Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian enggan kompromi guna sekolah menengah sebagai pusat undi

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) tetap dengan pendirian supaya sekolah menengah di Johor tidak digunakan sebagai pusat mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana tidak mahu segala persediaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang telah disusun atur, ‘diganggu gugat’.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini kerana pelajar yang menduduki peperiksaan itu adalah kohort SPM yang paling terkesan akibat Covid-19.

Selain itu, katanya ia juga mengambil kira setiap meja dalam bilik peperiksaan telah disediakan dengan kod bar dan disusun mengikut indeks lengkap dan teratur, oleh itu, sebarang perubahan mengenainya akan memberi kesan kepada keputusan atau susun atur penyelarasan keputusan peperiksaan.

“Secara keseluruhan hampir semua bilik di sekolah digunakan untuk tujuan peperiksaan SPM dan pada hari Khamis sebelum hari pengundian nanti, ada peperiksaan Matematik dan ini akan melibatkan semua calon SPM di seluruh negara termasuk di Johor.

“Ini adalah satu peperiksaan yang besar dan pada hari Isnin akan ada peperiksaan Sains yang turut melibatkan ramai calon maka kita tidak mahu susunan ini diganggu, dipindahkan dan diasingkan untuk tujuan pilihan raya kerana nanti proses atau tatacara yang kita gunakan dalam penyusunan ini, kita perlu teliti satu persatu kembali,” katanya.

Radzi berkata demikian dalam video yang dimuat naik dalam Facebook rasminya, bagi menjelaskan mengenai mengapa sekolah menengah di Johor tidak sesuai digunakan sebagai tempat pengundian bagi PRN Johor pada 12 Mac ini.

Beliau berkata pendirian itu juga diambil bagi memudahkan pihaknya menetapkan tempoh baharu peperiksaan kepada pelajar yang tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin.

“Untuk SPM kali ini seperti mana SPM tahun lepas, sekiranya pelajar tidak dapat menduduki SPM kerana dikuarantin, mereka akan mendudukinya dalam tempoh ditetapkan kemudian. Sebab itu, penyusunan dalam bilik peperiksaan penuh teliti dan kita tidak mahu susunan ini diganggu gugat bagi memastikan kelancaran SPM,” katanya.

Bagaimanapun, Radzi berkata pihaknya tiada masalah jika sekolah rendah digunakan bagi tujuan pilihan raya berkenaan.

Semalam, Radzi memaklumkan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar tidak menggunakan sekolah menengah sebagai pusat mengundi dalam PRN Johor bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan itu yang bermula dari 2 hingga 29 Mac ini.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPM 2021 diteruskan ikut jadual, SOP kementerian

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diteruskan seperti yang dijadualkan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan guru.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata meskipun terdapat peningkatan ketara kes baharu Covid-19, peratusan pesakit membabitkan kategori empat atau lima adalah kecil.

“Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar, teratur dan selamat dengan memastikan kesemua SOP yang ditetapkan terus dipatuhi.

“Komitmen ini dibuat dengan mengambil kira pengalaman pelaksanaan SPM 2020 pada Februari tahun lepas berjalan dengan lancar dan kita juga sudah mempunyai SOP yang lengkap berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama dengan warga pendidik serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan juga sudah berbeza dengan lebih 90 peratus pelajar Tingkatan 5 tahun ini lengkap divaksin berbanding mereka yang menduduki SPM tahun lepas.

SPM 2021 dijadualkan bermula pada 2 Mac dan berakhir pada 29 Mac.

Menyentuh jangkitan Covid-19, Mohd Radzi berkata memang terdapat kes melibatkan guru dan pelajar di kawasan sekolah namun peratusannya terlalu kecil.

“Kluster sekolah terlalu kecil iaitu hanya melibatkan 0.5 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah tidak berasrama iaitu lebih 10,000 buah di seluruh negara.

“Sementara itu, kita akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan perjalanan operasi persekolahan dilakukan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai ibu bapa mendaftarkan anak mereka yang berumur lingkungan 5 hingga 11 tahun untuk mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: KPM mohon kecualikan sekolah menengah sebagai pusat undi

JOHOR BAHRU, 12 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memohon kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ini bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula dari 2 hingga 29 Mac ini.

Beliau berkata sehubungan itu, pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada SPR berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.

“Saya dapat maklumat dalam beberapa sesi libat urus ada dinyatakan oleh guru-guru bahawa sekolah menengah akan digunakan sebagai pusat mengundi pada PRN akan datang.

“Secara rasminya, kita masih belum menerima permohonan daripada SPR untuk menggunakan premis sekolah walaupun kita tahu biasanya sekolah akan digunakan dan kami di kementerian sebelum ini telah buat ketetapan seboleh-bolehnya tidak mahu sekolah menengah digunakan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas sesi libat urus bersama warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kota Iskandar di sini hari ini.

Menurut Mohd Radzi, sekiranya sekolah menengah digunakan sebagai pusat mengundi, pelbagai proses berhubung peperiksaan SPM perlu dibuat semula.

“Kita mohon sebaik-baiknya sekolah menengah tidak digunakan sebagai pusat mengundi, untuk sekolah rendah tidak jadi masalah, kerana ini (peperiksaan SPM) melibatkan masa depan anak-anak kita.

“Ini masa yang sukar untuk mereka kerana penyusunan di sekolah telah diatur sebaik mungkin, kita tidak mahu sebarang gangguan terhadap anak-anak dan guru-guru, selain mahu memastikan perjalanan SPM dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

SPR menetapkan 12 Mac ini sebagai hari pengundian bagi PRN Johor dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari dan tarikh mengundi awal pula pada 8 Mac.

Menurut SPR, sebanyak 1,084 buah pusat mengundi akan digunakan dengan 4,720 tempat atau saluran mengundi.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemeriksaan suhu badan di sekolah tidak wajib mulai esok, hanya perlu imbas MySejahtera

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pemeriksaan suhu badan di semua premis institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak diwajibkan berkuat kuasa esok.

Bagaimanapun, KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, semua guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP), pekerja perkhidmatan sokongan dan pelawat masih diwajibkan mengimbas kod QR melalui aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis institusi pendidikan bawah KPM.

“Sebagai langkah keselamatan, ibu bapa atau penjaga dimohon supaya memastikan anak atau anak jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala sebelum hadir ke sekolah,” menurut kenyataan itu.

Ketetapan itu dibuat susulan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Selasa berkaitan pemansuhan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan suhu badan dan buku rekod mendaftar masuk di premis bermula esok.

KPM berkata murid yang bergejala atau mempunyai ahli keluarga yang disahkan positif dan tinggal serumah, tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Menurutnya tahap kesihatan murid di sekolah akan dipantau secara berterusan bagi memastikan murid yang bergejala diasingkan di bilik isolasi untuk tindakan selanjutnya.

“KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga juta pelajar dapat bantuan sekolah RM150 mulai Isnin

SHAH ALAM, 14 JAN: Tiga juta pelajar yang akan memasuki tahun dua hingga tingkatan lima bakal menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 mulai Isnin.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata bantuan bagi sesi persekolahan 2022/2023 khusus untuk keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Menurut kementerian itu, pelajar tahun satu hingga tingkatan empat dalam sesi persekolahan 2020/2021 juga layak menerima insentif tersebut.

“Sementara itu, bagi murid tahun satu yang akan mula mendaftar masuk sekolah pada 21 Mac 2022, pemberian BAP akan dilaksanakan selepas proses pendaftaran selesai,” katanya.

KPM berkata pemberian BAP secara tunai dilaksanakan di sekolah mengikut tatacara operasi piawai (SOP) manakala bantuan dikreditkan untuk pelajar yang memiliki akaun bank.

“KPM yakin pemberian ini akan dapat membantu ibu bapa atau penjaga membuat persiapan awal anak-anak untuk memulakan persekolahan bagi sesi akademik 2022/2023,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan BAP dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dengan nilai keseluruhan RM450 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM lanjut kecualikan sewaan kantin hingga Jun depan

KOTA BHARU, 9 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) bersetuju melanjutkan pengecualian sewaan kantin bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga Jun 2022.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata lanjutan pengecualian sewaan juga diberikan untuk tempoh yang sama bagi sewaan premis, kedai buku, koperasi, kedai dobi, mesin minuman air (vending machine) di sekolah di bawah KPM.

