Categories
NASIONAL

Bersihkan Malaysia: Moto Konvensyen PR kE-3

ALOR SETAR, 14 JAN: Konvensyen Pakatan Rakyat Ke-3 yang berlangsung di sini menjadikan moto “Bersihkan Malaysia” sebagai sebuah akur janji bagi memastikan segala hak rakyat akan dapat dinikmati secara adil dan harmoni.

Moto ini bertepatan dengan hala tuju PR disaat negara sedang mengalami pelbagai kepincangan akibat amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, ketirisan dan pemborosan yang berluasa berlaku dalam kerajaan.

Pada hari ini dijangkakan lebih 600 perwakilan dari ketiga-tiga gabungan PR selain 200 pemerhati akan menyertai konvensyen sehari di sini.

Fokas utama yang akan diperbincangkan antaranya termasuklah isu-isu berkaitan Pilihanraya Umum, Sistem Kehakiman, Fedaralisme, Rasuah, Felda dan penjawat awam selain isu-isu masyarakat.

Majlis akan bermula jam 9.30 pagi dengan ucapan pembukaan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.

Kemudiannya di ikuti ucapan ketiga-tiga Setiausaha Agong parti, Mustafa Ali (PAS), Saifuddin Nasution Ismail (PKR) dan Anthony Loke (DAP).

Ini akan di ikuti dengan ucapan suara hati nurani rakyat Malaysia yang terdiri dari wakil-wakil negarawan budaya, warga Felda, penjawat awam, ahli akademik, NGO, pelajar dan wakil dari Sabah dan Sarawak.

Antara tokoh yang akan memberi ucapan adalah Sastrawan negara, Dato A Samad Said, Prof Aziz Bari, Dato Ambiga dan Safuan Anang yang mewakili wakil pemida dan pelajar.

Perbahasan akan bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan lima pembentang utama. Antaranya oleh S.Sivarasa, Suhaimi Said, Dato Husam Musa , Liew Chin Tong dan Nurul Izzah Anwar.

Manakala ucapan penggulungan pemimpin akan bermula pada 2.30 petang. Turut memberi penggulungan adalah, Azmin Ali, Lim Guan Eng, Datuk Seri Hadi Awang, Karpal Singh, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim.

Di majlis pembukaan, para pemimpin dan seluruh perwakilan akan melafazkan ikrar Pakatan Rakyat.

Kandungan Ikrar tersebut mengandungi lima teras utama antaranya mempertahankan Perlembagaan persekutuan, meningkatkan mutu perkhidmatan, perkukuh kerjasama PR, Menghindar sogokan yang menjurus kepada pengkhianatan kepada rakyat dan membina negara yang demokratik, adil dan berkebajikan.

Sementara itu pada malamnya Rapat Rakyat Perdana akan di adakan di Stadium Sultan Abdul Halim, lokasi dimana konvensyen diadakan.

Semua pimpinan tertinggi PR akan menyampaikan ucapan pada malam ini.

Categories
SELANGOR

Azmin Ali : Pakatan Rakyat Miliki Pemimpin Berintegriti

ALOR SETAR, 14 JAN: Pakatan Rakyat (Pakatan) perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat yang kini bangkit bagi menuntut sebuah negara yang adil dan sejahtera untuk semua.

Menurut Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali dalam ucapan pembukaannya berkata, konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-3 ini adalah pecutan terakhir menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang memberikan fokus utama terhadap permasalahan rakyat yang selama ini terhimpit dengan kekangan kehidupan dibawah regim Barisan Nasional.

“Kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada gutter politics dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang diterajui oleh UMNO. Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat Malaysia,” katanya.

Jelas beliau, Pakatan tidak lagi membicarakan persoalan untuk menafikan majoriti dua pertiga sebaliknya penonjolan pimpinan berkaliber untuk membawa negara ke satu fasa yang lebih dinamik dan ke hadapan merupakan kunci keyakinan untuk membentuk kerajaan pusat yang baru selepas PRU ke 13.

“Kita juga sudah ada kepimpinan yang dinamik, berdaya saing serta teruji kesetiaan dan kebolehannya untuk mentadbir negara. Kita mempunyai pemimpin yang amanah seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan YAB Datuk Seri Azizan Razak.

“Kita mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang. Malah, sudah pasti kita mempunyai Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai karisma dan pengalaman serta telah dibersihkan dari fitnah dan konspirasi jahat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, ‘Reformasi‘ yang dilaungkan selama ini bukan hanya sekadar untuk menumbangkan Umno-Barisan Nasional semata-mata sebaliknya kata keramat tersebut merupakan agenda pembebasan rakyat selain memartabatkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran rakyat.

“Agenda reformasi akan memecahkan mitos kononnya hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah dan memberikan kesejahteraan untuk rakyat. Insha Allah, di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat nanti, kita akan kembali memartabatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh negara serantau dan antarabangsa,” katanya.

