Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa tanah runtuh kontraktor lantikan, bukan warga kerja Air Selangor

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjelaskan seorang mangsa insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai, Ampang, semalam adalah pekerja kontraktor lantikan syarikat berkenaan dan bukan warga kerjanya.

Air Selangor dalam kenyataan hari ini menjelaskan dalam insiden itu, seramai enam pekerja kontraktor lantikan Air Selangor berada di kawasan tersebut bagi melaksanakan pemeriksaan tapak serta kerja-kerja pembaikan paip injap.

“Air Selangor merakamkan rasa dukacita terhadap tragedi yang menimpa seorang pekerja kontraktor lantikan Air Selangor itu. Sewaktu insiden tersebut, seorang daripada pekerja kontraktor lantikan kami terperangkap dan tidak berjaya melepaskan diri. (Beliau) bukan warga kerja Air Selangor.

“Kami di Air Selangor berdukacita dan amat mengambil berat atas implikasi insiden tanah runtuh yang menimpa semua mangsa khususnya pekerja kontraktor kami yang berada di tapak,” katanya menerusi kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut Air Selangor menitikberatkan keselamatan dan kesejahteraan semua warga kerja mereka tidak terkecuali para pekerja kontraktor yang bertugas di tapak.

Air Selangor akan terus bekerjasama bersama pihak berkuasa dan pihak berkenaan bagi membantu pekerja-pekerja kontraktor syarikat lantikan yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Semalam 13 kawasan sekitar Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru, dan dijangka pulih sepenuhnya awal pagi esok.

— BERNAMA