Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Water barrier’ tanpa air, ‘buggy car’ bukan go-kart

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Insiden kemalangan maut melibatkan penonton ketika Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) 2016 di Kuantan, semalam, terus menarik perhatian.

Selaku penganjur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pantas mengeluarkan kenyataan media di Facebook rasminya berhubung insiden yang meragut dua beranak itu.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid Omar berkata, langkah keselamatan sudah diambil bagi mengelak kejadian melibatkan penonton seperti meletakkan penghadang air (water barrier), pita keselamatan dan menempatkan anggota keselamatan.

Katanya, segala langkah itu diambil selaras dengan saranan Motorsports Association of Malaysia (MAM) iaitu badan yang menguruskan sukan permotoran di Malaysia.

utmKenyataan itu bagaimanapun menerima reaksi negatif netizen yang menyifatkan ia sebagai kenyataan tidak bertanggungjawab dan sekadar melepaskan diri.

“Nama je water barrier tetapi tidak diisikan air, jadi ‘plastic barrier’ sajalah.

“Tahap keselamatan sangat teruk, cuba tengok tahap keselamatan ‘cub prix’ dengan pagar, beg pasir, tayar dan lain-lain. Mengarut!,” keluh Haire Efendy di ruangan komen di bawah kenyataan UTM itu.

Teguran sama mengenai ‘water barrier’ turut diberikan seorang lagi netizen dengan nama Facebook, Seni Ukiran Kayu Terengganu.

“Cara menggunakan ‘water barrier’ ini salah kerana air tidak diisi ke dalam itu selain ia tidak disambung satu sama lain,” katanya.

Persoalannya, betulkah apa yang ditegur netizen?

Selangor Kini cuba menghubungi beberapa badan dan syarikat yang mengendalikan ‘go-kart’ di sekitar Lembah Klang.

“Itu adalah kenderaan jenis ‘buggy car’ yang dihasilkan pelajar untuk projek universiti bukan ‘go-kart’.

“Harap salah faham orang awam mengenai jenis kenderaan ini dapat diperbetul.

“Apapun, takziah kepada keluarga mangsa dan berharap penganjur dapat mengambil iktibar serta memastikan aspek keselamatan lebih terjamin di masa hadapan,” ulas wakil sebuah badan ‘go-kart’ terkenal yang enggan dinyatakan.

Semalam, menerusi Berita Awani, Pengurus Litar Speedway Plus Go-Kart Circuit, Norshamsul Mat Noor turut berkongsi pandangannya berhubung insiden menyedihkan itu.

Norshamsul turut memperbetulkan persepsi orang ramai bahawa ia bukan perlumbaan melibatkan ‘go-kart’.

Sebaliknya, beliau menegaskan ia adalah ‘project car’ (PC) yang merupakan hasil reka cipta pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

“Daripada rakaman, jelas kelihatan PC belakang cuba memotong, namun tayar hadapannya melanggar tayar belakang PC dihadapannya.

go-kart“Keadaan itu mengakibatkan ia hilang kawalan, terbabas lalu merempuh water barrier yang tidak diisi air dan akhirnya merempuh penonton,” katanya mengulas kejadian menerusi rakaman lapan saat yang menjadi viral itu.

Penjelasan itu membawa kembali isu ‘water barrier’.

Kebiasaannya, kata Norshamsul, untuk sebarang perlumbaan, water barrier akan diisi dengan air bagi menjadikan isi padunya padat dan berat.

“Jadi, kalau dilanggar, water barrier akan memberikan impak bagi mengurangkan kelajuan dan kekuatan kenderaan yang merempuh itu.

“Namun, ia tiada air, ibarat kosong dan boleh melambung,” katanya.

Tambahnya, sukan permotoran adalah berbahaya dan memang sentiasa terdedah kepada kemungkinan berlaku insiden tidak diingini terutama kepada penonton.

“Secara umumnya, rempuhan boleh berlaku tetapi kekuatan kereta untuk melepasi ‘water barrier’ agak terbatas jika ia berisi air.

