Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Cadangan kontak rapat tidak perlu kuarantin diumum minggu depan

PUTRAJAYA, 17 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) akan membuka helpdesk MySejahtera secara fizikal di beberapa lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit berhubung aplikasi tersebut.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata helpdesk MySejahtera fizikal yang pertama akan dibuka di pusat pemberian vaksin (PPV) World Trade Centre, Kuala Lumpur Sabtu ini dan diikuti dengan pembukaan helpdesk fizikal di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam pada 26 Februari depan.

“Jadi orang ramai yang ada masalah dengan sijil vaksin dan sebagainya boleh pergi ke helpdesk fizikal ini untuk selesaikan masalah mereka.

“Helpdesk maya kita teruskan tetapi saya dapat aduan ada yang tunggu lama untuk sijil vaksin dan sebagainya (tapi) masih belum diselesaikan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Beliau berkata KKM akan memperluas kemudahan helpdesk fizikal itu ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Khairy berkata satu pengumuman mengenai protokol isolasi kontak rapat akan dibuat pada minggu hadapan.

Beliau berkata ini selari dengan protokol diamalkan pekerja kesihatan di bawah KKM yang mana mereka menjadi kontak rapat dan tidak bergejala, tidak perlu menjalani kuarantin sebaliknya hanya perlu buat ujian kendiri Covid-19 pada hari-hari tertentu.

Khairy berkata satu pekeliling sudah dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa lepas (15 Februari) untuk pekerja-pekerja kesihatan KKM.

“Kita mungkin akan guna pakai protokol sama apabila kita rasa sudah boleh melaksana protokol baharu ini untuk orang ramai.

“Kontak rapat sekarang sangat kerap berlaku sebab kes meningkat dan apabila ini berlaku, gangguan kepada ekonomi, pengurusan pekerjaan dan sebagainya sangat ketara,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata bermula esok bilangan kes harian Covid-19 tidak akan diumumkan pada petang hari tersebut sebaliknya akan diumumkan pada 10 pagi keesokan harinya bersama data-data lain seperti jumlah kemasukan ke hospital, bilangan kematian dan sebagainya.

“Ini bermakna bermula esok petang, tiada laporan bilangan kes harian Covid-19 sebaliknya data pada Jumaat akan diumumkan pada Sabtu pagi.

“Ini supaya kita dapat baca data kes harian bersama data-data lain seperti kemasukan ke hospital dan sebagainya untuk mengurangkan fear factor kes harian setiap hari, dan supaya kita secara perlahan-lahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka-angka lain yang memberi gambaran lebih jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

MySejahtera perkenal ciri baharu kesan kontak rapat

KUALA LUMPUR, 26 DIS: MySejahtera kini dilengkapi dengan ciri baharu iaitu ‘MySJ Trace’ untuk membolehkan pengesanan kontak rapat yang turut menggunakan ciri baharu yang sama.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter hari ini berkata ‘MySJ Trace’ yang menggunakan sistem Bluetooth akan memberi maklumat secara langsung bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ciri baharu berkenaan.

“Jika anda disahkan positif, anda boleh hantar data interaksi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk proses pengesanan kontak dibuat. Semua data interaksi adalah tidak didedahkan,” katanya.

Beliau berkata menerusi ciri baharu itu, masyarakat digalakkan menggunakannya apabila ke tempat awam yang tertutup selain memaklumkan bahawa ciri mendaftar keluar yang terdapat dalam MySejahtera tidak lagi digunakan.

Khairy berkata ciri baharu berkenaaan juga telah dihantar serentak kepada Google, Apple dan Huawei untuk dikemas kini.

“Sudah boleh dikemas kini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update (kemas kini) baharu ini,” katanya.

MySejahtera ialah aplikasi yang dibangunkan kerajaan bagi membantu menguruskan kawalan wabak Covid-19 di negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar UiTM Melaka positif virus, 45 individu disyaki kontak rapat

MELAKA, 11 NOV: Beberapa kolej kediaman pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Alor Gajah di sini diarah tutup selama 10 hari bermula hari ini selepas seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata notis penutupan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit berjangkit 1988 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah.

