SHAH ALAM, 7 NOV: Koperasi Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) menyasarkan 20,000 keahlian dalam tempoh lima hingga tujuh tahun akan datang.
Sejak ditubuhkan April 2016, koperasi berkenaan merekodkan 12,000 anggota terdiri daripada usahawan kecil dan penjaja yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan, kata pengurus besarnya.
“Kita tidak mahu berbangga memiliki ramai ahli tetapi mereka tidak menerima apa-apa. Jadi, kita perlu ada sasaran minimum dan maksimum supaya semua mendapat manfaat selari dengan projek yang dijayakan.
“Dari awal lagi, hasrat penubuhan koperasi ini untuk memastikan anggota mendapat ilmu yang berguna selain menyediakan bantuan seperti kendera saji dan peralatan perniagaan,” kata Mohd Syukri Ismail.
Beliau berkata demikian pada program bual bicara “Jatuh Bangun Perniagaan Food Truck Selangor” yang disiarkan melalui Facebook Media Selangor malam tadi.
Kohijrah adalah sebuah koperasi yang diwujudkan bagi meningkatkan kedudukan sosioekonomi peserta HIJRAH yang menjadi ahlinya.
Projek dijalankan antaranya Tabung Kebajikan Hijrah Selangor, sewaan padang, Ladang Alam Warisan, Kendera Saji, Vending Machine, penjualan lembu korban, pelaburan getah beku dan MyTani.
Koperasi terbabit turut melaksanakan pasaran secara dalam talian Kohijrahmall.com yang mencatat hasil pendapatan sebanyak RM10,000 setakat 26 Mac lalu.