Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Cadangan tapak transit, kumpul ikan Sekinchan masuk RMK-12

SHAH ALAM, 24 JULAI: Cadangan pembangunan tapak transit dan pengumpulan ikan baharu di Sekinchan perlu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerana membabitkan kos yang tinggi, kata Ahli Dewan Negerinya.

Ng Suee Lim berkata hasil penelitian Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati kos keseluruhan projek itu bernilai RM80 juta dan mengambil masa yang lama untuk direalisasikan.

“Ini (pembinaan tapak transit dan pengumpulan ikan baharu) perlu minta daripada (kerajaan) persekutuan sebab memerlukan kos yang besar bagi memastikan kelestarian industri perikanan di Sekinchan dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

“Jadi, saya memohon Kerajaan Negeri membuat sedikit kelonggaran supaya kita guna (peruntukan) fasa demi fasa. Mungkin fasa pertama guna RM5 juta dahulu bagi pembinaan tapak transit,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau menjelaskan projek itu dijangka merancakkan lagi sektor pelancongan di daerah tersebut kerana sering menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pengunjung luar mendapatkan bekalan ikan segar.

Katanya, langkah itu juga mampu menangani isu kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit kerana menjadi persinggahan lori yang memunggah ikan di jeti.

“Tapak sedia ada sudah digunakan berpuluh tahun, jadi saya cadangkan untuk (tapak transit dan pengumpulan ikan) dipindahkan di tempat baru yang tidak menghalang lalu lintas serta membolehkan nelayan meneruskan rutin harian mereka.

“Memandangkan di sini (Sekinchan) merupakan lokasi pengeluaran ikan, semua nelayan akan menghantar hasilnya ke pusat transit sebelum diangkut keluar oleh lori,” katanya.

Difahamkan, cadangan tapak baharu itu terletak di Jalan JPT Bagan Sekinchan.