Categories
NASIONAL

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.

Categories
SELANGOR

“Kalau Bawah Umno Dulu Kena Belanja, Sekarang Bawah Pakatan Dapat Senang Saja”.

KUANG 10 MAC : Setelah 30 tahun menanti, impian Yahaya Said untuk memiliki tanah yang sekian lama diduduki keluarganya secara sah akhirnya tercapai pagi ini.

Pesara tentera berumur 60 tahun itu antara 137 penduduk Kampung Melayu Sri Kundang menerima geran tanah daripada kerajaan Selangor yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Yahaya ternyata tidak dapat sembunyikan perasaan gembira dan terharu ketika ditemubual sejurus selepas menerima geran tersebut.

“Alhamdulillah, akhirnya sempat juga kami dapatkan hak ini secara sah sebelum kami menutup mata. Sekurang-kurangnya kami lega adalah harta yang kami dapat wariskan ke atas anak-anak cucu kami kelak,” ujar pesara tentera itu.

Menurut Yahaya lagi, pengalaman duduk di bawah pentadbiran Umno-BN dulu dan pentadbiran Pakatan Rakyat kini jauh berbeza.

“Dahulu di bawah Umno, kami perlu belanja minum dulu, berhibur dulu untuk mendapatkan ruang agar permohonan kami diproses. Yang tidak sebulu dengan mereka langsunglah tidak diendahkan.

“Tetapi sekarang ini jauh berbeza. Kerajaan Pakatan bekerja tanpa mengira sesiapapun. Malah orang Umno pun ada yang terima geran pada hari ini,” beritahu Yahaya sambil menambah program kebajikan pentadbiran Pakatan bukti keikhlasan sebenar sesebuah kerajaan membela rakyat.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam ucapannya berkata kerajaan akan berusaha menolong penerima yang tak mampu membayar premium tanah.

“Bagi mereka yang tidak mampu menjelaskan jumlah premium, kita akan tolong jelaskan. Tetapi rakyat perlulah lakukan tugas-tugas kebajikan,” jelas Abdul Khalid yang turut memberitahu hasrat Kerajaan Negeri adalah untuk melihat setiap rakyat negeri ini memiliki tanah sendiri.

Majlis Penyerahan Hak Milik pagi tadi diadakan di Balai JKKK Kampung Sri Kundang. Sebahagian lagi menerima Borang Notis 5A untuk mendapatkan status hak milik.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Permodenan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen Selayang yang juga Penyelaras Dun Kuang, William Leong Jee Keen, dan juga Pegawai Daerah Gombak, Ahmad Zaharin Mohd Saad.