Categories
SELANGOR

KDEB tunai zakat perniagaan lebih RM87,600

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 24 OKT: Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM87,609.45 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru-baru ini.

thumb_20161007_150445_1024-360x270Menurut laman rasmi LZS, KDEB menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun kewangan berakhir 2015.

Zakat juga dikira sebagai salah satu cara KDEB dan anak-anak syarikat membersihkan pendapatan perniagaan mengikut seperti yang digariskan dalam ajaran Islam.

Cek diserahkan Ketua Pegawai Agama KDEB, Zaharudin Muhammad kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Turut hadir, Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini dan Ketua Divisyen Komunikasi Korporat, Norajun Ainun Mohd Hashim.

-nR-

Categories
SELANGOR

Projek Rangsangan Sukan Selangor berjaya tarik 1,500 remaja

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS) yang diterajui oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Peransang Selangor) mendapat penyertaan seramai 1,500 remaja.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasinya (KELAB), Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata daripada jumlah itu, seramai 250 peserta dipilih untuk digilap mengikut jenis sukan ditetapkan.

Presiden KELAB, Mohd Fauzi Mohd Ghazali“Penyertaan sangat menggalakkan setakat ini. Kita dapat banyak penyertaan.

“Kita bekerjasama dengan persatuan dan sekolah bagi pencarian bakat muda melalui Kem Pembangunan Bakat Sukan dan Pasukan Sukan Elit,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fauzi berkata, remaja terbabit digilap daripada ‘sifar’ menjadi seseorang yang cemerlang.

“Kita melatih mereka melalui jurulatih profesional. Usaha membangunkan remaja ini berjaya kerana ada diantaranya berjaya mewakili Malaysia dalam beberapa pertandingan,” katanya.

Beliau berkata RSS akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukkan yang akan diumumkan kelak.

Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS)Tahun lalu, Perangsang Selangor anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), menandatangani Memorandum Persefahaman dengan lima buah kelab sukan untuk melaksanakan RSS bernilai RM1.8 juta.

Lima buah kelab sukan terlibat, termasuk Kelab Boling Seintak (boling), Sukan J World (badminton), Sekolah Renang Supersharkz (renang), Persatuan Lumba Basikal Selangor (lumba basikal) and Sukan Munro (bola sepak).

Perlaksanaan Kem Pembangunan Bakat Sukan merangkumi pemilihan, latihan dan pembangunan ahli sukan muda berumur di antara 9 sehingga 12 tahun oleh
jurulatih profesional di Selangor.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA

MoU Selangor : Untung atau rugi?

syabasci__0022_Layer 7Air buat julung-julung kali dijadikan salah satu tawaran dalam manifesto pilihanraya oleh satu gabungan parti politik yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke12 (PRU12) pada tahun 2008. Tawaran 20 meter padu pertama percuma setiap bulan selanjutnya menjadi salah satu daripada 17 inisiatif pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor. Dalam manifesto bagi PRU13, selain meneruskan kesinambungan polisi air percuma, Pakatan Rakyat turut menawarkan penstrukturan semula industri air negeri bagi melindungi hak rakyat Selangor mendapat bekalan air terawat pada harga yang berpatutan dan peruntukkan saham syarikat air baharu secara percuma kepada rakyat Selangor yang layak, bakal terbentuk hasil pergabungan empat syarikat konsesi air.

06-3Belum pun cukup setahun semenjak kemenangan bergaya dengan majoriti lebih dua pertiga di Dewan Negeri Selangor, semakin jelas Pakatan Rakyat hanya tinggal setapak dua sahaja lagi untuk mengotakan segala tawaran berkaitan air sebagaimana yang terkandung dalam manifesto bagi PRU13 dengan termeterainya Memorandum Persefahaman atau Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26 Februari 2014 yang lalu. Meskipun lima tawaran Kerajaan Negeri kepada pemegang konsesi sebelum ini sejak 2008 gagal mencapai persetujuan semua pihak secara “willing buyer, willing seller”, penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 atau Water Services Industry Act (WSIA) 2006 (Akta 655) dan undang-undang berkenaan lain yang menjadi tonggak MoU ini akhirnya akan memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor.KDEB 01

Menjelang 10 Mac 2014, sekiranya tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri ini ditolak atau diterima bersyarat oleh mana-mana syarikat konsesi, klausa “memudah cara penstrukturan semula melalui peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, Akta 655 dan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dan berkaitan” membawa maksud WSIA 2006 terutamanya Seksyen 114 dan/atau Seksyen 191 serta undang-undang berkenaan yang lain akan digunapakai oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan penyusunan semula industri berjaya.

