Categories
NASIONAL

Bayaran ganti rugi tuntutan pengguna dinaikkan RM50,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Had maksimum tuntutan bayaran ganti rugi kepada pengguna akan ditingkatkan daripada RM25,000 kepada RM50,000.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu bagi menimbulkan kegerunan dalam kalangan peniaga supaya jujur ketika menjalankan urusniaga.

“Kita kini sudah berada di peringkat akhir kajian sebelum diumumkan tidak lama lagi,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi bulan April di Dewan Serbaguna, di ibu pejabat KPDNHEP, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, antara aduan diterima KPDNHEP membabitkan harga, penipuan e-dagang, perkhidmatan mengelirukan, barangan tiruan, barangan kawalan dan jualan murah.

Pada tahun lalu, KPDNHEP menerima 26,000 aduan pengguna yang diuruskan Tribunal Tuntutan Pengguna.

Categories
NASIONAL

Aduan penipuan e-dagang meningkat drastik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Aduan penipuan membabitkan perniagaan e-dagang mencatatkan peningkatan drastik kepada 25 peratus, Setakat Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu jauh meninggalkan aduan lain seperti dicatatkan pada 2018.

“Pada 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26,000 aduan dengan 31 peratus membabitkan aduan harga dan kedua tertinggi adalah penipuan peniaga dalam talian kira-kira 24 peratus.

“Aduan penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan paling cepat berbanding aduan lain dengan kerajaan memandang perkara ini sebagai satu isu penting perlu ditangani segera untuk melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP bagi bulan April lalu di Dewan Serbaguna di ibu pejabat KPNDHEP di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, aduan lain termasuk perkhidmatan mengelirukan, barangan tiruan (2.5 peratus), barangan kawalan (2.4 peratus) dan jualan murah (2 peratus).

Katanya, KPDNHEP berusaha mengatasi isu itu melalui pelbagai pendekatan di bawah inisiatif ‘Quick Win’ di bawah pelan Tindakan Bersepadu e-dagang KPDNHEP.

“Antara pendekatan di bawah inisiatif ini ialah melancarkan Buku Panduan Perniagaan e-dagang kepada peniaga bertujuan memberi panduan untuk menjalankan perniagaan secara beretika.

“Buku ini turut menyediakan panduan undang-undang yang perlu dipatuhi peniaga dalam talian,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPDNHEP anjur dialog bersama media

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Sebagai usaha berinteraksi secara langsung bersama media, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menganjurkan Program Dialog Menteri Bersama Media, di sini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program itu dilaksanakan supaya pihaknya dapat mendengar pandangan dan syor daripada media.

“Dalam suasana lambakan maklumat ini, kita mahu pihak media mendengar secara terus daripada menteri sendiri berkaitan KPDNHEP di samping dapat beramah mesra bersama media.

“Selain itu, kami juga ingin mendengar pandangan atau syor daripada media, sekali gus bertukar pendapat supaya kami boleh membaiki perkara yang perlu,” katanya ketika berucap pada program terbabit di Rumah Kelab KPDNHEP.

Program itu dihadiri kira-kira 50 pengamal media daripada 13 agensi media tempatan.

Sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu membincangkan pelbagai isu seperti kos sara hidup, politik dan hal pentadbiran.

Difahamkan, KPDNHEP adalah kementerian pertama yang mengadakan dialog khas bersama media.

Categories
NASIONAL

Tempoh penguatkuasaan skim kawalan harga bakal diumum

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Tempoh pemanjangan penguatkuasaan skim kawalan harga bermula Ramadan ini akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tidak seperti tahun sebelumnya, langkah itu bagi memastikan tidak berlaku manipulasi atau kenaikan harga barang kawalan.

“Kebiasaannya skim kawalan harga dikuatkuasakan sekitar 15 hari iaitu sebelum, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri.

“Tetapi kita akan panjangkan tempoh itu. Saya faham apabila kita mahu laksanakan perkara ini, ramai persatuan peniaga tidak bersetuju. Mereka menganggap kerajaan mahu campur tangan sampai begini.

“Saya akan dengar semua pihak dalam isu kawalan harga ini, namun kita tidak mengawal semua, hanya musim perayaan sahaja,” katanya pada Majlis Dialog bersama Media, di kementeriannya, di sini.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya akan menamatkan perincian di peringkat kementerian kerana penetapan itu turut membabitkan kerjasama peniaga, pihak kawal selia seperti Jabatan Pertanian dan sebagainya bagi memastikan barangan mencukupi.

Sebelum ini, beliau berkata, usaha itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memberi jaminan dan keselesaan kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga terkawal.