“Water barrier boleh memastikan kereta tidak terlajak kuat sehingga menyeberangi kawasan penonton,” katanya.

Dalam insiden kira-kira 11.30 pagi semalam, Izwan Isa, 39, serta anak perempuannya Nur Zulaikha, 4, maut dirempuh kenderaan ‘project car’ yang hilang kawalan lalu terbabas.

Seorang lagi anaknya, Muhammad Izz Danial, 7, yang turut cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan dilaporkan stabil.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Banjir makin buruk, 100 pelancong terperangkap di Taman Negara Pahang

SHAH ALAM, 24 DIS: Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort selepas Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

banjirMemetik Bernama, seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata semua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata, pelancong terbabit seharusnya pulang semalam, namun disebabkan hujan lebat dan air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus serta bekalan makanan habis.

“Namun, kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Kataya, mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong terlibat dilakukan.

Kuantan Banjir-1Sementara itu, di Kuantan, lebih 5,000 penduduk di Sungai Lembing terperangkap selepas tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan itu dengan bandar Kuantan ditenggelami air sehingga 1.5 meter pada jarak 200 hingga 400 meter sejak tengah hari kelmarin.

Ketua Balai Polis Sungai Lembing, Sarjan Mejar Arshad Yacob berkata, tiga jalan terlibat adalah Jalan Sungai Lembing-Kuantan (Simpang Tiga Panching), KM31 Jalan Sungai Lembing-Kuantan dan Jalan Kampung Nadak.

“Jalan terbabit ditutup kepada semua jenis kenderaan menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di Kuantan.

“Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Balai Polis Sungai Lembing setakat ini adalah 10 orang daripada dua keluarga,” katanya.

Penghulu Kampung Ulu Kuantan Roslan Amat berkata, Pekan Sungai Lembing mulai dinaiki air tengah hari kelmarin sebelum surut jam 3 petang, namun kembali dinaiki air jam 4 petang sehingga mencecah paras dada, pada tengah malam kelmarin.

“Walaupun terputus hubungan, namun bekalan barangan makanan setakat ini masih mencukupi untuk dua hari bagi penduduk yang terperangkap di Sungai Lembing.

“Pada masa sama, kita sudah  menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat meminta bekalan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet pelancongan Time Capsule, Young Yeong Leong, 56, berkata dua pelanggannya turut terperangkap di Pekan Sungai Lembing dan beliau sendiri tidak dapat menghantar bekalan makanan, sejak kelmarin.

“Saya difahamkan 30 pengunjung dan pelancong di sebuah chalet lain juga terperangkap,” katanya.

Categories
NASIONAL

Bantuan banjir, rakyat Kuantan terus ‘dianaktirikan’

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM 17 JAN: Kerajaan pusat terus ‘menganaktirikan’ mangsa banjir di Kuantan dalam pengagihan bantuan RM500 dan barangan keperluan lain seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, berkata walaupun Pahang berdepan gelombang banjir kali kedua tahun ini, namun bantuan yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat masih gagal dilaksanakan.

Fuziah SallehLebih mengelirukan, katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) memaklumkan belum menerima senarai nama mangsa banjir di Kuantan, tetapiJabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan pihaknya sudah menerima senarai nama, pada 26 Disember lalu.

“Apakah nasib warga Kuantan di negeri Perdana Menteri ini seperti dianak tirikan.

“Dua kenyataan ini berbeza dan bercanggah, bahkan rakyat yang jadi mangsa. Salah satu mesti tidak berkata benar dan jawablah nanti di hadapan Allah,” katanya melalui dalam laman Facebook.

Beliau berkata, kemungkinan bantuan sengaja tidak disalurkan secara adil dan telus kepada rakyat hanya disebabkan Kuantan ditadbir Pakatan Rakyat (PR).