“Kita terima banyak permohonan pengusaha kantin sebelum ini yang meminta supaya diberi sekali lagi pengecualian sewaan kantin.

“Justeru, kita membuat keputusan untuk memberi pengecualian sewaan selama enam bulan termasuk premis-premis yang berada dalam sekitar sekolah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pengoperasian sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail hari ini.

Terdahulu, Radzi mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1 dan SK Zainab 2 sempena pengoperasian sekolah di Kelantan bagi Penggal 3, 2021/2022.

Pada Julai tahun lepas, KPM memberi pengecualian sewaan kantin dan premis atau ruang bagi tempoh enam bulan hingga akhir 2021 akibat penutupan sekolah.

Sementara itu, ditanya mengenai sama ada tempoh kaedah penggiliran akan diteruskan, Radzi berkata pendekatan yang diambil KPM adalah secara progresif dan cermat sebelum membuat sesuatu keputusan.

“Kalau boleh kami di KPM tidak mahu ada kaedah penggiliran tetapi memandangkan situasi semasa penularan COVID-19 termasuk varian Omicron, kami berpandangan kaedah ini perlu diteliti terlebih dahulu dari semasa ke semasa,” katanya.

Radzi turut menegaskan sekali lagi kepada ibu bapa yang tidak membenarkan anak-anaknya hadir ke sekolah supaya memaklumkan kepada pihak sekolah untuk tindakan lanjut.

“KPM bersifat terbuka sekiranya terdapat murid-murid yang tidak dapat hadir ke sekolah tetapi perlu mempunyai alasan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Ini adalah untuk memudahkan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh murid terbabit,” katanya.

Seramai 1.18 juta murid bagi kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu memulakan sesi persekolahan hari ini bagi penggal ketiga, 2021/2022. Bagaimanapun, 31 sekolah di Johor yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan masih dilanda banjir tidak akan dibuka.

Bagi sekolah di negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya akan mula dibuka esok, 10 Jan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM ambil tindakan segera, tegas sekolah sembunyi kes buli

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Tindakan segera dan tegas akan dikenakan kepada mana-mana sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah masing-masing.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia berikutan kemungkinan terdapat kes buli tertentu yang ‘disenyapkan’ bagi mengelak diketahui pihak luar.

“Sebab itu kita telah mewujudkan sistem pelaporan, maknanya pihak sekolah boleh melaporkan apa sahaja kes buli yang berlaku di dalam sistem tersebut dan daripada itu kita mendapat maklumat berkaitan kes buli yang berlaku serta tindakan yang patut diambil,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) mengenai pendirian KPM tentang perlunya tindakan tegas terhadap pengurusan atau pentadbir institusi pendidikan yang cuba menyembunyikan kes buli sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Terdahulu, menjawab soalan asal Che Alias mengenai usaha kerajaan dalam menangani masalah buli di sekolah termasuk dalam kalangan pelajar asrama, Radzi berkata KPM telah merangka satu kerangka menyeluruh bagi membanteras buli di sekolah termasuk di asrama.

Beliau berkata kerangka baharu itu melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

Dalam konteks penyedaran, katanya, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera yang bertujuan memupuk dan menerapkan nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid oleh guru secara langsung atau tidak langsung menerusi aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Bagi pelaporan pula, saluran pelaporan telah disediakan KPM bagi membolehkan sekolah melaporkan kes buli kepada KPM, selain menyediakan Garis Panduan Mencegah dan Menangani Perbuatan Buli Dalam Kalangan Murid di Sekolah dan Buku Panduan Pengurusan Menangani Buli Di Sekolah sebagai panduan.

“Berhubung dengan penghukuman di peringkat sekolah, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/2010 yang menyentuh tentang hukuman terhadap pelaku buli di sekolah atau di asrama.

“Bagi aspek pemantauan pula, pada masa ini pemantauan di sekolah dilaksanakan oleh pentadbir, guru dan warden yang terdiri daripada kalangan guru,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM kaji cadangan wujud jawatan warden asrama sepenuh masa

IPOH, 12 DIS: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon berkata ia perlu diperhalusi berdasarkan laporan penuh kes buli yang dilaporkan termasuk membabitkan pelajar tingkatan satu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar baru-baru ini.

