Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih RM3 juta bantuan Ramadan, raya untuk 6,798 asnaf Kuala Selangor

SHAH ALAM, 14 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM3.03 juta bagi bantuan Ramadan dan Syawal kepada 6,798 asnaf di Kuala Selangor.

Agensi berkata penerima merupakan keluarga asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar.

“Mereka diberi bantuan wang tunai antara RM300 hingga RM1,000 mengikut jumlah tanggungan.

“Bantuan diberi secara berperingkat bagi memastikan tatacara operasi piawai Covid-19 dipatuhi. Semalam, seramai 100 penerima mendapat bantuan,” katanya menerusi Facebook.

Agensi berkata bantuan berkenaan meringankan beban ditanggung golongan itu terutama ketika meraikan sambutan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.

Tahun ini LZS mengagih bantuan berjumlah RM28 juta kepada 61,315 asnaf seluruh negeri.

Sebanyak RM18.07 juta disalur kepada 39,445 asnaf miskin, RM8.66 juta untuk 17,787 asnaf fakir manakala baki kepada 4,083 asnaf mualaf.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Saringan percuma di Kuala Langat, Kuala Selangor hujung minggu ini

SHAH ALAM, 17 MAC: Penduduk sekitar Kuala Langat dan Kuala Selangor digalak menyertai program Saringan Bersasar percuma pada hujung minggu ini.

Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) berkata program diadakan di Dewan Orang Ramai, Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 20 Mac bermula jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Manakala pada keesokan harinya (21 Mac) pula diadakan di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada waktu yang sama.

“Penduduk kawasan sekitar digalakkan hadir terutama mereka yang tinggal di Taman Seri Indah, Taman Pelangi, Taman Pancaran, Pekan Bestari Jaya dan Taman Kilauan di Kuala Selangor,” katanya melalui poster di Facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah dan guna fungsi saringan atau layari http://screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mangsa ribut Kuala Selangor dapat bantuan kewangan

SHAH ALAM, 11 MAC: Wakil rakyat Kuala Selangor semalam menyerahkan bantuan kewangan segera kepada mangsa ribut sekitar Taman Kamasan, Kampung Kuantan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan memaklumkan keluarga yang terkesan turut dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bantuan susulan.

Menurutnya, insiden pada jam 2.15 petang semalam menjejaskan tujuh kediaman namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Penduduk mengalami kerugian berikutan kerosakan pada bahagian bumbung menyebabkan air masuk ke dalam rumah dan memusnahkan perabot serta alatan elektrik,” katanya.

Pada 6 Mac, insiden sama berlaku di sekitar Bandar Baru Salak Tinggi yang menjejaskan kira-kira 100 kediaman dan beberapa buah sekolah.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga mangsa ribut bagi meringankan beban mangsa.

Categories
SELANGOR

Tanah mendap dekat tapak lombong Kuala Selangor, tiada kemalangan jiwa

SHAH ALAM, 16 JAN: Insiden tanah mendap dilaporkan berlaku berdekatan kawasan perlombongan mukim Hulu Tinggi, Kuala Selangor pada jam 6.45 petang tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Korporat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) berkata tanah berkenaan menggelongsor masuk ke tapak operasi lombong.

“Sehingga kenyataan ini dikeluarkan, tiada kehilangan nyawa dilaporkan. Namun tapak operasi telahpun ditutup dan semua aktiviti operasi dan penjualan dihentikan.

“Pasukan tindakan kecemasan kami sedang bekerjasama dengan bomba dan polis untuk memantau keadaan tapak operasi,” kata Suhaimi Khalidi dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti kerosakan dan kerugian lain di kawasan tapak dan lokasi berhampiran.

Menurutnya, pasukan khas juga ditubuhkan dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi menyiasat punca kejadian.

“Keselamatan tetap menjadi keutamaan KSSB dan kami ingin meyakinkan pihak awam bahawa keadaan terkawal dan tidak terdapat risiko kesihatan dan alam sekitar setakat ini,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Empat pusat pemindahan tempatkan 183 mangsa banjir Selangor

SHAH ALAM, 5 JAN: Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan seramai 183 mangsa banjir di dua daerah negeri ini.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata PPS Hulu Selangor meliputi Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah yang menempatkan 108 mangsa.