Pada penguatkuasaan skim kawalan harga sempena Tahun Baharu Cina lalu, hanya dua kes perlanggaraan harga dicatat daripada keseluruhan 27,000 premis membabitkan borong dan runcit yang diperiksa.

Categories
NASIONAL

Pemberian subsidi petrol terus ke akaun

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 22 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dijangka akan menggunakan mekanisme pemberian tunai terus ke dalam akaun bagi penyaluran subsidi petrol secara bersasar.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya cenderung menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebagai individu layak menerima subsidi.

Katanya, ketika ini, kementerian masih menunggu sekretariat BSH memberikan data terkini kepada pihaknya.

“Saya difahamkan mereka dalam fasa terakhir pemprosesan dataterkini penerima BSH. Ia sedikit lewat kerana kami mahu pastikan data itu tepat.

“Bagaimanapun, di peringkat kementerian, kami sudah bersiap sedia dalam hal ini,” katanya pada Majlis Dialog bersama Media, di kementeriannya, di sini.

Saifuddin berkata, mekanisme berkenaan dipilih ekoran melihat kepada bayaran BSH yang dilakukan secara terus ke dalam akaun.

Malah, katanya, 90 peratus pembayaran BSH menggunakan akaun bank manakala hanya 10 peratus penerima tidak menggunakan akaun bank disebabkan berada di luar bandar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, kami sudah berunding dengan pihak perbankan untuk membantu penerima BSH ini membuka akaun.

“Pemberian subsidi minyak ini hanya boleh dibuat 100 peratus jika penerima mempunyai akaun bank.

“Justeru, segala persiapan sudah dibuat, jika ini kaedah paling baik maka kita akan dapatkan persetujuan di peringkat jemaah menteri,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, jika pemberian subsidi bersasar itu berjaya dilaksanakan, pihaknya akan memperkembangkan ke barangan lain termasuk makanan.

“Jika berjaya, hasrat untuk memperkembangkan ke barangan lain seperti minyak masak, tepung, gas LPG dan sebagainya sekali gus, kepada golongan M40 juga,” katanya.

Menerusi Belanjawan Negara 2019, pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500cc dan motosikal berkapasiti enjin 125cc akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter bagi pemilik kereta dan 40 liter bagi motosikal.

Categories
NASIONAL

Kerajan peruntuk RM140 juta hantar barang ke pedalaman

KUCHING, 21 APRIL: Kerajaan memperuntukkan RM140 juta untuk menampung kos pengangkutan barangan keperluan asas ke kawasan luar bandar dan pedalaman di bawah Program Penyeragaman Harga, di seluruh negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Chong Chieng Jen berkata, daripada jumlah itu, RM80 juta diperuntukkan hanya untuk Sarawak sahaja.

“Antara barangan keperluan asas yang ditanggung kerajaan daripada segi kos pengangkutan atau penghantaran adalah beras, tepung, gula, minyak masak, gas (petroleum cecair) LPG, (petrol) RON 95 dan diesel.

“Program ini diuruskan melalui tender terbuka dan dimulakan sejak 1 April lalu,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Chong juga tidak menafikan harga barangan di kawasan pedalaman agak mahal dan berlaku ketirisan.

“Oleh itu, kementerian sentiasa mengarahkan kakitangan memantau harga di pedalaman dan menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa supaya harga barangan keperluan berkenaan terkawal,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kementerian bercadang untuk melanjutkan tempoh Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) bersempena sambutan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

“Biasanya tempoh SKHMP ini adalah 15 hari, kali ini kementerian akan melanjutkan tempoh itu kepada 20 hingga 30 hari.

“Ini adalah satu langkah untuk mengawal jenis barang keperluan sebagai barangan harga terkawal musim perayaan untuk ditetapkan harga maksimum,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPDNHEP periksa 651,075 premis pada 2018

NILAI, 18 APRIL: Sebanyak 651,075 premis diperiksa di seluruh negara pada tahun lalu, kata Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 10,265 kertas siasatan dibuka membabitkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan berjumlah RM27.36 juta.

Katanya, bagi tempoh sama, sebanyak 25,439 aduan diterima dan kesemuanya disiasat serta diselesaikan.

“Bagi tahun ini, sebanyak 183,043 premis diperiksa di seluruh negara dengan 4,084 kertas siasatan dibuka atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan sebanyak RM28.86 juta.

“Sementara itu, sebanyak 5,330 aduan diterima dan semuanya sudah disiasat,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Penguatkuasaan KPDNHEP ke-47 di Mantin, dekat sini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Pantas dan Cekap’ dirasmikan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Timbalan Menteri, Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz.

