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Mohamed Azmin menyingkap perjalanannya bagi merebut jawatan Timbalan Presiden sebelum ini bukannya senang dan percuma.

Bagaimanapun, beliau tetap tenang dan bersikap matang kerana berpegang prinsip ‘orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya’.

“Tidak mengapa..jangan gundah gelana macam perang dunia ke ketiga. Apabila ada pemimpin bersikap matang, semua boleh diselesaikan.

“Saya berada di sini bukan percuma. Dari dulu kena lawan. Mula-mula Zahid, kemudian Khalid Ibrahim, lepas itu….Rafizi dia tidak lawan saya, tetapi menawarkan khidmat pada parti.

“Tiada masalah saya ‘cool’ sahaja..tenang..pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya tenang. Tetapi dalam hati, dia tak tahu, aku kena serang kiri dan kanan, tetapi tak mengapa..orang yang tenang akan berjaya selama-lamanya,” katanya disambut gelak ketawa dan tepukan perwakilan di kongres itu.

Beliau turut berkongsi kisah ketika mahu merebut jawatan orang nombor dua dalam parti itu apabila berani mencabar Dr Syed Husin Ali.

Bagaimanapun, menarik diri apabila Anwar memintanya supaya tidak melawan gurunya.

“Anwar ada memanggil saya. Katanya, janganlah lawan Dr..dia pemimpin lama, cikgu saya. Betul..saya dengar dan akir nasihatnya sebab saya menghormati Dr kerana Dr melahirkan murid yang terbaik bukan sahaja di Malaysia tetapi juga dunia.

“Jadi, saya menarik diri. Kalau saudara-saudara ada resam yang sama, tenang dan ‘cool’. Tetapi kena terima demokrasi hari ini. Rafizi tawar diri pada penggal ini, penggal nanti tidak tahu lagi, saya dengar Sam (Shamsul Iskandar) nak lawan saya..Langkah mayat aku dulu,” katanya sambil ketawa.

 

Categories
NASIONAL

Kemenangan sebenar lunaskan janji kepada rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 NOV: Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mahu ahli parti supaya melaksanakan setiap janji dilaksanakan dan tidak menjadikan Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) baru-baru ini stesen terakhir kepada parti itu.

Katanya, semua pihak harus merumuskan formula terbaik dan sekiranya gagal, tiada jaminan untuk kekal menang dalam PRU seterusnya.

Beliau berkata, kemenangan sebenar kepada parti adalah kemenangan yang melunaskan janji kepada rakyat.

“Apakah yang dikatakan Malaysia Baharu? Selepas merasai pahit getir, di sebalik senyuman pastikan parti terus berpegang kepada idealisme. Berkhidmat beri kebajikan.

“Kita mahu supaya kekuatan kita ini berjaya melunaskan janji. Kita sudah menang. Kita belajar perjuangan perlukan pengorbanan ahli parti, perlukan pembelaan.

“Saya terkesan melihat rakyat beratur untuk mengundi. Bersusah payah hadir, dalam panas. Beri penghormatan demokrasi. Jika bercakap mengenai islah, haruslah kita berubah ke aras kebaikan, lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN ke 13 yang bertemakan yang bertemakan Memaknai Demokrasi, Menterjemah Reformasi, di IDCC, di sini.

Nurul Izzah berkata, sebagai sebuah parti yang besar dan memperjuangkan agenda reformasi, reformasi undang-undang perlu diberi perhatian.

“Pada saya, ukuran kejayaan, reformasi undang-undang perlu tidak lagi disalah guna. Undang-undang yang boleh diguna jika kita benci seseorang.

“Nyahkan undang-undang ini kerana kita percaya agenda reformasi, kita percaya rakyat boleh pilih parti mana yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau berkata, reformasi ekonomi seperti simpanan isteri menerusi Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) merupakan isu keselamatan sosial yang dicontohi.

“Subsidi kepada rakyat perlu diuruskan, boleh terima dan diberi secara tuntas. Namun, kita pastikan mereka yang menerima rasuah perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Jadilah parti terulung bukan parti yang dilupakan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan diperingat jangan jadi laksa ‘ceroi’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 NOV: Kerajaan diingatkan jangan menjadi seperti ‘laksa ceroi’ yang kuahnya cair dan tidak sedap dimakan.

Pembahas Kedah, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, sebaliknya kerajaan perlu menjadi seperti laksa yang mempunyai kuah yang pekat dan enak seperti yang digembar-gemburkan.

“Jangan jadi macam orang Kedah kata ‘laksa ceroi’, beritahu orang laksanya kuah pekat tetapi bila beli kuahnya cair.

“Begitu juga dengan kerajaan, kena berusaha tunaikan manifesto, tak boleh asyik guna alasan hutang banyak, kalau macam itu sampai bila pun kekal begini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden di Kongres Nasional KEADILAN Ke-13 di IDCC di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, kegagalan Kerajaan menunaikan manifesto menyebabkan pemimpin parti peringkat akar umbi terpaksa menjawab dengan rakyat khasnya di kawasan luar bandar.

Katanya, masyarakat di luar bandar pada masa ini terhimpit akibat tekanan kos sara hidup yang tinggi berbanding para Menteri yang memperolehi gaji yang tinggi.

“Kita tak pertikaikan gaji Menteri tinggi kerana itu hak mereka tetapi perlulah lihat masalah rakyat bawahan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Harapan angkat martabat wanita

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 NOV: Manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU) jelas mengangkat martabat wanita dari segi sosial, kebajikan, sosioekonomi dan kepimpinan.