Turut dibuka dalam daerah sama ialah Balai Raya Kampung Alah Batu yang diduduki 13 mangsa dan tujuh lagi mangsa di Kampung A.

“Bagi daerah Kuala Selangor, satu PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang yang menempatkan 55 mangsa,” kata Hafisham Mohd Noor kepada SelangorKini hari ini.

Kelmarin, beberapa kampung dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak Sabtu yang menyebabkan limpahan air Sungai Inki dan Sungai Bernam.

Kejadian tersebut menjejaskan Kampung Sekolah, Kampung Sungai Nilam, Kampung Serigala, Kampung Masjid, Kampung Paya Lebar, Kampung Alah Batu dan Kampung Belakang Sekolah di Hulu Selangor serta Kampung Rantau Panjang di Kuala Selangor.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MB, keluarga pilih Kuala Selangor sebagai destinasi bercuti

SHAH ALAM, 30 DIS: Dato’ Menteri Besar menyahut seruan kempen Nak Bercuti? Pusing Selangor Dulu! apabila memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian bersama keluarga.

Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata pemimpin nombor satu negeri itu berkesempatan meneroka lokasi paling popular di daerah berkenaan iaitu Sky Mirror.

Selain itu, turut dilawati ialah Bukit Malawati, Makam Diraja, Santuari Kelip-kelip, memandu go kart di Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor serta memancing udang galah di Kampung Kuantan.

“Selain dari mengunjungi kawasan tarikan pelancongan, Dato’ Seri Amirudin Shari sekeluarga juga tidak melepaskan peluang menikmati keunikan makanan tempatan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bersama keluarga ketika memancing udang galah di Kampung Kuantan. Foto Facebook MDKS

“Ia termasuk Cendol Borhan, ketupat Permatang, nasi ambeng di Warung Ibu serta masakan hasil laut di Pasir Penambang dan Jeram,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Seri Amirudin Shari, Datin Seri Masdiana Muhamad dan anak-anak kerana memilih Kuala Selangor sebagai destinasi percutian sekeluarga,” katanya.

MDKS turut berbangga dan gembira apabila Dato’ Menteri Besar memilih Kuala Selangor sebagai destinasi pilihan. Foto: Facebook MDKS
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: 3,611 keluarga asnaf Kuala Selangor terima bantuan persekolahan

SHAH ALAM, 20 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sejumlah RM4.188 juta bagi membantu persediaan persekolahan 3,611 keluarga asnaf di Kuala Selangor.

Agensi berkata sumbangan berbentuk bayaran yuran serta pembelian peralatan sekolah diberikan kepada asnaf yang mempunyai tanggungan anak bersekolah tahun depan.

“Jumlah penerima membabitkan 2,662 keluarga miskin, 914 keluarga fakir serta 36 dari kategori mualaf.

“Semoga dengan bantuan ini, anak-anak asnaf mampu mengikuti sesi persekolahan dengan sempurna dan akan menjadi pembayar zakat suatu hari nanti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir Kuala Selangor, 10 mangsa dipindah di PPS

SHAH ALAM, 26 NOV: Seramai 10 mangsa daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di daerah Kuala Selangor sehingga jam 7.30 malam tadi.

Pegawai Daerah Kuala Selangor Mohd Faizal Abdul Raji berkata PPS yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharajalela.

“Daripada jumlah itu seramai tiga wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki, dua lelaki dewasa dan dua bayi lelaki,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, banjir kilat itu berlaku kira-kira jam 4.30 petang semalam di Kampung Bukit Hijau, Kuala Selangor.

“Mangsa bencana ini diberikan sumbangan daripada tabung bencana daerah termasuk bantuan daripada ahli dewan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan.

“Pihak kami sentiasa memantau keadaan banjir dan bersiap siaga membantu mereka yang terjejas untuk dipindahkan ke PPS,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pusat pemindahan banjir kekal empat, bilangan mangsa menurun

SHAH ALAM, 22 NOV: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuala Selangor dan Sepang masih dibuka untuk menempatkan seramai 133 mangsa banjir daripada 72 keluarga.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) memaklumkan pusat pemindahan meliputi Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Seri Coalfield 2 yang menempatkan 26 mangsa daripada sembilan keluarga.

Selain itu, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang (52 mangsa, 51 keluarga), SK Ijok (38 mangsa, sembilan keluarga) dan Sekolah Rendah Labu Lanjut, Sepang (17 mangsa, tiga keluarga).