Walaupun masih terlalu awal untuk meramalkan bilakah proses pergabungan antara tiga syarikat rawatan air iaitu SPLASH, Puncak Niaga dan ABASS serta satu syarikat pengagihan air, SYABAS akan selesai sepenuhnya atau bilakah rakyat Selangor yang layak akan mendapat saham percuma apabila syarikat-syarikat konsesi ini diambilalih oleh KDEB dan disusun semula di bawah Water SPV, syarikat konsortium milik KDEB, setidak-tidaknya satu rangka masa penyempurnaan iaitu tiga bulan telah ditetapkan.

Pada hemat saya, MoU ini merupakan satu detik bersejarah yang harus menjadi kebanggaan semua rakyat Selangor secara khususnya dan rakyat Malaysia secara amnya. Pertama, MoU tersebut merupakan satu mercu tanda bagi rekonsiliasi nasional yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak dan gagasan konsensus nasional yang dipelopori oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.  Kedua, MoU tersebut juga merupakan bukti jelas bahawa perbezaan politik boleh diketepikan untuk mencapai kata sepakat demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara menanti MoU tulen yang muktamad dideklasifikan untuk tatapan umum, saya telah meneliti salinan MoU seperti yang tersebar dengan meluas di alam maya sejak beberapa hari lepas untuk meninjau apakah impak MoU tersebut terhadap Kerajaan Negeri khususnya dan rakyat secara amnya. Dengan fokus semata-mata pada intipati MoU demi analisa objektif dan adil, saya sedaya-upaya mengelak daripada terheret dalam polemik seperti:

  • Kenapa Kerajaan Negeri Selangor bersetuju hadir ke majlis menandatangani MoU secara mengejut yang diuruskan oleh Pejabat Perdana Menteri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat ataupun Pakatan Rakyat?
  • Kenapa terlalu lama masa diambil untuk mendedahkan kepada awam dokumen MoU tersebut secara keseluruhan yakni bertentangan dengan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat yang menjadi amalan Kerajaan Negeri?
  • Kesahihan MoU ini kerana ditandatangani tanpa diperhalusi terlebih dahulu dan diluluskan di mesyuarat EXCO negeri?

Berikut merupakan apa yang saya boleh simpulkan berdasarkan tafsiran dan pemahaman peribadi mengenai beberapa isu yang mungkin berbangkit:

 

  1. 1.       Kos penstrukturan semula industri air Selangor ditanggung Kerajaan Negeri

Terdapat dua komponen dalam harga tawaran KDEB sebanyak RM9.652 billion kepada pemegang-pemegang saham kesemua empat syarikat konsesi air iaitu:

  • Komponen 1: RM1.972 billion – nilai ekuiti ditambah pulangan 12% setahun
  • Komponen 2: RM7.68 billion – jumlah pinjaman dan bon kepada institusi kewangan dan Kerajaan Pusat ditanggung oleh syarikat-syarikat konsesi

Komponen 1 akan dibiayai sepenuhnya oleh peruntukkan sebanyak RM2 billion yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan “untuk membantu Kerajaan Negeri dalam urusan pengambilalihan ekuiti” dengan penyerahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik Kerajaan Negeri (aset keseluruhan dianggarkan bernilai RM12 billion) kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada nilai yang setara. Komponen 2 pula akan disempurnakan oleh pemindahan aset-aset berkaitan air yang “unencumbered” milik syarikat-syarikat konsesi atau pertukaran dengan pegangan ekuiti dalam Water SPV kepada PAAB pada nilai yang sama.

Maka, jelas bahawa Kerajaan Negeri sebenarnya tidak perlu mengeluarkan belanja satu sen pun dalam transaksi pengambilalihan ini. Ini bermakna tiada sebarang pinjaman atau pengumpulan dana yang perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri untuk membiayai pelaksanaan penstrukturan semula industri air Selangor. Malah, Kerajaan Negeri dijangka mendapat laba dalam bentuk tunai lebih kurang RM28 juta natijah transaksi pengambilalihan ini.

Sekiranya mana-mana pemilik konsesi membawa ke peringkat timbangtara antarabangsa untuk menyelesaikan pertikaian mengenai harga tawaran, saya yakin kos pengambilalihan tidak akan melebihi RM9.65 billion kerana pulangan tahunan 12% yang diambilkira dalam andaian penilaian ekuiti adalah jauh lebih lumayan berbanding piawaian antarabangsa pada kadar 8% sahaja.