Katanya, lebih 19,205 mangsa banjir di Terengganu sudah menerima bantuan RM2000 daripada kerajaan pusat dan negeri termasuk keperluan lain seperti barangan elektrik bernilai RM5000.

banjir_srimendan_3“Semua mangsa banjir di Terengganu dapat bantuan wang ringgit, televisyen LED 32”, peti sejuk dua pintu, dapur, tilam dan bantal bernilai RM5000.

“Mangsa banjir di Sungai Isap, Kuantan hanya dapat sumbangan tilam 1Malaysia daripada badan bukan kerajaan (NGO), bukan agensi kerajaan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Fuziah bakal jalin kerjasama dengan UAE, pastikan bantuan banjir adil dan telus

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 26 DIS: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh akan berhubung secara terus dengan Kerajaan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi memastikan mangsa banjir di Kuantan tidak dipinggirkan dalam pengagihan bantuan yang disalurkan kerajaan negara itu.

Katanya, tindakan terbabit diambil ekoran wujudnya kemungkinan bantuan berkenaan dengan sengaja tidak disalurkan secara adil dan telus hanya disebabkan Kuantan dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

“Saya akan menjalinkan kerjasama dengan UAE untuk memberikan penerangan sebenar yang berlaku iaitu Kuantan adalah kawasan paling teruk terjejas dilanda banjir kerana mereka mungkin tidak mempunyai maklumat sebenar.

Fuziah Salleh“Tindakan ini diambil kerana kenyataan asal bantuan itu disalurkan untuk mangsa banjir di Pekan, Pahang dan Kelantan, manakala Kuantan tidak disebut,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Selain itu, Fuziah juga khuatir terhadap mekanisma pengagihan bantuan yang tidak telus sehingga menyebabkan golongan menangguk di air keruh mengambil keuntungan peribadi dalam menguruskan bantuan terbabit.

“Bantuan ini akan digunakan untuk membina rumah dengan membeli bahan binaan daripada pasaran tempatan yang mungkin akan membabitkan berapa ramai orang tengah yang cuba mengaut keuntungan.

“Bila rumah sudah siap nanti, kita tidak mahu kos sebuah rumah yang sepatutnya RM30 ribu hingga RM40 ribu tetapi mencecah hingga RM70 ribu dan ini yang saya bimbangkan,” katanya.

Fuziah berkata, perbuatan golongan tidak bertanggungjawab itu juga akan menyebabkan mangsa banjir sebenar tercicir daripada mendapat bantuan yang seharusnya mditerima.

Sebelum ini, Presiden UAE, Sheikh Khalifa Zayed Al Nahyan mengarahkan supaya kerajaan negara itu memperuntukkan AS$10 juta (RM32.5 juta) bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia, baru-baru ini.

Bantuan terbabit berbentuk keperluan asas seperti kediaman yang diperoleh daripada pasaran tempatan dan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kronologi misi bantuan kemanusiaan Save4Kuantan

Oleh Mohd Sani Md Shah

Semalam, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengambil inisiatif di atas bencana alam yang berlaku di Kuantan, dengan melancarkan misi bantuan kemanusiaan.

Sebuah lori tiga tan telah dihantar ke Kuantan dengan muatan penuh barangan bantuan berupa makanan dalam tin, air mineral, lampin pakai buang, pakaian terpakai, selimut dan pelbagai keperluan lain.

Berikut adalah kronologi Misi Bantuan Kemanusiaan Save4Kuantan:

6 petang – 8 malam : Barang barang sumbangan mulai sampai di lokasi pengumpulan di Cheras Baru diuruskan oleh Penyelaras Save4Kuantan, Puan Ilyana Rosli. Orang ramai yang mengetahui misi bantuan ini datang menghantar bantuan dalam pelbagai bentuk. Penderma tergolong daripada orang awam, sektor korperat dan juga artis seni tanahair.

sammIMG-20131206-WA020-400x3008.30 malam : Hasil sumbangan orang ramai yang dikumpulkan di Cheras Baru dan dimuat naik ke dalam lori 3 tan. Beberapa pihak lagi minta supaya perjalanan misi bantuan dilewatkan kerana ingin menambah keperluan, namun Pihak Save4Kuantan terpaksa meneruskan perjalanan.

