Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Kontraktor perlu tingkat kecekapan senggara jalan, beri pengguna selesa

SHAH ALAM, 13 DIS: Kontraktor di negeri ini akan dibantu untuk melengkapkan pengetahuan teknologi terkini bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan raya, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata perkembangan teknologi boleh dimanfaatkan untuk memastikan keadaan jalan raya di negeri ini pada tahap terbaik dan memberi keselesaan kepada pengguna.

“Seperti contoh dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) penggunaan robotik mungkin boleh dipertimbang bagi memantau keadaan jalan raya.

“Kerajaan Negeri akan bantu tingkatkan kecekapan mereka dengan mengadakan kursus,” katanya selepas merasmikan seminar pembangunan kontraktor jalan raya di sini, hari ini.

Izham berkata, selain aspek teknikal kursus kepada kontraktor turut membabitkan aspek pembangunan sahsiah dan integriti bagi memastikan kelancaran penyelenggaraan.

“Ini usaha Kerajaan Negeri untuk memberi tambah nilai dan kecekapan kepada kontraktor,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor arah henti kerja di tapak laluan LRT3, insiden disiasat

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pembinaan Jaya Zira Sdn Bhd, Kontraktor Pakej Kerja GS09 Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) kini bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyiasat punca insiden perancah besi jatuh di tapak pembinaan projek itu di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

Menerusi kenyataan hari, syarikat itu memaklumkan Arahan Henti Kerja (SWO) telah dikeluarkan bagi menghentikan serta-merta semua aktiviti pembinaan.

“Kami ingin mengucapkan takziah dan maaf kepada mangsa dan keluarga mereka serta meminta maaf kepada orang ramai atas sebarang kesulitan,” katanya.

Sebarang pertanyaan atau kebimbangan berhubung isu keselamatan, sila hubungi talian LRT3 di 1 800 18 2585.

Terdahulu, media melaporkan seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas perancah besi di tapak pembinaan itu jatuh manakala tiga lagi rakan senegaranya serta seorang rakyat Indonesia berusia 30-an mengalami cedera ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan pada 4.20 petang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin: TNB nasihat kontraktor elak aktiviti jejas bekalan elektrik

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai terutama kontraktor supaya lebih berhati-hati ketika melakukan kerja pengorekan bagi mengelak kemungkinan menjejaskan kestabilan bekalan elektrik sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini.

Ketua (Operasi) Rangkaian Pembahagian TNB Mohd Yusof Ibrahim berkata bekalan elektrik stabil diperlukan kerana vaksin Pfizer-BioNTech perlu disimpan pada suhu -70 darjah Celsius.

Beliau berkata TNB sebelum ini memberi jaminan bekalan elektrik di Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan lebih 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara akan stabil sepanjang pelaksanaan program berkenaan.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah agenda penting negara untuk melawan virus yang hampir setahun merencatkan pelbagai aspek kehidupan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 459 kes kerosakan akibat pengorekan pihak ketiga dilaporkan pada tahun lepas, dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi sebanyak 118 kes yang menjejaskan 141,000 pengguna, diikuti Kuala Lumpur dengan 108 kes (94,000 pengguna), Pahang dengan 43 kes (55,000 pengguna).

Sementara itu, Mohd Yusof mengulangi saranannya agar pihak kontraktor yang melakukan kerja pengorekan untuk menyemak dengan TNB terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang kerja supaya gangguan bekalan elektrik dapat dielakkan.

“Kegiatan mengusik dan mencuri pepasangan TNB boleh menyebabkan percikan arka dan seterusnya gangguan bekalan elektrik. Bermain layang-layang dan dron berhampiran talian TNB serta membawa galah dan memancing di kolam atau tasik di bawah talian TNB juga mengundang risiko yang sama,” katanya.

Orang ramai disarankan agar memaklumkan segera kepada TNB CareLine 15454 atau menghubungi pihak polis sekiranya ternampak pihak mencurigakan menceroboh pepasangan TNB seperti pencawang dan menara talian.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hari ini dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April tahun ini membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan.

