Categories
SELANGOR

Kualiti udara di Selangor bertambah baik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 MAC: Kualiti udara di negeri ini didapati bertambah baik berbanding tiga hari lalu melalui bacaan tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang semakin rendah.

Pada 20 Mac lalu, SelangorKini melaporkan bacaan IPU tertinggi dicatatkan di Shah Alam dan Klang iaitu mencecah 107, berada pada paras kualiti udara tidak sihat.

Namun melalui laman web rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Shah Alam dan Klang sehingga jam 3 petang tadi ialah pada 60, sebelum itu pada jam 6 pagi, bacaan adalah pada 59, ia sekali gus menunjukkan tahap kualiti udara semakin baik.

Keadaan sama turut berlaku di lokasi lain termasuk Banting, Johan Setia, Petaling Jaya dan juga Putrajaya.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman web apims.doe.gov.my.