Categories
AGENDA NASIONAL

Sistem pengurusan pintar negeri kesan, baiki jalan rosak lebih pantas

SHAH ALAM, 10 MAC: Sistem Pengurusan Aset Jalan Pintar Selangor dilancar Rabu depan bagi memantau, mengenal pasti dan membaiki jalan raya rosak dengan lebih pantas.

Sistem dibangunkan Selgem Sdn Bhd (Selgem) mengaplikasikan penggunaan kamera pintar di papan pemuka kenderaan, kamera 360, dron dan teknologi cerapan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Hasil cerapan dan analisa data diintegrasi dalam web yang kemudian dipancar terus ke pusat kawalan Selgem yang menjadi salah satu elemen penting dalam sistem itu,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Jelas syarikat itu, aplikasi tersebut juga mampu digunakan secara meluas oleh pelbagai agensi sekali gus mewujudkan keseragaman operasi bagi pengurusan jalan di Selangor.

Pelancaran sistem oleh anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd itu dijadual berlangsung di pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri dan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata penggunaan dron dan sensor antara kaedah untuk mengesan kerosakan jalan negeri bagi memastikan penyelenggaraan mencapai piawaian.

Beliau berkata sistem itu membolehkan maklumat kerosakan seperti lubang, tarikh pembaikan dan tempoh luput dikenal pasti untuk tindakan susulan dengan kos penyelenggaraan mencecah RM1 bilion.

Penggunaan sistem pintar aset jalan raya yang dilengkapi perisian maklumat geografi bagi mengatasi isu berkaitan jalan raya antara perkara ditekankan dalam Belanjawan Selangor 2022.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KSSB sumbang RM10.4 juta, sokong negeri bantu rakyat susah

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan Negeri menerima sumbangan RM10.4 juta daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi menyokong usaha membantu rakyat memerlukan.

Ia meliputi sumbangan tahunan syarikat bernilai RM6 juta, tabung warisan (RM400,660.26), Tabung Kemanusiaan Selangor Prihatin (RM10,000) dan Pakej Kita Selangor 2.0 (RM4 juta).

Syarikat perlombongan dan pengurusan sumber mineral milik Kerajaan Negeri itu turut menyerahkan RM20,000 kepada Tabung Prihatin Tahfiz Selangor.

Sumbangan disampaikan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif KSSB Abdul Rahman Ishak kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di bangunan pentadbiran negeri hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata bantuan tersebut sebahagian tanggungjawab korporat syarikat membantu Kerajaan Negeri menangani suasana mencabar akibat pandemik.

“KSSB dibentuk khusus untuk mengatur dan mengurus aktiviti kuari pasir di Selangor selain bertanggungjawab menyelenggara jalan raya bawah Jabatan Kerja Raya baru-baru ini.

“Jadi, sumbangan ini sebagai menyokong inisiatif Kerajaan Negeri dan akan disumbangkan kepada rakyat memerlukan,” katanya pada sidang media.

KSSB pernah merangkul tempat pertama bagi kategori Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Mampan (Pengedaran Mineral Bukan Logam) di Bangkok, Thailand pada 13 Disember 2019.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Projek atasi banjir 100 tahun, siap dalam tempoh setahun

SHAH ALAM, 29 SEPT: Pembangunan Projek Tebatan Banjir (RTB) jangka masa panjang sehingga 100 tahun dijangka siap dalam tempoh setahun lagi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebahagian projek bagi mengatasi isu banjir di negeri ini sedang berjalan dan sebahagian lagi terganggu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Projek tebatan sedia ada adalah bagi sistem saliran dan perparitan untuk tempoh 50 tahun, namun tidak mampu menampung taburan hujan yang tinggi di sesetengah kawasan.

“Kerancakan pembangunan sedikit sebanyak memaksa kita untuk menukar projek tebatan banjir, kita naik taraf sistem saliran kepada 100 tahun berbanding 50 tahun dan ini telah diputuskan tahun lepas” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi serahan sumbangan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Kerajaan Negeri di Bangunan SUK di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar berkata peruntukan sudah diberikan tetapi tidak boleh dilaksana secepat kilat kerana memerlukan laporan teknikal setiap jabatan terutama aspek kedalaman serta kelebaran.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merupakan Fokal agensi yang mengatur serta melaksanakan. Kita memang sedang buat, sebahagiannya agak tertanggu kerana PKP,” katanya.

Pada 4 November tahun lalu, Amirudin berkata pelan RTB sehingga 100 tahun dirangka sebagai penyelesaian terhadap masalah banjir di Selangor.

Beliau memaklumkan projek terbabit termasuk pembesaran Sungai Langat yang bertujuan menampung kapasiti air sekali gus mengelak banjir berulang.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kursus dalam talian tingkat kemahiran, kakitangan aset bernilai KSSB

(ADVERTORIAL)

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengambil inisiatif mengadakan kursus dalaman atau “in-house training” di dalam talian bagi meningkatkan kemahiran kakitangan.

Penganjuran kursus seliaan Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran ini sebagai alternatif daripada pemberhentian operasi perlombongan dan cucigali pasir berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu.

Hal ini kerana sepanjang tempoh berkenaan, kakitangan operasi tidak dapat bertugas di tapak-tapak operasi seperti kelazimannya dan mereka perlu bekerja dari rumah.

Fokus utama program ini adalah untuk memberi kefahaman dan pengetahuan semula (refresher course) kepada kakitangan berkenaan aspek-aspek teknikal di tapak operasi, apatah lagi mereka merupakan aset paling bernilai KSSB.

Kursus kendalian pakar

KSSB juga yakin inisiatif ini dapat membantu meningkatkan pengetahuan dan kompetensi kakitangan dalam bidang tugas masing-masing.

Antara kursus yang dijalankan sepanjang tempoh ini adalah Emergency Response Plan (ERP), Sistem Smart Docket dan Skim Pengoperasian Perlombongan dan Cucigali Pasir (OMS).

Kursus Smart Docket yang disampaikan oleh Azizul Hakim Abu dan Muhamad Fauzan Abdul Ghapar daripada Unit Teknologi Maklumat (IT)

Kursus ini melibatkan penyertaan 86 kakitangan unit strategik perniagaan, perlombongan dan beberapa kakitangan anak syarikat KSSB.

Tenaga pengajar program ini terdiri daripada pakar dalaman KSSB. Kursus ERP dikendalikan Mohd
Samsol Salleh dari Jabatan Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran (QSHE).

Manakala kursus Sistem Smart Docket dikendalikan Azizul Hakim Abu dan Muhamad Fauzan Abdul Ghapar dari Unit Teknologi Maklumat.

Bagi kursus OMS pula, pakar yang dijemput adalah Maysarah Mat Akhir dari Jabatan Perhubungan Teknikal.

Teruskan program

Eksekutif Jabatan Sumber Manusia dan Pentadbiran Norsuhaili Muhamad Halil berkata, latihan ini bermula 4 hingga 28 Jun lalu dan beberapa program latihan lain mungkin diteruskan kerana lanjutan PKP 3.0.

Matlamat utama kursus ini adalah memberi motivasi kepada kakitangan untuk mempertingkatkan lagi
pengetahuan dalam bidang tugas dan menguji kefahaman mereka.

Kursus Skim Pengoperasian Perlombongan dan Cucigali Pasir (OMS) yang disampaikan oleh Maysarah Mat Akhir daripada Jabatan Perhubungan Teknikal

“Pada masa sama, ia turut menjadi platform bagi mengenal pasti kekuatan dan kekurangan mereka untuk diatasi dengan segera dalam usaha melahirkan kakitangan yang kompeten, berwawasan tinggi dan dinamik dalam menyokong aspirasi perniagaan KSSB,” katanya semasa sesi taklimat sebelum kursus berlangsung.

Selain mementingkan kebajikan kakitangan, KSSB diketahui sebagai sebuah syarikat yang menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti melalui pelbagai pendekatan termasuk latihan.

Antaranya, KSSB turut menghantar kakitangannya ke Malaysia Certified Inspector of Sediment and Erosion Control (MY-CISEC) pada Mac lalu.

Objektif kursus ini adalah melahirkan kakitangan berpengetahuan dan cekap di lapangan dalam memantau pematuhan pelan kawalan hakisan serta kelodak yang diluluskan pihak berkuasa tempatan.