Fasa 2, dari April hingga Ogos, akan membabitkan warga emas berusia 65 tahun ke atas, kumpulan berisiko tinggi dan golongan orang kurang upaya (OKU) merangkumi kira-kira 9.4 juta orang manakala Fasa 3, yang bermula Mei tahun ini hingga Februari 2022, meliputi rakyat Malaysia dan bukan warganegara berusia 18 tahun ke atas, dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak kena tindakan, majikan digesa ambil pekerja binaan berdaftar

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan majikan supaya mengambil pekerja berdaftar atau mempunyai dokumen yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIDB menegaskan majikan yang didapati mengambil pekerja yang tidak berdaftar atau mempunyai dokumen palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran kontraktor terbabit digantung atau dibatalkan.

“Majikan perlu peka dan berwaspada dengan status pekerja binaan yang tidak berdaftar dan tidak diperakui tahap kompetensi mereka untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai sindiket pemalsuan dokumen imigresen, iKad dan Kad CIDB palsu baru-baru ini.

Menurut CIDB, pengesahan maklumat pekerja boleh dilakukan dengan cepat dan mudah menerusi Direktori Personel Binaan di laman web Sistem Pengurusan Maklumat Setempat CIDB (CIMS), cims.cidb.gov.my.

“Mengikut Akta 520, semua pekerja binaan mesti berdaftar dengan CIDB bagi menjalankan kerja-kerja di tapak bina. Individu yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran yang sah boleh didenda tidak melebihi RM5,000,” jelasnya.

Kontraktor juga berdepan dengan tindakan tegas jika terlibat dengan pemalsuan dokumen dan sengaja mengambil pekerja binaan yang memiliki kad palsu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CIDB: Kontraktor ambil pekerja tidak berdaftar berdepan tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan majikan supaya mengambil pekerja berdaftar atau mempunyai dokumen yang sah bagi mengelak dikenakan tindakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIDB menegaskan majikan yang didapati mengambil pekerja yang tidak berdaftar atau mempunyai dokumen palsu, boleh dikenakan tindakan tatatertib yang boleh mengakibatkan pendaftaran kontraktor terbabit digantung atau dibatalkan.

“Majikan perlu peka dan berwaspada dengan status pekerja binaan yang tidak berdaftar dan tidak diperakui tahap kompetensi mereka untuk melakukan kerja-kerja pembinaan kerana ia boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan mengenai sindiket pemalsuan dokumen imigresen, iKad dan Kad CIDB palsu baru-baru ini.

Menurut CIDB, pengesahan maklumat pekerja boleh dilakukan dengan cepat dan mudah menerusi Direktori Personel Binaan di laman web Sistem Pengurusan Maklumat Setempat CIDB (CIMS), http://cims.cidb.gov.my.

“Mengikut Akta 520, semua pekerja binaan mesti berdaftar dengan CIDB bagi menjalankan kerja-kerja di tapak bina. Individu yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran yang sah boleh didenda tidak melebihi RM5,000,” jelasnya.

Kontraktor juga berdepan dengan tindakan tegas jika terlibat dengan pemalsuan dokumen dan sengaja mengambil pekerja binaan yang memiliki kad palsu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kontraktor perlu patuhi SOP, elak kemalangan tempat kerja

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Insiden tiga pekerja pembersihan maut akibat terhidu gas bahaya ketika menjalankan kerja pembersihan di sebuah loji kumbahan di Jalan Pantai Permai 1, di sini petang semalam dapat dielak sekiranya semua langkah keselamatan yang ditetapkan dipatuhi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN) Tan Sri Lee Lam Thye berkata walaupun jumlah kes dan kematian kejadian itu tidak sebanyak kematian yang direkodkan dalam kemalangan jalan raya, sejak kebelakangan ini ada sahaja kes seperti itu dilaporkan berlaku.

“Dalam hal ini, pihak majikan atau kontraktor yang dilantik, mesti mengambil tanggungjawab memastikan pekerja yang diupah melakukan kerja di tempat tertutup seperti loji kumbahan itu mempunyai sijil kelayakan sewajarnya selain telah mengikuti Kursus Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

“Ini dapat meningkatkan kesedaran dan kemahiran pekerja dalam menjalankan kerja-kerja berisiko sekali gus dapat mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengancam nyawa mereka,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, katanya pekerja yang melakukan kerja-kerja di ruang yang tertutup di bawah tanah seperti loji pembentungan perlu dibekalkan dengan alatan khas yang dapat mengesan kehadiran gas toksik.

