Categories
AGENSI SELANGOR

Sunway-Rentwise sumbang 40 unit komputer

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kumpulan Pendidikan Sunway, berkolaborasi bersama Rentwise Sdn Bhd melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menaja 40 unit komputer kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Persiaran Raja Muda Musa.

Ketua Pegawai Eksekutif Rentwise, Leanne Ooi berkata, inisiatif CSR itu dilakukan ekoran keadaan komputer lama dan tidak boleh menyokong pembelajaran dalam talian seperti yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, lebih RM52,000 diperuntukan untuk pembelian komputer jenis Dell Optiplex 7010 dan Dell 22 LED-WIDE Black Monitor.

“Sebagai sebahagian daripada pembangunan komuniti, Rentwise memulakan dan menjalankan program CSR.

“Sejak beberapa tahun lalu, Rentwise membantu mewujudkan dan menaik taraf kemudahan infrastruktur teknologi maklumat sedia ada di beberapa sekolah yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Rentwise berkata, menerusi teras pembangunan diri syarikatnya, pihaknya mahu memperkasakan golongan belia untuk maju ke arena teknologi dan digital global.

“Di Rentwise, kami sangat bersemangat tentang pendidikan. Kami percaya pendidikan adalah jalan keluar dari kemiskinan, pendidikan memberi kehidupan yang lebih baik.

“Rentwise terus komited untuk meningkatkan infrastruktur pendidikan dengan platform digital yang komprehensif,” katanya.

Sejak 2009, Rentwise menyediakan 573 set komputer yang dihasilkan semula bernilai lebih RM744,900 yang memberi manfaat kepada lebih 17,000 pelajar di seluruh sekolah rendah dan menengah serta beberapa pusat NGO dan komuniti di Semenanjung Malaysia.