Beliau berkata pejabat kesihatan itu menerima notifikasi awal daripada Klinik UiTM pada 2 petang Selasa lepas memaklumkan seorang pelajarnya didapati positif Covid-19 menerusi saringan kit ujian pantas Antigen (RTK-Ag).

“Lapan lagi pelajar mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan kesemua mereka telah menjalani ujian PCR (tindak balas berantai polimerase) Covid-19 yang keputusannya dijangka diperoleh dalam tempoh terdekat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata siasatan lanjut mendapati pelajar itu telah menghadiri program kepimpinan anjuran sebuah badan bukan kerajaan dari 3 hingga 7 Nov lepas di sebuah resort di Alor Gajah yang turut disertai kira-kira 45 orang lagi membabitkan pelbagai cawangan UiTM.

Beliau berkata pelajar lain yang menjadi kontak rapat sedang dikenal pasti untuk dikuarantin sebagai langkah awal bagi mengekang penularan jangkitan.

“Jabatan Kesihatan negeri memandang serius perkara ini dan siasatan sedang dijalankan dengan terperinci, justeru orang ramai yang menjadi kontak rapat disaran melakukan kuarantin kendiri serta menghubungi Bilik Gerakan PKD Alor Gajah di talian 06-5566 390 bagi saringan kesihatan segera.

“Saya memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan negeri untuk maklumat sahih,” katanya.

Rusdi berkata untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06-2345 999 atau melalui e-mel [email protected].

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan tujuh pelajar UiTM didapati positif COVID-19 selepas pulang daripada menghadiri program anjuran sebuah parti politik dari 4 hingga 7 Nov lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM terpaksa kuarantin, tidak hadir istiadat angkat sumpah menteri

SHAH ALAM, 30 OGOS: Perdana menteri yang menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat pesakit Covid-19 tidak dapat hadir majlis istiadat angkat sumpah barisan menteri kabinetnya hari ini.

Susulan itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengangkat sumpah seminggu lalu, terpaksa menyertai program sambutan Hari Kebangsaan ke-64 di Putrajaya esok secara maya, kata Pejabat Perdana Menteri.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia barisan kabinet baharu di depan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara dijadual bermula jam 2.30 petang ini.

“Bagi sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadual berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya esok, perdana menteri akan menyertainya secara maya,” kata pejabat beliau lagi dalam kenyataan.

Dua daripada 31 menteri serta 38 timbalan menteri tidak dapat hadir untuk mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Mereka ialah Tan Sri Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjung Karang) yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana difahamkan menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis) yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II, yang disahkan positif Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Majoriti kes di Selangor kontak rapat, hanya dua peratus saringan kluster

SHAH ALAM, 25 JULAI: Majoriti kes Covid-19 di Selangor hari ini atau 4,884 kes (57.46 peratus) daripada keseluruhan 8,500 jangkitan melibatkan saringan kontak rapat, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata saringan lain-lain menyumbang 3,440 kes (40.47 peratus), saringan kluster 175 kes (2.06 peratus) dan satu melibatkan kes import (0.01 peratus).

“Di Selangor, didapati 72 peratus kes positif Covid-19 dikesan melalui ujian pengesahan di klinik atau makmal swasta.

“Situasi sama juga dapat dilihat di beberapa negeri lain. Ini menunjukkan tahap kesedaran orang ramai telah meningkat untuk tampil melakukan ujian Covid-19 terutama jika bergejala,” katanya menerusi kenyataan.

Jumlah jangkitan Covid-19 terus melonjak ke paras tertinggi dengan 17,045 kes hari ini berbanding rekod 15,902 semalam.

Mengikut data yang dikongsi ketua pengarah kesihatan, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes di negara ini melebihi paras sejuta kepada 1,013,438 kes.

Dr Noor Hisham memaklumkan Selangor turut mengalami kenaikan ketara apabila mencatat 8,500 kes berbanding 7,351 semalam.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontak rapat digalak buat ujian sendiri, terus kuarantin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Individu yang menjadi kontak rapat kes positif Covid-19 dan tidak bergejala digalak melakukan ujian Covid-19 di klinik atau menggunakan kit ujian kendiri dan seterusnya kuarantin di rumah.