Pada masa yang sama, Lee berharap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan dapat memainkan peranan yang proaktif dalam memantau setiap kerja yang dijalankan di tempat yang berisiko untuk memastikan ia mematuhi tatacara operasi piawai.

Beliau turut mencadangkan agar seorang penyelia ditugaskan bagi mengawasi setiap pekerjaan yang dilakukan di tempat tertutup untuk mengelakkan berlaku insiden yang tidak diingini.

“Dalam insiden yang berlaku semalam, tindakan tegas perlu diambil kepada kontraktor yang terlibat sekiranya didapati berlaku kecuaian dan pengabaian aspek keselamatan sehingga mengorbankan nyawa pekerja,” katanya.

Dalam kejadian 3.10 petang semalam, tiga pekerja iaitu lelaki warga tempatan berusia 22 dan 52 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 42 tahun maut selepas dipercayai terhidu gas berbahaya ketika melakukan kerja pembersihan pembetungan di loji kumbahan berkenaan.

Bagaimanapun, tiga lagi pekerja yang turut berada di tempat kejadian iaitu seorang lelaki warga India berusia 28 tahun dan dua lelaki warga Bangladesh, masing-masing berusia 26 dan 30 tahun terselamat.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kontraktor SUKE didenda RM180,000 gagal pastikan tapak binaan selamat

KUALA LUMPUR, 17 DIS: Kontraktor utama dan subkontraktor projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan denda RM180,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak binaan lebuh raya itu, persidangan Dewan Negara dimaklumkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia susulan kejadian konkrit struktur pembinaan lebuh raya itu jatuh dan menghempap sebuah kenderaan pada 19 September lalu.

Menjawab soalan Senator Md Nasir Hashim berhubung tindakan terhadap kontraktor utama pada persidangan Dewan Negara hari ini, beliau berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menjalankan satu prosiding Tindakan Tatatertib Kontraktor pada 17 Nov lalu dan menjatuhkan hukuman penalti terhadap kontraktor utama dan subkontraktor projek SUKE Pakej CA2.

‘’Kontraktor Utama iaitu MRCB Builders Sdn Bhd dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor Makna Setia Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Kedua-dua kontraktor itu masing-masing didenda mengikut Seksyen 34B(1)(c) dan Seksyen 34C(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520), iaitu di bawah kewajipan kontraktor dalam memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan,’’ katanya.

Fadillah berkata siasatan CIDB turut mendapati, subkontrator berkenaan gagal mematuhi prosedur kerja yang betul dan diperakui oleh perunding projek, selain tidak menggajikan penyelia tapak yang diakreditasi.

Menerusi prosiding tatatertib itu, subkontraktor turut diarahkan membuat penambahbaikan dalam prosedur keselamatan supaya keselamatan orang awam, jajaran projek, amalan cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak binaan adalah terjamin sepanjang tempoh projek dilaksanakan.

“Sepanjang tempoh siasatan, kedua-dua syarikat telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik termasuk membuat aku janji untuk meningkatkan keberkesanan dan amalan prosedur perlaksanaan persekitaran kerja yang lebih selamat dan kondusif,’’ katanya.

Dalam kejadian 19 September itu, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa batu konkrit daripada struktur pembinaan SUKE yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

-BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Kontraktor kecil dilatih jadi lebih profesional, berdaya maju

SHAH ALAM, 18 JUN: Kerajaan Selangor sedia melatih kontraktor kecil di negeri ini bagi membolehkan golongan berkenaan lebih profesional dan berdaya maju.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata langkah itu bagi memastikan mereka mampu bersaing sehingga ke peringkat lebih tinggi.

“Latihan perlu diberi kerana ada kontraktor tertentu tidak mempunyai peralatan yang betul ketika mengendalikan projek tertentu.

“Malah ada diantara mereka yang masih berada di takuk lama serta tidak ada peningkatan kualiti, oleh itu Kerajaan Negeri mahu supaya golongan ini dilatih supaya mempunyai daya saing bukan saja dalam negeri tetapi juga di peringkat global,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Cabut Undi Online Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Daerah Petaling, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabaran Pengairan dan Saliran JPS Selangor, Datuk Ir Gapar Asan dan Pegawai Daerah Petaling, Johary Anuar.

