Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP: Kuasa beli bantu pengguna minimumkan dampak inflasi

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Pengguna perlu memainkan peranan dan menggunakan ‘kuasa beli’ mereka bagi meminimumkan impak inflasi sekali gus memastikan mereka tidak terkesan secara langsung dengan impak inflasi.

Bahagian Analisis Ekonomi dan Data Strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan hari ini berkata pengguna mempunyai hak memilih dan membuat keputusan pembelian berdasarkan kemunasabahan harga, kuantiti, kualiti dan tawaran alternatif sedia ada.

Menurutnya inflasi adalah kenaikan harga yang berlaku pada barangan dan perkhidmatan dalam satu tempoh masa, dan untuk menjadi seorang pengguna yang bijak pengguna perlu mengubah tingkah laku terutama corak pembelian dengan mengutamakan barangan keperluan dan bukannya berdasarkan kehendak semata-mata.

“Elakkan pembelian panik dan pembelian gerak hati kerana bila ramai pengguna melakukannya, ini akan melonjakkan harga. Jadi bertenang dan berfikir dahulu sebelum belanja dan buang tabiat berbelanja sesuka hati tanpa perancangan terutama yang di luar dengan kemampuan anda.

“Pengguna bijak harus sedar mereka sebenarnya mempunyai pilihan dan ‘kuasa beli’ dalam mencorak permintaan dan penawaran di pasaran yang mampu mempengaruhi turun naik harga barangan serta perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pengguna juga disaran membandingkan harga sebelum membuat pembelian menerusi aplikasi PriceCatcher yang diperkenalkan KPDNHEP, yang boleh membantu pengguna dalam membandingkan harga lebih 400 barangan keperluan harian.

Aplikasi itu merupakan hasil usaha lebih 1,000 pegawai pemantau harga KPDNHEP yang mengumpul maklumat harga harian di premis peruncitan di seluruh Malaysia, termasuk hypermarket, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pasar basah.

Bahagian Analisis Ekonomi dan Data Strategik KPDNHEP itu menjelaskan terdapat 12 kumpulan utama dalam pengelasan Indeks Harga Pengguna (IHP) melibatkan 552 barangan dan perkhidmatan dengan 781 spesifikasi dikumpulkan setiap bulan di seluruh negara dari kira-kira 21,800 premis atau kedai terpilih.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), daripada 12 kumpulan utama, terdapat tiga kumpulan yang mempunyai wajaran (nilai pemberat) yang tertinggi iaitu makanan dan minuman bukan alkohol (29.5 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (23.8 peratus) dan pengangkutan (14.6 peratus) yang mewakili hampir 70 peratus perbelanjaan keseluruhan isi rumah.

“Ini bermakna setiap RM1,000 yang anda miliki, RM700 akan digunakan untuk membeli atau melunaskan ketiga-tiga perkara berkenaan dan baki RM300 adalah pendapatan boleh guna untuk kegunaan lain atau simpanan.

-BERNAMA