Categories
AGENSI PENDIDIKAN SELANGOR

Kuis: Kaedah hibrid laksana program kemahiran sains untuk pelajar B40

BANGI, 4 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menggunakan kaedah hibrid bagi menjayakan program Kemahiran Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) tahun ini dalam memenuhi keperluan pelajar sekolah menengah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Ketua program KSTI berkata kaedah pendekatan pengajaran (flipped-classroom) dan berasaskan masalah secara maya sebelum ini dilihat membebankan pelajar kurang berkemampuan yang tiada kemudahan peranti pintar dan internet.

“Kita faham bukan semua pelajar B40 mempunyai telefon bimbit, komputer riba dan akses tersebut walaupun manfaat berkaitan boleh diperoleh dengan mudah melalui dalam talian.

“Jadi, sebahagian pelajar dikenal pasti akan dikumpulkan di Kuis dan berpeluang menimba ilmu secara bersemuka dengan tenaga pengajar,” kata Dr Md Rozalafri Johori pada majlis perasmian penutup KSTI 2021 di Dewan Senat Kuis di sini hari ini.

Md Rozalafri yang juga ketua bahagian pemasaran institusi berkenaan yakin langkah tersebut mampu menarik penyertaan lebih ramai pelajar pada program dijangka berlangsung pertengahan tahun ini.

“Sebelum ini, 389 pelajar tingkatan tiga dan lima berjaya menyertai program ini, jadi kita jangka pertambahan pelajar melalui dengan sasaran pelajar tingkatan dua dan empat pula.

“Bagaimanapun, pelajar tingkatan tiga dan lima masih boleh menyertainya kerana sasaran tersebut mengambil kira mereka yang mungkin sibuk dengan persiapan menghadapi Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) serta Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan pihaknya sudah menghantar kertas cadangan kepada Kerajaan Negeri memohon dana tambahan bagi menjayakan program dalam skala lebih besar.

Menurutnya peruntukan berkenaan bagi menampung kos penginapan pelajar, fasiliti dan logistik.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kuis rancang pengajian secara maya, jimat kos pelajar

SHAH ALAM, 7 JAN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperkenalkan konsep pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh (ODL) yang membolehkan pelajar mengikuti sepenuhnya pengajian tanpa hadir ke kampus.

Rektornya Prof Madya Dato’ Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata langkah menerokai kaedah baharu itu susulan kecanggihan teknologi pada masa kini yang membolehkan sesi pengajian dapat diikuti di mana sahaja seperti terbukti ketika penularan Covid-19.

Jelasnya, menerusi ODL segala proses dijalankan sepenuhnya secara dalam talian bermula dari pendaftaran, menghantar tugasan serta menyiapkan projek akhir untuk menamatkan pengajian.

“Contohnya ada pelajar Kemboja minat belajar di Kuis tetapi ada kekangan seperti tidak mampu membayar kos sara hidup di sini, mereka boleh ikuti pembelajaran dalam talian.

“Kita turut sasar kaedah baharu itu membabitkan pelajar dalam Malaysia dan Selangor, dapat jimatkan kos seperti sewa rumah yang perlu dibayar pelajar jika mereka datang ke sini,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Farid berkata pihaknya juga merancang untuk mewujudkan tabung amanah untuk membantu mengubah kehidupan asnaf dari dalam dan luar negara dengan belajar di Kuis.

Bagi tujuan itu, beliau berkata Kuis menjemput syarikat berkaitan kerajaan milik Kerajaan Selangor dan pusat untuk membantunya sebagai satu amal jariah.

“Bayangkan amal jariah kita lakukan itu dapat membantu asnaf contohnya dari Burma (Myanmar) belajar di Kuis dan akhirnya memajukan negaranya,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan RM1,000 ringan beban pelajar masuk universiti

SHAH ALAM, 17 DIS: Langkah Kerajaan Negeri mewujudkan Iltizam Mahasiswa Selangor mampu meringankan beban pelajar baharu membeli kelengkapan untuk memasuki universiti.

Yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berkata inisiatif itu tepat dalam situasi mencabar pandemik Covid-19.

Menurut Muhammad Iqbal Hakim Nadhri bantuan itu juga amat membantu ibu bapa terutama yang mempunyai ramai anak yang masih belajar.

“Sekarang ini ramai terkesan ekoran pandemik, apabila ada bantuan RM1,000 ia amat besar maknanya kepada mahasiswa. Terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri kerana sentiasa cakna dengan nasib pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Pelajar semester satu Ijazah Sarjana Muda Multimedia Kreatif dari Kuis, Muhammad Naquib Riza Mohd Khairi pula berharap peruntukan itu dikekalkan di samping lebih ramai mahasiswa dibantu.

“Macam jurusan saya memang banyak gunakan duit untuk beli peralatan dan buku. Apabila adanya bantuan seumpama ini ia amat membantu. Semoga pemberian ini juga diagih secara meluas kepada semua mahasiswa,” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2022, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif bagi sektor pendidikan meliputi bantuan RM1,000 kepada 3,000 mahasiswa baharu daripada keluarga berpendapatan rendah di bawah Iltizam Mahasiswa Selangor.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Membaca, belajar perkara baharu resipi kejayaan pelajar terbaik Kuis

KAJANG, 2 DIS: Sering membaca dan belajar malam antara resepi kejayaan Aida Shafinaz Mohamed Shafit yang diumum penerima Anugerah DiRaja Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) berjaya meraih gelaran tersebut menerusi Majlis Konvokesyen Kuis kali ke-23 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuis semalam.

Aida Shafinaz Mohamed Shafit

Terkejut namanya diumum sebagai penerima anugerah tertinggi, Aida Shafinaz, 24, berkongsi hobinya yang sering meluangkan masa lapang dengan membaca buku berunsurkan fiksyen, biografi dan fantasi.

Sifat sentiasa ingin tahu membuatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran) itu menerokai perkara baharu dan bercita-cita menjadi diplomat antarabangsa pada masa akan datang.

Berhasrat melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Kuis dan Ijazah Doktor Falsafah di luar negara, gadis kelahiran Amerika Syarikat itu turut menjadikan ibu bapa dan adik beradiknya sebagai pendorong kejayaan.

“Ibu saya seorang guru bahasa Inggeris dan bapa pula doktor, manakala kakak, abang juga doktor dan adik pula bakal doktor. Mereka pembakar semangat saya untuk terus belajar dan meraih kejayaan.

“Walaupun adik beradik saya semuanya doktor tetapi ia tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan dalam bidang komunikasi kerana yang penting kita minat dengan apa yang kita lakukan dan tidak perlu mengikut orang,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak kecil sentiasa dididik untuk meluangkan masa sekurang-kurangnya tiga jam belajar pada waktu malam dan sehingga kini ia menjadi kebiasaan buat Aida Shafinaz malah masa akan dipanjangkan sedikit apabila tibanya hari peperiksaan.

Menurutnya, selain membaca beliau turut menghabiskan masa terluang dengan menonton filem dan bermain bola jaring.

“Semua aktiviti ini juga boleh buatkan minda saya cergas, sebagai contoh dengan membaca dan menonton filem pada masa sama sebenarnya kita belajar dan dapat pengetahuan baru,” katanya yang menetap di Seri Kembangan.

Aida Shafinaz turut berterima kasih kepada pensyarah dan rakannya yang banyak memberi tunjuk ajar dan sokongan sepanjang belajar di Kuis.

“Pensyarah banyak membantu dalam bidang akademik dan memberikan sokongan moral sepanjang pengajian saya di sini,” katanya.