Perwakilan Selangor, Nurainie Haziqah Shafii berkata, ramai yang tidak mengetahui bahawa KEADILAN mempunyai klausa khusus yang termaktub dalam perlembagaan Parti demi pemberdayaan dan pengupayaan golongan wanita.

Katanya, dokumen Agenda Wanita Malaysia yang dibentuk menjadi asas kepada visi Pakatan Harapan untuk golongan wanita di Malaysia.

“Klausa 5.14 ini menyatakan ‘Mengiktiraf martabat dan peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi.

“Juga mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan pembuat keputusan dengan sekurang-kurangnya penglibatan 30 peratus demi memastikan hak dan kepentingan mereka terpelihara,”’katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perwakilan bagi negeri Selangor di Kongres Nasional KEADILAN Ke 13, di IDCC, di sini.

Nurainie Haziqah berkata, agenda itu membuktikan KEADILAN adalah parti yang komited mengangkat martabat dan suara wanita.

Katanya, PRU-14 dan Pemilihan KEADILAN jelas menunjukkan peningkatan penglibatan wanita dalam posisi pembuat keputusan.

“PRU-14 akan sentiasa diingati sebagai pilihanraya yang memenangkan Timbalan Perdana Menteri Wanita pertama Malaysia dari Parti KEADILAN.

“Selangor terus menjuarai isu wanita apabila menjadi hanya negeri yang berupaya memenuhi penglibatan 30 peratus wanita dalam barisan EXCO.

“Di peringkat Parti juga, Selangor berjaya mencatatkan tiga Ketua Cabang Wanita dan Kepimpinan Wanita KEADILAN penggal lepas dan yang terbaharu turut diungguli wanita wanita dari Selangor,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kepimpinan KEADILAN yang baharu akan terus meletakkan agenda pemberdayaan dan pengupayaan wanita sebagai agenda utama.

Katanya, Wanita harus diberi peluang mengisi jawatan-jawatan penting dan diberi peluang mengangkat suara golongan wanita.

“Malah, KEADILAN harus maju ke hadapan dan menjadi peneraju meletakkan lebih ramai calon Wanita di PRU-15 nanti,” katanya.

Categories
NASIONAL RENCANA

Pecutan akhir ke garisan PRU-14

OLEH AFIX REDZUAN

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-12 melabuhkan tirainya semalam selepas berlangsung selama tiga hari termasuk persidangan sayap Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK).

Amanat dan nasihat disampaikan pimpinan kepada perwakilan memberikan isyarat jelas paluan gendang menuru Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin hampir ke garisan penamat.

Mesejnya mudah, pertingkatkan gerak kerja bagi memastikan momentum perubahan dalam kalangan rakyat kekal sehingga ke hari pembuangan undi, di samping memperkukuh perpaduan dan menolak sebarang unsur persengketaan termasuk sesama rakan politik sebelum menuju medan peperangan.

Bill Kayong AnugerahMisi membebaskan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebalik tirai besi adalah obor pertempuran yang akan diarak sama dalam PRU-14.

Pengekalan kerusi bertanding yang dimenangi sebelum ini juga memberikan isyarat jelas KEADILAN mampu untuk memberikan kemenangan dan meraih sokongan pengundi.

Tidak kurang juga mesej perwakilan kepada pucuk pimpinan supaya tidak melupakan akar umbi dibawah jika ditakdirkan berkuasa kelak.

Lebih utama soal pemeliharaan integriti jika ditakdirkan berkuasa kelak supaya tidak terpalit sama seperti pentadbiran musuh yang sering dibidas rakyat yang terus terpaku tunduk mengenang nasib kehidupan semakin mencengkam.

Seperti biasa, Selangor dan Pulau Pinang terus menjadi modul terbaik pimpinan di dalam perbahasan perwakilan disebalik coretan pelbagai program inisiatif peduli rakyat yang kian dinikmati sejak berkuasa, pada 2008.

KongresKejayaan pelaksanaan program di peringkat pentadbiran negeri sudah pastinya menjadi peluru padu supaya nikmat itu dirasai seluruh Malaysia selepas Putrajaya berjaya ditakluk dengan izin Allah SWT.

Namun di sebalik kemeriahan kongres, tidak dilupakan kepada Allahyarham Bill Kayong yang pergi di saat perjuangannya belum sampai kemuncak. Kesedihan pastinya dirasakan ahli keluarga dan sahabat handai yang tetap meneruskan perjuangan legasi yang ditinggalkan.

Pemilihan keluarga selaku penerima pertama Anugerah Bill Kayong sememangnya satu penghargaan supaya semangat perjuangan yang dipamerkan Allahyarham tersemat dalam jiwa.

Categories
NASIONAL

“Tolong kami, bebas Anwar”

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 MEI: Sesi Perbahasan Kongres Nasional Tahunan KEADILAN ke-12 gamat seketika apabila perwakilan Sabah, Raymond Ahuar tampil dengan lagu ‘Bebas Anwar’.

Bait lirik yang diubahsuai itu memetik nada lagu ‘Tolong Kami’ yang popular dalam filem Tiga Abdul, arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

“Tolong kami, bantu kami. Kami mahu bebas Anwar,” katanya.

Perwakilan yang berada di Dewan Raja Musa turut sama menyanyikan bait lagu itu sebagai tanda sokongan bagi membebaskan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim.