Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kumpulan Perangsang Selangor catat keuntungan RM56.19 juta tahun 2021

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Keuntungan bersih Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 meningkat kepada RM56.19 juta daripada RM34.12 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata hasil meningkat 23 peratus kepada RM1.33 bilion daripada RM1.08 bilion sebelumnya.

“Prestasi kukuh ini adalah bukti pelaksanaan strategik pelan penciptaan nilai dan komitmen gigih kakitangannya, kedua-dua faktor ini telah mengukuhkan asas kumpulan,” katanya.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Fariz Hassan berkata bagi tempoh terdekat KPS akan berpandukan kepada pembangunan petunjuk sosioekonomi yang mungkin mempunyai kaitan dengan kemajuan rancangan penciptaan nilainya pada masa hadapan.

“Data daripada maklumat pasaran masih menyatakan bahawa rantaian bekalan dan mungkin tenaga buruh adalah cabaran yang berlanjutan hingga separuh kedua tahun 2022, syarikat itu menjangkakan kemajuan sederhana dalam tahun kewangan semasa, kekal tangkas dalam melaksanakan strategi perniagaan dan melindungi daya maju perniagaan kumpulan itu dalam persekitaran operasi yang tidak menentu dan kompleks.

“Ini antara lain adalah pengimbangan semula perniagaan sedia ada, memanfaatkan peluang yang muncul serta memastikan kedudukan semula produknya yang kompetitif,” katanya.

Ahmad Fariz berkata kumpulan itu juga akan berusaha untuk meneruskan mekanisme perubahan kos, menjalankan rancangan pengeluaran dan material, mempercepatkan pembuatan dan meneruskan pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kumpulan Perangsang Selangor lahirkan juruterapi, bidan profesional

(ADVERTORIAL)

Ibu bersalin adalah kumpulan masyarakat yang cukup terkesan akibat penularan wabak Covid-19. Selain emosi terganggu kerana tiada ahli keluarga dibenarkan menemani di hospital, kebanyakan mereka turut terjejas kerana masalah kewangan.

Umum mengetahui, banyak perbelanjaan diperlukan untuk menyediakan perkakas menyambut bayi. Namun ramai suami dan ibu bersalin gagal mengadakan persediaan ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jabatan Statistik Negara menunjukkan sebanyak 111,573 kelahiran dilaporkan pada suku tahun kedua 2021. Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan bilangan kelahiran tertinggi iaitu 20,389 kelahiran (18.3 peratus). Ini bermakna, terdapat permintaan tinggi untuk penjagaan serta rawatan ibu bersalin terutamanya di bandar dan sesetengah tempat di Selangor.

PKP juga menimbulkan kesukaran bentuk lain kepada ibu yang baru melahirkan bayi. Kekangan pergerakan menghalang perjalanan rentas negeri, yang mana ia menyukarkan ahli keluarga datang membantu serta merawat ahli keluarga mereka yang baru mendapat cahaya mata.

Keadaan luar jangka seperti ini menyukarkan golongan ibu bersalin, khususnya mereka yang berkerjaya dan tinggal jauh daripada saudara mara.

Peluang latihan pekerjaan

Situasi berkenaan menyebabkan permintaan terhadap bidan atau juruterapi terlatih berkemahiran tinggi meningkat di bandar dan kawasan sekitar. Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyedarinya dan prihatin dengan perkembangan berkenaan.

Kumpulan Perangsang Selangor melatih golongan terkesan Covid-19 menjalani kursus perbidanan secara profesional bagi menjana pendapatan. Foto ihsan Kumpulan Perangsang Selangor

 

Sehubungan itu, KPS menerusi program Pembangunan Keusahawanan, mengambil inisiatif menaja latihan juruterapi dan bidan. Inisiatif ini secara tidak langsung menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat dan memerlukan pekerjaan, terutamanya golongan B40 dan M40 yang terjejas mutakhir ini.

Jabatan Statistik Negara memberitahu bahawa kadar pengangguran di Malaysia meningkat daripada 3.3 peratus (524.8 ribu) pada awal 2019 kepada 4.8 peratus (768.7 ribu) pada Jun 2021 akibat pandemik.

Justeru, langkah KPS yang diambil melalui program ini berupaya membantu golongan rentan dengan menyediakan kemahiran serta latihan diperlukan untuk berjaya dalam bidang rawatan selepas bersalin.

Kursus BLUMS

Kursus latihan juruterapi bandar ini dikenali sebagai program Bimbingan dan Latihan Usahawan Mobile Spa atau singkatannya BLUMS.

Ia merupakan program yang memberi pengkhususan kepada penjagaan dan rawatan selepas bersalin.

Keterlibatan KPS dalam menaja program ini adalah bersesuaian dengan masa dan keperluan kerana adanya permintaan yang tinggi terhadap perkhidmatan khas ini.

Program ini melahirkan juruterapi atau bidan berkemahiran tinggi yang diiktiraf dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), seiring dengan visi kerajaan yang ingin meningkatkan lebih ramai tenaga kerja terlatih.