Timbalan ketua pengarah kesihatan (kesihatan awam) berkata saranan itu bagi mengurangkan bebanan hospital di Lembah Klang dalam menguruskan jangkitan wabak.

“Dengan melakukan ujian kendiri dan pengasingan di rumah, diharapkan agar kes yang memerlukan rawatan dapat diberikan dengan kadar segera.

“Manakala kontak rapat yang tidak bergejala dapat melakukan ujian kendiri. Ini akan dilaksanakan apabila kit ujian kendiri boleh didapati dengan meluas,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong menerusi kenyataan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 60 peratus kes Covid-19 di Selangor dari kontak rapat

SHAH ALAM, 20 MEI: Selangor terus merekodkan jangkitan Covid-19 tertinggi apabila 2,277 kes dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan 161,584 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata semua kes harian itu merupakan penularan tempatan termasuk 153 dari kluster sedia ada dan baharu.

“Lebih 60 peratus iaitu 1,510 kes dikesan dari kontak rapat jangkitan positif manakala 614 lagi dari lain-lain saringan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, terdapat pertambahan 10 kematian yang semuanya warga tempatan berusia antara 45 hingga 81 tahun.

“Semua kes mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung,” katanya.

Hari ini negara sekali lagi mencatatkan kes baharu tertinggi dalam sejarah iaitu 6,806 serta 59 kematian.

Categories
AGENSI SELANGOR

Petaling catat kes Covid-19 tertinggi berpunca kontak rapat

SHAH ALAM, 25 FEB: Petaling mencatatkan jumlah harian tertinggi hari ini selepas merekodkan 280 kes dengan kebanyakkan dari jangkitan kontak rapat.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata bilangan itu melibatkan mukim Sungai Buloh (100), mukim Petaling (88), mukim Damansara (66) serta mukim Bukit Raja (26).

Katanya, ia diikuti Gombak sebanyak 106 kes iaitu mukim Batu (45), mukim Hulu Kelang (35), mukim Rawang (14), mukim Kuang (sembilan) dan mukim Setapak (tiga).

“Hulu Langat catatkan 88 kes membabitkan mukim Ampang (33), mukim Kajang (28), mukim Cheras (15), mukim Semenyih (10), sementara Beranang dan Hulu Langat (satu).

“Sepang merekodkan 59 kes membabitkan mukim Labu (30), mukim Dengkil (21) dan mukim Sepang (lapan) manakala Klang catatkan 50 kes iaitu mukim Klang (29) serta mukim Kapar (21),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Agensi berkata Kuala Selangor mencatatkan 32 kes dengan mukim Bestari Jaya (23), mukim Ijok (tujuh) serta mukim Tanjong Karang dan mukim Jeram (satu).

“Kuala Langat rekodkan 14 kes iaitu mukim Telok Panglima Garang (tujuh), mukim Batu (tiga), mukim Tanjung 12 (dua) manakala mukim Bandar dan mukim Morib (satu).

“Hanya tiga kes dilaporkan di Hulu Selangor melibatkan mukim Serendah. Mukim Sabak Bernam tidak mencatatkan sebarang kes,” katanya.

Hari ini Selangor mencatatkan 666 kes baharu termasuk dua jangkitan import menjadikan jumlah keseluruhan 97,484 kes.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Kesan kontak rapat pesakit Covid-19 cabaran KKM tangani pandemik

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 18 JAN: Setiap kali berhadapan dengan kes positif Covid-19, antara perkara paling mencabar ialah mengesan kontak rapat pesakit, yang adakalanya mencecah ribuan orang bermula hanya dari seorang pesakit.

Bagaimanapun, menjadi tugas dan langkah awal yang penting untuk dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengekang penularan wabak itu daripada menjadi lebih teruk lagi.

Hakikat ini diakui sendiri oleh para petugas kesihatan yang terlibat dengan Kluster Batu 7 di sini, yang melibatkan lebih 400 pesakit yang dimasukkan ke hospital dan lebih 6,000 kontak menjalani saringan dalam proses kawalan dan pencegahan penularan wabak Covid-19.

BERNAMA baru-baru ini berpeluang melihat sendiri kesungguhan dan komitmen tinggi para petugas kesihatan ketika mengendalikan pengesanan dan kerja-kerja awal melibatkan Kluster Batu 7 ini.