Selain itu, latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan turut diberi keutamaan anak syarikat Kerajaan Negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kerja kuat KSSB majukan perlombongan mineral berbaloi

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Kerja kuat selama lima tahun Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dalam memajukan industri perlombongan mineral di negeri ini berbaloi apabila mendapat pengiktirafan International Business Review Asean 2020.

Ketua Pegawai Kewangannya Mohamed Fariz Ghazali berbesar hati kerana The IBR Asia Group memilih organisasi terbabit sebagai penerima anugerah kecemerlangan korporat dalam sektor utama pengurusan perlombongan transformatif dan lestari.

“Setelah bertungkus-lumus mentransformasikan sektor perlombongan mineral dalam tempoh lima tahun kebelakangan, penganugerahan ini seolah-olah menjadi batu loncatan atau suplemen kepada KSSB untuk bergerak lebih maju pada masa hadapan.

“Justeru, kita tekad memastikan KSSB terus menjadi peneraju utama dalam pembangunan sumber asli mineral terutama perlombongan bijih timah selaras misi MB (Dato’ Menteri Besar) untuk memajukan industri berkenaan di Selangor,” katanya ketika ditemui selepas menerima anugerah tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Menurutnya, kejayaan itu adalah kedua terbesar selepas meraih tempat pertama anugerah kategori amalan terbaik dalam pembangunan mineral mampan di ASEAN Mineral Award di Bangkok, Thailand pada Disember 2019.

Ditubuhkan pada 26 Jun 2008, organisasi berkenaan menggalas tanggungjawab dalam pengurusan pengekstrakan, pengeluaran dan penjualan pasir, bahan batuan serta sumber mineral.

Sehingga 30 Mei tahun lalu, KSSB berjaya mengeluarkan dan menjual lebih 84 juta tan metrik pasir selain melaksana kerja penyelenggaraan sungai melebihi 279.75 kilometer panjang serta muka sauk loji rawatan air termasuk kolam takungan banjir di Selangor melalui model perniagaan penjualan pasir.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yide terima sumbangan RM30,000 biaya kompleks rumah anak yatim

SHAH ALAM, 16 OKT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menerima sumbangan RM30,000 daripada Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) bagi membiayai pembinaan Kompleks Rumah Anak Yatim Pulau Indah, Klang.

Pengurus Operasi Bahagian Kebajikan dan Publisiti Yide Md Arifin Jaafar berkata keprihatinan KSSB membantu yayasan itu menggerakkan kerja kebajikan di negeri ini.

“Sehingga kini, Yide berjaya mengutip sebanyak RM6.58 juta dan masih memerlukan RM3.47 juta lagi.

“Yide menyeru kepada orang ramai, syarikat korporat dan agensi berkaitan kerajaan untuk terus memuliakan anak yatim,” katanya dalam kenyataan semalam.

Md Arifin berkata sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam (1223 40100 07330) atau secara dalam talian di Billplz: https://yide.com.my/donations/infaq-dana-anak-yatim/.

Selain itu, ia juga boleh dibuat melalui Jom Pay (Biller Code: 81059) atau aplikasi e-dompet Touch n Go dan Snap and Pay .

Sehingga September, seramai 7,500 anak yatim dan 17 rumah anak yatim di sekitar Selangor berdaftar secara rasmi di bawah yayasan itu.

Categories
ADN SELANGOR

596 mangsa ribut Lekima terima bantuan lebih RM1.73 juta

SABAK BERNAM, 26 SEPT: Lebih RM1.73 juta diperuntukan kepada 596 mangsa yang terkesan ekoran ribut Lekima membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang dan Sekinchan.

Peruntukan berkenaan disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Kumpulan Semesta Berhad (KSSB) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, sumbangan fasa pertama itu diserahkan kepada 225 penerima dari DUN Sabak membabitkan sejumlah RM678,600.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman.

Hadir sama, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abdul Wahab Nordin dan Pengurus Besar Kewangan LZS, Ahmad Nasaruddin Mohd Ali.

