Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Jersi Selangor FC abadi nama penyokong korban Covid-19

SHAH ALAM, 8 MAC: Pasukan Selangor FC mengabadikan nama penyokong yang terkorban akibat Covid-19 pada jersi keluaran istimewa pasukan itu, semalam.

Menerusi Facebook, Selangor FC memaklumkan jersi itu hanya dijual kepada pemegang pas bermusim 2020 dengan harga RM139.

“Jersi khas ini dihasilkan bagi memperingati dan mengabadikan nama penyokong setia Selangor FC yang telah pergi meninggalkan kita akibat Covid-19.

“Semoga semangat dan memori mereka terus menjadi sumber kekuatan kelab ini,” katanya.

Pasukan itu berkata pembelian jersi secara fizikal hanya boleh dibuat menerusi FASTC Pop Up Store bermula Jumaat ini.

“Bagi pembelian secara atas talian, peminat boleh menghubungi bahagian khidmat pelanggan di talian 016-3012778.

“Ia adalah eksklusif untuk pemegang pas bermusim 2020,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Kariah Masjid Bukit Antarabangsa lega boleh laksana ibadah korban

AMPANG, 20 JULAI: Kebenaran menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha melegakan pengurusan jawatankuasa masjid negeri ini meskipun tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Bukit Antarabangsa Jasmi Md Yusof, 57, bersyukur kerana permohonan melaksanakan aktiviti sembelihan di institusi berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mereka (Jais) benarkan pelaksanaan aktiviti sembelihan tetapi perlu patuh setiap SOP digariskan selain mensyaratkan petugas ibadah korban divaksin sekurang-kurangnya satu dos.

Ahli Jawatankuasa Masjid Bukit Antarabangsa, Jasmi Md Yusof.

“Kami gembira walaupun kebenaran diberi empat hari sebelum perayaan, ahli kariah juga sudah mengumpul wang untuk membeli 10 ekor lembu,” katanya ketika ditemui di Stelvio Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Mengulas mengenai garis panduan solat sunat Aidiladha, beliau berkata seramai 60 jemaah termasuk AJK diberi kebenaran solat di masjid terbabit pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Program Ibadah Korban Bukit Antarabangsa Roslee Derohim, 55, berkata pihaknya memastikan kesemua 30 petugas terlibat dengan aktiviti penyembelihan lembu sudah mendapat suntikan pelalian.

Pengerusi Masjid Bukit Antarabangsa, Roslee Derohim.

“Kita berasa selamat apabila sudah divaksin walaupun bukan seratus peratus tetapi lebih baik ada perlindungan selain menekankan aspek pemakaian pelitup muka semasa aktiviti korban,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha mengikut SOP ketat.

Premis dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.

Categories
AGENDA GLOBAL

Tujuh terkorban dalam gempa bumi di Jawa Timur

JAKARTA, 11 APRIL: Kejadian gempa bumi kuat di Jawa Timur selatan semalam disahkan meragut tujuh nyawa setakat pagi tadi, selain menyaksikan lebih 800 kediaman dan bangunan runtuh serta rosak teruk.

Menurut Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) Raditya Jati, tiga kematian dilaporkan di Kabupaten Malang sementara empat di Kabupaten Lumajang.

Hingga kini, BNPB masih mengumpul statistik di 17 kabupaten dan kota di Jawa Timur yang mengalami gegaran bermagnitud 6.7 pada skala Richter pada kira-kira 2 petang semalam, berpusat di 90 kilometer barat daya Kabupaten Malang.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia turut mencatatkan beberapa gempa susulan bermagnitud rendah masih berlaku di wilayah berkenaan, dan terbaharu bermagnitud 5.5 pada skala Richter pada 6.54 pagi tadi.

Kejadian gegaran semalam itu turut dirasakan di hampir seluruh wilayah Jawa Timur, termasuk beberapa kawasan di Jawa Tengah serta Pulau Bali dan Lombok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Presiden AS: Letupan di Beirut umpama ‘serangan bom’

WASHINGTON, 5 OGOS: Presiden Donald Trump berkata beliau dimaklumkan oleh jeneral tentera Amerika Syarikat (AS) letupan kuat yang menggegarkan Beirut seolah-olah sebuah letupan bom.