 

  1. 2.       Kebenaran bersyarat Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya (LRAL2)

Jika diteliti kesemua kenyataan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini, Kerajaan Negeri sebenarnya tidak menolak LRAL2 bulat-bulat walaupun ramai kurang senang kerana LRAL2 sering digembar-gemburkan sebagai satu-satunya jalan penyelesaian untuk menjamin bekalan air berterusan bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Apa yang sentiasa ditekankan Kerajaan Negeri adalah pembangunan LRAL2 berdasarkan satu keputusan yang diambil secara tergesa-gesa oleh pentadbiran negeri pra-2008 tanpa mengambilkira pelbagai pilihan lain yang lebih murah, lebih efisien dan lebih cepat untuk memastikan bekalan air terawat yang cukup. Walaupun pada awalnya projek LRAL2 ini dijangka menelan belanja RM3.936 billion yang sebahagian besarnya dibiayai oleh Japan Bank for International Cooperation (JBIC), segelintir penganalisis meramalkan kos keseluruhan mungkin melonjak sehingga RM9 billion apabila siap sepenuhnya.

Walaubagaimanapun, oleh kerana majoriti prasarana dan fasiliti berkaitan LRAL2 sebenarnya hampir siap (sebagai contoh, terowong merentasi Banjaran Titiwangsa sepanjang 44.6 km dari Sungai Semantan, Pahang ke loji rawatan di Sungai Langat, Selangor sudah 95% siap) di samping demi mengelakkan pembaziran dan situasi “gajah putih” setelah berbillion ringgit dibelanjakan, maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan menjadikan LRAL2 sebagai “bargaining chip” dalam rundingan ini dan sebagai timbal balas bagi suntikan dana Kerajaan Persekutuan secara keseluruhan sebanyak RM2.909 billion. Perlu diingat bahawa objektif utama yang ingin dicapai adalah untuk menstruktur semula industri air Selangor yang sangat “fragmented” demi menjamin akses rakyat kepada bekalan air bersih secara mampan dan pada harga yang berpatutan serta pengembalian aset air kepada rakyat melalui tawaran awam permulaan (IPO) saham dalam Water SPV dengan peruntukkan khusus untuk rakyat Selangor yang berhak.

Walaupun segala bentuk kelulusan atau kebenaran berkaitan pembangunan LRAL2 yang bakal dikeluarkan Kerajaan Negeri dalam tempoh 30 hari dari tarikh MoU adalah “bersifat mengikat dan tidak boleh batal atau ‘binding and irrevocable’ dan berkuatkuasa sepenuhnya dalam apa jua keadaan dan tidak boleh ditarik balik, dibatalkan, digantung atau diubahsuai melainkan atas permohonan Kerajaan Persekutuan”, saya kira beberapa langkah kawalan berikut seperti yang terkandung dalam MoU boleh digunapakai untuk menangkis sebarang kemungkinan:

  • Jawatankuasa khas projek LRAL2 yang bakal ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan akan dianggotai oleh wakil Kerajaan Negeri Selangor untuk memantau pelaksanaan projek terutamanya dari segi kos dan kelangsungan projek bagi mengelakkan pembaziran, ketirisan atau salah laku kewangan yang lain; dan
  • Satu klausa dalam MoU (perenggan terakhir) yang menjamin hak mana-mana pihak untuk mengambil sebarang tindakan yang sewajarnya seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sebarang undang-undang yang berkenaan.

 

  1. 3.       Kemungkinan kenaikan tarif air naik akibat MoU

Selaras dengan semangat dan hasrat WSIA 2006, penstrukturan semula industri air di mana-mana negeri di Malaysia sepatutnya menyaksikan:

  • pemindahan semua aset berkaitan kepada PAAB kerana PAAB akan “membiayai kos modal pembiayaan membina aset air yang baharu, membaikpulih dan menaiktaraf aset air sedia ada”
  • pajakan semula semua aset air kepada pengendali perkhidmatan air negeri (selalunya anak syarikat Kerajaan Negeri) dengan sewa pajakan akan ditentukan secara sepakat antara Kerajaan Negeri dan PAAB

