Categories
SELANGOR

Tawaran kepada semua syarikat konsesi air adil

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Tawaran pengambilalihan aset air oleh Kerajaan Selangor kepada semua syarikat konsesi dibuat secara adil dan saksama, seragam dari kaedah penilaian, tidak berat sebelah atau prejudis, kata Pegawai Tugas-tugas Khas Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa tawaran kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) diubahsuai supaya lebih menguntungkan Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata setiap tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kepada semua syarikat konsesi sejak Februari tahun lalu kekal konsisten dan tidak pernah berubah.

air-syabas_MB1“Pada setiap tawaran KDEB bertarikh 20 Februari 2013, 21 November 2013 dan 26 Februari lalu, hampir semua terma serta syarat tidak berubah juga kekal konsisten termasuk nilai tawaran keseluruhan RM9.56 bilion tetap tidak berubah.

“Pampasan ekuiti yang digabungkan bagi Puncak Niaga dan SYABAS kekal RM1.55 bilion, manakala SPLASH kekal RM251 juta tidak berubah langsung.

“SPLASH sudah bersetuju secara dasar untuk menerima tawaran pada 20 Februari 2013, tetapi yang peliknya pada tawaran sama yang dibuat pada 26 Februari lalu, tiba-tiba mereka tolak walhal terma dan syarat semuanya sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, baru-baru ini.

Forum berkenaan menampilkan ahli panel daripada Pejabat Menteri Besar Selangor iaitu Eksekutif Komunikasi, Shazni Munir Mohd Ithnin; Presiden Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB), Mazli Saring dan bekas pegawai komunikasi, Nathaniel Tan.

azrul_bimbAzrul berkata, pulangan ekuiti 12 peratus tahunan yang digunapakai Kerajaan Negeri juga mengikut klausa perjanjian penswastaan air yang ditetapkan dan tidak bercanggah dengan kaedah lazim bagi mentafsir nilai saksama pampasan dalam peralihan syarikat.

Katanya, kaedah itu terpaksa digunakan kerana termaktub di dalam perjanjian untuk mengekalkan kredibiliti sebarang kontrak yang sah di sisi undang-undang.

“Adalah tidak munasabah untuk menggunakan kaedah yang tidak seragam dan tidak adil jika SPLASH diberi keistimewaan, sedangkan tiga syarikat konsesi lain menerima tawaran berdasarkan pulangan ekuiti sebanyak 12 peratus.

“Syarikat konsesi boleh bawa perkara ini ke timbang tara antarabangsa untuk menyelesaikannya tetapi kos pengambilalihan tidak akan melebihi tawaran RM9.56 bilion kerana kaedah penyelesaian melalui pulangan ekuiti 12 peratus adalah jauh lebih lumayan daripada piawaian antarabangsa pada kadar lapan peratus,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Teng : 3 syarikat konsesi air rugi RM2.05 bilion akibat degil

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 22 MAC: Kedegilan konsesi air menerima tawaran Kerajaan Negeri bagi mengambil alih pengurusan air di Selangor hanya mendatangkan kerugian, kata Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim.

Katanya, pengambilan alihan secara paksa oleh Kerajaan Persekutuan menyebabkan konsesi hanya akan dibayar berdasarkan nilai aset yang jumlahnya jauh lebih rendah.

“Berdasarkan kiraan, nilai semua aset itu hanya RM7.6 bilion. Sebaliknya, apa yang ditawarkan Kerajaan Negeri adalah RM9.65 bilion yang mana selebihnya adalah sebagai premium.

teng chang kim“Jadi, apabila Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menggunakan kuasa dibawah seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), maka premium tidak akan diambil kira. Jadi jumlah bayarannya berdasarkan nilai aset dan akan berlaku kerugian kepada mereka,” katanya kepada Selangor Kini, di sini.

Semalam, media melaporkan Putrajaya akan mengambil-alih konsesi yang berdegil secara paksa bagi membolehkan penstrukturan industri air Selangor diteruskan seperti yang dikehendaki Kerajaan Negeri.

Tiga dari empat konsesi terbabit menolak tawaran terakhir RM9.65 bilion daripada Kerajaan Negeri, pada 10 Mac lalu yang mebantutkan usaha penstrukturan serta pembinaan Loji Rawatan Langat 2 (LRAL2) yang diusahakan Kerajaan Persekutuan.