“Sementara itu, bagi fasa kedua dan ketiga diserahkan kepada DUN Sungai Air Tawar membabitkan peruntukan RM655,400 (273 penerima); Sungai Panjang berjumlah RM383,180 (93 penerima) dan Sekinchan berjumlah RM13,300 (lima penerima),” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat mangsa ribut dan kediaman mereka di kawasan berkenaan serta meluluskan bantuan kewangan segera berjumlah RM500 bagi setiap rumah serta bantuan baik pulih selepas laporan penilaian kerosakan rumah dibentang.

Bantuan baik pulih rumah itu diberi mengikut kerosakan iaitu kecil, sederhana dan kritikal.

Beliau percaya kejadian ribut di kawasan itu mempunyai kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan ekoran kawasan terbabit berhampiran laut.

Dalam kejadian pada 10 Ogos lalu, hujan lebat dan angin kencang memusnahkan kediaman penduduk dan premis perniagaan di beberapa DUN di negeri ini.

Categories
SELANGOR

KSSB laksana CSR bantu pelajar Orang Asal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 12 JAN: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) mengorak langkah memperkasa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyantuni masyarakat Orang Asal dengan memberi persalinan baju seragam sekolah, baru-baru ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporatnya, Abdul Wahab Nordin berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban ibu bapa pelajar berkenaan dalam membuat persediaan kemasukan sesi persekolahan 2019.

“Program CSR ini dilaksanakan di beberapa kawasan kampung masyarakat Orang Asal yang berhampiran dengan tapak operasi KSSB, di negeri ini.

“KSSB sentiasa berusaha bertanggungjawab dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dan pembentukan nilai masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pelaksanaan program CSR turut merangsang sosioekonomi berterusan dengan memberi penekanan terhadap aspek pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

“Ia selaras hasrat Kerajaan Negeri supaya tidak meminggirkan masyarakat Orang Asal, terutama di negeri ini,” katanya

Terdahulu, seramai 227 pelajar menerima sumbangan itu membabitkan kawasan Kampung Orang Asal Bukit Tadom (102), Kampung Orang Asal Bukit Serdang (34), Kampung Orang Asal Sungai Garing (enam) dan Kampung Orang Asal Pulau Kempas (85).

Categories
SELANGOR

Korek pasir tidak jejas habitat kelip-kelip

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerja pengorekan pasir dijalankan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) tidak menjejaskan kepupusan habitat kelip-kelip ,di kawasan Kampung Asahan, yang berlaku baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohamed Fariz Ghazali berkata, KSSB juga sentiasa menambah baik perkhidmatannya dari masa ke masa.

“Sebenarnya isu pasir ini tidak menggangu habitat kelip-kelip di sini, ada pihak yang sengaja memperbesarkannya.

“Jika terdapat perkara membabitkan KSSB, kami akan menyelesaikan segera seperti isu pencemaran di tapak pengorekan pasir yang dapat selesaikan dalam masa sehari sahaja,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KSSB, di Bangunan Darul Ehsan, hari ini.

Katanya, majlis rumah terbuka itu antara acara wajib dilakukan menjelang Aidilfitri untuk menghargai jasa kakitangan di syarikat berkenaan.

“Walaupun kami buat di dalam pejabat sahaja dengan tempat terhad tetapi kehadiran dari semua yang dijemput sangat ramai dan meriah,” katanya.

Categories
SELANGOR

KSSB laksana CSR bantu pelajar Orang Asal

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 DIS : Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) meraikan masyarakat Orang Asal dengan memberikan baju seragam sekolah, baru baru ini.

Pengurus Kanan Perhubungan Awam KSSB, Abdul Wahab Nordin berkata, pemberian baju seragam sekolah itu bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan kemasukan sesi persekolahan 2018.

“Program CSR berkenaan dilaksanakan di beberapa kawasan kampung masyarakat Orang Asal yang berhampiran dengan tapak operasi KSSB di negeri ini.

“KSSB sentiasa berusaha bertanggungjawab dalam mengimbangi pertumbuhan perniagaan dan pembentukan nilai masyarakat di mana sahaja kami beroperasi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Abdul Wahab berkata, pelaksanaan program CSR itu untuk merangsang sosioekonomi yang berterusan dengan memberi penekanan terhadap aspek pendidikan, pembangunan masyarakat dan alam sekitar.