“Ia seperti satu serangan yang mengerikan,”Trump memberitahu wartawan di Rumah Putih.

“Ia kelihatan seperti itu, berdasarkan letupan tersebut. Saya bertemu dengan beberapa jeneral kita yang hebat dan mereka juga berpendapat sama, ” katanya.

“Ini bukan sejenis kejadian letupan akibat aktiviti pembuatan. Ia kelihatan seperti , menurut mereka – mereka lebih tahu daripada saya – tetapi mereka seolah-olah menganggapnya sebagai satu serangan.

“Seperti serangan bom, ya.”

Pegawai Lubnan tidak menggambarkan letupan yang menggegarkan ibu negara itu sebagai serangan.

Perdana Menteri Hassan Diab berkata 2,750 tan baja amonium nitrat yang disimpan selama bertahun-tahun dalam gudang di tepi pelabuhan Beirut telah meletup, mengakibatkan “bencana yang dahsyat.”

“Apa yang berlaku hari ini tidak akan berlaku tanpa penanggungjawab,” kata Diab.

“Mereka yang bertanggungjawab terhadap bencana ini akan membayar harganya.”

Ketua Pengarah Keselamatan Abbas Ibrahim berkata “bahan yang sangat mudah meletup” yang telah dirampas bertahun-tahun sebelumnya telah disimpan di gudang.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,700 cedera di seluruh bahagian bandar terbesar di negara itu.

Ditanya mengenai kenyataan Trump, jurucakap Pentagon berkata “kami tidak mempunyai maklumat untuk anda” dan “anda harus menghubungi Rumah Putih untuk mendapatkan penjelasan.”

Trump menawarkan bantuan AS kepada Lubnan.

Kami berdoa untuk semua mangsa dan keluarga mereka,” katanya. “Amerika Syarikat bersedia untuk membantu Lubnan.”

“Kami mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakyat Lubnan dan kami akan berada di sana untuk membantu.”

Calon presiden demokratik Joe Biden, yang telah menerima taklimat perisikan sejak bulan lalu, juga bertindak balas terhadap letupan Beirut tetapi tidak menggambarkannya sebagai satu serangan.

” Doa kami bersama-sama dengan rakyat Lubnan, dan korban letupan ngeri di Beirut,” kata Biden dalam tweet.

“Saya mendesak Pentadbiran Trump dan masyarakat antarabangsa untuk segera menggerakkan bantuan kepada ribuan yang cedera dalam letupan itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB sembelih sendiri lembu korban

GOMBAK, 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyembelih seekor lembu di perkarangan Masjid An-Nur Kampung Melayu Wira Damai di sini, pagi ini.

Upacara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha turut dihadiri isterinya Datin Seri Masdiana Muhamad.

Sebelum itu, beliau menunaikan solat sunat bersama kira-kira 200 jemaah dan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Pengajaran Ibadah Korban’.

Khutbah tersebut menyentuh ibadah korban yang masih boleh dilaksanakan meskipun mengikut tatacara operasi ketat (SOP) susulan penularan Covid-19.

Pada 27 Julai lalu, kerajaan menetapkan jumlah haiwan sembelihan untuk ibadah korban tahun ini tidak boleh melebihi 10 ekor, bergantung kepada keluasan lokasi tapak penyembelihan.

Selain itu, jamuan di rumah pula terhad kepada 20 orang pada satu-satu masa.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ibrah korban, patuh SOP elak jangkitan Covid-19

Oleh Muhammad Basir bin Roslan

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Sambut Hari Raya Aidiladha dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), antaranya memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan sosial.

Inilah antara semangat pengorbanan yang perlu ditunjukkan oleh masyarakat Islam negara ini dalam meraikan Hari Raya Haji yang juga dikenali sebagai Hari Raya Qurban esok, 31 Julai bersamaan 10 Zulhijjah.

Meskipun Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang Isnin lalu mengumumkan tidak ada sekatan untuk “Balik Kampung”, namun buatlah keputusan bijak dan pastikan SOP dipatuhi untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 yang masih belum dapat diputuskan rantaian penularannya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu sidang media mengenai perkembangan Covid-19 semalam (27 Julai), Malaysia akan menghadapi gelombang ketiga wabak sekiranya orang ramai gagal mematuhi SOP.

