Categories
ADN SELANGOR

Penduduk DUN Kota Kemuning terima sumbangan makanan depani PKP

SHAH ALAM, 4 FEB: Hampir 1,000 bakul makanan diagih kepada penduduk kurang berkemampuan (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning sejak bulan lalu.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan beras, minyak masak, biskut dan sardin bernilai antara RM80 hingga RM90 dilaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

V Ganabatirau memaklumkan sebanyak 480 bakul makanan diserahkan pada minggu pertama PKP dan 500 lagi diedarkan pada minggu berikutnya.

“Kita harap sumbangan ini membantu meringankan beban penduduk B40 ketika mendepani tempoh perintah kawalan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, agihan dibuat melalui khidmat sukarelawan, ketua kampung selain meminta penduduk mengambil sendiri bantuan tersebut.

 

Categories
ADN SELANGOR

SRA Jalan Kebun padat, bina segera SRA Kota Kemuning

SHAH ALAM, 29 DIS: Pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) yang baharu di Kota Kemuning perlu disegerakan bagi menangani kepadatan pelajar di SRA Jalan Kebun.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ahmad Zawawi Mohd Mughni berkata, penempatan yang padat di kawasan sekitar memberi impak kepada SRA Jalan Kebun apabila kebanyakan penduduk terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah itu

“Saya sudah berjumpa dengan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membincangkan perkara ini.

“Alhamdulillah, JAIS menyediakan dokumentasi untuk pembinaan sekolah baru di Kota Kemuning bersebelahan dengan padang bola Green Ville.

“Diharapkan projek ini dapat disegerakan untuk menampung jumlah pelajar yang terus meningkat,” katanya kepada SelangorKini.

Zawawi berkata, jumlah pelajar yang terlalu ramai menyebabkan keadaannya menjadi tidak lagi kondusif sebagai tempat pengajian serta menimbulkan rasa tidak selesa kepada mereka.

Difahamkan, kemasukan pelajar ke SRA Jalan Kebun menjangkau 3,000 pelajar pada 2020.