Terdahulu, KSSB melaksanakan program CSR penyerahan baju sekolah membabitkan kawasan Kampung Orang Asal Sungai Garing, Rawang (tujuh orang), Kampung Orang Asal Bukit Serdang, Banting (27 orang), Kampung Kachau Luar dan Dalam Hulu Semenyih (23 orang), Kampung Orang Asal Bukit Tadom (82 orang) dan Kampung Orang Asal Dengkil, Bukit Tampoi (27 orang).

Program CSR KSSB itu berlangsung selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Disember lalu.

Manakala, Abdul Wahab berkata, peruntukan program CSR itu adalah hasil negeri untuk rakyat dengan KSSB bersama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI Selangor) sentiasa menyediakan insentif bersesuaian demi menyantuni masyarakat Orang Asal khususnya.

“Ianya selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri supaya tidak meminggirkan masyarakat Orang Asal terutamanya di negeri ini,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

ABIM gerak kempen KSSB, sasar bantu 1,000 keluarga asnaf

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mensasarkan 1,000 keluarga asnaf, fakir, miskin dan mualaf untuk dibantu dalam Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), sepanjang Ramadan ini.

Program bagi tahun ke-12 itu dijalankan badan bukan kerajaan (NGO) itu di seluruh negara bagi membantu golongan sasaran yang ditetapkan.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, program KSSB digerakkan ABIM Pusat dan Negeri dengan setiap keluarga menerima bantuan kira-kira RM70 dalam bentuk barangan keperluan harian.

“ABIM menjalankan program ini dengan membantu golongan sasaran termasuk pelarian Rohingya dan Palestin bagi berkongsi kegembiraan, sepanjang Ramadan ini.

Jpeg

“Program dijalankan ini adalah keprihatinan ABIM kepada mereka semua dan kita menghulurkan bantuan walaupun tidak seberapa tetapi berterusan,” katanya kepada SelangorKini di PPT Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, semalam

Muhammad Faisal ditemui bersama kumpulannya ketika menghulurkan sumbangan kepada saudara baru, Muhammad Shafi Abdullah, 42.

Beliau menjelaskan, KSSB digerakkan dengan bantuan diberikan secara serahan dari rumah ke rumah selain menjalankannya bersama Jabatam Kebajikan Masyarakat dan komuniti tertentu juga kariah masjid.

“ABIM juga membuka pusat serahannya sendiri bagi memudahkan bantuan itu disalurkan dan sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shafi berkata, keluarganya menghargai keprihatinan ABIM yang menghulurkan bantuan itu, setiap tahun.

“Saya gembira kerana tidak pernah dilupakan ABIM dan ini membuktikan hubungan persaudaraan sesama Islam itu kukuh dan erat. Terima kasih ABIM atas bantuan dihulurkan ini, ” kata kelintan lori yang memeluk Islam pada 2008 diikuti isterinya, Nur Shafirah Rajasingam Abdullah, 39, selepas itu.

Pasangan suami isteri itu mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Shazrul, 14; Muhammad Ahazlan, 12 dan Nur Shameera Danisha (2).

Categories
SELANGOR

KSSB sumbang RM30,000 bantu mangsa kebakaran

OLEH: LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 21 MEI: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sekali lagi tampil pantas menghulur sumbangan RM30,000 kali ini kepada mangsa kebakaran rumah di Sungai Besar.

Ketua Jabatan, Kualiti, Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran, Muhamad Fadzil Yahya, berkata KSSB sentiasa bersedia bagi membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.

“Sejurus menerima laporan, kita terus menziarahi mangsa pada hari kejadian.

“Jumlah diberikan juga selaras dengan sumbangan pada mangsa kebakaran rumah di Ijok sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 18 Mei lalu, mangsa, Masduki Siam menerima cek sumbangan disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, Mohamed Azmin menyempurnakan Majlis Pelancaran Bas Smart Selangor dan Perasmian Stesen Bas Sungai Besar Sentral.

Kediaman Masduki di Parit 10 Barat, ranap dijilat api dalam satu kejadian yang dilaporkan berpunca daripada litar pintas pada 27 April lalu.

Pada tarikh sama, KSSB menziarahi dan menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada mangsa kebakaran rumah, Zuriyana Marjunit di Kampung Batu 4, Ijok.

EZY