Peserta juruterapi atau bidan bandar terlatih ini dipilih dalam kalangan ibu tunggal, belia serta suri rumah yang ingin menambahkan pendapatan ekonomi keluarga dan beraspirasi untuk keluar daripada kesempitan hidup.

Program ini berupaya meredakan tekanan permasalahan sosio-ekonomi dalam kalangan golongan rentan.

Impak program

Sejak dimulakan pada 2015, program ini berjaya membantu peserta BLUMS menjana pendapatan sekurang-kurangnya dari RM1,000 hingga RM3,500 sebulan. Tahun ini, BLUMS telah melatih seramai 119 peserta.

Program latihan BLUMS menawarkan prospek besar kepada pesertanya. Peserta diberi peluang menjalani latihan tambahan anjuran Jabatan Pembangunan Kemahiran. Latihan dan program pensijilan tambahan ini akan dapat memberi mereka peluang untuk memulakan perniagaan sendiri.

Sebahagian alat dan ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat ibu bersalin

Inisiatif seperti ini akan memberi impak besar dalam membantu mereka yang terjejas untuk berdikari serta dapat menampung kehidupan dengan stabil. Pada masa sama, ia dapat memulihkan ekonomi dan membantu perkembangan sosial masyarakat setempat.

Negara masih berada dalam fasa Pelan Pemulihan Negara yang membataskan peluang peserta program BLUMS terlatih untuk memanfaatkan latihan yang dijalani serta menjana pendapatan yang optimum.

Bagaimanapun, KPS yakin terhadap keberkesanan program ini. Ia bakal membantu memperbaiki masa depan peserta terutamanya apabila ekonomi negara tidak lagi dibayangi oleh pandemik Covid-19 dan kekangan pergerakan akibat PKP.

KPS yakin peluang yang lebih luas untuk menjana pendapatan akan lebih terbuka buat peserta program BLUMS.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perangsang Selangor sumbang PPE kepada petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyumbang bekalan perubatan berupa peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Klinik Kesihatan Kelana Jaya (KKKJ) di Kelana Jaya pada Khamis lepas.

Menurut kenyataan, kumpulan itu menyumbang PPE bernilai RM44,550 termasuk 20,000 pasang sarung tangan lateks pakai buang, 5,000 keping pelitup muka pembedahan, 200 unit pelindung muka, 245 liter pensanitasi tangan dan 188 set sut PPE serta 20 unit kerusi plastik dan tiga unit pengimbas suhu bagi menambah baik kemudahan di klinik itu.

Ketua KKKJ Dr Nik Mazlina Mohammad berkata sumbangan itu tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang menyebabkan pertambahan permintaan PPE terutama bagi kakitangan yang bertugas di zon merah dan yang terlibat dalam kes kecemasan membabitkan pernafasan.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik KPS Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata ini merupakan tanggungjawab bersama antara KPS dengan anggota masyarakat.

“Diharapkan sumbangan kami akan membantu mengatasi isu kekurangan PPE kerana semua peralatan ini adalah barangan pakai buang yang penting dan digunakan setiap hari bagi ujian saringan jangkitan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPS melalui inisiatif lestarinya memperuntukkan dana RM2 juta bagi menangani kesan ekonomi, alam sekitar dan sosial pemegang taruhnya terutama kepada anggota masyarakat.

Sementara inisiatif bagi tahun 2020 terdiri daripada empat tonggak utama iaitu Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Keusahawanan, Pembangunan Masyarakat dan Alam Sekitar serta Keselamatan dan Kesihatan.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI

Perangsang Selangor umum dividen khas 32.6 sen

KUALA LUMPUR, 27 APR: Syarikat pegangan pelaburan, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (Perangsang Selangor) mengumumkan dividen khas sebanyak 32.6 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember ini.

Dividen khas itu akan dibayar pada 28 April kepada para pemegang saham yang berdaftar di dalam Rekod Pendeposit semasa penutupan perniagaan pada 15 Mei, katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Perangsang Selangor mempunyai perniagaan teras dalam sektor pembuatan, perdagangan, perlesenan dan infrastruktur.

Jumlah pembayaran dividen khas ini adalah sebanyak RM175.188 juta.

Selain daripada dividen khas, lembaga pengarah Perangsang Selangor mencadangkan untuk kelulusan para pemegang saham, dividen tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 berjumlah RM22.8 juta atau 4.25 sen sesaham biasa.

Dividen tahunan ini, yang akan dibayar pada 19 Julai 2019, adalah layak bagi para pemegang saham yang berdaftar di dalam Rekod Pendeposit semasa penutupan perniagaan pada 28 Jun 2019.

“Memulangkan modal kepada pemegang-pemegang saham dalam bentuk dividen khas sebanyak 32.6 sen ini, mencerminkan hasil langkah korporat Perangsang Selangor yang dilaksanakan baru-baru ini, selain daripada kedudukan kewangan yang kukuh dan keyakinan kami terhadap masa depan kewangan syarikat.

