Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Hampir 7,000 mangsa bah Kuala Langat terima bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 25 JAN: Seramai 6,904 keluarga di daerah Kuala Langat yang terjejas akibat banjir menerima Bantuan Bangkit Selangor (BSB) setakat semalam.

Pegawai Daerah Mohd Jusni Hashim berkata bagi fasa satu seramai 1,465 menerima bantuan sementara 5,439 pula bagi fasa dua.

“Setakat ini, 70 peratus keluarga dari tiga kampung terjejas teruk iaitu Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang dan Kampung RTB Bukit Changgang sudah sudah menerima bantuan BSB.

“Keseluruhannya borang BSB yang diterima sebanyak 10,967 permohonan dan kita menasihatkan mangsa banjir segera mengisinya sebelum tarikh tutup pada 31 Januari depan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Jusni memaklumkan mangsa banjir yang tidak hadir mengambil bantuan ketika sesi penyerahan boleh ke pejabat tanah dan daerah untuk mendapatkannya.

Pada 21 Disember tahun lalu, Kerajaan Negeri menyediakan dana RM100 juta bagi permulaan program BSB susulan banjir di beberapa daerah pada 18 Disember.

Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman.

Individu yang layak menerima bantuan melibatkan tiga kategori iaitu mangsa yang berpindah ke pusat pemindahan sementara berwarta, swasta serta mereka yang kekal di rumah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 500 mangsa banjir di Bukit Changgang diselamatkan

SHAH ALAM, 20 DIS: Lebih 500 mangsa banjir di Bukit Changgang yang terkandas berjaya diselamatkan menggunakan bot setakat 9.55 malam tadi.

Mereka kini ditempatkan di Masjid KLIA, maklum Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengenai situasi terkini operasi menyelamat mangsa banjir di Kuala Langat.

“Lebih 500 mangsa telah dikeluarkan dan ditempatkan di Masjid KLIA ada sebahagian yang tinggal akan dibawa keluar esok.

“Dengan bantuan 15 buah bot setakat ini, kita akan tambah lagi dengan aset yang ada pada polis dan tentera,” katanya menerusi Facebook.

Sementara itu menerusi Twitter, Amirudin berkata kerja menyelamat mangsa terperangkap akibat banjir akan diteruskan di Taman Sri Ehsan dekat Banting esok.

“Taman Sri Ehsan pula esok akan mobilisasi lori lima tan dan 10 tan untuk bawa keluar mangsa yang terperangkap.

“Fokus kita sekarang menumpu di kawasan terbabit. Esok awal pagi akan turut bersama team penyelamat,” katanya.

Majlis Perbandaran Kuala Langat telah membantu memindahkan seramai 100 orang pelajar Maahad Tahfiz Miftah Al Ulum Bukit Changgang ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Kampung Bandar Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Pelaburan kilang kertas di Kuala Langat sedia peluang kerja

SHAH ALAM, 8 NOV: Kuala Langat akan menempatkan tiga pemain pembuatan kertas terkemuka di dunia dengan pelaburan sehingga RM4 bilion yang bakal memanfaatkan penduduk setempat, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaburan dari dua syarikat China dan satu Jepun itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan meletakkan Selangor di peta dunia dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, proses pembangunan kilang itu akan dapat dilihat menjelang suku pertama tahun hadapan yang prosesnya sebelum ini berdepan kekangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya percaya sekarang prosesnya mudah dan kita dapat percepatkan proses pembangunannya,” katanya selepas majlis perhimpunan penjawat awam di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dilaporkan berkata kilang pembuatan kertas berkeluasan keluasan 32 dan 53 hektar itu dijangka dibina di Banting.

Jelasnya, syarikat terbabit akan mematuhi ketetapan Jabatan Alam Sekitar dan bahan buangannya diurus mengikut Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Categories
AGENSI SELANGOR

156 kawasan di Sepang, Kuala Langat terlibat kerja baiki paip pecah

SHAH ALAM, 18 OKT: Satu insiden paip pecah dikesan berlaku berhampiran di Kampung Chinchang Salak Tinggi, Sepang malam ini.

Sehubungan itu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menutup bekalan air pada 9 malam tadi bagi membolehkan kerja pembaikan paip berjalan lancar.

“Kerja baiki paip melibatkan 145 kawasan wilayah Sepang serta 11 kawasan di Kuala Langat,” katanya di Facebook malam ini.

