Categories
AGENDA JENAYAH

Lelaki maut dihempap tiang besi di tapak pembinaan

KUALA LUMPUR, 29 DIS:  Seorang lelaki warga asing maut akibat dihempap sebatang tiang besi sebuah kren di tapak pembinaan berhampiran Jalan Kuchai Maju, Kuchai Entrepreneurs Park di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 pagi, mangsa berusia 42 tahun itu sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati tiang besi berkenaan telah diturunkan ke tanah namun tidak stabil lalu menghempap mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Orang ramai dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan, katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Kerja alih kren gantri di lokasi insiden SUKE selesai

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Pengalihan kren gantri dan rasuk konkrit yang terlibat dalam insiden kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pada 22 Mac lepas selesai semalam setelah dua minggu ia dilaksanakan.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas selesai semua kerja pengalihan tersebut, jurutera perunding seliaan dan agensi berkaitan telah meneliti secara keseluruhan kondisi struktur yang terlibat bagi mengesahkan ia selamat dan kesemua proses penilaian tersebut dilaksanakan secara terperinci dan telus.

Sehubungan itu sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai, Cheras yang sebelum ini ditutup dibuka semula kepada penduduk Kondominium Puncak Banyan dan orang awam, sebaik mendapat pengesahan selamat dan kelulusan dari pihak jurutera perunding dan pihak berkuasa.

Kenyataan itu juga memaklumkan dengan pembukaan semula Persiaran Alam Damai (lokasi kejadian) ia akan membantu penduduk terutamanya di Kondominium Puncak Banyan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pengalihan dilaksanakan Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd melalui kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd.

Pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut memantau pelaksanaan kerja-kerja itu bagi memastikan ia dilakukan dengan teliti dan mengikut tatacara operasi piawai digariskan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 22 Mac itu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan terbabit.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kren terbalik akibat permukaan tanah tak stabil

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 26 FEB: Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (ProLintas) hari ini mengesahkan kejadian kren terbalik di kilometer 25.2 berhampiran Dataran Ukay, pada jam 10 pagi tadi.

ProLintas dalam kenyataan berkata, ia berlaku ekoran permukaan tanah yang menempatkan jentera berkenaan tidak stabil, namun tiada kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan.

“Pasukan kecemasan dikerahkan ke kawasan kejadian untuk memberi bantuan dan kerja pembersihan juga kini giat dijalankan bagi menyuraikan kesesakan trafik dengan kadar segera.

“Justeru itu, ProLintas memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul ekoran kejadian ini,” katanya.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan serta keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE adalah menjadi keutamaan mereka.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan aduan berhubung pembinaan Lebuhraya SUKE boleh menyalurkannya kepada Facebook PROLINTAS Highways, Twitter @mySUKEofficial atau di talian 1300-88-9922.

Categories
SELANGOR

Pengguna jalan raya gempar kren patah

PETALING JAYA 9 DIS: Pengguna jalan raya yang melalui Jalan SS20/1 berhampiran Balai Polis Damansara gempar apabila kren yang mahu membawa turun papan iklan gergasi di kawasan itu tiba-tiba patah, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, palang besi pengangkat kren milik syarikat kontraktor yang menggantikan papan iklan tiba-tiba patah menyebabkan papan iklan itu terjatuh hingga menghempap bahu jalan susur masuk Lebuh raya Sprint.

Berikutan itu, kakitangan syarikat kren giat mengalihkan palang besi dan iklan yang jatuh itu, lapor MYMETRO.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa.

GAMBAR: NSTP

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan takziah Presiden PKR kejadian kren runtuh Makkah

Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Allahummaghfirlahum warhamhum wa’afihim wa’fu ‘anhum.