“Ianya juga adalah sebagai ganjaran kepada para pemegang saham kami di atas sokongan berterusan mereka kepada langkah korporat dan inisiatif strategik syarikat. Lebihan modal kami kekal pada paras yang membolehkan kami mendapat fleksibiliti kewangan bagi mengembangkan perniagaan dan memastikan lembaran imbangan yang sihat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/Pengarah Urusan Perangsang Selangor, Ahmad Fariz Hassan.

Syarikat bersekutu milik 30 peratus Perangsang Selangor, Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (SPLASH Holdings) telah menerima tawaran pengambilalihan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) daripada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) melalui perolehan 50,000,000 saham biasa bernilai RM1.00 sesaham dan 350,000,000 Saham Pinjaman Tanpa Cagaran Boleh Tebus di dalam SPLASH untuk balasan tunai sebanyak RM2.55 bilion pada 9 Ogos 2018.

Pada 24 April 2019, SPLASH Holdings menerima RM1.9 bilion daripada Air Selangor sebagai bayaran peringkat pertama bagi penjualan SPLASH, yang mana Perangsang Selangor berhak untuk menerima RM570.0 juta.

Kemudiannya, pada hari sama, Perangsang Selangor, melalui subsidiari milik penuh iaitu Viable Chip (M) Sdn Bhd yang memiliki 30 peratus SPLASH Holdings, menerima RM570.0 juta.

Ahmad Fariz berkata, lembaga pengarah telah mempertimbangkan tiga pilihan mengenai bagaimana hasil keuntungan daripada penjualan SPLASH akan digunakan, salah satu daripadanya adalah pemberian dividen khas.

Dua opsyen lain merangkumi pengurangan pinjaman serta pengembangan perniagaan.

Kesimpulan daripada pelaburan Perangsang Selangor dalam SPLASH, bukan sahaja ia menandakan resolusi mengenai penyatuan dalam industri air tetapi turut membolehkan Perangsang Selangor untuk meningkatkan tumpuan terhadap perniagaan terasnya, yang akhirnya, melonjakkan lagi nilai-nilai bagi pihak yang berkepentingan.

“Dengan selesainya, penjualan SPLASH, kami sudah boleh menumpukan sepenuhnya langkah Pelan Penciptaan Nilai dan Transformasi Perniagaan kami bagi membuka potensi perniagaan teras kami, untuk kekal di landasan yang betul bagi mewujudkan nilai jangka panjang dan menjana lebih pulangan kepada Perangsang Selangor dan para pemegang saham kami,” kata Ahmad Fariz.

— BERNAMA

Categories
SELANGOR

Projek Rangsangan Sukan Selangor berjaya tarik 1,500 remaja

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS) yang diterajui oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Peransang Selangor) mendapat penyertaan seramai 1,500 remaja.

Presiden Kelab Sukan dan Rekreasinya (KELAB), Mohd Fauzi Mohd Ghazali, berkata daripada jumlah itu, seramai 250 peserta dipilih untuk digilap mengikut jenis sukan ditetapkan.

Presiden KELAB, Mohd Fauzi Mohd Ghazali“Penyertaan sangat menggalakkan setakat ini. Kita dapat banyak penyertaan.

“Kita bekerjasama dengan persatuan dan sekolah bagi pencarian bakat muda melalui Kem Pembangunan Bakat Sukan dan Pasukan Sukan Elit,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Fauzi berkata, remaja terbabit digilap daripada ‘sifar’ menjadi seseorang yang cemerlang.

“Kita melatih mereka melalui jurulatih profesional. Usaha membangunkan remaja ini berjaya kerana ada diantaranya berjaya mewakili Malaysia dalam beberapa pertandingan,” katanya.

Beliau berkata RSS akan diteruskan pada tahun depan dengan peruntukkan yang akan diumumkan kelak.

Projek Rangsangan Sukan Selangor (RSS)Tahun lalu, Perangsang Selangor anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), menandatangani Memorandum Persefahaman dengan lima buah kelab sukan untuk melaksanakan RSS bernilai RM1.8 juta.

Lima buah kelab sukan terlibat, termasuk Kelab Boling Seintak (boling), Sukan J World (badminton), Sekolah Renang Supersharkz (renang), Persatuan Lumba Basikal Selangor (lumba basikal) and Sukan Munro (bola sepak).

Perlaksanaan Kem Pembangunan Bakat Sukan merangkumi pemilihan, latihan dan pembangunan ahli sukan muda berumur di antara 9 sehingga 12 tahun oleh
jurulatih profesional di Selangor.

-nR-

Categories
SELANGOR

Rangsangan Kerja Siswazah Selangor – Salam Selangor

Episod 55

Sinopsis:
Saksikan paparan menarik menerusi www.selangorkini.net

Tetamu :YM Raja Idris Raja Kamaruddin – Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perangsang Selangor

perangsang