9.30 malam : Lori 3 tan sampai di satu lagi tempat pengumpulan bantuan iaitu sebelum masuk ke tol Gombak (karak). Barangan dimuat-naik dan perjalanan diteruskan.

11.30 malam : Misi bantuan melepasi Bentong, sebuah lagi pasukan yang terdiri daripada SAMM Pahang yang diketuai oleh Amirul Syazwan sudah sedia menunggu di lokasi selamat Kuantan.

2 pagi : Pasukan Misi Bantuan Save4Kuantan tiba di sebuah lokasi selamat di Sg Isap. Pasukan polis dan bomba sudah bersedia. Difahamkan, polis mendapat tahu mengenai misi bantuan yang dikelola oleh SAMM ini lantas menghantar pasukan dan turut membawa pihak bomba.

2.30 pagi : Barangan bantuan perlu dialihkan dari lori 3 tan ke lori bomba kerana lori 3 tan tidak akan mampu mengharungi paras air banjir yang menghalang bantuan masuk ke pusat pemindahan mangsa banjir.

4.00 pagi : Barangan bantuan tiba di kawasan sasaran, Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di SK Taman Murni Sg Isap, antara kawasan yang paling teruk ditimpa bencana banjir. Paras air di kawasan tersebut menghampiri 4 kaki.

5.00 pagi : Misi selesai apabila barangan diagih mengikut keperluan. Pasukan Save4Kuantan memulakan perjalanan pulang dan pasukan SAMM Pahang bersurai.

samm2IMG-20131206-WA011Misi penghantaran ini juga merupakan trip kedua dan insya-Allah akan menyusul trip ketiga di atas inisiatif dan sumbangan orang ramai.

Kepada mereka yang ingin membuat sumbangan, sila hubungi 012-6937908 dan untuk sumbangan berbentuk kewangan, sila salurkan ke akaun (Maybank) Solidariti Anak Muda 5550 4111 3224 (sila sms makluman kepada nombor di atas).

Selepas ini, misi bantuan juga akan menghala ke kawasan lain. SAMM Kemaman dan SAMM Johor juga sudah bersedia menanti bantuan yang bakal tiba.

SAMM mengucapkan berbesar penghargaan kepada semua penyumbang. SAMM juga sedang merangka misi pasca-banjir bagi menyampaikan bantuan membersihkan rumah-rumah yang ditenggelami air. Kepada mereka yang ingin menyumbangkan ‘pressure-pump’ Water Jet adalah amat dialu-alukan.

* Mohd Sani Md Shah ialah Penyelaras Misi Bantuan Save4Kuantan SAMM

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN lambat bantu mangsa banjir – Fuziah

KUALA LUMPUR 4 DIS: Kerajaan pusat lambat membantu mangsa banjir di Kuantan dan negeri lain di pantai timur, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

“Kalau perlu notis selama 2 hari, banjir pun sudah surut,” katanya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

fuzi536845_269590796542588_1815383859_nTerdahulu, beliau mengemukakan usul supaya darurat diisytihar di kawasan banjir tetapi kesal apabila usul ditolak atas alasan ia perlu dibuat dengan mengemukakan notis bertulis dua hari.

“Soal kecemasan yang berlaku takkanlah memerlukan notis dua hari,” katanya dipetik Keadilan Daily, hari ini.

f7Kata Fuziah, keadaan sekitar Kuantan dan beberapa kawasan lain seperti Paya Besar dan Indera Mahkota dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan segera.

Selain terputus bekalan elektrik, katanya, keadaan tambah parah apabila ada penduduk yang kelaparan kerana sudah kekurangan bekalan makanàn.

– FZL

Categories
NASIONAL

Skuad khas AMK ke Kuantan bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR 6 DIS: Skuad khas Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dilancarkan hari ini bagi misi bantuan kepada mangsa banjir di Kuantan, Pahang.

