Categories
NASIONAL SELANGOR

KSSB Tidak Berkompromi Terhadap Penyelewengan Pasir

curi pasir

SHAH ALAM 22 JUN:  Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan terutamanya aktiviti mencuri pasir seperti dilaporkan berlaku di Sungai Batangsi, Kampung Pasir Baru, Semenyih baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Dr Azimuddin Bahari berkata, KSSB tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan penguatkuasaan kerana ia adalah bidang kuasa Pentadbir Tanah di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara.

Namun katanya, KSSB sentiasa memantau kejadian pemindahan pasir tanpa permit dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

“KSSB sentiasa memantau dan melaporkan kepada polis, Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pejabat Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) untuk tindakan mereka di bawah peruntukan undang-undang masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai laporan kecurian pasir di Sungai Batangsi, Dr Azimuddin berkata, pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat (PTD), PTGS dan Luas telah beberapa kali membuat serbuan dan menyita mesin berkenaan.

Dr Azimuddin berkata, dakwaan bahawa aktiviti perlombongan pasir haram itu berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM300,000 adalah tidak munasabah.

“Kuantiti pengeluaran untuk mencapai keuntungan sebegini adalah melebihi pengeluaran sebuah lombong pasir sedangkan operasi yang dijalankan hanyalah operasi mengambil pasir dari sungai yang terhad kuantiti pasirnya,” katanya.

Tambahnya, tuduhan yang mengatakan aktiviti mengorek pasir sungai menyebabkan banjir juga tidak tepat.

“Pengalaman KSSB menunjukkan operasi cucigali sungai yang dijalankan secara teratur dan mengikut peraturan adalah sebagai salah satu kaedah menghalang banjir,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, penubuhan KSSB membuktikan peningkatan kutipan royalti pasir melebihi tiga kali ganda kutipan tahunan sebelum tahun 2008 dan jumlah ini semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Categories
SELANGOR

Hasil Pasir RM 5 Juta Sepanjang Enam Bulan 2012

SHAH ALAM 19 JULAI : Kerajaan Negeri Selangor berjaya mengutip royalti pasir sebanyak RM5 juta dalam tempoh enam bulan ini.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah itu lebih banyak berbanding semasa pentadbiran kerajaan sebelum ini yang hanya mengutip sebanyak tidak lebih dari RM3 juta dalam tempoh setahun.

“Kerajaan Negeri sudah tunjukkan bukan sahaja aktiviti kecurian pasir berkurang tetapi royalti negeri juga bertambah dan operasi Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) meningkat,” katanya yang menjawab soalan Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baharu-BN).

Jelas Abdul Khalid, mengikut statistik laporan bulanan daripada jawatankuasa pemantau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri menunjukkan penurunan kes kecurian pasir itu.

Katanya, ia melibatkan operasi yang diadakan mengikut daerah, tangkapan dan kompaun.

Bagi tahun 2008 sebanyak 969 operasi dijalankan, 2009 sebanyak 889 operasi, 2010 sebanyak 727 operasi, 2011 sebanyak 653 operasi dan sehingga Jun 2012 sebanyak 350 operasi.

Manakala dari jumlah tangkapan, seramai 974 ditahan pada 2008, 2009 sebanyak 159 orang, 2010 dan sebanyak 91 orang.

“Pada tahun 2011, kita mengadakan Operasi Perampasan Tanah yang terdapat penyalahgunaan tanah sebanyak 37 sahaja dan  sehingga Jun 2012 sebanyak 26 orang.

“Antara kawasan yang teramai dalam kes ini ialah Kuala Langat, Sepang dan Hulu Selangor,” jelasnya.

Tambah Khalid, perangkaan laporan kutipan kompaun pula ialah sebanyak RM1.3 juta pada tahun 2008, 2009 sebanyak RM425,000, 2010 sebanyak RM121,000 dan 2011 sebanyak RM27,000.