Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Penjawat awam tolak vaksin berdepan tindakan tatatertib

LABUAN, 22 OKT: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menyeru kepada semua penjawat awam agar patuh kepada pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang mewajibkan mereka melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

Beliau berkata tindakan tatatertib boleh diambil kepada penjawat awam yang enggan memberi kerjasama menerima vaksin.

“Kalau mengikut pekeliling dan dari segi peraturan, penjawat awam harus patuh dengan apa yang telah diputuskan oleh pihak ketua jabatan masing-masing.

“Dalam konteks ini, memang akan ada tindakan mungkin diambil sekiranya mereka masih enggan untuk divaksin.

“Jadi, pada kesempatan ini, saya menyeru kepada semua penjawat awam untuk memberikan kerjasama memastikan diri mereka lengkap divaksinasi sebelum tarikh yang ditetapkan oleh JPA,” katanya selepas menerima dos penggalak di pusat pemberian vaksin Klinik Kesihatan Membedai dekat sini hari ini.

Mohd Zuki berkata selepas kesemua negeri beralih ke fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), operasi di semua pejabat kerajaan akan dibuka semula.

“Untuk mengelakkan ketidakselesaan, apabila tidak divaksin dan datang ke pejabat, ia akan memberikan kesan atau anggapan negatif dalam kalangan mereka yang telah divaksin…penjawat awam di Labuan yang telah menerima vaksin melebihi 90 peratus, iaitu sama dengan peratusan seluruh negara,” katanya.

Ketika ini, kelompok penjawat awam di seluruh negara yang belum mendaftar untuk divaksin adalah seramai 16,902 orang.

JPA menerusi kenyataan akhbar pada 30 Okt lepas memaklumkan, keputusan mewajibkan suntikan vaksin kepada penjawat awam itu dibuat bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa PPN.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Sultan, Permaisuri zahir dukacita pemergian Ahmad Sarji

SHAH ALAM, 28 OGOS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri menzahirkan dukacita atas pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid pagi tadi.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin turut mengutus salam takziah kepada balu Allahyarham Toh Puan Sagiyah Salikin.

Mengikut Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan Ahmad Sarji mempunyai hubungan rapat khususnya semasa Allahyarham berkhidmat sebagai KSN.

Suktan Selangor turut mengurniakan darjah kebesaran Seri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (S.S.S.A.) yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Allahyarham pada 1992

“Baginda menganggap Allahyarham seorang yang komited dan banyak menyumbang pembaharuan dalam sektor perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berusia 82 tahun hari ini disahkan meninggal dunia di sebuah hospital pada jam 1.40 pagi.

Memulakan kerjaya sebagai timbalan penolong pegawai daerah Klang pada 1961, Allahyarham berkhidmat sebagai KSN antara 1990 hingga 1996.

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Elaun 800,000 penjawat awam dikurangkan, masuk akaun bencana

PUTRAJAYA, 1 JUN: Lebih 800,000 penjawat awam bersolidariti dalam mendepani pandemik Covid-19 dengan menyumbang kepada Akaun Amanah Bencana bagi tempoh tiga bulan melalui pengurangan elaun berdasarkan gred perkhidmatan.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mengumumkan perkara berkenaan hari ini berkata sumbangan daripada penjawat awam terbabit yang tidak melibatkan petugas barisan hadapan serta penjawat awam Gred 1 hingga Gred 28 itu, dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

“Sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi pengurusan tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56, serta Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati oleh penjawat awam pada masa kini akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana,” katanya.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred perkhidmatan itu adalah 50 peratus bagi Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) A ke atas, JUSA B sebanyak 20 peratus, JUSA C sebanyak 10 peratus, Gred 44 hingga 56 sebanyak lima peratus melibatkan ITK, manakala RM10 daripada ITKA bagi Gred 29 hingga 41.

Beliau berkata surat edaran dan perincian pelaksanaan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

“Sumbangan ini adalah tanda kebersamaan para penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan pandemik COVID-19 di negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan bernilai RM40 bilion sebagai tambahan kepada program-program terdahulu.

Muhyiddin turut mengumumkan setiap menteri dan timbalan menteri tidak akan mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun yang mana gaji tidak diambil itu disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

“Marilah kita meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan kita berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ini,” kata Mohd Zuki.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam ingkar PKP dikenakan tindakan – KSN

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Bersedialah untuk menerima tindakan dan dikenakan hukuman.

Itulah peringatan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata tindakan undang-undang diputuskan kerajaan tidak akan terkecuali kepada mereka yang melanggar arahan pematuhan ditetapkan itu termasuklah terhadap penjawat awam sendiri.

