Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Sharafuddin rasmi pemuliharaan Kota Darul Ehsan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 NOV: Mercu tanda yang merupakan simbol kedaulatan Selangor iaitu Kota Darul Ehsan menempa satu lagi sejarah apabila Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan.

Perasmian pemuliharaan Kota Darul Ehsan itu dimulakan dengan keberangkatan baginda menaiki bas tidak berbumbung ‘KL Hop-On Hop-Off’ dari Stadium Shah Alam ke Hotel Hilton Petaling Jaya menerusi Lebuhraya Persekutuan untuk melalui Kota Darul Ehsan dengan diiringi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Baginda dan rombongan kemudiannya berangkat tiba di Holten Hilton Petaling Jaya kira-kira jam 9.00 malam bagi mengikuti acara seterusnya.

Kota Darul Ehsan dibina berdasarkan cetusan fikiran DYMM Sultan Selangor pada masa itu, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sebagai monumen penanda dan peringatan sejarah dan sempadan wilayah dan negeri ini apabila Kuala Lumpur dilepaskan untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Setelah perancangan rekabentuk senibina dan pelaksanaan projek yang teliti dijalankan, akhirnya pada 3 Januari 1982 sebuah binaan gerbang penuh berseni dirasmikan dan diberi nama Kota Darul Ehsan.

Rekabentuk asal Kota Darul Ehsan menerapkan beberapa unsur bentuk ikonik yang baginda berkenan daripada bangunan warisan di Kuala Lumpur seperti ‘kiosk’ berhias di bumbung Stesen Keretapi Lama Kuala Lumpur dan kubah yang terdapat di atas bahagian depan Bangunan Sultan Abdul Samad,

Bagaimanapun disebabkan keadaan bangunan yang sentiasa terdedah dengan cuaca, gegaran dan asap jutaan kenderaan melaluinya sejak 1982 sedikit sebanyak memberi kesan kerosakan dan lusuh pada binaan berusia lebih tiga dekad ini.

Maka pada Mac 2015, usaha memajukan projek pembaharuan Kota Darul Ehsan dijalankan di bawah perkenan Sultan Sharafuddin.

Kerja pemuliharaan ini turut memberi kesempatan untuk memperindahkan lagi gerbang ini dengan memperkenalkan beberapa unsur hiasan lebih indah dan bermakna.

Antara penambahan dijalankan adalah Jata Selangor lebih besar dan jelas dan pemasangan tiang bendera simbolik di atas pemegang bermotif bunga tanjung yang menjadi lambang Kerajaan Selangor.

Pelestarian seni tempatan diterapkan termasuklah kerawang dinding dengan corak halus ukiran Melayu, selain unsur bentuk kekuda serta unjuran atau kanopi di kedua-dua sisi binaan, deretan ukiran ‘muqarnas’ yakni elemen yang tidak asing dalam dunia senibina Islam.

Kesemua ini menimbulkan kesan seni tiga dimensi yang lebih menarik.

Selain itu, meriam asli yang menghala ke luar Selangor dikekalkan sebagai tanda pertahanan dan meriam yang asalnya menghala ke arah dalam negeri digantikan dengan arca pasu berhias sebagai simbol kedamaian.

Bahan binaan bagi kerja pemuliharaan ini adalah bahan kuat tetapi ringan supaya tidak menambahkan lagi berat struktur di atas Lebuhraya Persekutuan.

Keindahan Kota Darul Ehsan diserikan lagi dengan suntikan elemen pencahayaan menggunakan teknologi lampu terkini bagi menyerlahkan lagi wajah baru Kota Darul Ehsan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kota Darul Ehsan simbol kedaulatan, pintu masuk ke negeri termaju

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 20 NOV: Gerbang Kota Darul Ehsan bukan sahaja pintu masuk utama ke sebuah negeri termaju, dinamik, kosmopolitan yang kaya dengan budaya dan khazanah warisan, malahan merupakan simbol kedaulatan Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, maka memang wajar Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor berbangga dengan kemegahan pintu gerbang yang siap dibina pada Januari 1982 itu.

“Brandenburger Tor atau Brandenberg Gate di Berlin adalah pintu gerbang terkenal di dunia yang menarik jutaan pelancong seluruh pelusuk dunia dan pintu gerbang tersebut adalah kebangaan rakyat Jerman yang menjadi indentiti Kota Berlin dan ‘signature attraction’ – menjadi destinasi utama pelancong yang berkunjung ke Berlin.