“Seramai 50 anggota skuad khas AMK akan bergerak ke Kuantan hari ini bagi misi kemanusiaan,” kata Setiausaha AMK, Julailey Jemadi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN.

Julailey berkata, sebuah lori 10 tan digunakan untuk menghantar bantuan termasuk makanan dan barangan keperluan asas.

“Bagi AMK Pulau Pinang dan Johor mereka ada menyumbangkan empat buah bot untuk membantu mangsa banjir di sana,” katanya.

AMK_Banjir2Memetik Keadilan Daily, beliau berkata, misi pertama dijalankan selama dua hari dan AMK merancang untuk bantuan seterusnya dalam bentuk alatan pembersihan rumah.

“Kita akan atur bantuan lain seperti pembersihan rumah dan sebagainya.

“Berkenaan negeri-negeri lain yang turut dilanda banjir, kami dalam perancangan menghantar bantuan ke sana,” kata Julailey.

Sumbangan bantuan bencana banjir AMK Malaysia boleh disalur melalui nombor akaun Maybank: 1621-7967-8902 atas nama Zara Zahari (Timbalan Bendahari AMK Malaysia) atau hubungi: 017-3910167 (Zara) untuk sebarang pertanyaan.

– FZL

Categories
NASIONAL

Misi bantuan kedua SAMM bertolak ke negeri pantai timur

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 5 DIS : Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan misi bagi mengurangkan beban mangsa banjir di beberapa negeri di pantai timur selepas menghantar misi bantuan lewat malam tadi.

Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, pihaknya turut menggalakkan orang ramai untuk memberikan sumbangan bantuan kepada mangsa banjir terutama di bandar Kuantan.

“SAMM menyeru orang ramai supaya sudi memberi sedikit sumbangan yang termampu kerana saudara kita di Kuantan amat memerlukan bantuan anda.

Kuantan Banjir-1“Antara bentuk bantuan yang boleh disumbangkan adalah makanan dalam tin, minuman, pakaian terpakai, selimut, lampin pakai buang dan keperluan asas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, misi kedua akan bergerak dengan sebuah trak tiga tan dari Cheras ke Kuantan bermula jam 6.30 petang ini.

Orang ramai boleh menghantar bantuan di alamat Lot 7, Jalan 16, Kampung Cheras Baru atau menghubungi penyelaras misi bantuan Ilyana Rosli di talian 019-2314161 atau Sani Md Shah (012-9781707).

SAMM turut mengalu-alukan sumbangan kewangan yang boleh disalurkan ke akaun Maybank Solidariti Anak Muda dengan nombor akaun 5550 4111 3224 (sila maklum melalui sms 012-6937908) atau melalui akaun Maybank Azri Fauzir Mazlan 162021033077 (sila maklum melalui sms 019-2314161).

Pada masa sama, Edy melihat penolakan usul tergempar Ahli Parlimen (MP) Kuantan, Fuziah Salleh untuk mengisytiharkan Kuantan darurat sebagai satu sifat kebinatangan.

edy noor redzuan SAMM 01“Apa yang boleh dibuat apabila rakyat Kuantan memilih Pakatan Rakyat (PR) ibarat diberi hukuman dan adakah kerana ia diusulkan Ahli Parlimen pembangkang, maka usul itu tidak layak diberi laluan.

“Usul itu juga mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen kerajaan, namun kerana ego dan angkuh menyebabkan sifat kemanusiaan dipinggirkan sehingga ada Ahli Parlimen yang menyindir hasrat murni itu,” katanya.

Semalam, Fuziah membawa usul memohon Kuantan diisytiharkan darurat ekoran banjir teruk melanda bandar itu yang disifatkan antara terburuk dalam sejarah.

Usul itu diperkotak-katikkan antaranya Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar yang kemudiannya berdiri mencelah dan menggesa Fuziah dibenarkan pulang ke Kuantan untuk menjenguk kawasannya yang banjir.

Tindakan itu mendorong Zuraida Kamarudin (PKR-Ampang), Khalid Samad (PAS-Shah Alam) dan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) berdiri membidas Bung Mokhtar.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh

Ahli Parlimen Kuantan kesal isu banjir dipandang remeh

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 4 DIS : Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh kesal usul tergemparnya berhubung pengisytiharan darurat di beberapa kawasan yang terbabit dalam banjir di Pahang ditolak sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau yang ditemui pada sidang media di lobi Parlimen berkata usul itu ditolak Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana memerlukan notis selama dua hari secara bertulis.

fuziahsallehFuziah berkata, perkara yang disifatkan sebagai kecemasan harus dipertimbangkan Speaker terutama apabila membabitkan nyawa rakyat.

“Saya tidak dapat menyiapkan teks atau notis kerana mendapat banyak aduan sejak awal pagi daripada penduduk terutama di Kuantan, Indera Mahkota dan Paya Besar yang kini berhadapan banjir teruk, yang mana kebanyakan kawasan ini terputus bekalan elektrik dan air.

“Mereka juga tidak dibekalkan makanan dam pihak berkuasa seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tidak dapat dihubungi untuk memohon bantuan,” katanya.

Fuziah turut melahirkan kekesalannya terhadap Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mempersendakannya dan tidak prihatin terhadap kesengsaraan rakyat yang berdepan bencana banjir.

Katanya, kerajaan pusat juga lambat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan hanya mula mengarahkan pihak berkuasa untuk memulakan kerja menyelamat apabila usul itu dibentangkan.

“Saya kesal dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang kata saya tidak prihatin dengan rakyat kerana meninggalkan kawasan dalam keadaan sekarang. Saya ingin tekankan bahawa kedatangan saya ke sini adalah untuk menggesa kerajaan pusat supaya segera menghulurkan bantuan.

“Malam tadi berlaku banjir, tapi hari ini baru ingin mengarahkan pihak berwajib turun memberi bantuan,” katanya.

Keadaan banjir di Pahang kini semakin buruk dan ramai mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Gagal kemuka pelan atasi sisa radioaktif, rakyat serah memorandum

projek-Lynas(radioaktif)KUALA LUMPUR 26 SEPT: Lebih 30 individu daripada kumpulan anti-Lynas hari ini mengadakan demonstrasi secara aman di pintu masuk Parlimen sebagai bantahan terhadap isu loji memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Kumpulan itu berarak sekitar jam 10.30 pagi tadi sambil memegang sepanduk dan melaungkan “Hentikan Lynas” di perkarangan Parlimen.

Turut bersama ialah Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Kumpulan itu kemudian bertindak menghantar 10 wakil mereka ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi.

Wakilnya, Tan Bun Teet berkata, tindakan itu dibuat susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci bagi tapak pembuangan sisa radioaktif yang berbahaya kepada penduduk.

“Ini susulan kegagalan Lynas menyediakan pelan terperinci untuk mengenal pasti tapak pembuangan sisa radioaktif sebelum tempoh 3 Julai 2013 seperti yang dipersetujui.

“Kami menggesa supaya menteri bertanggungjawab mengarahkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) untuk segera batalkan serta hentikan serta-merta projek mega Lynas,” katanya.

Loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan itu sebelum ini menerima kecaman hebat berikutan isu bahan radioaktif yang berbahaya kepada penduduk sekitar.

Bagaimanapun, Lynas pada 11 Disember lalu mendakwa Loji Bahan Lanjutan Lynas (LAMP) itu mematuhi undang-undang dan peraturan.

Categories
NASIONAL

PKR Dakwa Peraturan SPR Membolehkan Individu Mengundi Dua Kali

fuziah salleh

PETALING JAYA, 29 MEI: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Saleh mendedahkan ‘Garis Panduan Tatacara Proses Pengundian Bagi Mengatasi Masalah Kesesakan di Saluran Tempat Mengundi’ yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai bukti yang membolehkan pengundian lebih daripada sekali berlaku semasa pilihan raya.

Garis panduan ini didedahkan kerana sebelum ini terdapat beberapa pihak yang tampil menyatakan berlakunya pengundian lebih daripada sekali namun dinafikan oleh SPR.

Menurut Fuziah, garis panduan ini membolehkan Ketua Tempat Mengundi (KTM) membuka saluran pengundian lain sekiranya berlaku kesesakan lebih 20 orang yang menunggu giliran mengundi serta membuka sampul khas yang mempunyai buku daftar pemilih baru.

Dakwanya lagi, ini merupakan perancangan terancang untuk membolehkan penipuan pilihan raya dilakukan selain mengakibatkan kekeliruan ejen parti yang menyemak nama pengundi dalam menentukan sama ada seseorang itu  membuang undi atau tidak.

“Bila SPR buka buku daftar baru maka ia tidak bertanda. Jika seseorang itu hadir, maka ia boleh ditanda.

“Inilah yang berlaku dan saya ejen pengundian timbul kekeliruan bila nama disebut dua kali. Inilah punca perancangan SPR yang membolehkan pengundian lebih.

“Saya ingin jelaskan, perkara ini tidak pernah dijelaskan. Garis panduan ini diselitkan tak pernah ditaklimatkan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Jelas Fuziah lagi, garis panduan ini hanya diberikan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri kurang seminggu daripada hari pembuangan undi.

Sebelum ini terdapat kejadian seorang pengundi, Mohd Fadhli Khaharruddin, membuat laporan polis mengenai daftar undi yang membolehkan beliau mengundi sebanyak dua kali di pusat mengundi SK Sungai Isap, Kuantan.

Beliau yang mengundi di Saluran 4 pada jam 10.00 pagi dan membuang undi untuk kali kedua pada jam 1.15 petang.

Namun sewaktu peluang mengundi untuk kali ke dua Mohd Fadhli tidak membuang undi sebaliknya menyimpan kertas undi dan nombor saluran sebagai bukti bahawa prosedur dan kredibiliti SPR yang lemah.

Tegas Fuziah, meskipun perkara ini tidak menjejaskan keputusan pilihan raya di Parlimen Kuantan namun beliau percaya perkara sebegini mungkin berlaku di kawasan lain terutama di kerusi yang menyaksikan kekalahan calon Pakatan Rakyat dengan majoriti tipis.

Categories
NASIONAL

Badrulamin Di arah Bercuti Sebulan

SHAH ALAM 27 FEB : Ketua Penerangan Negeri Selangor, Dr Badrulamin Bahrom dinasihatkan supaya mengambil cuti selama sebulan sehingga beliau dibersihkan dari tuduhan yang dikatakan berkhalwat pada Sabtu lalu.

Kerajaan Negeri telah menerima penjelasan Dr Badrulamin berhubung kejadian itu dan mendesak pihak Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) melakukan siasatan secara telus, adil dan professional demi menjaga maruah beliau sebagai muslim sebagaimana yang dituntut dalam ajaran Islam.

Kerajaan Negeri berharap cuti rehat yang diberikan ini dapat digunakan untuk menumpukan perhatian kepada musibah yang sedang ditanggung oleh beliau dan melakukan usaha-usaha bagi membersihkan nama beliau.

“Sepanjang tempoh bercuti ini, tugas-tugas beliau sebagai Ketua Penerangan Kerajaan Negeri Selangor akan diambil alih sementara waktu oleh Sekretariat akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang diketuai oleh Setiausaha Akhbar Dato’ Menteri Besar,”jelas kenyataan media yang dikeluarkan oleh Sekreteriat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini.

Dalam reaksi Dr Badrulamin semalam, beliau menafian laporan media yang mendakwa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jaip di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

Dr Badrulamin yang juga Ketua Cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.

“Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor menyeru semua pihak supaya tidak membuat andaian-andaian negatif dan menyerahkan hal ini kepada pihak berwajib melakukan penyiasatan,”jelas kenyataan itu lagi.