Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki 58 tahun jalan kaki 165 km bantu kanak-kanak pesakit barah

KUALA TERENGGANU, 1 JAN: Simpati dengan nasib kanak-kanak yang menghidap kanser mendorong Mukhlis Ilyas mengembara dengan berjalan kaki menerusi kempen #Walk4CancerKids, bagi mengumpul dana untuk Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser Kuala Lumpur (KIDS).

Lelaki berusia 58 tahun itu memulakan kembaranya pada 25 Disember lepas dari Kota Bharu, Kelantan dengan menolak sebuah troli berisi pelbagai keperluan asas sepanjang perjalanan sejauh 165 kilometer ke Kuala Terengganu yang mengambil masa selama tujuh hari.

Ketibaan beliau di perkarangan jambatan angkat di sini pada 3 petang semalam disambut dengan tepukan semangat oleh tujuh pesakit kanser cilik dan keluarga mereka serta beberapa ahli KIDS dari sekitar Pantai Timur.

Mukhlis berkata ini adalah kali kedua beliau melakukan kembara seumpama itu, selepas berjalan dari Bandar Penawar, Desaru, Johor ke Kuantan, Pahang pada tahun lepas.

“Saya memang sukakan aktiviti luar, mendekati alam semula jadi dan kempen ini membolehkan impian saya tercapai untuk bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat dan mempromosikan KIDS agar lebih ramai nasib kanak-kanak pesakit kanser akan terbela.

“Sambutan yang diterima sepanjang kembara saya sangat positif kerana penduduk Pantai Timur khususnya Terengganu sangat mesra dan tidak lokek menghulur derma untuk KIDS,” katanya kepada pemberita.

Katanya beliau telah mengumpul lebih RM300 wang tunai daripada orang ramai, selain derma secara dalam talian.

Menurut bapa kepada empat anak itu, beliau bersyukur kerana cuaca yang redup dan kadang-kadang hujan, sangat memudahkannya untuk menuju ke destinasi tertentu mengikut jadual yang ditetapkan.

Mukhlis, yang juga telah mempunyai tiga cucu, berharap kembara dan kempen yang dijalankannya dapat memberi motivasi kepada orang lain untuk memberi sumbangan kepada KIDS mengikut kemampuan dan kreativiti masing-masing.

“Semoga sedikit pengorbanan masa dan tenaga ini mampu mengembalikan senyuman untuk kanak-kanak penghidap kanser agar lebih ramai yang tahu mengenai mereka dan sudi menghulurkan bantuan kepada KIDS,” katanya yang mempunyai pengalaman kehilangan tiga orang kakak akibat kanser.

Sementara itu, Pengerusi KIDS Hamidah Tajudin berkata kempen itu yang bermula tahun lepas menunjukkan impak positif apabila semakin ramai yang peka dengan kewujudan KIDS dan selalu menghulurkan pelbagai bantuan seperti susu khas dan lampin pakai buang.

“KIDS ditubuhkan pada 2016 hasil inisiatif ibu bapa kepada anak-anak menghidap kanser yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, bertujuan untuk memberi sokongan kepada ibu bapa dan anak-anak ini terutama kepada golongan B40.

“Setakat ini, hampir 1,000 pesakit dari seluruh Malaysia telah berdaftar dengan KIDS dan kami bersyukur kerana sentiasa mendapat bantuan dari syarikat korporat serta badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan,” katanya yang kehilangan anak bongsu lelaki akibat kanser darah tiga tahun lepas.

– BERNAMA