Justeru, dalam kegembiraan berkumpul dengan ahli keluarga, saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai, pastikan kita semua mengamalkan SOP yang sudah banyak kali diulang oleh Dr Noor Hisham.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang semalam berkata meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk perayaan Aidiladha, orang ramai masih tertakluk kepada SOP yang ditetapkan.

Antaranya, bagi jamuan di rumah, bilangan tetamu dihadkan maksimum 20 orang. Individu yang dikuarantin dilarang keluar dari kediaman masing-masing.

Untuk ibadah qurban pula, jumlah haiwan qurban tidak melebihi 10 ekor bagi masjid dan surau sementara jumlah petugas dihadkan 20 orang untuk setiap ekor haiwan qurban.

Ibadah qurban boleh dilakukan selama hanya empat hari iaitu pada hari Raya pertama selepas solat Aidiladha dan tiga hari tasyrik.

Sejarah korban

Sudah tentunya bukan semua termasuk yang bertugas di pejabat dapat “Balik Kampung” untuk meraikan Hari Raya Qurban, sama-sama menunaikan solat hari raya sehinggalah kepada meraikan tetamu di rumah atau berkunjung ke rumah jiran, saudara-mara dan rakan taulan.

Inilah masanya untuk mereka yang diperlukan bertugas benar-benar menghayati hikmah Hari Raya Qurban itu sendiri yang jelasnya bukan semata-mata merujuk kepada ibadah Qurban.

“Qurban” turut melibatkan amalan harian umat Islam, amalan bekerja termasuk di pejabat, mematuhi prosedur tugas serta etika perkhidmatan termasuk penjawat awam.

Galilah kembali kisah sejarah ibadah korban untuk kita mengambil iktibar, daripada ibadah yang disifatkan amat mulia di sisi Allah S.W.T. Bagaimana taatnya Nabi Ibrahim A.S yang menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih putera kesayangannya, Ismail, yang dengan kuasa Allah S.W.T. kemudiannya digantikan dengan seekor kibas.

Dalil ayat Quran yang merujuk kepada peristiwa qurban Nabi Ibrahim iaitu Firman Allah S.W.T dalam surah As-Shaffat:102 yang bermaksud, “Ibrahim berkata, ‘Hai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!”

Firman Allah S.W.T berikutnya menyebut Ismail berkata, “Hai bapakku! Kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar. (surah al-Soffat ayat 102).

Di dalam surah al-Soffat ayat 107 pula, Allah S.W.T berfirman, maksudnya : “Dan Kami tebus anaknya itu (Ismail) dengan seekor binatang sembelihan (kibash) yang besar”.

Urutan sejarah menunjukkan ibadah korban disyariatkan pada tahun ke-2 Hijrah dan haiwan yang disembelih sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat beribadah kepada Yang Maha Kuasa. Ia juga untuk memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan kemudiannya disyariatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W

Kalau diikutkan, peristiwa korban telah wujud pada zaman Nabi Adam di mana Allah S.W.T memerintah kedua-dua putera baginda iaitu Habil dan Qabil membuat persembahan korban. Allah S.W.T menerima qurban Habil dan menolak qurban Qabil.

10 hari pertama Zulhijjah

Jika beribadah pada 10 hari terakhir dikatakan kelebihan bulan Ramadan, bagi bulan Zulhijjah, 10 hari terawal dianjurkan umat Islam membanyakkan ibadah sunat termasuk berpuasa sehingga 9 Zulhijjah yang dikenali sebagai Hari Arafah.

Mengulas kelebihan perkara ini, Dr Mohd Shahid Mohd Noh, pensyarah kanan, Akademi Pengajian Islam, Jabatan Syariah dan Ekonomi, Universiti Malaya memberitahu Bernama, mereka yang benar-benar menghayati 10 hari pertama Zulhijjah akan mendapat ganjaran pahala besar daripada Allah S.W.T.