Majlis cabut undi tender secara dalam talian itu kali pertama dilaksanakan JPS di negeri ini dan menerima pendaftaran 1,467 kontraktor.

Ia melibatkan 228 tender projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 juta.

Pendaftaran dibuka pada 5 Jun dan ditutup pada 10 Jun lalu, sementara tarikh cabut undi dijalankan hari ini dan paparan keputusan undi pada hari esok.

Categories
PBT SELANGOR

23 panel kontraktor urus sisa pepejal Petaling Jaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 28 JULAI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melantik 23 panel kontraktor bagi menguruskan kutipan sisa pepejal domestik di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Dato’ Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, pengambilalihan dibuat bagi menjalankan kerja kutipan sampah di premis yang tidak menerima perkhidmatan kutipan daripada mereka.

“Inisiatif ini mampu mencegah insiden pembuangan sampah secara haram dan tidak teratur dilakukan syarikat kutipan sisa tanpa tauliah yang dilantik agensi tertentu. Ia juga dilaksanakan bagi memastikan amalan pengasingan sampah khususnya sampah domestik, pukal, dan berjadual dilakukan di peringkat punca penjanaan.

“Pelaksanaan ini juga membolehkan kami memperoleh data sampah yang dijanakan premis khususnya perniagaan dan perindustrian, di Petaling Jaya,” katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Lantikan kepada 23 syarikat terbabit di Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

MBPJ (3)Mohd Azizi berkata, lantikan itu juga dilaksanakan sebagai komitmen menjadikan bandar raya itu lebih bersih dengan galakan persekitaran hijau yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.

“MBPJ komited ke arah itu dengan bertangunggjawab menguruskan sisa pepejal secara efektif bagi menjadikan bandar raya Petaling Jaya lebih bersih.

“Saya percaya dengan adanya kontraktor ini, pengurusannya akan lebih berkesan selain dapat menangani sebarang masalah yang sudah dikenalpasti sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pemilihan kontraktor dibuat berdasarkan keupayaan syarikat menguruskan kutipan sampah, sisa pepejal, domestik, pukal yang dijalankan syarikat berkenaan sebelum ini.

Kontraktor dipilih bertanggungjawab membersihkan kawasan tong sampah dalam lingkungan persekitaran lima meter dan memastikan tiada kotoran di kawasan awam atau ketika pengangkutan kutipan dijalankan.

Selain itu, kotraktor bertanggunggjawab mengemukakan laporan bulanan bagi penilaian MBPJ.

Categories
SELANGOR

Gagal capai 70% Qlassic, kontraktor tak dapat tender PKNS

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUL: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak akan berkompromi dengan kontraktor yang gagal mencapai 70 peratus dalam Sistem Penilaian Kualiti Dalam Pembinaan Hartanah (Qlassic).

Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) PKNS, Datuk Abdul Ghani Hashim, berkata peratusan KPI 70 peratus Qlassic itu ditetapkan bertujuan mengenal pasti kontraktor berkualiti dan berwibawa.

“Kita tidak akan memberikan tender kepada kontraktor yang gagal. Dalam pembahagian tender, PKNS tidak berkompromi.

pkns1“Kita mahu pelanggan berpuas hati, sebab itu PKNS menyediakan produk mencapai tahap kualiti tinggi,” katanya, di sini, semalam.

Ghani berkata, jika kontraktor tidak mencapai 70 peratus, maka jumlah pembayaran kontrak kepada mereka akan ditolak sebanyak tiga peratus.

“Semua projek PKNS wajib melepasi tahap Qlassic kecuali perumahan kos rendah dan rumah mampu milik. Dengan adanya Qlassic, ia memberi kelebihan kepada kami untuk menjual projek perumahan,” katanya.

LOGO-PKNSAntara projek yang mencapai Qlassic di Shah Alam adalah Ayu Impian di Alam Nusantara, Kristal View (Seksyen 7), Divina (Seksyen 24) dan Pinang Height (Seksyen 18).

“Empat projek ini habis dijual walaupun belum siap sepenuhnya,” katanya.

Sejak 2011, PKNS mewajibkan standard Qlassic yang dijadikan garis panduan untuk projek perumahan sederhana dan tinggi.