Agensi meminta pengguna merujuk saluran komunikasi Air Selangor termasuk Facebook, Twitter, Instagram atau hubungi talian 15300 untuk mendapatkan maklumat semasa.

Sebarang pertanyaan boleh diaju di laman sesawang http://www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

Lima laluan di Kuala Langat ditutup sepanjang PKPD

KUALA LANGAT, 3 JULAI: Sebanyak lima laluan di daerah ini ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Laluan terbabit ialah Jalan Banting -Dengkil (Persimpangan Paya Indah Wetland,Kuala Langat); Jambatan Rimbayu (Susur masuk dari Rimbayu ke Sri Cheding); Jambatan Bukit Kemandol (Susur masuk ke jejantas Taman Bukit Kemandol).

Batu 9,Jalan Kebun (Susur Masuk Jalan Kebun ke Telok Panglima Garang) dan persimpangan Kampung Lombong (Jalan Kg Lombong susur ke Puchong).

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata penutupan laluan ini akan bermula jam 12 tengah hari esok dan dilaksanakan sepanjang pelaksanaan PKPD.

“Setakat ini, sebanyak lapan lokasi sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi persempadanan daerah dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata, penerima vaksin yang mempunyai janji temu dibenarkan untuk menggunakan laluan khas petugas barisan hadapan di SJR dengan hanya menunjukkan MySejahtera.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis memaklumkan PKPD dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula hari ini sehingga 16 Julai.

Mukim yang terlibat di daerah Kuala Langat ialah Tanjung Dua Belas (1),Tanjung Dua Belas(2), Telok Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra dan Batu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB salur sumbangan RM155,000 kepada 33 masjid di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM155,000 kepada 33 masjid di daerah ini.

Sumbangan disalurkan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap inisiatif itu menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

“Mungkin dana diberikan tidak cukup menampung keperluan setahun tetapi setidaknya dapat menampung keperluan sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Kuala Langat di Masjid At-Taqwa, Banting sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berbuka puasa bersama penjawat awam selepas penyerahan watikah pelantikan ketua kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Endah, Kuala Langat pada April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Jubli Emas Kampung Endah.

Pada 23 April, Amirudin berkata hampir RM2 juta diperuntuk kepada semua masjid di Selangor sepanjang Ramadan.

Tambah beliau semua masjid di negeri ini menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKPD Sains Banting: Pelajar pertama bergejala disahkan positif 15 April lalu

SHAH ALAM, 24 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting, Kuala Langat yang bermula hari ini adalah susulan seorang pelajar Tingkatan 1 dikesan bergejala pada 12 April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Langat Mohd Jusni Hashim berkata pelajar itu telah disahkan positif pada 15 April manakala kes positif ke-2 dan kes-3 pula adalah kontak rapat kepada kes pertama.

Grafik dari Twitter MKN

“Hasil daripada tiga kes yang dikesan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan siasatan serta penilaian awal dan telah menjalankan 206 ujian saringan awal ke atas kontak rapat. Daripada jumlah itu, 71 pelajar disahkan positif Covid-19.

“PKD Kuala Langat juga mengesahkan penularan kes masih berlaku di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi. Ia berikutan jangkitan Covid-19 ke atas Kluster Jalan Shah Banting,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PKPD itu melibatkan keseluruhan kawasan SM Sains Banting yang terdiri daripada 966 pelajar, guru dan kakitangan sekolah.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di sekolah itu bermula hari ini hingga 7 Mei depan selepas 71 pelajar disahkan positif Covid-19 daripada sejumlah 473 ujian saringan yang dilakukan.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB ajak penduduk Kuala Langat sertai saringan percuma Sabtu ini

SHAH ALAM, 18 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dijemput menyertai program Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma pada Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar  Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang diadakan di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang.

“Warga Kuala Langat yang menetap di kawasan berhampiran dijemput untuk menjalani ujian saringan Covid-19 percuma di Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, pada 20 Mac ini,” tulisnya di Twitter.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Selain di Kuala Langat, saringan serupa diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad dalam waktu yang sama.

Sebelum ini, program tersebut dilaksanakan serentak di Dewan Serbaguna MPSJ, Bandar Bukit Puchong dan Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac.