Beliau merujuk kepada sabda Nabi Muhammad S.A.W : “Tidak ada satu hari pun yang amalan soleh pada hari itu lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (10 hari pertama Zulhijjah).” – Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

Justeru, Dr Shahid mengesyorkan mereka yang perlu bekerja pada bulan Zulhijjah untuk menunaikan ibadah puasa terutama untuk 10 hari pertama tetapi ia mestilah bergantung kepada kemampuan mereka.

“Bukan semua mampu berpuasa penuh 10 hari dan mungkin juga ada yang berpuasa sekiranya rakan mereka berpuasa juga.

“Rebutlah juga pahala berpuasa pada hari ke-9 Zulhijjah yang juga dipanggi Puasa Hari Arafah. Kemudian sama-sama berbuka puasa, menjadikan suasana di pejabat lebih meriah, ” katanya.

Korban dan etika kerja

Bercakap tentang ibrah yang boleh diperolehi daripada ibadah Qurban dan bagaimana ia boleh memperbaiki etika kerja seseorang, Dr Shahid menjawab dengan memberi tiga perkara utama.

Pertama, ‘istiqomah’ yakni ketaatan menjalankan sesuatu suruhan terhadap amalan penggajian. Para pekerja dinasihatkan agar kekal teguh dengan sikap mereka ketika menjalankan tugas.

“Nabi Ibrahim tetap teguh menuruti perintah Allah S.W.T untuk menyembelih puteranya sendiri.

“Untuk itu, pekerja perlu teladani kisah ini dengan konsisten dalam setiap amalan pekerjaan mereka di pejabat. Diharapkan sikap demikian akan menjadikan pekerja lebih cekap, ” jelasnya.

Kedua, pekerja perlu menghargai dan mencontohi semangat Nabi Ibrahim dan puteranya, Ismail yang patuh kepada perintah Allah S.W.T. Sikap sedemikian mampu meningkatkan etika kerja dengan mematuhi arahan majikan.

“Bagaimanapun, dalam mematuhi arahan majikan, ia mestilah tidak bercanggah dengan hukum Allah S.W.T. Sekiranya majikan memberitahu anda untuk melakukan sesuatu yang tidak betul, tentunya akan timbul konflik. Ini perlu dibawa berbincang,“ jelasnya.

Perkara terakhir ialah bagaimana ibadah Qurban boleh memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan pekerja.

“Dalam sebuah organisasi, sama ada anda mahu berusaha meningkatkan prestasi atau diberhentikan. Organisasi juga boleh hancur jika tidak ada kerjasama kukuh antara setiap pekerja.

“Kita lihat Nabi Ibrahim dan Ismail ketika hendaku berlaku penyembelihan. Katakan jika ada seorang yang tidak akur dengan perintah Allah S.W.T, tidak adalah ibadah Korban untuk orang Islam, “katanya.

Oleh yang demikian, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha, marilah kita menghargai ibadah Qurban dan mengambil iktibar daripadanya.

Untuk menjadi pekerja yang disegani, kita perlu terus menyemai semangat memberikan yang terbaik untuk organisasi di mana kita bekerja dan turut sama menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Jemaah haji melakukan tawaf ketibaan mengikut pematuhan ketat susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA

Bulan Zulhijjah bulan haji

Bulan Zulhijjah yang juga bulan terakhir dalam takwim Hijrah sinonim dengan ibadah haji, iaitu Rukun Islam kelima.

Kali ini sudah tentunya ramai yang berasa hiba kerana sudah dapat giliran untuk menunaikan ibadah haji tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana pandemik Covid-19 yang turut melanda Arab Saudi.

Akibatnya, kerajaan Arab Saudi mengehadkan hanya 1,000 orang dibenarkan menunaikan ibadah haji pada musim haji 2020, berbanding berbanding 2.5 juta jemaah yang menunaikan ibadat haji pada tahun 2019.

Menurut Kerajaan Arab Saudi, ibadat haji tahun ini dibuka kepada jemaah pelbagai warganegara yang sudah berada di negara berkenaan.

Menurut laporan, lapan orang rakyat Malaysia dibei peluang untuk menunaikan ibadah haji pada musim haji tahun ini. Mereka adalah pelajar dan pekerja yang tinggal di Jeddah, Madinah dan Riyadh.