Mengulas Kuis menjadi pilihan, beliau berkata institusi itu amat bagus dan mempunyai pelbagai kelengkapan pembelajaran yang memudahkan pelajar menuntut ilmu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cintai bidang pengajian rahsia kejayaan penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar

KAJANG, 1 DIS: Mencintai bidang pengajian dan fokus antara rahsia kejayaan penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) kali ke-23 hari ini.

Siti Zahidah Mu’al, 26, anak kelahiran Sarawak berkata faktor lain kejayaan beliau ialah kerap membaca al-Quran, tidak meninggalkan solat wajib dan kerap melaksanakan solat sunat.

“Apabila waktu belajar saya akan fokus dan paling penting kita harus cintai bidang yang kita belajar supaya menjadi seronok dan tidak bosan,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Sumber Insan.

Tidak pernah menyangka dipilih menerima anugerah istimewa itu, Siti Zahidah bersyukur kerana pengorbanan ibu bapanya mengumpul wang untuk menampung pelajaran di Kuis tidak sia-sia.

“Saya berasa amat terharu dan bersyukur apabila impian ibu bapa untuk melihat saya berjaya akhirnya tercapai. Mereka berusaha mengumpul wang untuk menampung pembelajaran saya di sini.

“Terima kasih juga kepada ibu bapa, pensyarah dan rakan-rakan yang tidak putus memberi dorongan dan sokongan,” katanya kepada SelangorKini.

Siti Zahidah kini bertugas sebagai guru Pendidikan Islam di sebuah sekolah dekat Sarawak menasihatkan pelajar sentiasa bersabar dengan ujian dan tidak berputus asa meraih kejayaan.

Categories
SELANGOR

42 graduan Kuis dinobat pelajar terbaik

KAJANG, 1 DIS: Seramai 42 graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dinobatkan sebagai pelajar terbaik pada istiadat konvokesyen ke-23 yang diadakan mulai hari ini hingga 6 Disember.

Menurut pemangku Rektor daripada jumlah itu, lapan daripadanya adalah penerima hadiah khas iaitu seorang menerima Anugerah DiRaja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor diikuti Anugerah Dato’ Menteri Besar (satu).

Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata tiga lagi penerima bagi Anugerah EXCO Kerajaan Selangor, Anugerah Rektor (satu), Anugerah Kepimpinan Siswa (satu) dan Anugerah Kepimpinan Siswi (satu).

“Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada mahasiswa ini di atas usaha keras yang mereka berikan sepanjang pengajian. Diharap ia menjadi sumber inspirasi kepada pelajar Kuis yang lain untuk lebih berjaya.

“Anugerah ini juga merupakan komitmen berterusan Kuis dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional muslim, Dai, Ulama dan Umara’ yang mampu menyumbang kepada negara serta memimpin masyarakat,” katanya.

Seramai 2,407 graduan peringkat Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma diraikan menerusi Majlis Konvokesyen yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuis mulai hari ini hingga 6 Disember.

Fakulti Pengurusan dan Muamalah melahirkan graduan tertinggi iaitu seramai 836 diikuti Fakulti Pengajian Peradaban Islam (815), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (371), Fakulti Pendidikan (226) dan Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat (159).

Categories
AGENSI SELANGOR

Majlis konvokesyen Kuis secara fizikal 1 Disember

SHAH ALAM, 18 OKT: Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) ke-23 dan 24 diadakan secara fizikal pada 1 hingga 6 Disember 2021 serta 24 hingga 29 Januari 2022.

Pemangku Rektor Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata majlis berkenaan berlangsung di Pusat Konvokesyen Kuis selepas mendapat persetujuan Ahli Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan.

“Penangguhan Majlis Konvokesyen ke-23 pada Ogos 2020 adalah disebabkan penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

“Majlis konvokesyen ini akan dilaksanakan secara fizikal yang hanya melibatkan graduan sahaja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Kuis mengambil langkah proaktif dengan memastikan pelaksanaan majlis mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan graduan.