“Sama sahaja. Sekiranya mereka melanggar prosedur (PKP) mereka akan tetap dikenakan hukuman. Jadi peringatan kepada penjawat awam, sekiranya mereka ini tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, hendaklah mematuhi SOP yang telah diputuskan dalam PKP,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Mohd Zuki menegaskan setiap keputusan diambil dan dilaksanakan kerajaan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat setiap hari.

Sebelum ini dilapor Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari PKP bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Penjawat awam diseru jadikan 2021 tahun lonjakan kecemerlangan

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengajak semua penjawat awam menjadikan tahun 2021 ini sebagai Tahun Lonjakan Kecemerlangan Sektor Awam.

Menurutnya, lonjakan kecemerlangan itu perlu digerakkan menerusi pemantapan modal insan dengan kompetensi masa depan, pengukuhan organisasi lebih fleksibel, pengurusan dan pembangunan projek yang pantas serta berimpak tinggi.

Selain itu, katanya penyampaian perkhidmatan juga perlu berteraskan teknologi digital dan revolusi industri 4.0 dan ia selaras dengan harapan serta cabaran yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Lonjakan kecemerlangan ini pula perlul dilaksanakan berasaskan nilai-nilai ‘Kepercayaan Untuk Berkhidmat’ dan dipacu oleh prinsip F.A.S.T.E.R atau flat, agile, streamlined, tech-enabled, efficient and resilient yang sering saya nyatakan sebelum ini.

“Meskipun kita masih berusaha mengimbangkan kepentingan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dengan kesihatan serta ancaman wabak, namun saya percaya senja pandemik yang kelam pada tahun 2020 akhirnya akan sirna, dan fajar masa depan baharu yang lebih cerah akan terus bersinar pada tahun 2021 ini,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook.

Mohd Zuki berkata 2020 melabuhkan tirainya dengan seribu satu episod cabaran penuh mehnah (sengsara) dan rintangan serta ujian, namun berjaya diharungi bersama.

Ia bermula dengan usaha mengekang pandemik Covid-19 yang menyaksikan kerajaan terpaksa menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan serta memastikan setiap rakyat Malaysia terus kekal berdaya tahan menerusi strategi ekonomi dan sosial yang efisien dan pantas.

“Kita kemudiannya terus mengorak langkah proaktif memulihkan ekonomi yang terjejas menerusi empat inisiatif utama iaitu PRIHATIN, PRIHATIN Tambahan, PENJANA, KITA PRIHATIN dan pelaksanaan Belanjawan 2021 yang telah diluluskan oleh sidang Parlimen baru-baru ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam merangkumi petugas barisan hadapan serta di sebalik tabir seperti yang menguruskan logistik dan sumber manusia kerana bertungkus lumus mendepani cabaran pandemik Covid-19.

“Anda adalah sebenar-benarnya Wira dan Wirawati Negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KSN: Capai KPI gerakkan ekonomi, ikut perancangan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan diingatkan untuk memastikan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi program menggerakkan ekonomi pasca Covid-19 tercapai.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata mesyuarat pertama mengenai perkara itu telah diadakan baru-baru ini.

“Saya beri ingatan sekali lagi kepada semua ketua setiausaha (kementerian) dan ketua pengarah (jabatan) akan keperluan mereka untuk memastikan KPI yang ditetapkan itu tercapai. Ini (pencapaian KPI yang ditetapkan) adalah antara faktor untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil keahlian kepada 75 ahli Koperasi KOBUNITI Selangor Berhad dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pada 6 September lepas, Mohd Zuki menetapkan KPI kepada semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan supaya program menggerakkan ekonomi dilaksanakan mengikut perancangan susulan banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu ditanya mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mahu Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam digantikan dengan sistem baharu, Mohd Zuki berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Itu mungkin cadangan mereka dan (setakat ini) Ceupacs belum minta lagi kepada kita. Saya rasa belum sampai lagi di peringkat pertimbangan kerajaan,” katanya.

Khamis lepas, Ceupacs dilaporkan akan mengemukakan kertas kerja kepada kerajaan bagi mencadangkan sistem saraan baharu menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) untuk penjawat awam.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ahli MBPJ Cadang Fail Saman KSN

PETALING JAYA, 31 OKT : Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memfailkan saman terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa kerana mengeluarkan arahan pertukaran Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman secara mengejut baru-baru ini.

Menurut ahli majlis MBPJ, Derek Fernandez, walaupun arahan pertukaran sera-merta yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu adalah tidak sah, namun ia menimbulkan tanggapan buruk terhadap Mohamad Roslan.

Beliau berkata, arahan itu juga bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana membelakangi Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan.

“Datuk Bandar diberi arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam melalui surat daripada JPA bertarikh 27 September lepas tanpa mengemukakan sebarang sebab dan alasan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa beliau (Mohamad Roslan) membuat satu kesilapan besar atau tidak membuat kerja,” katanya dalam satu Mesyuarat Khas di Ibu Pejabat MBPJ di sini.