Ibadah haji tahun ini dilaporkan hanya terhad kepada jemaah berumur bawah 65 tahun dan tiada menghidap sebarang penyakit kronik. Mereka akan melalui ujian saringan Covid-19 sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selepas menunaikan ibadat haji.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

KDEBWM sumbang tiga ekor lembu sempena Aidiladha

SHAH ALAM, 14 OGOS: KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) menyumbangkan tiga ekor lembu di kawasan pentadbiran Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Langat sempena sambutan Aidiladha, baru-baru ini.

Ketua Media dan Perhubungan Awamnya, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, program ibadah itu dimulakan dengan aktiviti sembelihan, melapah, membungkus dan seterusnya pengagihan.

Katanya, daging berkenaan diagihkan kepada golongan memerlukan antaranya asnaf, anak yatim, fakir dan miskin di kawasan itu.

“Sumbangan lembu ini diharapkan dapat membantu golongan kurang berkemampuan, di samping dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada kali ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mahfuzah berkata, sumbangan itu adalah tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan KDEBWM setiap tahun dan berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang.

“KDEBWM juga antara salah satu anak syarikat Kerajaan Negeri yang terbabit dalam Program Agihan Lembu Korban peringkat negeri, iaitu sejumlah 1,200 ekor lembu disumbangkan kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh Selangor,” katanya.

Majlis yang bermula seawal 8.30 pagi itu turut disertai Ketua Operasi KDEBWM cawangan Sabak Bernam, Ahmad Deedat Abdullah Habib dan Ketua Operasi KDEBWM cawangan Kuala Langat, Adzmi Idham Abdul Halim, kakitangan dan penduduk kampung.

Categories
SELANGOR

Galak budaya memberi, bantu insan memerlukan

GOMBAK, 11 OGOS: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan budaya memberi bagi membantu sesama insan, terutama golongan memerlukan.

Katanya, beliau percaya dalam rezeki seseorang itu terdapat juga rezeki orang lain, malahan ganjaran pahala yang bakal diterima juga adalah berbaloi.

“Melalui program yang dilaksanakan hari ini, kita amat menggalakkan budaya memberi diperluaskan, sekali gus membantu golongan kurang berkemampuan.

“Saya percaya inisiatif Kerajaan Negeri berkongsi kekayaan ini selaras dengan gagasan #MajuBersama iaitu tidak meminggirkan sesiapa,” katanya ketika berucap selepas melakukan lawatan Ziarah Korban Surau Al-Hijrah, Kampung Sungai Tua, di sini, hari ini.

Sambutan Hari Raya Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berlangsung meriah dengan disertai pelbagai lapisan masyarakat.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Negeri DUN terbabit turut meluangkan masa meninjau sendiri upacara korban dilaksanakan.

Antara tempat yang dilawati ialah Surau Nurul Muttaqi, Apartmen Seri Cempaka; Surau Nurul Falah, Putri Laksamana; Surau Al Ehsan, Apartment Laksamana Jaya B, Surau Nurul Muttaqi, Apartment Cempaka, Surau Sururul Muttaqin, Kampung Boyan dan Surau Al-Hijrah Kampung Sungai Tua.

Sebelum itu, Amirudin turut berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan rakyat di Masjid Negeri.

Categories
SELANGOR

MB agih daging korban kepada asnaf fakir dan miskin

SHAH ALAM, 11 OGOS: Sebanyak lima ekor lembu dan lima ekor kambing dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, daging korban itu akan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin di Projek Perumahan Rakyat sekitar Shah Alam dan Kelana Jaya yang sudah disenaraikan.

“Sebanyak lima ekor kambing adalah sumbangan peribadi saya, manakala lima ekor lembu pula daripada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

“Semoga dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan golongan terbabit,” katanya kepada Media Selangor pada Majlis Sembelihan Lembu Qurban Bisnes Amal MBI, di sini.

Amirudin berkata, majlis yang pertama kali diadakan di kediamannya itu bakal dianjurkan pada setiap tahun membabitkan pelbagai agensi dengan kaedah gotong-royong.

“Melalui gotong-royong, ia dapat mengutuhkan lagi hubungan kekeluargaan terutama dalam kalangan peserta korban,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menjemput orang ramai untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidiladha anjuran Kerajaan Negeri dan MBI, esok di kediaman rasminya, di sini.