Jelas bahawa Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar sewa pajakan yang perlu dibayar kepada PAAB kerana kata kuncinya adalah kesepakatan bersama. Desakan memperbetulkan keadaan akibat perjanjian konsesi bagi penswastaan industri air yang berat sebelah dan tidak adil selama ini di bawah Mahathirisme di tahun 1990an dan awal 2000 dijangka akan menjadi pendorong utama bagi PAAB untuk tidak mengenakan sewa pajakan yang tinggi ke atas Kerajaan Negeri sebagaimana yang kita lihat di negeri-negeri yang telah berjaya menyusun semula industri air mereka. Saya juga yakin Kerajaan Negeri tidak akan dipertanggungjawabkan untuk menanggung sebahagian daripada kos keseluruhan pembangunan LRAL2

Memandangkan penetapan tarif air kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, saya tidak nampak ruang di mana “pass-through effect” boleh berlaku selagi mana Pakatan Rakyat menguasai pentadbiran Selangor walaupun ada kemungkinan kadar sewa pajakan dinaikkan. Saya juga yakin tarif air tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya memandangkan rakyat negeri Selangor sendiri melalui hak bersuara mereka sebagai pemegang saham dalam Water SPV akan menghalang sebarang tindakan yang dianggap merugikan. Pada hemat saya, inilah dua “benteng” utama yang akan mampu melindungi hak dan kepentingan rakyat Selangor dengan berkesan.

Secara jujur, saya tidak menolak kemungkinan akan ada kenaikan tarif air di suatu ketika nanti pada masa hadapan tetapi saya harap ianya pada kadar yang sangat munasabah, tidak membebankan dan tempoh senggang yang panjang demi memastikan perkhidmatan rawatan dan bekalan air bertaraf dunia tanpa gangguan pada harga yang berpatutan.

  1. 4.       Tiga tugas utama Kerajaan Negeri dalam kadar segera sementara menanti siapnya LRAL2
  • Melaksanakan program mitigasi bernilai RM909 juta dengan suntikan dana penuh oleh Kerajaan Persekutuan
  • Memulakan projek Hybrid Off River Augmentation System (HORAS) di Sungai Selangor yang dijangka mempunyai kapasiti membekalkan air bersih 600-700 juta liter sehari (MLD) atau 3 billion liter menjelang 2020
  • Menurunkan peratusan air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) kepada tahap yang memuaskan daripada lebih 33% sekarang dalam masa enam bulan, punca utama kegagalan SYABAS memastikan bekalan air terawat yang cukup

Meskipun kita masih samar-samar mengenai impak Perjanjian Jual Beli Air Mentah antara Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 22 November 2007 terhadap tarif air bagi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila LRAL2 mula beroperasi, saya merasakan jika Kerajaan Negeri dapat membuktikan bahawa penyempurnaan tiga langkah di atas mampu menampung keperluan dan memberi perkhidmatan air bertaraf antarabangsa, tiada sebab mengapa air mentah perlu disalurkan dari Pahang ke Selangor.

Kesimpulannya, dengan mengambilkira kesemua kekangan sedia ada, saya berpendapat MoU ini akan memberi manfaat kepada warga Selangor untuk jangka masa sederhana dan panjang. Seperti yang telah dihuraikan, MoU ini tidak sekali-kali akan mengakibatkan penambahan langsung hutang atau implikasi kos terhadap Kerajaan Negeri kerana sememangnya transaksi pengambilalihan ini direkayasa secara spesifik untuk mengelakkan sebarang tekanan ke atas kedudukan kewangan negeri. Yang paling penting, rakyat Selangor akan dapat terus menikmati kemudahan air berkualiti secara mampan pada harga yang berpatutan di samping kesinambungan polisi air percuma serta peluang menikmati pulangan daripada pelaburan di pasaran saham dan hak menentukan hala tuju industri perkhidmatan air di Selangor sebagai pemegang saham dan pemilik bersama aset air dalam Water SPV. Justeru, sekalung tahniah wajar diberi kepada Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Syabas!

 

Azrul Azwar Ahmad Tajudin

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendapat mana-mana pihak. 

Kolej INPENS sambut ulang tahun ke-20

INPENS adalah singkatan bagi Industri Pendidikan Negeri Selangor. Kolej Antarabangsa INPENS merupakan institusi pengajian tinggi milik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebuah anak syarakit Kerajaan Negeri Selangor.

Categories
SELANGOR

MB beri jaminan tiada pemberhentian kakitangan SYABAS

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 02SHAH ALAM 7 NOV : “Tidak ada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, SYABAS hanya akan bertukar pentadbiran di bawah kerajaan negeri sahaja dan tidak membabitkan tenaga kerja syarikat itu.

