Categories
NASIONAL SELANGOR

Dolak-Dalik Isu Air : Selangor Sedia Dedah Surat Peter Chin

air-syabas_MB1

BESTARI JAYA 10 MAC : Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan surat menyurat antara Kerajaan Negeri dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai tatapan kepada semua rakyat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan melakukan perkara terbabit dengan tertib dan bertanggungjawab melalui iklan di surat khabar.

Katanya, perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi selepas Peter dikatakan berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Peter sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sepatutnya mendapatkan persetujuan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terlebih dahulu dalam membuat tawaran mengambil alih empat syarikat konsesi.

Peter berkata tindakan KDEB yang tidak berbincang terlebih dahulu dengan PAAB sebelum mengaitkan PAAB dalam tawaran itu adalah tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata dalam surat maklum balas yang dihantar oleh Menteri (Peter) itu memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan mengalu-alukan usaha KDEB untuk membuat tawaran pengambilalihan itu.

“Saya harap Peter tidak berdolak dalik kerana kita sudah tulis surat kepada beliau dan memberitahu proses ini perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau beliau tidak jawab maknanya beliau bersedia untuk beri kelulusan itu dan jika beliau tidak beri kelulusan, saya akan bawa rakyat Selangor berjumpa dengan beliau serta soalkan kepada beliau kenapa kelulusan tidak boleh diberi.

“Beliau seorang peguam, tidak boleh berdolak dalik dalam percakapan beliau, saya malu bagi pihak beliau kerana beliau bukan orang Selangor, beliau orang Sarawak, jangan malukan orang Sarawak..bahawa ada orang Sarawak yang tidak mahu membantu dalam usaha pembangunan rakyat. Boleh jadi di Sarawak buat macam itu tetapi di Selangor tidak boleh.

“Saya akan keluarkan surat-surat itu dan saya akan lakukan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab. Saya akan beli iklan di surat khabar sebab saya tahu surat khabar tidak akan tulis perkara ini, lebih baik saya beli iklan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Perangsang Bersama Rakyat di Dataran Jaya Setia, di sini.

Pada 20 Februari tahun ini, KDEB membuat tawaran berjumlah RM9.65 bilion untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M)Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Sedia Ambil Alih Syabas Terlebih Dahulu

air-syabas_MBa

SHAH ALAM 7 MAC : Kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan semua syarikat konsesi air untuk terus mengadakan perbincangan pengambilalihan bagi menyokong penstrukturan semula industri perkhidmatan air.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media memaklumkan demi kepentingan rakyat, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk terlebih dahulu mengambilalih Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS) yang merupakan pengedar tunggal bekalan air bersih di Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Justeru, Kerajaan negeri meminta KDEB mempertimbangkan kemungkinan mengambilalih pengagihan bekalan dan operasi Syabas terlebih dahulu.

“Selepas itu, KDEB akan meneruskan mengambilalih syarikat konsesi lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) yang mana KDEB sudah menjadi pemegang saham terbesar.

“Sementara itu, pengambilalihan satu lagi konsesi, Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar, Puncak Niaga Holdings Berhad,” kenyataan itu dipetik.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan tawaran RM 9.65 bilion kepada empat syarikat konsensi untuk ambilalih operasi mereka.

Keempat-empat syarikat konsesi tersebut memberikan respon positif terhadap tawaran yang dikemukakan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Rampas Tanah Di Bistari Jaya

SHAH ALAM 26 MAC : Kerajaan Negeri tidak pernah merampas tanah pertanian rakyat di Bestari Jaya seperti yang di laungkan perserta demo di sana Sabtu lalu.

Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari hari ini tampil dalam satu sidang media untuk menjelaskan isu sebenar di sebalik tuduhan tersebut.

“Hakikatnya, tanah itu yang sebelum ini milik TKPM (Taman Kekal Pengeluaran Makanan) yang diusahakan oleh Kementerian Pertanian sudah diberi milik kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) pada tahun 2007 iaitu sebelum Pakatan Rakyat mentadbir di negeri ini.

“Jadi, dakwaan bahawa Kerajaan Negeri sekarang  merampas tanah berkenaan daripada petani adalah meleset sama sekali, kemungkinan ia dilakukan oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas isu status tanah tersebut” jelas Yaakob.

Menurutnya lagi, walaupun diputuskan oleh Mesyuarat Exco bahawa tanah itu milik KDEB, Kerajaan Negeri masih menjalankan perbincangan dengan pihak KDEB bagi membolehkan penduduk setempat memperoleh hasil daripada tanah itu.

“Pihak KDEB bersetuju untuk membenarkan petani mengusahakan tanah itu dengan syarat mereka perlu menyewa tanah tersebut daripada pihak KDEB.

“Sehubungan itu, kita akan mengadakan pertemuan antara petani dengan pihak KDEB bagi menjelaskan terma yang lebih jelas dengan cadangan tersebut,” terang Yaakob sambil menambah pertemuan itu dijangka berlaku pada April nanti.

Tanah tersebut berkeluasan 745 ekar dan diusahakan oleh 35 petani yang mengusahakan ternakan ikan dan juga pertanian seperti penanaman buah-buahan.

Semalam, media pro-BN menyiarkan laporan menyatakan Kerajaan Negeri mengeluarkan notis 14 hari kepada 22 petani. Bagaimanapun, ketika ditanya, Yaakob menjawab kesemua yang mengadakan demo tersebut bukanlah petani yang dikatakan mengusahakan kawasan berkenaan.