Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Kumpulan Perangsang Selangor catat prestasi kewangan 2020 lebih RM1 bilion

SHAH ALAM, 28 FEB: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) mencatat perolehan berjumlah RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2020 sekali gus merealisasikan pencapaian baharu syarikat.

Prestasi kewangan itu adalah 24 peratus lebih tinggi berbanding hasil RM8.66.9 juta dicatat pada tahun kewangan 2019.

KPS berkata perolehan suku keempat berakhir 31 Disember meningkat kepada RM318.6 juta berbanding RM297.2 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

“Ia menunjukkan kejayaan syarikat mengimbangi keputusan taktikal untuk membangunkan daya tahan operasi serta kewangan di samping kekal fokus matlamat jangka panjang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut KPS, perniagaan pembuatan mencatat pertumbuhan 14 peratus tahun ke tahun dengan menyumbang 86 peratus perolehan atau RM273.2
juta berbanding RM239.5 juta pada suku sama tahun lepas.

“Perniagaan dalam sektor ini diwakili Toyoplas Manufacturing (M) Sdn Bhd, Century Bond Bhd, CPI (Penang) Sdn Bhd dan King Koil Manufacturing West LLC.

Kumpulan itu berkata perniagaan infrastruktur yang diwakili Smartpipe Technology Sdn Bhd dan KPS-HCM mencatat prestasi perlahan.

“Smartpipe hanya menyumbang RM0.7 juta menerusi perolehan projek penggantian paip Air Selangor manakala KPS-HCM tiada projek baharu,”
katanya.

Selain itu KPS memaklumkan baki perolehan sebanyak RM2.3 juta adalah hasil pegangan pelaburan dan pelaburan hartanah terutama pendapatan sewa bersih di Summit Hotel KL City Center.

Sementara itu Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata ketersediaan vaksin Covid-19 dijangka mendorong kebangkitan ekonomi global apabila banyak syarikat mula menyesuaikan operasi dengan norma baharu.

“Justeru tumpuan syarikat adalah kepada pemulihan serta menyusun strategi untuk berkembang dengan memanfaatkan kemungkinan baharu untuk memastikan kumpulan terus memperkukuh prospek untuk meningkatkan keuntungan,”katanya.

Categories
SELANGOR

Kongsi rezeki: KPS sumbang lima lembu korban

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 24 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyumbangkan lima ekor lembu untuk ibadah korban bersempena Program Ibadah Korban dan Singgah Mesra Perangsang Selangor di Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Lang Tengah.

Disempurnakan Pengerusi KPS, YM Raja Shahreen Raja Othman, tiga daripada lima ekor lembu itu disumbangkan syarikat dan selebihnya dari kakitangan yang menyertai ibadah korban.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini 40 kakitangan turun bersama-sama menjayakan program ini dengan 20 daripadanya turut menyertai ibadah korban menerusi sumbangan dua ekor lembu.

“Kami harap program ini akan dapat terus tahun akan datang bagi memberi peluang seluruh rakyat Selangor menerima manfaat yang KPS kongsikan bersama,” katanya.

Menurutnya, KPS menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dibawah teras Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) menyediakan dana RM2.6 juta bagi 2018 termasuk sumbangan lembu bagi menjayakan Program Ibadah Korban anjuran Kerajaan Negeri.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Selangor, KPS menyumbangkan 85 ekor lembu melibatkan perbelanjaan bernilai RM450,000 yang diagihkan ke masjid dan surau serata negeri.

Dianggarkan hampir 500 bungkusan daging diagihkan selepas selesai Solat Jumaat kepada penduduk setempat dan 42 asnaf fakir serta miskin.

Dalam perkembangan sama, Nazir Masjid Al-Ehsan, Ahmad Saidi mengucapkan terima kasih kepada KPS atas kesudian memilih kawasan Kampung Sungai Lang Tengah sebagai lokasi program tahun ini.

Katanya, sebanyak sembilan ekor lembu disediakan untuk ibadah korban tahun ini bagi kawasan setempat.