Sentiasa Bersiap Siaga

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, yang juga Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat (PKDBP), Dr Shahril Azian Masrom berkata, lebih 100 anggota akan terlibat dalam sesuatu hari bagi menguruskan kes wabak Covid-19.

Ia bermula dengan anggota Bilik Gerakan menguruskan data, mengatur pergerakan pesakit dan kontak serta menyelaras pergerakan pasukan di lapangan seperti pasukan siasatan, penguatkuasaan, pengambilan sampel serta promosi kesihatan.

Menurut Dr Shahril lagi, umum tidak mengetahui apabila berlaku sesuatu wabak, secara tidak langsung anggota dan petugas KKM tidak akan dapat bercuti malah perlu sentiasa dalam keadaan siapsiaga andai kata perkhidmatan mereka diperlukan.

“Jika sebelum ini, memang ada pesakit yang disahkan menghidap wabak Covid-19 di daerah Batu Pahat ini, tetapi ia tidak melibatkan jumlah yang ramai sehingga bantuan pasukan lapangan dari luar daerah diperlukan seperti Kluang, Muar, Pontian, Kota Tinggi dan Segamat bertujuan membantu proses penyiasatan kes, menjejaki kontak rapat serta di dalam aktiviti pensampelan,” katanya kepada Bernama dalam temubual eksklusif baru-baru ini.

Bilik gerakan berkenaan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Epidemiologi PKDBP, Dr Akashah Abdullah, adalah unit yang paling sibuk kerana memerlukan mereka bekerja sehingga 24 jam bagi mencari kontak rapat setiap pesakit yang terdiri daripada isi rumah, rakan sekerja, penduduk berhampiran serta individu yang pernah bertemu dengan pesakit.

Kerja Siang Malam

Sementara itu, Pegawai Perubatan Unit Penyakit Berjangkit PKDBP, Dr Nur Akma Anis Tajuddin yang membantu Dr Akashah berkata, mereka perlu mencari kontak rapat bagi setiap pesakit yang adakalanya terdiri daripada puluhan malah mencecah ratusan individu bagi satu-satu pesakit yang disahkan positif Covid-19.

Kakitangan PKDBP yang bertugas di unit berkenaan perlu menghubungi setiap kontak rapat terbabit untuk mereka menghadirkan diri ke Klinik Kesihatan Batu Pahat (KKBP) bagi menjalani ujian pensampelan dengan melakukan ‘swab test’ RT-PCR.

Menurut Dr Nur Akma, mereka terpaksa bekerja siang dan malam dan mengorbankan masa untuk keluarga demi memastikan rantaian Covid-19 ini dapat diputuskan.

“Pada waktu siang kami menyiasat, mencari dan menghubungi kontak rapat kepada pesakit, manakala pada waktu malam pula kami memasukkan setiap data dari hasil siasatan.

“Adakalanya pada waktu malam kami perlu menyemak data daripada rekod aplikasi MySejahtera bagi mengesan lokasi atau premis yang dikunjungi oleh setiap pesakit serta kontak rapat mereka,” katanya.

Antara cabaran yang perlu ditempuhi mereka adalah apabila sebahagian pesakit dan kontak rapat terbabit enggan melakukan ujian pensampelan serta merahsiakan gejala wabak Covid-19 yang dihidapi.

Tambahnya lagi, tugas mereka tidak berakhir begitu sahaja, malah dengan kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka akan memantau setiap kontak rapat yang diarah menjalani proses kuarantin di rumah.

Cabaran Ambil Sampel Covid-19

Bagi Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran PKDBP, Mohd Ubaidilah Shamsuddin, yang bertugas membuat pensampelan, beliau berkata, sejak kerja mengesan kluster berkenaan bermula, beliau diwajibkan memakai pakaian lengkap khas apabila bekerja iaitu Peralatan Perlindungan Diri (PPE) bagi melindungi diri daripada terdedah kepada virus itu.

Katanya, beliau perlu memakai PPE yang meliputi keseluruhan tubuhnya hampir tujuh hingga lapan jam setiap hari, selain perlu bertugas di lapangan bertemu dengan individu yang menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 ini.