“Satu perkara yang jelas tidak ada pemberhentian membabitkan tenaga kerja SYABAS, bermakna kakitangan akan terus bekerja tetapi di bawah pemilik yang lain, itu sahaja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, jika keputusan berkenaan syarat yang dikemukakan kerajaan negeri kepada SYABAS dipersetujui hujung tahun ini, proses pengambilalihan itu akan mengambil masa selama tiga hingga ke enam bulan.

Katanya, kerajaan negeri sudah menerima surat daripada kerajaan pusat yang menyatakan persetujuan pengambilalihan syarikat konsesi air terbesar di Selangor itu.

“Kita sudah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan berkenaan perkara ini mesti diselesaikan, tetapi perbezaannya adalah duit sahaja, walaupun itu penting tetapi kesamaan pendapat sudah ada,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu adalah SYABAS, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

-NFN

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air menuju peringkat akhir, Selangor sedia bentang cadangan ambil-alih industri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

– HM

Categories
SELANGOR

KUIS Bakal Jadi Universiti Islam Tiga Tahun Lagi

20130730_200445_LLS (1)

BANGI 31 JULAI : Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mensasarkan untuk menjadi sebuah Universiti Islam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, manakala jumlah pelajar pada tahun 2014 ini akan ditingkatkan kepada 6,000 mahasiswa.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, antaranya akan menawarkan Program Pasca Siswazah dalam bidang sarjana, dan doktor falsafah melalui pusat pengajian siswazah yang akan diaktifkan semula.

“KUIS membuka tawaran pengambilan setelah mendapat kelulusan daripada pihaj Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang merupakan sebahagian 46 program pengajian yang ditawarkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di pekarangan Masjid Al-Azhar KUIS di sini.

Pada majlis yang sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM936,454.77 daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan RHB Islamic Bank Berhad.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat berkenaan.

KDEB yang diwakili Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman menunaikan zakat perniagaan bagi KDEB dan anak syarikatnya sebanyak RM826,455.77.

Manakala, RHB Islamic Bank Berhad diwakili Pengarahnya, Datuk Faizal Siraj menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM110,000 .

Sementara itu pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 37 orang pelajar fakir, 115 orang pelajar miskin dan 100 orang asnaf mualaf yang menerima sumbangan RM400 setiap seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pinjaman Berisiko Rendah Pada KDEB Supaya GLC Itu Boleh Untung

KDEB 01

SHAH ALAM 5 JULAI : Pinjaman yang disalurkan Kerajaan Selangor kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah supaya anak syarikat itu dapat mengambilalih dan membeli pegangan saham dalam Kumpulan Hartanah Sdn Bhd (KHSB).

Pembelian itu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh mendatangkan keuntungan tinggi kepada KDEB, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), kerana aset hartanah KHSB dianggarkan bernilai kira-kira RM 6 bilion.

Sekiranya KDEB mendapat perolehan sekurang-kurangnya 20 peratus daripada aset itu, ia boleh menjana pendapatan sebanyak RM 1.2 bilion.

Abdul Khalid menjelaskan pinjaman sementara dengan kadar faedah empat peratus itu perlu dibayar balik dalam tempoh kurang setahun.

Pinjaman RM 413 juta itu merupakan sebahagian daripada RM 761.44 juta perbelanjaan pembekalan tambahan yang dipohon oleh Kerajaan Negeri di dalam satu enakmen di Dewan Negeri Selangor semalam.

“Kita hanya meminjamkan kepada KDEB secara sementara supaya ia dapat gunakan dana itu dan memulakan proses mengambilalih saham dalam KHSB 100 peratus.

“Usaha itu dilakukan kerana KDEB berpendapat aset dalam KHSB tidak diuruskan dengan baik,” katanya ketika membahaskan enakmen perbelanjaan tambahan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Tambah Abdul Khalid lagi, pinjaman sementara dari Kerajaan Negeri itu bukan risiko kerana KDEB akan memiliki pegangan sepenuhnya dengan perolehan melebihi RM 413 juta.

“Dalam tempoh tujuh ke lapan bulan Kerajaan Negeri akan dapat balik wang itu dari KDEB,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Bentangkan Perbelanjaan Pembekalan Tambahan Sebanyak RM 761.44 juta

MB DUN 07

SHAH ALAM, 4 JULAI: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membentangkan enakmen perbelanjaan pembekalan tambahan bernilai RM 761.44 juta di Dewan Negeri Selangor.