“Ia suatu berita baik dan tindakan seumpama itu amat dialu-alukan dan wajar oleh Kerajaan Persekutuan. Ia juga mencerminkan semangat kebersamaan seperti yang termaktub dalam MoU yang dimeterai bersama,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tolak Tawaran RM9.65 Juta Bukti Syabas Tidak Percaya Rakyat Selangor

air-syabas_MBa

KLANG, 22 FEB: Kerajaan Negeri tidak akan menaikkan tarif air selama lima tahun selepas pengambilalihan daripada pemegang konsesi air di negeri ini.

Ini kerana menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, bayaran RM9.65 bilion yang akan dibuat kepada pemegang saham Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) itu merupakan dana kerajaan dari hasil cukai yang dikutip dari rakyat.

Pendirian Kerajaan Negeri itu jelas bertentangan dengan pendirian Syabas yang tidak sabar-sabar mahu menaikan tarif air sehingga bertindak menyaman Kerajaan Negeri kerana menyekat kenaikan tarif air seperti mana dalam perjanjian penswastaan air 2004.

Menurut Abdul Khalid tawaran RM9.65 bilion yang dibuat oleh Kerajaan Negeri kepada Syabas itu juga dibuat bagi pihak rakyat Selangor yang jelas mahukan hak pengurusan air dikembalikan kepada mereka.

“Saya tawarkan semalam RM9.65 bilion, kita buktikan kalau mereka tidak terima ini bererti mereka tidak mempercayai rakyat, mereka menipu rakyat kerana RM9.65 bilion yang kita bayar, dia dapat untung bukan rugi.

“Kita dapat tentukan harga air dalam jangkamasa lima tahun yang akan datang tidak akan naik kerana rakyat sudah membayar harga air (semasa pengambil alihan itu),” kata Abdul Khalid di hadapan hampir 7,000 hadirin dalam ceramah Jelajah Rakyat di Taman Rakyat, Sri Andalas di sini.

Abdul Khalid juga berkata Kerajaan Negeri tidak akan sesekali membayar gaji Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) lebih RM400,000 sebulan seperti mana yang sedang dinikmati oleh CEO Syabas, Tan Sri Rozali Ismail kini.

MB-air

Sebelum ini dalam isu kenaikan tarif air, Selangorkini melaporkan perjanjian penswastaan air 2004, Syabas dibenarkan menaikkan tarif air sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.

Perjanjian tersebut sekiranya dilaksanakan sekaligus menyebabkan pengguna terpaksa membayar RM18.80 bagi setiap 20 meter padu air setiap bulan, sedangkan melalui skim air percuma Kerajaan Negeri, pengguna di Selangor tidak perlu membayar apa-apa untuk jumlah sama.

Bagaimanapun Kerajaan Negeri bertindak menyekat kenaikkan tarif air tersebut kerana Syabas tidak menepati terma perjanjian menurunkan kadar air tidak berhasil (NRW), iaitu air yang hilang akibat dicuri atau bocor kepada 19.98 peratus.

Rentetan tindakan Kerajaan Negeri menghalang kenaikan itu, Syabas yang mementingkan keuntungan berbanding kepentingan rakyat bertindak balas menyaman Kerajaan Negeri bagi menuntut pampasan berjumlah RM1.05 bilion.

Selain itu, dalam perjanjian penswastaan air 2004 itu juga Syabas diberikan kenaikan tambahan 20 peratus pada 2015 dan 10 peratus lagi pada 2018 yang menyebabkan rakyat Selangor perlu membayar RM3.15 bagi setiap satu meter padu air pada 2018.

Selangor Tawar RM 9.65 Bilion Ambil Alih Pengurusan Air – INFO 12


 

Sinopsis

Info 12 Untuk 21022013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 21 FEBRUARI 2013 :

1. Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion kepada empat syarikat yang mengurus industri air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengambilalih operasi mereka.

2. AMK Selangor akan sentiasa berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Selangor atas apa juga dasar baik yang dirangka untuk rakyat.

3. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tiada halangan dan bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri bagi pembubaran DUN Selangor untuk diadakan pilihan raya apabila tiba masanya.

4. Kerajaan Negeri akan membuat keputusan bagi mengatasi masalah banjir kilat di Puchong selepas berakhir mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Layari http://www.selangorkini.net