Saya amat berdukacita menerima berita kemalangan kren yang tumbang di Masjidil Haram pada 11 September 2015 yang telah meragut lebih 100 nyawa, termasuk 5 orang warga Malaysia:

– Siti Nuroshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah, Kelantan
– Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai, Kelantan
– Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku, Kelantan
– Rusiah Suar, 56, dari Felda Besout 2, Perak
– Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor

Kren MakkahBagi pihak KEADILAN, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ahli-ahli keluarga mangsa tragedi ini. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan Ilahi.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua petugas Tabung Haji dan Kerajaan Malaysia yang telah bekerja bertungkus-lumus untuk mengenalpasti jenazah serta memastikan semua warga Malaysia yang sedang mengerjakan haji selamat.

Marilah kita sedekahkan al-Fatihah buat mangsa-mangsa kejadian ini.

Semoga Allah SWT menempatkan roh mereka di kalangan orang-orang yang beriman.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
14 September 2015

Categories
NASIONAL

Lapan jemaah haji Malaysia belum dikesan

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 SEP: Jumlah Jemaah Haji Malaysia yang masih belum dapat dikesan masih kekal lapan orang sehingga jam 12.00 tengah malam waktu tempatan.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi satu kenyataan berkata, pasukan mencari dan menyelamat TH masih menggiatkan usaha untuk mencari dan mengesan kesemua jemaah berkenaan.

Kren“Sehingga jam 11.00 malam (waktu Saudi) pasukan perubatan TH masih tidak dibenarkan untuk memasuki rumah mayat dalam usaha untuk mencari dan mengenalpasti,” katanya.

Berhubung perkembangan jemaah yang cedera, sehingga kini lima jemaah haji yang dirawati di Pusat Rawatan TH dibenarkan pulang ke penginapan masing-masing, manakala lima jemaah lagi dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan masing-masing.

Orang ramai serta waris boleh menghubungi talian 03 – 6207 1919 untuk mendapatkan maklumat perkembangan terkini.

EZY

(KEMAS KINI) Seorang Maut, 5 Cedera Dalam Kejadian Runtuhan Bumbung Banglo

SHAH ALAM, 19 OKT : Polis mengesahkan seorang mangsa maut dalam kejadian runtuhan bumbung konkrit sebuah banglo yang sedang diubah suai di Seksyen 7 di sini. Kesemua enam mangsa adalah pekerja binaan warga Indonesia.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata, pada mulanya pihaknya mendapat maklumat terdapat lapan pekerja terperangkap dalam kejadian itu tetapi kemudian dimaklumkan rakan sekerja mereka dikenali sebagai Supardi bahawa hanya enam mangsa yang terlibat.

Mangsa terakhir dikenali sebagai Kasmuji berjaya diselamatkan pada 10.15 malam dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Sementara buruh yang maut dikenali sebagai Totok Mochamad Anthony maut.

Mayat mangsa dikeluarkan pasukan penyelamat pada kira-kira 6.24 petang dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.

Empat lagi pekerja binaan berusia lingkungan 30-an yang dikenali sebagai Afifin, Waras, Kabir dan Ghadami, yang putus kaki kanan, turut dihantar ke HTAR.

Polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada kira-kira 4.29 petang berhubung kejadian di banglo No. 15, Jalan Jed 7/5A, Seksyen 7, milik seorang ahli perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Othman Abdullah berkata operasi menyelamat dihentikan pada 10.45 malam selepas mangsa keenam dibawa keluar dari runtuhan.

Beliau berkata pihaknya menggunakan kren dengan kekuatan 40 tan bagi mengangkat runtuhan konkrit selain membuat terowong secara manual untuk menyalur bantuan gas oksigen kepada mangsa terakhir sebelum dibawa keluar.

Operasi menyelamat, yang bermula kira-kira 5 petang, diteruskan walaupun hujan lebat bermula 9 malam.

Selain itu, khidmat anjing pengesan Unit K9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor digunakan sepanjang operasi tersebut.

Anggota SMART juga turut membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat.

Sementara itu, Exco Selangor, Dr Yaakob Sapari yang turut turun padang melihat kejadian itu menasihati warga Shah Alam yang berhasrat melakukan pengubahsuaian rumah agar mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa.

Beliau yang juga Adun Kota Anggerik berkata, ia adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku di masa hadapan yang boleh mengorbankan nyawa.