“Perasaan ini juga dizahirkan oleh rakyat Selangor terhadap Kota Darul Ehsan di mana ia adalah senibina kebanggaan rakyat Selangor yang menjadi jati diri watan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Perasmian Pemuliharaan Kota Darul Ehsan di Hotel Hilton, di sini, malam tadi.

Katanya, senibina Kota Darul Ehsan menggabungkan ciri senibina Islam Andalusia atau Moorish Architecture dan ciri-ciri tempatan.

Katanya, senibina ini sejajar dengan jati diri Selangor yang global dan kosmopolitan tetapi pada masa sama berakar dengan budaya dan resmi tempatan.

“Maka, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memelihara dan melindungi gerbang kedaulatan negeri,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Naik taraf pintu gerbang ditanggung penderma

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 22 DIS: Kos menaik taraf pintu gerbang Kota Darul Ehsan ditanggung penderma dan Kerajaan Negeri sekadar mendahulukan pembayaran memulakan projek itu.

Adun Taman Medan, Haniza Talha, berkata pendahuluan itu dibayar semula penderma yang nama mereka diukir di pintu gerbang itu nanti.

Kota Darul Ehsan“Sejumlah RM9.8 juta perbelanjaan menaik taraf bahagian hadapan bangunan dengan menambahbaik struktur seperti lampu, sistem elektrik, lanskap, ukiran, reka bentuk, cat baru serta penjagaan gerbang dan kawasan sekitarnya.

“Kerja naik taraf bermula 15 April lalu dan dijangka siap 20 Oktober 2016. Kini, sembilan peratus selesai walaupun dijadualkan 15 peratus dari tarikh permulaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, menjadi tanggungjawab untuk melindungi kepentingan awam termasuk membelanjakan wang rakyat secara berhemah

“Pemimpin Sungai Besar Umno sepatutnya tutup mulut sahaja jika tidak mempunyai fakta sahih.

“Ahli Umno sendiri seharusnya lebih arif tentang keperluan menaik taraf pintu gerbang itu,” katanya.

Haniza berkata pintu gerbang Kota Darul Ehsan itu diluluskan bekas Menteri Besar Selangor terdahulu melalui tender terbuka dua tahun lalu.

Projek itu dianugerahkan kepada pembida dengan harga kontrak terendah.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pintu Gerbang Kota Darul Ehsan dilulus bekas Menteri Selangor

Oleh: Haniza Talha

Pintu gerbang Kota Darul Ehsan sebenarnya diluluskan oleh bekas Menteri Besar Selangor melalui tender terbuka JKP dua tahun yang lalu.

Projek ini telah dianugerahkan kepada pembida dengan harga kontrak yang terendah.

Pintu gerbang tersebut adalah simbolik kepada negeri Selangor yang mencerminkan sejarah istana.

Kota Darul EhsanDengan jumlah pembelanjaan 9.8 juta adalah untuk menaik taraf bahagian hadapan bangunan dengan menambah baik struktur seperti lampu, sistem elektrik, lanskap, ukiran, reka bentuk, cat baru serta penjagaan gerbang dan kawasan sekitarnya.

Kerja-kerja menaik taraf telah bermula pada 15 April tahun ini dan dijangka siap pada 20 Oktober tahun hadapan. Pada masa ini, 9 peratus telah selesai walaupun dijadualkan 15 peratus dari tarikh permulaan.

Gerbang ini telah ditempah oleh Sultan Selangor dan kosnya telah ditanggung melalui derma. Nama-nama penderma akan diukirkan di pintu tersebut.

Pada masa ini, kerajaan negeri Selangor hanya mendahulukan pembayaran dan akan dibayar semula oleh penderma supaya kerja-kerja naik tarif boleh dimulakan segera.

Sudah tiba masanya untuk menaik taraf Kota Darul Ehsan dan kemudahan-kemudahan awam lain yang sudah kelihatan lama untuk diselenggarakan dengan baik.

Pemimpin Sungai Besar UMNO sepatutnya tutup mulut sahaja jika tidak mempunyai fakta sahih.

Malah ahli-ahli UMNO sendiri lebih arif tentang keperluan menaik taraf pintu gerbang. Menjadi tanggungjawab Keadilan untuk melindungi kepentingan awam termasuklah membelanjakan wang rakyat secara berhemah.

* Haniza Talha adalah ADUN Taman Medan dan Timbalan Ketua Wanita Keadilan