Seramai 2,407 graduan akan terbabit pada Majlis Konvokesyen ke-23 dan 2,178 graduan lagi pada Majlis Konvokesyen ke-24. Secara keseluruhan seramai 25,469 orang graduan telah dilahirkan Kuis sejak 1998 hingga 2021.

Pra graduan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Majlis Konvokesyen Kuis menerusi portal e-konvo http://ekonvo.kuis.edu.my atau layari laman sesawang www.kuis.edu.my.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

50 peratus pelajar Kuis dijangka kembali ke kampus awal November

SHAH ALAM, 3 OKT: Sebanyak 50 peratus daripada kira-kira 7,000 penuntut Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dijangka kembali ke kampus bagi mengikuti pengajian secara bersemuka bermula awal November ini.

Pendaftarnya Zulhizzam Hamzah berkata mereka terdiri pelajar semester pertama, tahun akhir dan berkeperluan khas yang memenuhi tempoh matang 14 hari selepas dos kedua vaksin.

“Kita sudah bersedia menerima kemasukan mereka. Pelajar asasi akan memulakan pengajian secara fizikal pada 1 November manakala diploma hingga ijazah kedoktoran (PhD) pada 29 November.

“Kolej kediaman sudah disanitasi, meja dalam bilik kuliah disusun mengikut penjarakan fizikal termasuk menyediakan pusat kuarantin untuk pelajar tidak sihat,” kata ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berharap agar mahasiswa dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu sistem pengajaran dan pembelajaran sepanjang pandemik Covid-19.

“Kuis melaksanakan kaedah pembelajaran secara hibrid, sesetengah program dibuat secara bersemuka dan dalam talian. Ini suasana baharu bukan sahaja kepada mereka (pelajar) tetapi pensyarah,” katanya.

Pada 14 September lalu, menteri pengajian tinggi memaklumkan lebih 1.2 juta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan kembali ke kampus masing-masing secara berperingkat mulai 15 Oktober ini.

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kemasukan pelajar yang lengkap divaksin itu melibatkan semua kategori pelajar dan semua fasa pelan pemulihan negara (PPN), namun keutamaan diberi kepada pelajar berkeperluan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis jalin kerjasama dengan industri lahirkan pelajar berkualiti

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menjalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) serta Kumpulan Aerodyne Malaysia (Kumpulan Aerodyne) bagi memperkasakan bidang teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Kuis berkata kerjasama tiga tahun bersama STDC dan dua tahun dengan Kumpulan Aerodyne dalam mendepani Revolusi Perindustrian 4.0. akan melahirkan graduan serta pakar yang kompeten, berdaya saing dan berkualiti.

“Kerjasama ini meliputi kursus jangka pendek, latihan dan jaringan industri serta program mobiliti. Langkah ini menjadi pemacu untuk meningkatkan keyakinan dan daya saing graduan selaras dengan keperluan industri global.

“Jalinan termeterai bersama Kumpulan Aerodyne juga dilihat bertepatan dengan kehendak masa kini dalam memajukan teknologi data dan transformasi digital negara,” katanya menerusi kenyataan.

Institusi pendidikan milik Kerajaan Selangor itu berharap kerjasama berkenaan menjadi penanda permulaan kepada pihak terlibat dan memberi manfaat khususnya kepada pemain industri Bumiputera.

Terdahulu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) diadakan secara maya antara Rektor Kuis Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri; Ketua Eksekutif STDC, Mohd Ashraf Amin dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aerodyne, Kamarul Muhamed.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyaksikan majlis selain menyampaikan penghargaan kepada Ab Halim yang menamatkan perkhidmatan hari ini selepas lapan tahun menerajui Kuis.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis tawar pusat konvensyen jadi pusat vaksin

SHAH ALAM, 17 JUN: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menawarkan pusat konvensyennya di Bandar Seri Putra, Kajang sebagai pusat pemberian vaksin (PPV).