“Terima kasih atas pandangan yang diberi tentang kes ini dan kita perlu menunggu laporan daripada pihak berkenaan sebelum apa-apa tindakan.

“Pihak kementerian akan membuat kajian lanjut berhubung pandangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selepas menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pemimpin Baharu Persatuan Lembaga-Lembaga Pengurus Sekolah Cina Perak hari ini.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Aminuddin Awang dilaporkan berkata cadangan itu sudah dikemukakan pihaknya sekian lama serta berkali-kali membangkitkan isu berkenaan.

Aminuddin dilaporkan berkata guru yang menyandang tugas warden menjalankan tugas hakiki mengajar di sekolah namun pada masa sama menunaikan tanggungjawab menjaga dan mengawasi murid asrama sepanjang waktu.

Ditanya sama ada pihak kementerian akan mengadakan perbincangan bersama NUTP dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berhubung cadangan itu, Dr Mah berkata sebarang tindakan lanjut perlu berpandukan kepada laporan terperinci berkaitan kes yang dilaporkan berlaku.

“Pada peringkat ini paling terbaik adalah kita tunggu laporan terperinci daripada pihak berkenaan. Apa-apa tindakan kena berpandu kepada apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Sehingga kini, polis menahan 10 pelajar berusia 13 tahun termasuk seorang yang berusia 15 tahun susulan tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai.

Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 1 hingga 2 pagi 9 Dis lepas itu tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Sementara itu, beliau berkata siasatan lanjut turut sedang dijalankan berhubung satu lagi kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berasrama di Pahang pada Jumaat minggu lepas dan KPM sedang menunggu laporan siasatan daripada pihak berkaitan.

Akhbar tempatan melaporkan empat pelajar dikurung di dalam sebuah bilik selama dua jam dan dijadikan seperti ‘karung tinju’ oleh sekumpulan lapan senior yang membelasah mereka selepas berang dengan tindakan mangsa menonton video melalui telefon bimbit.

Kejadian itu didakwa berlaku dengan kesemua mangsa berusia 14 tahun itu dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak serta dikenakan hukuman rotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.

Mengenai majlis yang dihadiri pada hari ini, Dr Mah berkata antara isu yang dibicangkan termasuklah cara-cara memastikan pengukuhan serta pemulihan pembelajaran dan pengajaran di sekolah semasa pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan Covid-19 di sekolah KPM perlu guna kit ujian air liur sahaja

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Pelaksanaan saringan ujian Covid-19 di semua sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan penggunaan kit ujian secara calitan hidung adalah tidak dibenarkan dan tidak selaras dengan arahan KPM melalui surat bertarikh 28 Nov 2021.

Merujuk kepada gambar yang tular dalam media sosial bertajuk “Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar”, KPM telah menjalankan siasatan dan mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di Pahang.

Menurut KPM, secara keseluruhan, seramai 16 murid di sekolah berkenaan telah dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.

“Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua jururawat masyarakat,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPM menjelaskan, pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid sekolah KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.

Menurutnya, pada 28 Nov 2021 KPM telah mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 bagi murid sekolah rendah yang dibuat secara penggiliran bagi sekurang-kurangnya 10 peratus murid.

Berdasarkan surat siaran tersebut, katanya pelaksanaan ujian kendiri hanya melibatkan penggunaan kit ujian air liur yang dibekalkan oleh KPM dan dibuat dengan pemantauan guru.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 kalangan pelajar: KPM tidak cadang tutup sekolah awal

PENDANG, 5 DIS: Kementerian Pendidikan tidak bercadang untuk menutup sesi persekolahan bagi negeri yang berada di bawah fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih awal daripada tarikh cuti penggal meskipun terdapat jangkitan kes positif Covid-19 dalam kalangan murid.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata setakat ini terdapat 200 kes membabitkan murid dan situasi itu masih terkawal.

Cuti penggal persekolahan bagi negeri kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula Jumaat (10 Dis) minggu hadapan manakala negeri kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan pada Sabtu (11 Dis).