Iskandar Halim berkata, antara kejayaan terbesar bahagian penguat kuasa KPDNHEP pada tahun lalu dalam melindungi pengguna adalah menumpaskan skim penipuan pelaburan bersama pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara (NRRET) dan polis membabitkan jumlah rampasan barang sebanyak RM980,000.

“Selain itu, kita juga berjaya menyita pelbagai wang asing sebanyak RM93,000, aset alih berjumlah RM5.3 juta daripada 72 akaun serta sitaan 26 kenderaan dengan nilai RM6.2 juta yang disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bahagian Penguat kuasa KPDNHEP menerusi Pelan Transformasi menggariskan lima perkara utama yang akan dilaksanakan bagi memastikan bahagian itu terus relevan dan berdaya saing.

Lima perkara itu ialah memodenkan cara kerja secara elektronik dengan memperkenalkan E-Enforcement; menambah baik dan menggunakan Enforcement Command Centre (ECC) secara optimum; memantapkan disiplin pegawai penguat kuasa; pemantapan penyiasatan dan pengendalian kertas siasatan kes serta perubahan minda ke arah kecemerlangan dan produktiviti. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tingkat ilmu e-dagang, elak penipuan dalam talian

NILAI, 18 APRIL: Anggota bahagian penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna disaran mempertingkatkan ilmu berkaitan e-dagang dan bentuk penipuan dalam talian.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika 47 tahun dahulu fenomena penipuan dalam talian itu tidak wujud, namun pada hari ini ia semakin berkembang.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa kini bukan sahaja berdepan aduan masyarakat berkenaan harga barang, tetapi penipuan dalam talian.

Sehubungan itu, bagi menjaga kepentingan rakyat dan pengguna, beliau menggariskan tiga perkara untuk menjadikan bahagian penguatkuasa relevan dan berdaya saing dalam mendepani cabaran mendatang.

Tiga perkara itu ialah anggota perlu meningkatkan ilmu pengetahuan demi mendepani masyarakat yang kian rencam; meningkatkan kemahiran penguatkuasaan dan mempunyai sikap yang baik serta berintegriti.

“Kalau ketiga-tiga ramuan ini diamalkan, bahagian penguatkuasaan akan dapat dipertingkatkan lagi peranan dan keberkesanan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penguatkuasaan KPDNHEP ke-47 di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha Datuk Muez Abd Aziz.

Saifuddin berkata setakat ini, KPDNHEP mempunyai seramai 2, 294 anggota penguatkuasa di seluruh negara.

“Dengan jumlah rakyat Malaysia seramai 32 juta, kalau ditanya kepada saya memang tak cukup (anggota jika dinisbahkan dengan seorang anggota dengan jumlah rakyat). Itu perlunya kita tambah kemahiran anggota,” katanya.

Beliau berkata usaha berterusan menambah anggota terus dilaksanakan dan pada tahun ini bahagian itu menerima 100 anggota tambahan. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

KPDNHEP kompaun 7 peniaga ambil kesempatan

SHAH ALAM, 6 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam megenakan kompaun kepada tujuh peniaga yang dikesan mengambil kesempatan meraih keuntungan lebih sempena cuti Tahun Baharu Cina.

Memetik BHOnline, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, empat daripadanya membabitkan penggunaan alat timbang tamat tempoh, manakala tiga kes lagi tidak meletak tanda harga.

Katanya, perkara itu dikesan sepasukan 60 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor yang menjalankan pemeriksaan menyeluruh di premis perniagaan di negeri ini, pada hari pertama perayaan berkenaan.

“Pemeriksaan bertujuan memastikan bekalan barangan asas mencukupi bagi kegunaan pengguna, terutama ketika cuti umum dan kita mahu peniaga mematuhi harga siling ditetapkan ke atas 13 jenis barangan harga terkawal bagi Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina (SKHMPTBC).

“Premis perniagaan yang diperiksa bermula jam 8 pagi itu antaranya pasar utama, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pemborong.

“Hasil pemeriksaan ke atas 397 premis semalam, tujuh peniaga didapati melanggar peraturan ditetapkan dan dikenakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan berjumlah RM1,000,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu menjadi pengguna bijak dengan membuat perbandingan ketika membeli barangan keperluan.

“Jika mengesan wujud kesalahan peniaga, mereka boleh menyalurkan aduan melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

KPDNHEP tumpas sindiket seleweng gas LPG

NILAI, 17 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebuah lori tangki yang memuatkan muatan gas petroleum cecair (LPG) dalam serbuan di sebuah premis di Pandamaran, Klang, Selangor, semalam.