Amirudin berkata, rumah terbuka yang bermula seawal 9 pagi sehingga 1 tengah hari itu terbuka kepada seluruh penduduk sekitar Shah Alam dan Selangor khususnya.

“Selalunya sambutan Rumah Terbuka Aidiladha kita anjurkan secara peribadi memandangkan jadual tugasan saya agak padat, namun kali ini ia terbuka kepada seluruh rakyat dan beberapa agensi turut diundang,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota ATM tunai ibadah korban

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Lebih 60 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyertai aktiviti menyembelih dan melapah lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan, di sini.

Aktiviti berkenaan disempurnakan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota ATM Mejar Jeneral Datuk Azlan Abd Rahman yang mewakili pemangku Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Sejumlah 25 ekor lembu dan seekor kambing disembelih dan dilapah sejurus selesai solat sunat Aidiladha berkenaan.

Daging korban diagihkan kepada fakir miskin di sekitar masjid itu serta anak qariah masjid.

Penganjuran program itu bertujuan menyemarakkan semangat berkorban dalam menghayati syiar Islam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permintaan bekalan daging ibadah korban cecah 40,000 ekor

CYBERJAYA, 5 OGOS: Permintaan bekalan daging lembu sempena Aidiladha kali ini mencecah 40,000 ekor, sementara bekalan sedia ada ialah 45,000 ekor, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Beliau berkata, permintaan bagi kambing dan biri-biri ialah 30,000 ekor sementara bekalan sedia ada ialah 35,000 ekor.

“Jadi pihak kementerian yakin bekalan lembu, kerbau dan kambing untuk ibadat korban sempena Aidiladha minggu depan bukan sahaja dijamin mencukupi, malah melebihi permintaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika di Tamarind Square, di sini hari ini.

Menngulas lanjut, Dr Quaza berkata, sempena sambutan itu juga, sebanyak 28 rumah sembelih Jabatan Perkhidmatan Veterinar dibuka di seluruh negara dan sedia beroperasi.

Katanya, 44 rumah sembelih ruminan swasta turut dibuka seluruh negara bagi penyembelihan ternakan korban.

“Bagi mereka yang membuat penyembelihan di surau atau masjid mahupun tempat awam perlu mendapatkan permit penyembelihan terlebih dahulu.

“Ini supaya haiwan yang hendak disembelih itu tidak sakit dan sihat. Setakat ini kita sudah menggerakkan pegawai berkenaan untuk membuat pemantauan,” katanya.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Jual tudung semurah RM3 demi misi korban di Vietnam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 30 JUL: Tiga sahabat ini sanggup menjual tudung semurah RM3 bagi menjayakan misi Ibadah Korban di Vietnam tidak lama lagi.

Nurul Farhana Abd Ghani, 36 berkata, ia adalah program kali keempat dia dan sahabatnya melalui Kumpulan Reach Out Squad menjalani ibadah korban di negara asing bersama masyarakat kurang berkemampuan.

“Program ini dinamakan Reach Out Series: Qurban @ Vietnam iaitu misi kemanusiaan yang akan turut kita sumbangkan peralatan seperti daging korban, paket makanan, Solat Kit dan juga Kit Pendidikan.

“Matlamat kami adalah supaya umat Islam di luar sana turut mendapat kemudahan sama seperti kita khususnya dalam beribadah,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Nurul Farhana bersama dua lagi rakannya, Intan Amira Restu, 23 dan Siti Nur Farhana Mohd Ishak, 25 ditemui ketika jualan amal di Car Boot Sale di perkarangan Tesco Seksyen 13.

Selain tudung semurah RM3, tiga sahabat yang juga alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menjual jubah semurah RM10 dan juga pakaian terpakai.

Nurul Farhana berkata, sebelum ini dia dan rakannya telahpun ke Nepal, Thailand dan juga Kemboja bagi kerja amal yang sama.

“Sekiranya orang ramai ingin membeli barangan ataupun membuat sumbangan, bolehlah hubungi kami di talian 0162770758 atau ikuti laman instagram kami di ReachOutSquad,” katanya.