Dengan Qlassic, nilai hasil kerja antara projek pembinaan dapat dibuat melalui sistem pemarkahan yang ditetapkan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) iaitu mencapai 70 peratus.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng : Kerajaan Negeri Jimat Lebih RM 50 Juta Setahun Apabila Kutip Sampah Secara Terus

Lori Kompaktor sampah 2

SHAH ALAM 4 JULAI : Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan kos melebihi RM53 juta setahun apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengambil alih kutipan sampah daripada Alam Flora Sdn Bhd (AFSB).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Kim berkata, kaedah membolehkan PBT mengurus kutipan sisa pepejal secara terus dengan melantik kontraktor yang dahulunya menjadi sub-kontraktor kepada AFSB.

“Penjimatan dicatatkan dalam masa setahun adalah sebanyak RM53,876,942.41 iaitu 11 PBT mencatatkan kos pengurusan sebanyak RM166,827,402.82 berbanding ketika dikendalikan AFSB sebanyak RM220,704,345.23.

“Dengan pengurusan sendiri juga PBT dapat memantau kerja pengendalian sampah secara terus selain pegawai atau kakitangan PBT yang terlibat dapat mempelajari dan menangani masalah pengurusan sisa pepejal di kawasan masing-masing.”

Teng berkata demikian ketika menjawab pertanyaan mulut Adun Sekinchan, Ng Suee Lim dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau berkata, antara langkah proaktif untuk memastikan kutipan sampah berlaku secara efisyen adalah PBT mewujudkan talian hotline aduan sampah, skuad rayau dan Unit Tindakan Khas menjalankan kerja ‘back-up’ kutipan sampah.

Tindakan lain ialah perjumpaan PBT secara terus dengan kontraktor terlibat, pengezonan semula kawasan kendalian serta kutipan sampah dua kali dalam sehari di kawasan pusat bandar.

Categories
SELANGOR

Haniza : Program Kitar Semula Langkah Proaktif Atasi Masalah Sampah

PETALING JAYA 14 SEPT : DUN Taman Medan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengadakan kempen kitar semula secara aktif  bagi membantu mengatasi masalah sampah.

Di samping itu, kempen kesedaran akan turut dipergiatkan dengan mengalakkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.

Menurut Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata dua inisiatif ini boleh dilaksanakan bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada masalah sampah.

Masalah utama yang berlaku di kawasan ini ialah longgokan sampah di tempat pembuangan sampah yang sering menggangu penduduk.

Beliau berkata, semua pihak termasuk penduduk setempat perlu bertanggungjawab dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memastikan masalah sama tidak berulang lagi.

“Saya dapati tindakan yang sesuai ialah sama ada memindahkan tapak sampah yang tidak sesuai ke kawasan lebih sesuai. Masalah ini boleh di atasi jika kita lakukannya secara holisitik.

“Siapa yang bersalah itu isu kedua, yang penting tindakan untuk diambil bagi mengatasi masalah ini. Masyarakat juga perlu sedar bahawa mereka tidak boleh meletak tanggungjawab itu di bahu PBT sahaja. Semua pihak perlu mainkan peranan,” katanya.

Haniza berkata demikian semasa mengadakan tinjauan di beberapa lokasi di sekitar Taman Medan untuk mengenalpasti kawasan yang mengalami masalah longgokan sampah.

Tinjauan itu turut disertai Pengarah Kesihatan dan Alam Sekitar MBPJ, Dr Chitra Devi Vadivellu serta beberapa anggota penguatkuasa MBPJ.

Tambahnya, isu sampah yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu di kawasan itu dikatakan berpunca daripada sikap pihak tidak bertanggungjawab yang membuang sampah di kawasan tidak sepatutnya.

Katanya, ekoran daripada itu, pihak kontraktor mengalami kesukaran untuk mengutip sampah secara konsisten yang akhirnya menjadikan masalah di kawasan itu bertambah serius.

“Saya akan mengadakan perbincangan bersama penduduk setempat dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah berkenaan selain perjumpaan lanjut bersama pihak MBPJ,” katanya.

Dalam pada itu, rata-rata penduduk setempat yang ditemui meminta Adun serta pihak MBPJ supaya kerap memantau masalah tersebut dari semasa ke semasa.