Manakala, pada 14 Mac ia diteruskan lagi di Dewan Seroja MBSA Seksyen 27, Shah Alam dan Dewan Serbaguna MPSJ, USJ 7.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma di Kuala Langat, Kuala Selangor hujung minggu ini

SHAH ALAM, 17 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor digalak menyertai program Saringan Bersasar percuma pada hujung minggu ini.

Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) berkata program diadakan di Dewan Orang Ramai, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 20 Mac bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Manakala pada keesokan harinya (21 Mac) pula diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada waktu yang sama.

“Penduduk kawasan sekitar digalakkan hadir terutama mereka yang tinggal di Taman Seri Indah, Taman Pelangi, Taman Pancaran, Pekan Bestari Jaya dan Taman Kilauan di Kuala Selangor,” katanya melalui poster di Facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN Kuala Langat kukuh gerak kerja, junjung mandat rakyat

SHAH ALAM, 14 MAC: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Kuala Langat akan terus memperkukuh gerak kerja bagi menjunjung mandat rakyat dan melaksana agenda reformasi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata parti itu juga akan terus subur dan mekar di parlimen tersebut di sebalik tindakan pemimpin keluar parti.

“Pelbagai program dibincang dan akan dilaksana bagi menyemarak semangat anggota dan meneruskan kecemerlangan khidmat kepada rakyat. KEADILAN terus subur dan mekar di Kuala Langat. Reformasi!” katanya.

Malam tadi, Amirudin mengadakan pertemuan bersama barisan pemimpin KEADILAN cabang tersebut bagi memastikan keutuhan parti dan penyusunan program.

Tindakan itu susulan Ahli Parlimen Kuala Langat Dr Xavier Jayakumar meninggalkan parti itu semalam dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, KEADILAN mendakwa kerajaan PN cuba mengugut wakil rakyat pembangkang untuk mengalihkan sokongan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

JAS giat kesan suspek kebakaran hutan simpan Kuala Langat

SHAH ALAM, 9 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan kerjasama polis giat mengesan pihak disyaki mempunyai kaitan kes kebakaran Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

Pengarahnya berkata semua suspek melibatkan pemilik dan penyewa tanah, pekerja syarikat serta warga asing yang diupah melakukan pembakaran.

“Siasatan JAS mendapati syarikat ini menyewa tanah seluas 15.78 hektar untuk pertanian, kita yakin suspek ditangkap dalam tempoh terdekat.

“Selain itu tiga sampel bahan bukti di lokasi kebakaran dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan selanjutnya,” kata Nor Aziah Jaafar kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 29A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata operasi memadam kebakaran tamat sepenuhnya hari ini.

Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan yang dikesan pada 28 Februari merebak sehingga lebih 40 hektar berikutan cuaca panas, kering dan berangin.

Pada Sabtu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata seorang lelaki warga Indonesia direman empat hari kerana melakukan pembakaran terbuka dii Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Selatan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kakitangan pejabat Air Selangor Kuala Langat positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak susulan terdapat satu kes positif Covid-19 yang dikesan melibatkan warga kerja di bahagian kaunter pejabat berkenaan.

Menurut Air Selangor dalam kenyataan semalam, warga kerja berkenaan menjalani kuarantin sejak 22 Okt lepas dan disahkan positif pada 4.30 petang semalam.

“Justeru, Pejabat Wilayah Kuala Langat akan ditutup sementara sehingga dimaklumkan kelak. Air Selangor sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan semua tindakan bagi mencegah penyebaran pandemik Covid-19 dilaksanakan dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko jangkitan, Air Selangor melakukan tindakan antaranya termasuk usaha pengesanan kontak rapat untuk mengesan mana-mana warga kerja dan pelawat luar yang berurusan secara terus dengan warga kerja berkenaan dari 19 Okt hingga 22 Okt lepas.

“Individu tersebut akan dihubungi dengan segera dan perlu menjalani kuarantin selama 14 hari serta mendapatkan bantuan perubatan (ujian saringan Covid-19).

“Pejabat Wilayah Kuala Langat juga disanitasi sepenuhnya pada 5.30 petang semalam,” menurut kenyataan itu.

Keselamatan kakitangan dan para pelanggan adalah keutamaan kami di Air Selangor dan sebarang informasi terkini akan dimaklumkan melalui saluran komunikasi rasmi Air Selangor, katanya.

-BERNAMA