Rektornya berkata pusat berkenaan mampu memuatkan 1,000 orang untuk suntikan vaksin Covid-19 selain mempunyai kemudahan parkir yang banyak.

“Kita menawarkan kepada kerajaan untuk menjadikannya sebagai PPV bagi membantu mencapai sasaran imuniti berkelompok dengan cepat.

“Kalau tiada halangan serta diluluskan, Kuis tiada masalah menyediakan kemudahan dan sentiasa bersedia,” kata Prof Dato’ Ab Halim Tamuri ketika dihubungi di sini hari ini.

Selangor menyasarkan memastikan sebanyak 80 peratus penduduk negeri ini menerima vaksin selewat-lewatnya September bagi mencapai imuniti berkelompok.

Bagi mencapai sasaran itu, Kerajaan Negeri melaksanakan tiga strategi iaitu membeli vaksin melalui Program Vaksinasi Selangor bagi mempercepat dan mencapai angka sasaran 165,000 suntikan sehari mulai Ogos.

Strategi lain termasuk memperkemas dan memperbanyak petugas di PPV sedia ada selain menambah lokasi baharu di lokaliti tertentu.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis, dua institusi jalin kerjasama perkukuh akademik

BANGI, 26 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) bekerjasama dengan BeAna Home Quran Sdn Bhd (BeAna) dan Maahad Tahfiz Al-Hidayah (Matah) dalam usaha memantapkan pembangunan akademik.

Bahagian Perancangan Strategik dan Komunikasi Korporat Kuis berkata jalinan kerjasama dalam tempoh lima tahun itu dijangka dapat meningkatkan jumlah pelajar tahfiz untuk menyambung pengajian ke institusi berkenaan.

“Kerjasama Kuis dan BeAna tertumpu dalam bidang kepakaran akademik khususnya dalam Al-Quran, fardu ain, hafazan dan bahasa Arab. Juga tidak ketinggalan ialah berkaitan latihan industri.

“Manakala bersama Matah pula lebih tertumpu kepada bidang latihan dan pendidikan, ia memfokuskan pemerkasaan untuk meningkatkan akademik pelajar tahfiz serta penyelidikan berkaitan penerbitan modul juga kursus jangka pendek,” katanya dalam kenyataan.

Hubungan kerjasama antara tiga institusi itu dimeterai menerusi majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Dewan Senat, Kuis pada Rabu lalu.

Hadir sama Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Komuniti & Industri, Prof Madya Dr Mokmin Basri; Pengarah Urusan BeAna, Anna Rosdijanti Ahmat Rusdi dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Hidayah, Lokman Abdul Hamid.

Kuis adalah institusi pengajian tinggi Islam di bawah Kerajaan Negeri dan dimiliki sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Penubuhannya secara rasmi pada 15 Februari 1995 membuktikan komitmen Selangor dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis terima 2,500 pelajar baharu pada Mei dan Jun

SHAH ALAM, 17 MAC: Kolej Universiti Antarabangsa Islam Selangr (Kuis) dijangka menerima 2,500 pelajar baharu bagi sesi pertama 2021 pada Mei dan Jun ini.

Rektor KUIS berkata baki 1,500 pelajar lagi akan mendaftar pada November untuk sesi kedua.

“Seperti sebelum ini proses pendaftaran akan dijalankan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan sosial,” kata Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri ketika dihubungi.

Sementara itu, beliau berkata Kuis kini mengamalkan kaedah pembelajaran dalam talian melibatkan semua pelajar.

“Ketika ini 250 pelajar dengan kebenaran khas sahaja berada di dalam kampus sejak awal Mac dan mereka hanya mengikuti kelas secara maya,” katanya.

Jelasnya, kebenaran diberikan kepada kumpulan pelajar itu kerana masalah capaian internet di kawasan kediaman masing-masing yang menyukarkan mereka.