Tegas beliau, kesediaan Pakatan untuk menerajui tampuk pemerintahan negara jelas melalui dasar pengenalan Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat yang diperkenalkan sebelum ini yang akan menjadi agenda Malaysia baru milik rakyat.

Categories
SELANGOR

Hanya Pakatan Mampu Ubah Senario Malaysia Timur

ALOR SETAR, 14 JAN: Pakatan Rakyat perlu agresif meneroka kawasan pedalaman sekiranya ingin melihat angin perubahan berlaku di Sarawak seiring dengan perubahan di Semenanjung.

Wakil Sarawak, Nicholas Mujah berkata, Sarawak masih mengalami masalah infrastruktur terutamanya dari segi pengangkutan memandangkan masyarakat orang asal masih tinggal di kawasan yang jauh dari kemodenan pembangunan.

Katanya lagi, laungan ‘1Malaysia’ yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak dirasai di Sarawak ditambah polisi kerajaan Sarawak yang tidak mesra rakyat.

“Kita sudah merdeka tapi hak asasi kita di kongkong. Semua pembangunan tetumpu kepada orang yang kaya dan berkuasa. Ini realiti sebenarnya.

“PR boleh menjadi ‘perahu dan kereta’ kita. Apa yang kita perlukan adalah dari segi logistik. Kawasan pendalaman memerlukan perhatian. Kita perlu berjalan seminggu dari satu destinasi ke destinasi. Saya tidak ingin hak mereka ditindas lagi.

“Kalau PR mahu berubah, kepimpinan PR harus menerima realiti kita perlu banyak pendedahan. Masayarakat perlu pendidikan,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Sabah, Simon Sipaun berkata rakyat semenanjung seharusnya mengambil ikhtibar diatas insiden pemberian kad pengenalan kepada warga asing (projek ic) seperti yang pernah dialami di negeri itu semasa peralihan kuasa politik dahulu.

Menurut Simon, kini, rakyat asal negeri itu terpaksa bersaing di negeri sendiri dengan pendatang yang diberikan kad pengenalan yang didalangi pihak berkepentingan.

“Saya tidak hairan sekirannya jumlah orang asing melebihi penduduk asal negeri Sabah, bagi saya ini adalah ibu kepada semua masalah.

“Rakyat Sabah tertarik dengan janji Pakatan Rakyat untuk mendepani masalah ini, kita bongkar siapa dalang kepada punca permasalahan ini, yang didapati bersalah harus dituduh di mahkamah,”jelas Simon yang juga salah seorang ahli SUHAKAM.

Projek IC dilaporkan sebagai operasi bersepadu tetapi terselindung pada tahun 1980-an dan 1990-an untuk memberi kad pengenalan kepada rakyat asing, yang didakwa sebagai usaha untuk mengubah demografi Sabah yang menguntungkan Umno.

Categories
NASIONAL

Konvensyen PR: Bersihkan Malaysia, Pinggir Kepimpinan Korup

PETALING JAYA, 11 JAN : Konvensyen Pakatan Rakyat ke-3 yang bakal berlangsung hujung minggu ini di negeri Kedah disifatkan sebagai pecutan akhir gagasan itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Konvensyen yang bertemakan ‘Bersihkan Malaysia’ ini secara dasarnya akan memperincikan krisis politik negara yang tidak berpenghujung selain ingin mewujudkan suasana negara yang lebih sejahtera dengan meminggirkan kepimpinan yang korup.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, konvensyen ini juga adalah untuk memastikan gerakan kebangkitan rakyat seiring dengan arus perubahan yang dibawa Pakatan Rakyat.

“Persoalan krisis yang bertentangan dengan amalan politik demokrasi di negara ini harus ditangani dengan meletakkan negara dilandasan yang betul iaitu melalui kepimpinan yang beramanah, integriti dan akauntabiliti untuk menerajui negara selepas pilihan raya nanti.

“Kita juga akan mengwujudkan suasa sebuah negara yang mana ia adalah milik kita semua, negara untuk semua kaum dan kita hidup sebagai satu keluarga yang bertanggungjawab membangunkan negara secara bersama,” Mahfuz berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sudah tiba masanya untuk seluruh rakyat meninggalkan kepimpinan yang korup dan terbuka untuk menerima sepenuhnya pakej politik kepimpinan Pakatan Rakyat seperti yang termaktub di dalam naskah buku jingga.

“Kita mengharapkan konvensyen kali ini mampu memberi gambaran jelas kepada masyarakat Malaysia tentang komitmen kepimpinan Pakatan Rakyat dalam mendepani secara segera segala tekanan, ketidakadilan dan bebanan hidup yang terpaksa ditanggung rakyat dinegara kita selama ini,” jelasnya.

Hadir sama, AJK PAS Pusat, Dzulkefly Ahmad, Naib Presiden PKR, N.Surendran dan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai