Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor FC belasah Kuching City 5-1

SHAH ALAM, 31 OKT: Pasukan Selangor FC berpesta gol menundukkan Kuching City FC 5-1 pada aksi peringkat Kumpulan B saingan Piala Malaysia malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Petaling Jaya, Gergasi Merah membuka tirai jaringan seawal minit pertama melalui Hein Htet Aung.

Begitupun pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-10 apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disudahkan sempurna oleh Michael Ijezie.

Selangor FC bangkit pada separuh masa kedua dan kembali mendahului pada minit ke-56 menerusi Ahmad Danial Asri dan terus mengukuhkan kedudukan sembilan minit selepas itu apabila Safuwan Baharudin menjaringkan gol ketiga hasil sepakan penalti.

Ahmad Danial kembali mengambil giliran untuk gol kedua peribadi serta gol keempat buat tuan rumah pada minit ke-79.

Skuad Gergasi Merah terus mengasak lawan dan melengkapkan kemenangan dengan 5-1 dengan tandukan Sean Selvaraj.

Keputusan itu menyaksikan Selangor FC mengutip enam mata di kedudukan kedua Kumpulan B di belakang Terengganu FC dan mencerahkan peluang ke suku akhir.