“Antara cabaran di dalam menguruskan proses persampelan apabila mengenakan sut PPE ini adalah bermula daripada awal pemakaian dan ketika menanggalkannya di mana ia perlu mengikut prosedur ketat (SOP) yang ditetapkan.

“Dengan peluh ‘lencun’ di tubuh masing-masing, kami perlu menahannya sehingga tugasan kami ini selesai, yang mana perlu menguruskan proses pensampelan yang mencecah 600 orang setiap hari,” katanya.

Menurut Ubaidillah, beliau perlu membersihkan diri dahulu selepas selesai menjalankan tugas pensampelan, sebelum pulang ke rumah atau singgah ke mana-mana.

Keperluan Uar-uarkan SOP

Dalam pada itu, unit yang berperanan sama penting dalam usaha PKDBP memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini adalah Unit Promosi Kesihatan yang diketuai oleh Pegawai Pendidikan Kesihatan Irene Faridah Ismail.

Menurut Irene, pihaknya berperanan untuk menghebahkan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diterbitkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, Unit Bergerak Promosi Kesihatan Daerah Batu Pahat akan menyampaikan maklumat pencegahan apabila turun ke lapangan di kawasan PKPB.

“Unit ini mempunyai risiko tersendiri terutamanya semasa anggota menggantungkan bahan pameran seperti banner dan bunting serta mengedarkan poster serta risalah kepada umum. Namun, anggota dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa menjalankan tugas.

“Kami turut mendapat kerjasama dari Unit Bergerak Promosi Kesihatan, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Daerah Batu Pahat dalam menyalurkan hebahan siaraya akan keadaan semasa dan menguar-uarkan pematuhan SOP, amalan normal baharu dan minda sihat bagi mengurangkan tekanan emosi semasa PKP di kawasan yang mempunyai risiko penularan wabak Covid-19,” katanya.

Selain Unit Bergerak, infografik dan saluran maklumat disebarkan melalui saluran media sosial iaitu di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Johor, Johor Health Promotion (JOHEP) dan Pejabat Kesihatan Batu Pahat sebagai saluran rasmi.

Sepanjang dua hari bersama petugas KKM di daerah Batu Pahat ini, wartawan BERNAMA turut berpeluang merasai sendiri bagaimana rasanya tugasan yang dilakukan oleh mereka termasuklah memakai sut khas PPE selama kira-kira 1 jam.

Ternyata, tugas mereka sangat mencabar dan setiap hari mereka melakukannya dengan ikhlas demi mengekang penularan wabak ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suspek curi motosikal dikesan kontak rapat individu dikuarantin

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Seorang daripada dua lelaki tempatan yang diberkas ketika leka dengan kegiatan mencuri motosikal di kawasan parkir Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kelmarin ditahan di wad selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang individu di bawah pengawasan (PUS) yang memakai gelang pink dan menjalani kuarantin di blok Program Perumahan Rakyat Kerinchi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata suspek yang berusia 19 tahun turut menjalani pemeriksaan suhu badan yang didapati mencecah 38.5 darjah celsius.

“Suspek turut menjalani ujian saringan Covid-19 dan sedang menunggu keputusan lanjut. Sementara seorang lagi suspek (yang berusia 26 tahun) dibawa ke unit kecemasan dan sedang dirawat susulan berlaku pergelutan bersama mangsa,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan selepas kegiatan mereka disedari seorang pemilik kenderaan yang menuju ke kawasan parkir berkenaan.

“Polis menerima laporan berhubung kejadian pada kira-kira 4.24 petang oleh mangsa yang juga bekerja sebagai polis bantuan di situ.

“Mangsa yang selesai menjalankan tugas telah menuju ke motor jenis Yamaha 125z miliknya sebelum melihat kelibat dua suspek berkenaan,” katanya.

Zairulnizam berkata susulan itu, mangsa telah meminta bantuan rakan setugasnya sekali gus membawa kepada penahanan kedua-dua suspek.

“Mangsa dalam masa sama telah menjalankan pemeriksaan dan menemukan beberapa peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal,” katanya.

Beliau berkata semakan lanjut polis turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah.

“Suspek belum dapat disoal siasat namun polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

-BERNAMA