Timbalan Pengarah Penguat kuasa (Pencegahan dan Perisikan) KPDNHEP Suhaimi Mat Sari berkata, turut dirampas ialah 267 buah tong gas LPG membabitkan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150,000.

Katanya, jumlah itu merangkumi 202 buah tong gas LPG 14 kilogram (kg), tiga buah tong gas LPG 12kg dan 62 buah tong gas 50kg.

“Hasil risikan selama satu bulan dijalankan pihak kami mendapati terdapat aktiviti penyelewengan gas LPG bersubsidi dijalankan.

“Dalam serbuan dijalankan membabitkan 10 anggota, pada jam 1.15 tengah hari semalam di premis terbabit, pekerja di premis itu berjaya melarikan diri dan tiada tangkapan dibuat.

“Bagaimanapun kita menjumpai satu pasport Malaysia di lokasi serbuan dan kita akan menyiasat pemilik sebenar premis berkenaan,” katanya dalam sidang media di Kompleks Penyimpanan Ekshibit, Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP di sini, hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan menjalankan urus niaga tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Modus Operandi (MO) kali ini agak unik kerana ia memindahkan gas bersubidi daripada tong gas memasak ke dalam tangki lori dan kemudian dipindahkan ke dalam tangki lori yang lain. Kita percaya ia untuk pasaran industri di sekitar Selangor dan Lembah Klang dan bukannya untuk jualan runcit.

“Berbeza sebelum ini, aktiviti penyelewengan gas LPG ini dilakukan dengan pemindahan daripada tong gas 14kg kepada 50kg. Itu MO yang baharu. Setakat ini, kita boleh cakap ini kejayaan terbesar KPDNHEP,” katanya.

Suhaimi berkata, dengan rampasan itu, beliau percaya pihaknya berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan gas LPG.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan denda RM3 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KFC, McDonald’s diminta jelas kenaikan harga

SHAH ALAM, 1 JAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menghantar notis kepada restoran makanan segera KFC dan McDonald’s untuk meminta penjelasan berhubung kenaikan harga makanannya, baru-baru ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Pengarah Penguat kuasa KPDNEHP, Iskandar Halim Sulaiman berkata, kedua-dua restoran itu diberi tempoh sehingga 5 Januari ini untuk menghantar laporan mereka.

“Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang memerlukan mereka memberi penjelasan sebab kenaikan harga.

“Ada undang-undang untuk melindungi pengguna, isu ini juga dibangkitkan di media sosial dan media. Sebab itu kita tanya mereka mengapa naikkan harga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah amaran, sebaliknya hanya notis meminta penjelasan.

Terdahulu, KFC menjelaskan harga makanan yang disenaraikan bermula Disember 2018 adalah termasuk 6 peratus cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Katanya, terdapat beberapa pelarasan kecil bagi harga produknya untuk memastikan syarikat berkenaan dapat terus menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan kenaikan mendadak harga ayam KFC yang disifatkan pengguna terlalu tinggi.

Dikatakan harga set ayam Snack Plate yang sebelum ini berharga RM12.30 naik kepada RM15.30, manakala Dinner Plate dari RM15.60 kepada RM19.60.

Categories
NASIONAL

TPM: Pasaraya, peruncitan, perhotelan diharap sertai Program Bank Makanan

KOTA BHARU, 4 NOV: Kerajaan mahu lebih banyak pasaraya, peruncitan dan perhotelan di seluruh negara dapat menyertai program Bank Makanan Malaysia untuk membantu golongan yang memerlukan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu fasa pertama melalui pelaksanaan projek perintis yang dimulakan pada Ogos sehingga Disember 2018.

“Manakala fasa kedua iaitu pelaksanaan lebih menyeluruh di seluruh negara yang dijangka bermula pada bulan Januari tahun hadapan,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Perintis Program Bank Makanan Malaysia peringkat Kelantan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Dr Wan Azizah berkata objektif program itu bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan berbentuk makanan dan juga untuk mengatasi pembaziran makanan yang masih elok dan boleh digunakan.

“Kerajaan amat mengutamakan usaha meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama sekali golongan kurang berkemampuan yang berada pada paras garis kemiskinan,

“Golongan ini perlu diberikan bantuan bagi mendapatkan akses bekalan makanan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan dan menjimatkan wang perbelanjaan mereka ke atas pembelian makanan dan wang tersebut boleh digunakan untuk kegunaan lain yang lebih penting,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata golongan sasar bagi program itu adalah penerima terdiri daripada isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM930 sebulan.

“Berdasarkan maklumat yang diterima melalui eKasih terdapat seramai 186,394 ketua isi rumah yang berada dalam paras kemiskinan di seluruh negara,” katanya.

SUMBER: BERNAMA