Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang roti ada najis tikus diarah tutup dua minggu

GEORGE TOWN, 24 NOV: Sebuah kilang roti di Jalan Kedah di sini, diarahkan tutup bermula hari ini kerana didapati tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) turut mendapati kilang roti yang beroperasi sejak 50 tahun lepas menggunakan logo halal yang mengelirukan dan peralatan membuat roti didapati ‘berkerak’.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata pemeriksaan mendapati pemilik kilang itu meletakkan roti siap dimasak di dalam kotak-kotak yang mempunyai tanda halal walaupun kilang itu tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa.

“Kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lepas kerana operasi mereka tidak menepati standard kebersihan yang ditetapkan dan pemiliknya diarahkan menutup selama dua minggu bermula hari ini.

“Kali ini menerusi pemeriksaan dan serbuan hari ini, kami mendapati ada sisa najis tikus di atas plastik bungkusan roti dan terdapat sisa minyak tepu di atas rak pembakar roti. Situasi ini amat membimbangkan kerana kemungkinan berlaku pencemaran terhadap roti yang dijual kepada pelanggan.

“Malah, pemilik kilang itu turut menggunakan kotak yang mempunyai logo halal sedangkan tidak pernah memohonnya..tindakan tersebut mengelirukan pengguna kerana menyangka ia halal dan pasaran roti dari kilang tersebut di sekitar negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Ops Bersih itu hari ini.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata dalam operasi sama pihaknya turut mengarahkan sebuah kedai pembuatan mi yang beroperasi sejak 80 tahun lepas di Jalan Pintal Tali di sini ditutup kerana pelbagai isu membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan.

Katanya, kedai mi berkenaan turut diarah tutup selama dua minggu kerana beroperasi dalam keadaan tidak bersih serta tidak menepati tahap keselamatan makanan yang ditetapkan oleh JKNPP.

“Kami pernah menyerbu kedai ini juga pada tahun lepas dan memberi amaran supaya mereka meningkatkan mutu kebersihan namun ia tidak diikuti. Dalam pemeriksaan hari ini mendapati pemiliknya meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai malah produknya juga tidak mempunyai label,” katanya.

Beliau berkata arahan penutupan kedua-dua premis itu dibuat menurut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 ke atas kilang roti dan kedai pembuatan mi tersebut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kilang kicap, roti diarah tutup kerana kotor

BUTTERWORTH, 12 NOV: Sebuah kilang kicap dan sebuah kilang roti di sini diarah tutup selama dua minggu oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) semalam berikutan keadaan premis yang kotor selain tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP Mohd Wazir Khalid berkata keadaan itu dikesan menerusi pemeriksaan Ops Bersih dan kedua-dua premis itu dikenakan sembilan kompaun bernilai hampir RM9,000.

“Kami mendapati tahap kebersihan tidak mencapai piawaian di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

“Justeru, Notis Perintah Penutupan Premis di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari diberikan kepada kedua-dua premis terbabit berkuat kuasa hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.

Mohd Wazir berkata pemeriksaan di kilang memproses kicap di Bagan Ajam pada 10 pagi itu menemukan bahan asing seperti daun kering, bulu binatang seperti burung serta ranting kecil di dalam tong gentian kaca yang menyimpan perapan kacang soya.

“Selain itu, tong tersebut juga kelihatan reput kerana sudah digunakan kira-kira 20 tahun lepas selain turut menjumpai kulat pada pelapik untuk mengeringkan kacang soya,” katanya.

Beliau berkata kilang kicap yang sudah beroperasi sejak 50 tahun itu juga disyaki menggunakan botol plastik kitar semula yang tercemar berikutan tidak melalui proses pembersihan ditetapkan dan dikhuatiri boleh mendatangkan risiko pencemaran.

“Kita dapati botol-botol plastik yang dijumpai (di belakang premis) tidak dicuci mengikut tatacara operasi piawai (SOP) kebersihan dan dilakukan di tempat terbuka sehingga terdedah kepada najis binatang seperti cicak dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan kilang tersebut dikenakan lima kompaun bernilai kira-kira RM5,000.

Mohd Wazir berkata kilang memproses roti di Raja Uda di sini pula dikenakan empat kompaun bernilai kira-kira RM4,000 selepas pihaknya menemukan najis tikus di tempat penyimpanan dulang roti yang sudah lama tidak digunakan.

“Kita juga menemukan kesan lapisan minyak pada troli dulang bertingkat dan dulang roti itu sendiri sehingga menyebabkan kesan minyak menitis ke atas roti mentah pada bahagian bawah seterusnya menyebabkan pencemaran mahupun keracunan makanan,” katanya.

– BERNAMA