Categories
AGENDA NASIONAL

Kempen beli barangan Malaysia unjur nilai jualan meningkat 2.5 peratus

LANGKAWI, 13 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengunjurkan peningkatan 2.5 peratus nilai jualan sempena Kempen Beli Barangan Malaysia pada tahun ini, daripada RM3.3 bilion dicatatkan pada kempen sama tahun lepas.

Timbalan Menteri KPDNHEP Datuk Rosol Wahid berkata walaupun pandemik Covid-19 dan pelaksanaaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi kesan kepada aktiviti ekonomi, pihaknya optimis nilai jualan pada tahun ini lebih tinggi, berlandaskan unjuran semasa yang hampir mencapai sasaran.

“Pada 2019, pelaksanaan Kempen Beli Barangan Malaysia mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 bilion dengan RM6.84 juta daripadanya diperoleh melalui portal dalam talian.

“Jumlah tersebut meningkat kepada RM3.3 bilion pada tahun lepas, dengan nilai jualan menerusi dalam talian mencatat pertambahan amat besar melebihi RM145 juta,” katanya ketika berucap merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2021 di sini, hari ini.

Beliau berkata menerusi kempen itu kementeriannya menggalakkan rakyat Malaysia mengutamakan dan menyokong barangan buatan tempatan, terutama dalam membantu negara bangkit daripada impak pandemik Covid-19, sekali gus memulihkan semula ekonomi.

Dalam pada itu, menyedari banyak lagi produk keluaran tempatan yang unik, berkualiti tinggi serta berpotensi menembusi pasaran dalam dan luar negara, Rosol berkata kementerian sedang berusaha menambah baik program penandaan logo Buatan Malaysia.

Menurutnya langkah itu selaras dengan hasrat KPDNHEP untuk melihat lebih banyak produk keluaran tempatan diiktiraf dan dikenali terutama di peringkat antarabangsa.

“Penandaan logo Buatan Malaysia ini memberikan nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap sesuatu produk keluaran tempatan, kerana penggunaannya tidak diberi sewenang-wenang kepada pengusaha produk, sebaliknya perlu melalui prosedur permohonan yang ketat,” katanya.

Pada majlis itu, Rosol turut meninjau Karnival Jualan Barangan Malaysia sempena kempen tersebut yang diadakan di Dataran Cenang di sini selama empat hari sehingga esok, dengan penglibatan 20 usahawan mikro, kecil dan sederhana tempatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga air kosong lebih RM1: KPDNHEP keluar 84 notis seluruh negara

KUALA TERENGGANU, 10 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan sebanyak 84 notis terhadap peniaga premis makanan dan minuman di seluruh negara yang menjual air kosong pada harga melebihi RM1.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata kesemua notis tersebut dikeluarkan melalui Ops Catut 8.0 (air kosong) yang dijalankan sejak Rabu lepas susulan rungutan orang ramai yang mahukan agar kementerian memantau perkara berkenaan.

“Operasi ini akan berjalan sehingga 15 April oleh pasukan penguat kuasa di seluruh negara. Berdasarkan notis yang dikeluarkan itu, kita dapati banyak juga berlaku kes jualan air kosong lebih daripada RM1.

“Ini tidak sepatutnya berlaku…mungkin harga yang sesuai adalah antara RM0.20 atau RM0.30 sahaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Terengganu di sini hari ini.

Daripada 84 notis itu, Kelantan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 14 diikuti Selangor (12), Sabah (lapan), Sarawak (lapan), Johor (lapan), Pahang (tujuh), Terengganu (enam), Kuala Lumpur (lima), Melaka (empat), Wilayah Persekutuan Labuan (tiga), Pulau Pinang (tiga), Perlis (dua), Perak (dua) dan Negeri Sembilan (dua).

Peniaga yang diberi notis itu akan diberi masa dua hingga lima hari (hari bekerja) untuk memberi maklumat diperlukan KPDNHEP sebelum tindakan lanjut diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata KPDNHEP juga sedang memantau aktiviti jualan motosikal yang dikatakan menyukarkan pelanggan membeli secara tunai dipercayai berlaku di sekitar Lembah Klang.

“Baru-baru ini saya ada dapat aduan pelanggan yang mengatakan mereka sukar membeli motosikal secara tunai kerana penjual lebih gemar pelanggan membeli secara ansuran.

“Sekiranya ada laporan yang mendapati peniaga menekan pelanggan, KPDNHEP boleh siasat. Mungkin ada kesalahan boleh dikenakan tindakan terutama jika peniaga menetapkan harga berbeza bagi pembelian motosikal secara tunai atau ansuran bulanan,” katanya.

Tambahnya, selain menjauhi rakyat daripada bebanan hutang, beliau juga tidak mahu mereka terkena riba.

“Saya yakin mungkin ada pakatan antara syarikat motor dengan ‘finance company’…bayangkan kalau lima peratus atau lapan peratus caj faedah selama lima tahun, berapa banyak yang dia akan dapat (berbanding pembelian secara tunai)…jika ada dua harga berbeza mengikut cara pembelian, ini adalah salah,” katanya.

 

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP siasat isu kartel daging di bawah dua kesalahan cap dagangan

PUTRAJAYA, 23 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat syarikat tempatan yang disyaki terlibat dalam isu kartel daging haram di bawah dua kesalahan cap dagangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata syarikat terbabit disiasat di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Kita juga bekerjasama dengan kementerian dan agensi lain yang turut menyiasat kes ini dan buat masa sekarang siasatan masih berjalan.

Bagi KPDNHEP, kita tumpu kepada salah guna cap dagangan atau logo perniagaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo Halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Mengenai Program Jualan Kembali Ke Sekolah itu, Nanta berkata objektif program adalah untuk membantu pengguna khususnya ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak pada harga promosi dan berpatutan.

“Melalui kempen Kembali Ke Sekolah ini, semua pasar raya dan syarikat-syarikat pengeluar yang menjual kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, buku dan alat tulis digalakkan untuk menawarkan potongan harga istimewa melalui permohonan jualan murah atau kempen penurunan harga.

Untuk itu, KPDNHEP juga telah mempermudahkan proses permohonan jualan murah ini kepada para peniaga,” katanya

Peniaga hanya perlu mengemukakan notis jualan murah secara dalam talian melalui aplikasi My Sales Tracker, dan dalam tempoh 24 jam selepas permohonan dikemukakan, peniaga sudah boleh melakukan jualan murah, katanya.

– BERNAMA