Salah seorang daripada 52 warga emas dari Rumah Orang Tua-Tua Al Jashiera Ijok yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan ekoran banjir kilat yang melanda ketika tinjauan di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang Jeram Kuala Selangor pada 21 November 2020. Foto BERNAMA

“UPBN dan Smart Selangor Command Centre akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian yang berlaku serta menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa,” kata agensi itu.

Sementara itu, pegawai daerah Kuala Selangor memaklumkan paras air di semua kawasan terjejas belum surut sehingga kini, namun bilangan mangsa menurun.

“Keadaan setakat jam 11 tadi menunjukkan paras air masih statik dan hujan lebat pada sebelah pagi. Jumlah mangsa pula menurun kepada 133 berbanding 137 yang dicatatkan semalam,” kata Mohd Faizal Abdul Raji.

Beliau berkata semua kemudahan pusat pemindahan yang menempatkan mangsa banjir dinyahkuman oleh bomba bagi mengekang penularan Covid-19.

“Mangsa turut diberikan kit bencana selain kualiti air PPS disahkan bersih dan selamat digunakan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Empat pusat pemindahan dibuka di Kuala Selangor, Sepang

SHAH ALAM, 21 NOV: Empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 137 mangsa banjir sekitar Sepang dan Kuala Selangor, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPNB).

Pegawai Operasi, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Desa Coalfield yang dibuka sejak Rabu menempatkan 25 mangsa dari 10 keluarga selepas kediaman mereka dinaiki air separas 0.3 meter.

“UPNB terpaksa membuka PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang dan SK Ijok di Kuala Selangor mulai kelmarin dan semalam selepas 61 rumah dinaiki air. Ia membabitkan 95 mangsa.

“Semalam satu PPS di Sepang di Sekolah Rendah Agama Labu Lanjut turut dibuka. Mangsa seramai 17 orang dari tiga keluarga ditempatkan di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhammad Izzat berkata unit itu akan terus memantau serta mengambil tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi masalah banjir.

“Antara langkah akan diambil adalah melakukan kerja pembersihan parit, mengkaji semula sistem saliran, pemasangan pam bergerak, pembinaan rumah pam dan meninggikan ban sedia ada,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: Penduduk Kuala Selangor dinasihat jaga keselamatan

SHAH ALAM, 16 OKT: Penduduk Kuala Selangor perlu sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang besar kedua yang dijangka melanda daerah itu esok.

Pegawai Daerahnya Mohd Faizal Abdul Raji berkata orang awam dinasihat menjauhi kawasan pesisir pantai yang berisiko dinaiki air.

“Oleh kerana amaran (air pasang besar) sudah dikeluarkan Unit Pengurusan Bencana Negeri, kita berharap penduduk terus mengambil langkah berjaga-jaga dan menitiberatkan aspek keselamatan, nyawa serta harta benda.

“Sekiranya diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara, penduduk perlu mematuhi arahan tersebut bagi memastikan tiada perkara buruk terjadi,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal turut memberi jaminan bantuan makanan dan minuman akan disalurkan segera kepada penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan.

“Berdasarkan pengalaman lalu, insiden benteng pecah menjejaskan beberapa penempatan sahaja tetapi penduduk memilih untuk tinggal di rumah saudara terdekat sementara keadaan kembali pulih.

“Bagaimanapun, kita tetap bersedia untuk menyalurkan bantuan makanan kepada mereka,” katanya lagi.

Fenomena tersebut dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam pada 17 hingga 19 Oktober.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan air di Kuala Selangor pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 13 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata bekalan air di semua 28 kawasan di Kuala Selangor pulih sepenuhnya jam 10 malam ini.

Ketua komunikasi korporatnya berkata kerja penggantian injap di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Sireh yang mengakibatkan gangguan bekalan air berjadual selesai jam 3 petang tadi.

“Air Selangor ingin mengucapkan terima kasih kepada para pengguna di atas kesabaran dan kerjasama diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” kata Elina Baseri dalam kenyataan.

Terdahulu, agensi memaklumkan kerja penggantian injap LRA Sungai Sireh yang bermula jam 9 pagi hingga 6 petang menyebabkan gangguan bekalan air berjadual di 28 kawasan di daerah itu.

Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, pengguna boleh layari laman sesawang agensi di www.airselangor.com dan saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.