Sehubungan itu, katanya Ahli Majlis akan merujuk kepada Unit Perundangan MBPJ bagi mendapatkan khidmat guaman profesional untuk memfailkan saman tersebut.

“Kita akan pergi ke mahkamah untuk mendapatkan kepastian berhubung perkara ini. Segala prosedur kita serahkan kepada pihak peguam,” katanya lagi.

Mohamad Roslan sebelum ini menerima arahan pertukaran daripada JPA sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor berkuatkuasa 1 Oktober lalu.

Bagaimanapun, arahan itu ditarik semula dan mengekalkan Mohamad Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ kerana jawatan berkenaan adalah statutori yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan.

Categories
SELANGOR

Isu Datuk Bandar MBPJ, KSN Membelakangi MB dan Exco Selangor

 

SHAH ALAM,4 OKT: Kerajaan Negeri menyelar tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang membelakangi Menteri Besar Selangor dan ahli-ahli Exco Kerajaan alam kes pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar secara mengejut baru-baru ini.

Exco Kesihatan. Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, media tempatan melaporkan bahawa kononnya persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

“Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah salah seorang ?ex- officio? penjawat awam yang dilantik atas kapasiti jawatan beliau dan bukannya diberikan ?kuasa? bagi membuat keputusan bagi pihak ?Pihak Berkuasa Negeri?.

“Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Dr Xavier menegaskan, arahan JPA bertarikh 27 September lepas untuk pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerana Kerajaan Negeri diberikan ?kuasa mutlak? melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.

“Jadi tidak berbangkit isu KSN mengenalpasti pengganti kepada Datuk Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai seorang penjawat awam, Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai KSN pada 24 Jun yang lalu seharusnya mempunyai rasa hormat untuk mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya.

Ia kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang itu harus akur kepada kerajaan sedia ada dan bukannya sekadar mengambil arahan dari Kerajaan Persekutuan sahaja dengan mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kita juga akan berbincang dengan Khusrin dalam mesyuarat Exco terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu itu kerana Kerajaan Negeri hanya mengetahuinya dari laporan media,” katanya.

Categories
NASIONAL

Dato’ Dr Ali Hamsa Memulakan Langkah Silap Sebagai KSN

SHAH ALAM, 25 JUN: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan akhbar yang di keluarkan petang tadi terkilan dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang baru di lantik Datuk Dr Ali Hamsa yang bersifat tidak profesional dan memihak.

Berikut adalah kenyataan media yang di terima sebentar tadi.

Kerajaan Negeri Selangor merasakan Datuk Dr. Ali Hamsa telah memulakan kariernya sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) dengan langkah yang silap apabila memburuk-burukkan parti pembangkang di hadapan kakitangan awam.

Kenyataan beliau agar penjawat awam ?setia kepada kerajaan sekarang dan jangan mempercayai janji pembangkang? sekaligus menjatuhkan mertabat jawatannya kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kakitangan awam menjalankan tugas
tanpa pengaruh kepartian.

Tambah pula, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) menyatakan ?Setiap pegawai hendaklan pada setiap masa dan setiap ketika memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi pada Yang di-Pertuan Agong, negara dan kerajaan?.

Maka setiap penjawat awam perlu meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan peribadi termasuk ideologi politik yang mereka pilih.

Sebagai ketua yang baharu kepada 1.4 juta kakitangan awam, beliau perlu menunjukkan sikap profesional dan bebas tanpa memihak kepada mana-mana parti politik. Jika kita mengambil sikap beliau, adakah bermakna penjawat awam sekarang tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri yang tidak sealiran politik dengan kerajaan pusat?

Jika begitu akan menjadi huru-haralah pentadbiran kerajaan dan akhirnya rakyat yang akan rugi. Maka jelas, adalah amat penting untuk kakitangan awam bersikap neutral dan ini penting dalam menguruskan sebuah negara demokrasi.

Baru-baru ini pejuang demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi telah meminta bantuan Kerajaan British untuk menolong membina satu sistem penjawat awam yang bebas dari pengaruh kepartian.

Pada waktu seluruh dunia mengambil langkah ke hadapan untuk membina demokrasi yang lebih berwibawa, malangnya di Malaysia, kita mempunyai seorang KSN yang telah membuat kenyataan seolah ingin membawa negara kita ke belakang.

Negeri Selangor menasihatkan KSN yang baharu agar lebih berhati-hati pada masa hadapan kerana jika tersilap lagi, ucapan beliau akan disalahertikan sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan BN atas lantikannya sebagai KSN.

Apabila itu berlaku, maka martabat penjawat awam akan jatuh sekali lagi akibat pemikiran sempit politik.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
MENTERI BESAR SELANGOR