“Jumlah kes aktif itu jauh lebih rendah berbanding dengan angka keseluruhan murid dan pelajar yang hadir ke sekolah (iaitu) sekitar 4.5 juta orang. Jadi kita perlu lihat bahawa dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini akan berlaku tetapi kita dengan SOP (tatacara operasi piawai) yang ada, kita cuba kawal supaya tidak akan ada berlaku penularan besar,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Akademi Sains Pendang yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim yang juga ahli parlimen Pendang.

Radzi berkata keputusan sama ada menutup sesebuah sekolah atau sebaliknya apabila terdapat kes positif Covid-19 adalah bergantung kepada penilaian risiko yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM), selain menegaskan sesi persekolahan secara bersemuka amat penting bagi mengelakkan pelajar tercicir dalam pelajaran.

“Dalam konteks sekarang ini, bila sekolah ditutup untuk tempoh panjang, walau sesi PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) dilaksanakan, namun perasaan murid itu renggang dengan sistem persekolahan… sebab itu walau ramai kata sekolah jangan dibuka dulu tetapi kita dah bincang bahawa amat penting untuk sekolah dibuka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radzi berkata seramai 11,469 guru atau 55 peratus daripada keseluruhan 20,772 guru yang memohon pertukaran berjaya memperoleh kelulusan bagi tahun ini.

“Esok (Isnin) kita akan umumkan keputusan pertukaran guru dan seperti mana kita tahu isu berkaitan pertukaran ni dah bertahun dibincangkan dan untuk pengetahuan secara umumnya, buat pertama kali pada tahun ini peratusan pertukaran paling tinggi berdasarkan permohonan diterima.

“Kita juga akan bawa masuk pengambilan (guru) baharu seramai 18,702 orang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

73 pelajar, guru sekolah asrama penuh di Cyberjaya positif Covid-19

SHAH ALAM, 2 DIS: Seramai 71 pelajar dan dua guru Sekolah Seri Puteri (SSP) di Cyberjaya dijangkiti Covid-19, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata sejumlah 451 individu disaring melibatkan 437 pelajar, guru (13) dan petugas (satu).

“Semua guru dan pelajar (kecuali empat orang) lengkap vaksinasi.

“Manakala 65 pelajar dipindah ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS). Semua kategori 1 dan 2A, semua stabil,” tulisnya di Twitter.

Tambah beliau, seramai 242 orang kontak rapat dikuarantin yang mana pelajar dikuarantin di asrama SSP.

Malam tadi, Bernama melaporkan Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata seramai 65 pelajar tingkatan satu dan dua SSP dijangkiti Covid-19.

Beliau dilaporkan hadir ke sekolah berkenaan bagi meninjau situasi yang berlaku di sekolah berasrama penuh terbabit itu.

“Ini merupakan kali pertama SBP kena kes sebanyak ini. Doakan semoga dipermudahkan segala urusan,” demikian menurut ciapan di Twitter.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPM keluar surat pemakluman jalankan saringan Covid-19 murid

KUALA LUMPUR, 27 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengeluarkan surat pemakluman berhubung pelaksanaan saringan bergilir Covid-19 untuk murid sekolah rendah yang perlu dilaksanakan pada setiap Rabu, pada hari persekolahan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM turut menyarankan supaya ketetapan itu juga terpakai di semua sekolah rendah institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah kementerian berkenaan.

“KPM menyambut baik saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan akan melaksanakan 10 peratus sampel saringan Covid-19 secara mingguan dengan kaedah penggiliran selaras dengan Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan (NTS) yang ditetapkan oleh KKM.

“KPM telah membekalkan Kit Ujian Kendiri Covid-19 ke sekolah rendah KPM bagi memastikan ujian saringan ini dapat dilaksanakan sepertimana tatacara pelaksanaan ujian kendiri Covid-19 yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilapor berkata murid sekolah rendah perlu menjalani ujian saringan Covid-19 secara mingguan bermula Isnin ini (29 Nov).

Menurutnya, langkah itu adalah sebahagian daripada NTS selain bertujuan mengelakkan penularan kluster pendidikan di sekolah.

Khairy berkata ujian saringan berkenaan perlu dilaksanakan kepada murid tanpa mengira sama ada mereka bergejala atau tidak.

-BERNAMA