Perbelanjaan tambahan tersebut antara lainnya sebanyak RM 83 juta bagi membiayai bayaran program air percuma bagi Julai hingga Disember 2013.

Sebanyak RM 22 juta diperuntukan bagi menampung semula peruntukan sedia ada yang digunakan bagi bayaran program air percuma bagi bulan Mei dan Jun 2013.

Selain itu, RM 517.44 juta lagi diperuntukkan bagi menambah siling Tabung Kumpulan Wang Amanah Pinjaman kepada badan-badan berkanun dan badan lain.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah RM 413.2 juta adalah pemberian pinjaman kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB).

“Sejumlah RM 80 juta adalah pinjaman kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi tujuan pengambilalihan tanah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk projek pembangunan Datum In-City.

“Manakala sejumlah RM 24.24 juta adalah bagi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi projek-projek yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 2/2013 pada 20 Febuari 2013.”

Abdul Khalid berkata demikian ketika membentangkan perbelanjaan pembekalan tambahan petang ini di Sidang Dewan Negeri Selangor petang tadi di sini.

Perbelanjaan lain termasuklah peruntukan untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan/Hutan (RM79 juta) dan perbelanjaan am (RM60 juta) yang digunakan bagi menampung komitmen-komitmen tahun 2013 yang telah digunakan untuk pembayaran program air percuma bagi bulan Januari hingga Mei 2013.

Categories
NASIONAL SELANGOR

KDEB Sangkal Dakwaan Ahli Akademik Selangor Boleh Kawal Syabas

syabas-AIR1

SHAH ALAM 14 JAN: Pengaruh Kerajaan Selangor di dalam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhad kepada perwakilan dalam lembaga pengarah sahaja syarikat itu sahaja dan bukan di dalam operasi harian Syabas.

Ini dapat dilihat apabila pada Julai tahun lepas, Syabas mencadangkan catuan air di seluruh Lembah Klang dan Selangor tanpa persetujuan dan pengetahuan Kerajaan Selangor, kata Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

KDEB adalah sebuah syarikat berkaitan Kerajaan Negeri yang memiliki pegangan saham 30 peratus di dalam Syabas.

Dalam satu kenyataan hari ini, presiden KDEB Suhaimi Kamaralzaman membidas dakwaan seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), bahawa Kerajaan Negeri cuba menutup kelemahannya menangani isu air.

Pensyarah itu, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri mendakwa Syabas dibawah kendalian kerajaan negeri dan Selangor cuba menutup fakta seolah-olah ia tidak mempunyai kepentingan di dalam Syabas.

Suhaimi berkata, kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan harian, peralatan dan sistem pengagihan bekalan air dilaksanakan oleh pengurusan Syabas yang telah dilantik oleh pemegang saham majoriti iaitu Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Pengaruh Kerajaan Negeri terhad dalam pengurusan Syabas boleh terlihat apabila pengurusan Syabas mencadangkan pencatuan air pada bulan Julai 2012 yang telah diputuskan oleh pengurusan Syabas tanpa merujuk Lembaga Pengarah terlebih dahulu,” jelas Suhaimi.

Kuasa terhad Kerajaan Selangor di dalam Syabas adalah antara sebab ia mahu mengambilalih industri air daripada Syabas kerana mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tugasnya sebagai syarikat pengedar air terawat di Selangor.

Ini dibuktikan apabila lima pam air di rumah pam Wangsa Maju rosak akibat tidak diselenggara dengan sempurna sejak awal tahun lepas dan menyebabkan lebih 500,000 penduduk di 90 kawasan di Gombak dan Ampang mengalami gangguan bekalan air.

Dalam pada itu, wakil Kerajaan Negeri dalam lembaga pengarah Syabas akan menuntut penjelasan daripada pengurusan Syabas serta pelan tindakan untuk penyelenggaraan sempurna bagi mencegah kejadian seperti itu berulang.

Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Air Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi juga telah memantau Syabas setiap hari terutamanya bagi pelan tindakan dan pemulihan air.

Jawatankuasa tersebut dan juga wakil KDEB juga telah meminta penjelasan daripada Syabas mengenai kegagalan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang mengenai isu ini.

“Mereka ini telah dipertanggungjawabkan bagi mempastikan semua pelan tindakan dilaksanakan dengan pantas dan efisien,” kata Suhaimi lagi.