Categories
SELANGOR

KUIS Tempat Sempurna Sambung Belajar, Kata Penerima Anugerah

BANGI 7 JULAI : Pemilihan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai institusi pilihan bagi menyambung pelajaran ke peringkat pengajian tinggi ternyata tepat dan tidak mengecewakan.

KUIS bukan sahaja menyediakan kurikulum berlandaskan Islam tetapi turut menjanjikan persekitaran yang tenang dan selesa, demikian ujar penerima Anugerah Datuk Menteri Besar Selangor, Nadzirah Hassan Basri 25, sempena Majlis Konvokesyen KUIS ke 15 di sini pagi tadi.

“Setiap kursus di sini menjurus kepada pembentukan insan Ta’dibi iaitu insan berilmu disamping berpendidikan tinggi untuk masa depan para pelajarnya.

“Jadi, keseimbangan sebegini menjadikan kami para pelajar lebih bersedia untuk bersedia mengejar kemajuan di dunia disamping tidak melupakan akhirat,” tegas beliau yang juga penerima sijil Diploma Pengajian Islam Syariah ini.

Sementara itu, Hanisah Sakirun, 25 pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang Undang-undang turut berkongsi pendapat yang sama selain merasakan KUIS sebagai pusat pendidikan yang sempurna untuk menyambung pelajaran.

“Saya sendiri yang memilih menyambung pengajian di sini kerana merasakan ianya sesuai untuk membentuk diri saya menjadi insan berpendidikan selain teguh dari segi rohaniah juga.

“Apatah lagi sebelum ini saya yang mempunyai latar belakang sekolah berasrama penuh sudah terbiasa dengan persekitaran Islamik sebegini, jadi dengan adanya KUIS pilihan itu tidak sukar dibuat,” kata Hanisah, penerima Anugerah Kepimpinan Siswi bagi edisi konvokesyen kali ini.

Selain mereka berdua, turut menerima anugerah khas akademik ialah Siti Zuwairah Albar Ali, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan yang menerima Anugerah Rektor KUIS selain Ahmad Zaki Osman, Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) yang menerima Anugerah Kepimpinan Siswa.

Untuk edisi kali ini, seramai 982 orang pelajar daripada enam fakulti layak menerima sijil Diploma dan Ijazah masing-masing yang disampaikan Pengerusi KUIS yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir dalam majlis konvokesyen tersebut ialah Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali, Rektor KUIS, Prof Dr Aziudin Ahmad, Ahli Lembaga Pengarah Pendidikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) selain kehadiran ribuan keluarga dan ibubapa pelajar.

KUIS yang dimiliki sepenuhnya oleh MAIS ditubuhkan pada tahun 1995 dan sehingga kini KUIS menawarkan lebih daripada dua puluh kursus meliputi pelbagai bidang seperti pengajian Islam, pengajian perniagaan, perbankan Islam, bahasa dan komunikasi, ICT dan multimedia, kejururawatan dan pendidikan.

Categories
NASIONAL

Unisel Umum Pembekuan PTPTN Ditarik Balik

SHAH ALAM 8 JUN : Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terhadap pelajar-pelajar baru Universiti Selangor (Unisel) secara rasminya ditarik balik, umum Naib Canselor Unisel, Prof. Dr Anuar Ahmad.

Menurut Dr Anuar, pihaknya menerima surat daripada Pejabat Menteri Pengajian Tinggi awal pagi tadi berkenaan penarikan pembekuan pinjaman tersebut.

“Dengan penarikan itu, pelajar-pelajar baru kini boleh mula memohon kembali pinjaman PTPTN bermula malam ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang menyumbang kepada keputusan yang menggembirakan ini termasuk pihak kementerian dan Kerajaan Negeri,” jelas beliau dalam satu sidang media di Unisel sebentar tadi.

Mengelak untuk mengulas lanjut alasan yang dikemukakan pihak kementerian mengenai pembekuan yang dikenakan sebelum ini, Dr Anuar bagaimanapun tidak menolak segalanya berpunca daripada perbezaan ideologi politik.

“Kami sebagai pentadbir tidak mahu melibatkan diri atau memberi komen mendalam berkenaan perkara ini tetapi kami juga tidak mahu pendidikan pelajar-pelajar Unisel terganggu.

“Atas sebab itu, kami mengikut segala prosedur yang digariskan, kami membuat rayuan secara hitam putih seperti yang diminta, kami mengadakan perbincangan dengan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan bagi mengembalikan hak pelajar-pelajar untuk mendapatkan pinjaman,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga dilihat enggan memberi sebarang komen berkenaan keprihatinan dan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri berhubung isu tersebut bagaimanapun menerima baik idea pendidikan percuma.

“Namun semuanya bergantung kepada keberdayaan sesebuah kerajaan yang memerintah asalkan perjalanan pendidikan berjalan baik.

“Kami juga akan sentiasa patuh pada dasar yang ditunjangi mana-mana kerajaan yang memerintah,” ulasnya sambil menambah Kerajaan Negeri banyak membantu dalam mengurangkan kos operasi Unisel.

Sebelum ini, PTPTN membekukan pinjaman kepada Unisel dan KUIS kedua-duanya di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga mencetuskan pelbagai reaksi bantahan pelbagai pihak terhadap tindakan tersebut.